CT190. WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (3): MAKKAH 2011 (2) – KEMUDAHAN HAJI 2011

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Haramain32Fatima1Makkah2011a

Foto Menara Abraj al-Bait dan Menara Jam Diraja Makkah diambil pada 13 November 2011, jam 9.06 malam waktu Makkah  (1.06 pagi waktu Malaysia)

*

Posting ini merupakan bahagian kedua setelah CT189. MAKKAH 2011 (1) yang lalu. Oleh kerana terlalu panjang, maka saya tulis di dalam posting tersendiri yang mempunyai kesinambungan dari kronologi posting CT187. SEJARAH MAKKAH dan CT188. MAKKAH DARI 1885 dan 1953.

Setelah melalui tahun-tahun lampau sehingga 2011, banyak perubahan dalam pengurusan pihak Tabung Haji Malaysia. Bahagian ini mengungkap pengalaman saya dan SPH sebagai jemaah haji Muassasah. Mudahan mendapat manfat akan segala informasi yang dipaparkan secara foto dan penjelasannya. 

*

PAKEJ PENUH

Pada tahun 1977, jemaah haji Sarawak mula menaiki kapal terbang untuk ke Tanah Suci. Kisah ini saya tulis di posting CT160. CABARAN HAJI TUA. Tidak lagi menggunakan kapal laut. Penginapan hotel disediakan. Namun masih membawa peralatan memasak sendiri seperti yang dilalui oleh Emak dan Bapak pada tahun 1994.

Tetapi sejak tahun 1995, pengurusan haji jemaah Malaysia semakin mudah apabila hanya membayar semua kos perkhidmatan yang disediakan seperti tambang pengangkutan, sewa hotel penginapan, khemah di Arafah dan Mina serta penyajian makanan.

Pembayaran dibuat untuk satu pakej dengan harga semasa contohnya, RM15,550 bagi Muassasah. Namun, kos ini, akan terus meningkat seiring dengan pembangunan yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Arab Saudi ke atas Kota Madinah dan Kota Makkah.

Haramain3Fatima4CahayaMasjidilHaram2011

*

KEMUDAHAN HAJI TAHUN 2011

Pengurusan haji rakyat Malaysia diselenggarakan oleh satu badan yang dinamakan LEMBAGA URUSAN TABUNG HAJI (LUTH) MALAYSIA. LUTH ditubuhkan pada awal tahun 1963 dengan tujuan mengurus segala perkhidmatan haji di Tanah Suci. LUTH telah diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai pengurusan dan pelaburan haji terbaik di dunia.

Pengurusan haji yang disediakan kepada jemaah haji Muassasah di seluruh Malaysia dilakukan secara sistematik, seragam dan berkesan. Pengurusan ini dapat dilihat melalui seluruh proses perkhidmatan yang disediakan sejak di bumi Malaysia, Bumi Haramain sehingga kembali semula ke Tanah Air.

Berikut adalah kemudahan perkhidmatan dan pengurusan pihak Tabung Haji Malaysia dalam memberi khidmat terbaik kepada para penyimpan Tabung Haji (Muassasah) selama berada di Bumi Haramain pada tahun 2011.

*

PENGANGKUTAN

Pengangkutan udara dan darat amat menyelesakan walaupun memakan masa yang lama. Tetapi tidaklah selama perjalanan kapal laut atau berjalan kaki. Bersyukurlah. Kini jarak yang jauh menjadi lebih dekat. Pergerakan ke Arafah. Muzdalifah dan Mina turut terasa mudah walaupun mempunyai cabaran tersendiri.

Para petugas Tabung Haji menunjukkan komitmen yang tinggi dan mesra ketika menyambut kedatangan jemaah haji di mana-mana lokasi di Madinah, Makkah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Jeddah.

Setiap Maktab/Hotel dipimpin oleh seorang Pengarah Operasi, dibantu beberapa pegawai Tabung Haji yang dilantik dan jemaah haji di MAKTAB 94/95 secara suka rela  yang dipanggil SAHABAT TABUNG HAJI.

Haramain3Fatima8PesawatHaji2011

Tarikh 9 Oktober 2011 (Ahad).  Berlepas jam 3.05 petang dari Kuching International Airport. Sampai ke Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport, Madinah, Arab Saudi jam 7.15 petang waktu Madinah (12.15 tengah malam waktu Malaysia). Perjalanan mengambil masa 9 jam.

