CT357. KISAH DI MASJIDIL HARAM (2): BALSEM HARIMAU (TIGER BALM)

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

BalsamFatima4TigerBalmMakkah

*

BEBAS

Saya bersyukur kerana sudah ada tempat saf untuk menunaikan solat Zohor. Betul-betul kedudukan saya di laluan sebelah kiri jika kita masuk ke Masjidil Haram melalui pintu no. 76 – King Fahd Gate. 

Doa sepintas hati yang diucap, segera Allah makbulkan. “Ya Allah, aku merasa benar-benar menjadi tetamu istimewa-Mu. Hanya pada-Mu aku memohon segala bantuan. Alhamdulillah” monolog ku panjatkan kepada Tuhan Yang Maha Pengasih.

Saya menangguh hajat untuk membaca al-Quran. Hanya zikrullah yang menjadi teman. Rasa khusyuk kurang menyebati diri kerana suasana pertama kali untuk bersolat jemaah di Masjidil Haram amat menyibukkan pandangan.

Pergerakan lelaki dan perempuan di Masjidil Haram berbeza dengan mana-mana masjid di seluruh dunia termasuk Masjid Nabawi. Biasanya pintu masuk ke masjid adalah terpisah antara lelaki dan perempuan. Tetapi di Masjidil Haram, lelaki dan perempuan boleh masuk mana-mana pintu secara bersama.

Malah, ada yang solat bercampur lelaki dan perempuan. Percampuran saf ini sangat janggal di mata, namun “diperbolehkan” atas sebab-sebab tertentu.

Perkara ini akan saya sentuh dalam satu posting khusus di kemudian hari.

*

TIDAK BERADAB

Ketika sedang duduk memerhati, tiba tiba satu suara kuat datang dari arah laluan hadapan memecah ruang. Suara itu dimiliki oleh seorang lelaki berparas Arab. Beliau berjubah putih, berkain sal putih dengan “igal” hitam di atas kepala.

Lelaki itu menolak sebuah kerusi roda (wheelchair) yang diduduki oleh seorang haji tua yang uzur. Mungkin beliau seorang pengambil upah menyorong kerusi roda. Perjalanannya tersekat-sekat kerana lalu lalang yang sibuk. Tolakannya sangat kasar sehingga haji yang uzur itu kelihatan bergoyang kuat di atas kerusi roda tersebut.

*

KerusiRodaSimbol

Saya sangat terkilan melihat lelaki itu menjerit dan marah-marah di dalam masjid. Wajahnya bengis, mulutnya tidak berhenti-henti bercakap. Tangannya mengarah para jemaah untuk segera ke tepi jalan. Saya tertanya, apakah yang dimahukan lelaki itu ?

Rupanya, beliau meminta laluan dalam bahasa Arab kepada jemaah haji yang sedang lalu lalang. Mungkin ramai yang tidak faham bahasanya. Tetapi perlukah beliau menjerit dan marah ?

Tanpa mahu mengawal emosi kerana jeritan dan permintaannya tidak diendah, lelaki  tersebut melanggar sahaja apa yang ada di hadapan. Saya yang duduk di tepi laluan hampir dirempuh dan sempat menggelak. Saya beristighfar dalam kegeraman.

Tak semena-mena terdengar satu jeritan kuat dari sebelah laluan kanan saya. Suara seorang perempuan yang mengaduh kesakitan. Saya menoleh ke kanan dan mendapati seorang nenek tua dari India  sedang mengurut jari-jari kakinya.  Mukanya perit menahan sakit. Kelihatan jari kakinya merah.

Beliau menoleh ke arah saya dan menunjuk lelaki yang baru berlalu dengan kerusi roda dan masih menjerit marah di belakang menuju ke pintu keluar No. 76. Rupanya, kerusi roda yang ditolak kasar itu telah melanggar jari kaki nenek tua tersebut. Tanpa belas dan kata maaf, lelaki itu berlalu pergi  begitu sahaja. Menoleh pun tidak.

