CT489. BAHASA ARAB DAN PERTOLONGAN ALLAH

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

 

RAKAN SEKERJA

Minggu pertama dan kedua menjalankan tugas di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kuching memberi ruang yang banyak untuk saya mengikut Dr. Sharifah Fatimah binti Wan Jamel (baca: Dr. Maimon) menyelia praktikum. Tidak ada jadual kuliah buat saya kerana berpindah kerja di akhir tahun.

Begitu juga pada minggu kedua dan ketiga, saya telah diamanah untuk membuat rentasan praktikum kepada pelajar siswa yang cemerlang dalam mata pelajaran major Pendidikan Islam dan mata pelajaran elektif Bahasa Arab. Ini tugas yang belum pernah saya lakukan semasa di kampus Rajang dahulu.

Dr. Maimon adalah junior saya semasa kami sama-sama belajar di SMK Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Matang, Kuching. Ketika itu saya berada di Tingkatan 5 sedangkan beliau di Tingkatan 2. Nama Maimon adalah panggilan yang popular ketika di sekolah dahulu.

Beliau sangat suka saya memanggilnya dengan nama Maimon. Malah amat gembira menerima kedatangan saya sebagai rakan sekerja dalam satu jabatan. Nampaknya kami bertemu buku dengan ruas atau lebih tepat sehati dan sejiwa.

Dr. Maimon merupakan pensyarah cemerlang Bahasa Arab, mengajar mata pelajaran Bahasa Arab dan penyelia praktikum bagi mata pelajaran elektif Bahasa Arab. Beliau adalah pemegang ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang pengajian Bahasa Arab.

Orangnya aktif dan cergas, tinggi lampai, lembut dalam berbicara, murah senyuman, mudah ketawa, peramah dan periang. Sangat menghargai persahabatan, suka membantu dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan rakan sejawat. Saya sangat gembira mempunyai rakan sekerja yang dapat dirujuk dalam banyak urusan pekerjaan di ofis.

*

Duduk: Saya. Dr. Maimon dan Ustazah Norhafizah (pensyarah pengiring IPGK Kent), Berdiri: Ustaz Mohammad Daud dan Ustaz Mahadi Khalid (Ketua Jabatan PIM, IPGK Batu Lintang)

*

*

BELAJAR BAHASA ARAB

Kali pertama saya mengikuti Dr. Maimon menjalani penyeliaan praktikum adalah di SK Gita, Petra Jaya yang terletak di seberang Sungai Sarawak namun masih berada di pusat Bandaraya Kuching. Penyeliaan ini melibatkan mata pelajaran elektif Bahasa Arab.

Dalam kesempatan ini, saya mengambil peluang untuk belajar bahasa Arab dengan Dr. Maimon. Sungguh bertuah bagi saya kerana dapat belajar  bahasa Arab secara intensif, lebih-lebih lagi dengan pensyarah cemerlang Bahasa Arab. Alhamdulillah.

Sebenarnya, semangat belajar bahasa Arab ini kembali hangat kerana minggu sebelumnya, saya ditakdirkan mengganti tempat Ustaz Salehuddin Sabar, juga seorang pensyarah Bahasa Arab di JAPIM ke Bengkel Penyediaan Penilai Buku Teks (Bahasa Arab) KSSM Tahun 2018 Zon Sarawak anjuran Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan Malaysia.

*

Berdiri: Ustazah Nurshakhuzaimah (Politeknik Kuching), Ustazah Salmi Ishak (Penyelaras Projek) dan Saya. Duduk: Ustaz Mohd. Narifuddin ( SMK Agama Miri), Ustaz Mohd. Azhar Ali (Universiti Malaysia Sarawak) dan Ustaz Azhar (Politeknik Kuching).

*

Sungguh mendebarkan hati kerana saya bersama-sama dengan guru-guru Bahasa Arab yang semuanya menguasai Bahasa Arab dan berlatar belakang pendidikan dari Jordan dan Mesir. Saya pula, tidak mahir berbahasa Arab namun boleh memahami ayat-ayat mudah.