Haramain32Fatima10PengakutanHaji2011

Pengangkutan darat yang menyelesakan untuk pemergian jauh. Tetapi berhadapan dengan kesesakan terutama ketika menuju Arafah, Muzdalifah, Mina dan Kota Makkah.  Hal ini tidak dapat dielakkan kerana suasana kelam kabut oleh tingkah laku jemaah haji yang bimbang ditinggalkan.

*

HOTEL

Tabung Haji telah menyediakan penginapan hotel yang selesa kepada jemaah haji Muassasah. Alhamdulillah, saya dan SPH  berpuas hati dapat menginap di Hotel Moltaqa al-‘Alam, Madinah (bertaraf 4 Bintang – 9 hari) dan Hotel Sevilla Barakat, Makkah (bertaraf 5 Bintang- 34 hari). 

Haramain3Fatima11HoteldiHaramain2011Penginapan hotel selama 43 hari di bumi Haramain. Sangat selesa, berhawa dingin dan membuat tidur sangat nyenyak. Kini Hotel Sevilla Barakat telah dirobohkan 15 Disember 2011 untuk pembesaran Masjidil Haram.

Haramain32Fatima6BilikHotelHaramain

Rakan sebilik ditentukan oleh pihak Tabung Haji.  Di Madinah, saya bersama Kak Kasma, Kak Senah dan Mastika. Manakala di Makkah, saya bersama Nenek Dairah, Kak Senah, Kak Halimah dan Mastika.

*

CERAMAH DAN TAKLIMAT

Saya sangat suka menghadiri ceramah dan taklimat yang disediakan oleh pihak Tabung Haji untuk mengetahui perkembangan terkini tentang haji. Selain itu, hati dan iman semakin mantap apabila berhadapan dengan segala ujian dan cabaran.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri taklimat dan ceramah haji kerana pasti ada maklumat terbaru yang hendak disampaikan dari semasa-ke semasa oleh pihak Tabung Haji.

Haramain32Fatima9CeramahTaklimatHaji2011Makkah

Ceramah dan taklimat haji diberikan sepanjanag berada di Tanah Suci kepada maktab-maktab yang menginap di hotel masing-masing mengikut jadual. Sikap perihatin pihak Tabung Haji dalam menyediakan bekalan ilmu dan maklumat kepada jemaah haji hingga ke Tanah Suci sangat dipuji.

*L

KAUNTER KEWANGAN

Pihak Tabung Haji juga menyediakan perkhidmatan kaunter kewangan Tanah Suci untuk memudahkan jemaah haji mengeluarkan wang di Madinah dan Makkah. Cukup dengan memberi kad pengenalan diri Tabung Haji yang sudah disetkan segala maklumat berkaitan diri jemaah. 

Oleh itu, jemaah haji tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk menggelakkan kehilangan. Had pengeluaran adalah RS1000 dalam satu hari.

Haramain32Fatima7KaunterWangTH2011

Kebanyakan petugas kaunter kewangan Tabung Haji di Tanah Haram masih muda. Kadang kala terkilan juga, apabila mereka tidak menunjukkan sikap mesra. Senyum pun susah terbit. Harap jangan serius sangat kerana anda beruntung dapat menunaikan haji dalam usia muda atas sebab nikmat tugas yang disandang.

*

Semasa kami baru tiba di Madinah, pengeluaran wang dibenarkan RS1000 sehari. Tetapi apabila terdapat segelintir jemaah haji yang tidak mampu menahan nafsu belanja mereka dan kerap mengeluarkan wang yang banyak, had tersebut diturunkan kepada RS500 dalam masa dua hari kami di sana. Situasi ini membimbangkan Pihak Tabung Haji apabila wang tidak dirancang secara bijak dan akhirnya memudharatkan diri sendiri.

Terdapat jemaah haji yang sudah kehabisan wang dan berhutang dengan jemaah lain. Sedangkan bumi Makkah masih belum dijejaki. Musim haji masih jauh. Kehidupan di Makkah masih panjang. Jika tidak ada wang, bagaimana hendak hidup ? Subhanallah, begitu kuatnya nafsu dapat mengubah tujuan haji selain hasutan syaitan yang mengambil peluang atas kelalaian manusia.