Rasa nyeri terus melanda dada saya. Saya menggeleng kepala. Tentu sangat sakit kaki nenek tersebut kerana dihenyak oleh roda besi yang berat dan beban di atasnya. “Kurang ajar dan tidak beradab.” marah saya di dalam hati. Kemudian saya beristighfar dan mengingati diri yang sedang berada di dalam Masjidil Haram. Namun rasa sebal masih bersarang dengan sikap “biadap” lelaki tersebut.

*

BALSEM HARIMAU

Saya melihat nenek itu masih mengurut jari-jari kakinya sambil mulut terkumat kamit berbicara dalam bahasa India seorang diri. Tidak ada siapa yang peduli. pasti jari-jarinya lebam. Rasa kasihan mencengkam hati. Saya ingin membantu tetapi bimbang saf diambil orang lain. Hal ini membantut keinginan saya.

Kemudian saya teringat sebekas kecil Balsem Cap Harimau (Tiger Balm) yang dihadiahkan oleh Lembaga Tabung Haji Malaysia kepada setiap jemaah di Hotel Penview, Kuching Sarawak. Saya membawa Balsem itu kemana-mana sebagai langkah keselamatan dan kebajikan.

*

BalsamFatima2KandunganIsi

Kandungan isi dalam Balsem Harimau.

*

BalsamFatima3TigerBalmPlusOintment

Inilah Balsem Harimau yang saya beri kepada Nenek tua dari India di Masjidil Haram. Bentuknya sangat kecil hanya sebesar syiling 20 sen.

*

KEGUNAAN BALSEM CAP HARIMAU  adalah untuk MENYEMBUH SAKIT OTOT, KETEGANGAN LEHER, BAHU, LEBAM, SALAH URAT, SAKIT TULANG BELAKANG DAN SAKIT RADANG SENDI

*

Saya ingin memberi nenek hajjah tersebut untuk mereda dan mengurang kesakitan yang ditanggung. Saya menoleh dan menyapa dengan bahasa isyarat sambil menghulur balsem sebesar syiling 20 sen. Nenek tua menyambut dengan wajah gembira dengan senyuman terukir sambil mengucap “syukria-syukria” – terima kasih.

Saya membalas dengan senyuman dan menunjukkan urutan di tangan saya lalu ke arah kakinya. Nenek itu faham dan memberi anggukan balas. Alhamdulillah, saya rasa lega dan bahagia dapat membantu semampu ada. Dalam hati berdoa agar nenek tua itu sembuh jari kakinya. Kasihan.

*

PENGAJARAN

Saya menunduk wajah memandang sejadah di depan mata dan menarik nafas dalam.  Peristiwa yang baru terjadi masih segar diingatan.  Banyak pengajaran yang dikutip. Saya belajar mengurus hati dan emosi. Jika kita faham, Allah sedang menguji setiap hamba-NYA untuk diberi nilai iman dan takwa dalam hubungan dengan manusia.

Ya, Allah. Andai Rasulullah SAW masih hidup, pasti Baginda akan memarahi lelaki tersebut kerana berkasar dengan tetamu Allah. Lebih-lebih lagi dengan orang tua yang tidak berdaya.

Saya menoleh lagi dan mendapati nenek tua itu sedang menyapu Balsem harimau di sela-sela jari kakinya. kemudian mengurut-ngurut perlahan. Timbul rasa belas kasihan kerana nenek itu seperti bersendirian sahaja tanpa dipeduli sesiapa. Mata saya mula digenangi air. Panas rasanya.

“Semoga engkau memberi kebahagiaan kepada nenek itu, Ya Allah.”

*

SOLAT ZOHOR BERJEMAAH

Tidak lama kemudian, terdengar suara muazin mengalunkan azan masuk waktu Zohor. Saya menekun diri memahami kalimah-kalimah azan yang menusuk hati. Apabila kita memahami maknanya sudah pasti air mata tidak mampu dibendung. Tambah lagi kita berada di Tanah Suci, di dalam Masjidil Haram.

Allahu Akbar Allahu Akbar walhamdulillah, akhirnya jasad hina ini menunaikan solat berjemaah pertama kali di Masjidil Haram. “Ya Allah, nikmat-MU yang mana lagi hendakku dustakan setelah semua ini ku alami dengan redha-MU.”