Namun begitu, ada juga hikmah saya mengikuti bengkel ini sebagai “bidan terjun”.  Secara tidak langsung, kemahiran bahasa Arab saya dapat ditingkat walau masih di Tahap Tahun 1. 😀

Kesan dari bengkel tersebut, saya mula belajar bahasa Arab yang mudah dengan Dr. Maimon secara lisan di dalam kereta apabila mengikuti beliau ketika penyeliaan praktikum dan di dalam ofis.

*

SEKATAN JALAN DAN JPJ

Siapa menyangka, di sebalik segala yang berlaku itu ada hikmah tersembunyi yang tidak kita ketahui dari arah mana munculnya pertolongan Allah SWT. Adakah ini disebabkan kami berbual bual dalam bahasa Arab ? atau sudah kehendak Allah untuk merencana kami selamat dari sesuatu musibah sebagai satu pengajaran. Wallahu’alaam.

Selepas membuat penyeliaan praktikum di SK Sungai Stutong, Stutong, saya dan Dr. Maimon berangkat pulang kembali ke kampus dan melalui jalan arah ke Viva City.

Sepanjang perjalanan tersebut, kami berbual-bual menggunakan Bahasa Arab. Terkial-kial mulut saya cuba menyebut dan mengingat setiap perkataan dan ayat yang dibentuk dalam perbualan kami. Riuh rendah ketawa kami apabila saya salah menyebut ayat – ayat pendek yang diajar oleh Dr. Maimon.

Sungguh saya rasa amat terharu dan beruntung belajar dengan Dr. Maimon. Beliau seorang yang penyabar dan berusaha membantu agar saya dapat memahami dan menguasai Bahasa Arab dengan baik. Beliau juga memberi panduan dan cara yang mudah bagaimana hendak menguasai Bahasa Arab dengan cepat. Saya menggangguk kepala sahaja walau pun belum tentu semua yang dijelaskan dapat saya penuhi. 😀

Semasa kami menghampiri jalan tengah bangunan Viva City, di hadapan kami kelihatan dua pegawai JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) sedang menjalankan operasi. Seorang memegang bendera merah kecil menunjukkan isyarat supaya kereta berhenti dan seorang lagi sedang bercakap dengan pemandu kereta.

Kereta yang dipandu Dr. Maimon berada di belakang kereta yang sedang ditahan pegawai JPJ. Saya melihat pegawai JPJ itu meminta lesen memandu dari pemandu di hadapan.

*

LUPA LESEN MEMANDU

“Maimon, cepat ambil lesen memandu sebab pegawai JPJ tu nak “check” lesen memandu.” arah saya kepada Dr. Maimon dengan segera. “Ya Allah, kak. Saya lupa membawa lesen memandu.” balas Dr. Maimon dengan gelabah. Suaranya sudah bergetar resah.

“Biar betul kau Mon, tak bawak lesen memandu. Kena tahanlah kita, Mon. Pandu kereta mahal-mahal, kena tahan pula, aduuh… malulah kita Mon. ” ujar saya dengan kelam kabut dan geram hati.

Saya berpaling melihat Maimon. Mulutnya sudah terkumat kamit seperti membaca doa yang saya tidak faham butir-butirnya. Rasa nak ketawa juga melihat kondisi kami. Kami saling berpandang wajah. Akhirnya tak dapat menahan diri, ketawa kami pecah. 

Saya turut berdoa dalam ketawa yang cuba ditahan. Bimbang nanti doa tak dimakbulkan Allah. “Ya Allah,ampunkan kami. Selamatkanlah kami dari kena tahan oleh pegawai JPJ itu. Mudahan dengan belajar bahasa Arab sepanjang perjalanan tadi dan semalam boleh menjadi “syafaat” untuk kami lepas dari sekatan JPJ di depan tu.”