*

PUSAT KESIHATAN

Pihak Tabung Haji juga menyediakan perkhidmatan kesihatan dan bekalan ubat secara percuma kepada semua jemaah haji Muassasah atau secara pakej. Setiap Maktab disediakan klinik dan pakar rujuk bagi memudahkan pemantauan ke atas tahap kesihatan jemaah haji. Selain itu, pihak Tabung Haji juga menyediakan klinik di Arafah dan Mina.

Haramain32Fatima11KlinikHaji2011

Haramain32Fatima13KlinikMadinatulHujjaj2011

Bagi kes-kes tertentu dan memerlukan rujukan yang lebih prihatin, pesakit akan dihantar ke klinik utama, pusat rawatan atau hospital yang  didirikan khusus di Tanah Hijaz. Di bawah adalah jadual waktu rawatan bagi Klinik Maktab dan Zon.

HajiTuaFatima14KlinikdanHospitalTHdiHaramain

Kepada jemaah haji dan umrah Malaysia, sila berhubung dengan pihak di atas, jika menghadapi masalah kesihatan untuk memohon bantuan yang disediakan di Tanah Suci.

*

MAKANAN

Pihak Tabung Haji menyediakan 3 waktu hidangan satu hari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam di Makkah, Arafah dan Mina. Walaupun rasanya tidak memenuhi selera Melayu seperti yang kita harapkan, namun bersyukurlah dengan rezeki yang disediakan. Lagipun, di hotel juga disediakan peti sejuk dan jug elektrik bagi memudahkan jemaah haji menyimpan makanan dan membancuh minuman sendiri.

Pengalaman yang dilalui sepanjang 48 hari di Bumi Haramain, memperlihatkan banyaknya makanan, buahan dan minuman yang disediakan. Untuk bekalan sarapan (biskut, mee segera, gula, teh atau kopi segera), kami diberi seminggu sekali.

Masya Allah, lihatlah betapa banyaknya bekalan sarapan kami sepanjang 7 minggu. Bekalan itu tidak habis sehingga kami berangkat pulang ke Tanah Air. Lebihannya kami beri kepada pekerja hotel. Mereka sangat suka sekali.

Haramain3Fatima9MakananHaji2011

Ada jemaah haji yang tidak mengambil makanan  yang disediakan kerana memilih untuk makan di luar  seperti di kedai jalanan atau di restoran yang banyak menyediakan menu masakan dari pelbagai negara. tinggal untuk memilih mana yang disukai sahaja.  Maka, makanan yang lebih, boleh diambil oleh jemaah lain untuk menggelak pembaziran.

Haramain32Fatima8Hidangan2011

Biasanya, selepas solat Subuh di Masjidil Haram, saya dan SPH kembali ke hotel untuk bersarapan. Kami selalu membeli roti canai dan nasi lemak yang disediakan oleh restoran di Hotel Sevilla Barakat. Kadang kala kami makan di restoran dan kadang kala bawa naik ke atas dan makan santai di luar bilik hotel.

Harganya boleh tahan. Lucunya semakin menghampiri waktu pulang ke Tanah Air, harga makanan di restoran hotel naik sekali ganda. Setelah itu, kami membeli sarapan di luar hotel. Lagi murah dan menjimatkan.

*

MADINATUL HUJJAJ

Madinatul Hujjaj di Jeddah merupakan asrama sebagai pusat transit jemaah haji Malaysia sebelum berangkat pulang ke tanah air bagi memberi keselesaan kepada jemaah. Ia dikelolakan oleh Lembaga Tabung Haji. Bangunan Madinatul Hujjaj menyediakan tempat untuk lebih 1,000 jemaah haji pada satu-satu masa.

Haramain32Fatima17AsramaMadinatulHujjaj2011

Beginilah ruang bilik dalam asrama Madinatul Hujjaj, Jeddah yang di sewa oleh Tabung Haji sebagai transit sementara. Prasarananya sangat sederhana, bilik mandi yang deras air dan ada kedai makan kecil yang dapat memenuhi selera Malaysia.