**

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima27 Oktober 2015 (Selasa)/ 14 Muharram 1437H/ 10.48 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. belajar untuk bersabar saat berhadapan dengan kemarahan. Ku cuba tenangkan hati dan memujuk jiwa bahawa ini ujian Allah untuk mendidikku menjadi dekat pada-NYA. Namun, ia bukan semudah yang ku sangka. Aku pasti bila kita bersabar, banyak perkara menjadi lebih baik dan berakhir dengan kedamaian jiwa. Aku masih belajar bersabar lagi untuk kesekian kali.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Jika pertemuan itu tidak berlaku dalam hidup kita, sudah pasti kita tidak akan menyesal apabila terjadinya perpisahan. Sebenarnya, Tuhan ingin kita belajar menerima dengan redha setiap peristiwa yang memakan jiwa dan nyawa. Di situ, kita berusaha menjadi sabar dan meraih cinta-NYA. Ku sebut namamu dalam setiap doaku. Aamiin. Wassalaam. 🙂

*

FatimaRindu1padamu

*

PERCAYALAH…. RINDUKU TIDAK PERNAH PUDAR

*

*

19 thoughts on “CT357. KISAH DI MASJIDIL HARAM (2): BALSEM HARIMAU (TIGER BALM)

    • Benar, semuanya tertakluk kepada sangkaan kita kepada Allah SWT. Banyakkan bersangka baik dengan Allah. Pertolongan Allah juga sangat banyak berlaku di sana. tetapi kita lebih berfokus kepada kejadian sebaliknya.

      Tidak semua itu berlaku. Alhamdulillah, sepanjang saya berada 38 hari di Makkah tidak pernah saya melihat kejadian aneh seperti yang selalu dibaca di dalam buku. Hanya mendengar dari mulut teman sebilik sahaja. Konsentrasi kepada ibadah lebih penting selama berada di sana.

      Terima kasih mas Alris dan semoga akan sampai jua ke sana nanti. Aamiin.

      Salam sejahtera.

  1. salam,
    kurang ajar je kan orgtua yg langgar nenek tua tu,
    syabasla krn memberikan ubat balsam tu pd nenek., moga ada hikmat disebalik semuanya tuu., aminn

    • Sesiapa sahaja yang menyaksikannya pasti akan mengeji perbuatan kurang beradab tersebut.

      Alhamdulillah, kebaikan pasti akan dibalas baik. Selepas peristiwa tersebut, saya menerima kebaikan dari Allah tidak sampai satu jam dari kejadian itu berlaku. Akan saya tulis di posting selepas ini.

      Terima kasih Wak Gelas dan salam takzim.

  2. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Ternyata ada ya, Mbak, di Masjidil Haram orang berteriak marah-marah hingga bengis seperti itu. Padahal, di sinilah tempat orang tawadhu’ di hadapan-Nya.

    Maka, balsem itu bermanfaat ya, Mbak. Semoga jari kaki sang nenek sembuh dan balsem itu bisa bermanfaat untuk yang lainnya.

    Salam hormat dari Jogja.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet….

      Sangat ramai yang kurang menjaga akhlak di sana. Kejadian seperti di atas sudah banyak kita baca di mana-mana artikel blogger yang pernah ke Tanah Suci. Sesungguhnya bukan mudah untuk bersikap sabar dalam situasi yang jarang kita lalui. Mudahan kita mengambil banyak iktibar.

      Terima kasih mas Amazzet dan salam takzim.

  3. Itu lah negeri nya jahiilliyah….apa lagi terbukti ada accident sewaktu melontar Jumrah….ada banyak korban meninggal…btw semoga ibu Fatimah jdi Hajjah mabrur..
    btw
    silakan singgah di blog baruku..https:/musimbelajar.blogspot.co.id

    • Yang jahilnya itu adalah manusia yang tidak menggunakan ilmu dan akalnya dalam beribadah. Maka itulah terjadinya kejadian berdarah di jumrah. Jika mereka bersabar dan tidak menunjukkan olah, kejadian seperti ini tidak akan berlaku. Mudahan kita mengambil iktibar darinya.

      Terima kasih mas Agoesman atas kunjungan dan makluman.
      Salam takzim.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.