*

Tidak ada yang menyulitkan bagi jemaah. Semuanya tersusun rapi di mana jemaah haji yang akan pulang melalui Jeddah akan menginap seketika di Madinatul Hujjaj.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan dan urusan jemaah haji Malaysia yang akan berangkat pulang ke tanah air, mereka ditempatkan di Madinatul Hujjaj dua hari lebih awal dari jadual penerbangan. Alhamdulillah, kami hanya 1 hari sahaja di sini.

Haramain32Fatima14AsramaHajiJeddah2011

Pemandangan Madinatul Hujjaj, tempat timbang bagasi dan jemaah sedang berbaris mengikut giliran masing-masing untuk proses timbang.

Haramain3Fatima6BagasiHaji2011

Semua bagasi jemaah haji ditimbang terus di Madinatul Hujjaj tanpa perlu “check-in” di Terminal Haji Jeddah Airport. Jemaah haji hanya membawa diri untuk pemeriksaan kastam dan masuk kapal terbang.

*

 PULANG KE TANAH AIR

Setelah menerima pengumuman penerbangan  pulang ke Tanah Air, dalam tempoh 12 jam semua jemaah haji dikehendaki berkemas dan menunggu masa untuk dipanggil menaiki bas yang akan membawa mereka ke Terminal Haji Jeddah. Terminal Haji ini di khususkan pada musim haji bagi seluruh jemaah haji dunia untuk pulang ke Tanah Air masing-masing.

Terminal Haji Jeddah. Pemandangan jemaah haji negara lain yang berkumpul dengan bagasi mereka. Alhamdulillah. Jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi memikirkan bagasi mereka kerana semuanya sudah siap timbang di Madinatul Hujjaj.

*

Haramain32Fatima15TerminalHajiJeddah2011

Foto di atas adalah pemandangan jemaah haji Malaysia di Terminal Haji Jeddah. Semua jemaah haji seluruh dunia berkumpul di Terminal Haji Jeddah untuk menunggu keberangkatan pulang. Oleh itu, saya nasihatkan agar tidur dan istirehat secukupnya. Ia mengambil masa berjam-jam lamanya untuk menanti giliran masuk ke kawasan “Kontrol Passport”  dan pemeriksaan tubuh (kastam) yang terakhir. Setelah itu terus masuk ke dalam pesawat. Sangat penat kerana berdiri lama.

Haramain32Fatima16WelcomeHajjKuching2011

SELAMAT KEMBALI KE TANAH AIR. SEMOGA BEROLEH HAJI MABRUR. Begitulah kain banner ditulis untuk menyambut jemaah haji KT 33, Sarawak yang pulang dari menunaikan haji tahun 2011. Apabila keluar dari airport terakhir masing-masing, bermaksud pengurusan dan perkhidmatan Tabung Haji kepada para jemaah sudah selesai. Alhamdulillah.

*

PENGALAMAN ADALAH GURU TERBAIK

Tidak dinafikan, ada kekurangan di sana sini. Tetapi dapat di”sembunyikan” dengan bijak oleh petugas-petugas Tabung Haji sehingga tidak diketahui oleh ramai para jemaah. Bayangkanlah untuk mengurus 28,000 jemaah haji Malaysia (2011) bukan perkara yang mudah. Tentu sahaja olah tingkah dan ragam gaya jemaah haji yang pelbagai memberi cabaran tersendiri kepada para petugas haji.

Alhamdulillah, melalui pengalaman haji di bawah pengurusan dan bimbingan pihak Tabung Haji yang mengendalikan jemaah secara Muassasah, saya amat berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan. Jika hendak dibandingkan dengan pakej haji yang dianggap mewah pasti jauh perbezaannya.

Tetapi pengalaman, pertemuan dan persahabatan dengan golongan pelbagai peringkat tentu tidak dapat digambarkan kemesraan dan keakrabannya. Kerana itu, saya dan SPH memilih menggunakan Muassasah daripada pakej haji sedangkan kami mampu untuk menggunakan khidmat tersebut. Menurut saya, Muassasah banyak mengajar saya belajar bersosial, bersabar dan berkomunikasi dengan lebih berkesan sesama manusia.

Begitulah gambaran yang ingin saya jelaskan secara umum bahawa terlalu jauh perbezaan pengurusan haji tahun 1885, 1953, 1977, 1994 dan seterusnya sehingga 2011 yang lalu. Segalanya lengkap disediakan, tinggal membawa diri dengan keperluan yang dimaklumkan.  Tentu sahaja di masa hadapan pengurusan dan perkhidmatan haji di bawah kendalian Lembaga Tabung Haji Malaysia akan semakin mantap dan cemerlang.

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH

*56MalaysiaMerdeka2013

 **************

4 September 2013 (Rabu)/ 28 Syawal 1434H/ 10.45 malam- Sarikei, Sarawak

AKU…. berharap setiap pengalaman yang diperolehi akan mencipta kematangan dan ketabahan untuk menilai diri dari pandangan rohani. Allah SWT tidak memberi pengalaman begitu sahaja kepada kita dalam rencana yang dibuat-NYA, juga bukan untuk mencuba-cuba. Tetapi Allah SWT ingin kita melakukan sesuatu di dalam pengalaman itu agar kita memahami erti kebahagiaan, penderitaan, kemanisan, kepahitan, tawa dan tangis. Setelah itu, barulah kita mendapat pelajaran darinya. Setiap pengalaman tentu meninggalkan sejarah untuk dikenang. Oleh itu, senyumlah, jangan menangis.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

RinduFatimaku1YangMenyentuHati

Dedikasiku Untukmu…. sesaat yang berlalu dalam hidup kita amat berharga untuk dilupakan begitu sahaja. Setiap kenangan, pasti ada senyum dan tawa yang pernah menghiasi dunia tulis dan bicara. Betapa peritnya jiwa melepaskan jejak yang bakal menemui penghujung cerita. Namun, sebuah rindu tidak pernah lelah mengisi hati yang kian pasrah. Bersama doa dihimpun dalam ingatan padamu yang tidak kian sudah. Wassalaam. 😀

*

18 thoughts on “CT190. WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (3): MAKKAH 2011 (2) – KEMUDAHAN HAJI 2011

  1. Ass……..

    Senang baca kisah perjalanan dengan runut cerita yang basgus, seperti saya sedang bersama Tour Leader dalam meperkenalkan perjalanan haji. Walau tidak semua dikupas, namun sedikit banyak pengalaman bunda di tanah suci dengan gambaran yang ada dalam artikel ini, bisa mmberikan gambar yang jels proses perjalanan dan fasilitas saran ayang di dapat selama perjalanan haji. Semoga dapat bermanfaat bagi yang akan bernangkat nantinya.

    Salam wisata

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra….

      Mudahan pengalaman yang ditulis ringkas berserta foto dapat memberi sedikit gambaran tentang kemudahan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji Malaysia kepada pendeposit hajinya.

      Selesa atau tidak selesa bergantung kepada niat dan redha kita dalam menghadapi segala kekurangan di Tanah Suci. Terdapat juga jemaah haji yang merungut dan keluh kesah terutama berada di Padang Arafah dan Mina.

      Itu semua adalah ujian dari kesabaran yang Allah SWT lampirkan bersama untuk menilai kembabruran haji hamba-NYA. Bersyukurlah dengan kemudahan yang disediakan.

      Terima kasih atas kunjungan dan pencerahan dari mas Indra.
      Salam hormat selalu. 😀

  2. Alhamdulillah, Pemerintah Kerajaan Malaysia memberikan pelayanan yang sangat baik untuk kebutuhan dalam kemudahan menjalankan Ibadah haji di Tanah Suci, sehingga dengan kemudahan itu saya percaya jamaah bisa memaksimalkan diri menjalankan ibadah haji dengan baik dan nyaman.

    Saya sendiri tahun 2006 berhaji kalo di Indonesia namanya haji reguler (satunya disebut haji plus). Fasilitas haji reguler terutama di Mekkah tidaklah sebagus haji plus, karena kita menginap di hotel biasa yang semua kebutuhan konsumsi selama di mekah ditanggung jamaah haji sendiri, seperti memasak, mencuci dan sebagainya. Sehingga sebagian waktu kita ‘tersita’ untuk pemenuhan kebutuhan ini. Beda halnya dengan haji plus yang tentu membayarnya hampir 2 kali lipat, semua kebutuhan ditanggung hotel sehingga jamaah lebih bisa memaksimalkan beribadah di Masjidil haram.

    Pun demikian, semua kembali ke pribadi masing-masing, apapun fasilitas yang disediakan jika niat kita dalam beribadah hanya sekedarnya, tentu hasil yang kita capai menjadi tidak maksimal. Meskipun prasaran kita terbatas, namun kalo tekad dan niat kita sangat kuat dalam menjalankan rukun islam kelima ini Insya Alloh ridho Alloh Ta’ala sangat gampang kita dapatkan.
    Wallohu Ta’ala a’lam

    • Alhamdulillah, begitulah apa yang sedang berlaku di Malaysia. Maka untuk memudahkan pengurusan haji, ditubuhkan satu badan khas iaitu LUTH yang akan mengurus seluruh perjalanan haji (Muassasah) di Malaysia dan Tanah Suci.

      Tentu banyak bezanya haji 2006, semasa Pakies ke sana dengan 2011 seperti yang saya gambarkan di posting ini dan akan datang. Kalau di Indonesia ada haji regular (biasa) dan haji plus (pakej). Di Malaysia juga demikian sama.

      Haji biasa disebut Muassasah dan satu lagi adalah haji yang menggunakan pakej sama ada pakej Tabung Haji Travel atau pakej haji swasta (travel) yang sudah dilantik oleh Tabung Haji untuk menguruskan haji mereka.

      Besanya begini. Haji Muassasah adalah kumpulan jemaah haji sejumlah 2000-3000 orang dengan seorang Ketua Pengarah Operasi (Sheikh). Sebilik antara 4 atau 5 orang. Sedangkan pakej haji swasta hanya 400-500 orang. Sebilik pula hanya 2 atau 3 orang.

      Harga haji Muassasah adalah tetap iaitu sebanyak RM15,550 seorang. Sedangkan pakej haji swasta bermula dari RM18000 – RM300,000. Untungnya bagi mereka (Muassasah) yang pertama kali menunaikan haji hanya dikenakan bayaran RM11000, sedangkan bakinya ditanggung oleh Kerajaan Malaysia sebagai hadiah.

      Alhamdulillah, walaupun haji Muassasah (selalu orang panggil Haji Maha Susah- sebab terlalu ramai sebilik). sebenarnyantidak susah mana pun, ia bergantung kepada kita sendiri, tetapi pengurusan haji sangat mantap dan memuaskan. Jumlah bayaran RM15,550 itu mencakupi seluruh bayaran perkhidmatan iaitu pesawat, bas, hotel dan makanan.

      Saya setuju, susah senang dalam melaksanakan ibadah dan menghidupkan diri di Tanah Suci adalah bergantung kepada peribadi sendiri. Semuanya ujian Allah dan tentulah mereka yang bersabar dan redha sahaja yang merasai nikmat susah senang di sana.

      Terima kasih Pakies atas kunjungan dan pengalaman berbobot yang tentunya bermanfaat buat pengetahuan mereka yang belum ke sana atau baru sekadar umrah sahaja kerana situasi umrah bebeza dengan berhaji.

      Salam hormat selalu. 😀

  3. Bu Siti, Ibu tau kan di dekat masjidil haram ada menara jam yang super besar itu. apa berarti standar waktu dunia sudah berubah ke makkah? dulu ada wacana perubahan standar waktu dunia dari GMT (greenwhich mean time) menjadi MMT (mecca mean time)?

    • Ada dimaklumkan bahawa jam ini mengguna waktu standard Arab Saudi iaitu tiga jam ke hadapan daripada Waktu Rasmi Dunia (Universal Time Standard).

      Kemungkinan menara jam tersebut bakal menggantikan Universal Time Standard yang sudah berusia melebihi 126 tahun dan dikenali sebagai Greenwich Mean Time (GMT).

      Dalam persidangan di Doha tahun 2008, ulama dan cendekiawan Islam berpendapat waktu di Makkah adalah waktu sebenar meridian dunia kerana kedudukan Mekah di tengah-tengah dunia yang dikenali sebagai Titik Nisbah Emas Bumi. Wallahu’alam..

      Terima kasih Wahyu atas kunjungan.
      Salam ceria. 😀

  4. Pingback: CT191. WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (4): MAKKAH 2013 | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  5. Pingback: CT192. WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (5): MAKKAH 2020 & 2050 | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.