Giliran kereta kami bakal ditahan untuk berhenti. Saya menahan nafas dengan doa yang tidak berhenti-henti kepada Allah SWT. Suara Dr. Maimon semakin kuat membaca doa yang dia sendiri sahaja faham. Saya yang tidak buat salah, sungguh rasa amat bersalah. Agaknya tuan punya kereta lagi kuat gelabahnya sebab tertinggal lesen memandu. Pasti beratus ringgit juga melayang nanti. Jika bernasib baik, sekadar diberi amaran. Harap-harap lepas.

Pegawai JPJ sudah menurun bendera merah kecil yang dipegang dalam genggaman tangan kiri. Beliau melihat pelekat cukai jalan di depan cermin kereta, kemudian berpaling ke arah kami sambil tersenyum. Tak semena-mena bendera kecil di angkat dan sebelah tangan kanan digerak ke depan menyuruh kami berlalu.

“Alhamdulillah, Ya Allah, terima kasih kerana menyelamatkan kami.” Kami serentak mengucapkan syukur dan ketawa dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

“Selamat kita kak, mungkin berkat kita belajar dan bercakap Bahasa Arab sepanjang pagi ini, Allah selamatkan kita kak.” ucap Dr. Maimon dengan gembira. 

“Iya, mudah-mudahan. Inilah namanya pertolongan Allah dan pengajaran buat kita. Lain kali jangan lupa lagi bawa lesen memandu. Kalau lupa akak tidak mahu naik kereta dengan engkau lagi. Hari ini Allah beri pertolongan, lain kali mungkin sebaliknya.” balas saya dengan lega dan memberi amaran.

“Ok kak, ok. Saya tidak akan lupa membawa lesen memandu lagi.” sahut Dr. Maimon sambil ketawa. 

*

Foto kenangan bersama pelajar siswa IPGKBL yang membantu meraikan lawatan pelajar siswa dan pensyarah JAPIM, IPG Kampus Kent.

*

 

**************

SalamFatima3SalamFatima10 November 2018 (Rabu)/ 29 Safar 1440H/ 4.05 petang/ Kuching, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

 

 

 

7 thoughts on “CT489. BAHASA ARAB DAN PERTOLONGAN ALLAH

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Alris…

      Alhamdulillah, terkadang kita tidak menyangka dari arah mana agaknya Allah berikan pertolongan kepada kita. Dalam apa situasi pun sama ada sukar atau mudah, doa adalah senjata buat orang mukmin. Maka, berdoalah selalu dengan yakin dan jangan berputus asa memohon kepada Allah. Hanya Allah SWT harapan kita dalam apa juga keadaan yang dihadapi.

      Terima kasih mas Alris dan salam sejehtera.

  1. Assalamualaikum wr.wb Bu Hajjah Fatimah.

    Semoga ibu sekeluarga dalam lindungan Allah swt. Aamiin ya rabbal alamin.

    Wah, hebat sekali bu Fatimah bisa conversation dalam bahasa Arab 👍 Jadi ingat di tanah suci berkomunikasi dengan bahasa Arab sederhana untuk belanja.

    Alhamdulillah, beruntung dengan pertolongan Allah swt selamat dari pemeriksaan petugas.

    Selamat dan sukses selalu untuk ibu. Salam hangat dari Jakarta Pusat.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany Fatmaningrum….

      Bahasa ini andai selalu dipraktik walau sedikit akan menjadikan kita semakin mahir menguasainya, yang tinggal mahu atau tidak sahaja. Bila ada sedikit pengetahuan bahawa Arab ini, memang memudahkan kita berkomunikasi di bumi Arab, mbak. Lebih lebih lagi bahasa Arab adalah bahasa ahli syurga.

      Terima kasih sudah berkunjung dan salam manis selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum wr.wb puan Fatimah.

    mungkin jika doa disampaikan dalam bahasa arab lebih mustajab … subhanallah
    Bagus sekali puan belajar bahasa arab. Saya dulu pernah belajar juga .. tapi hanya sebentar dan hanya sedikit sekali kosa kata yang saya ingat.
    Kalau nanti jalan2 ke arab … kalau berbelanja mngkin bisa dapat harga yang lebih murah 🙂

    salam sehat bahagia dari Jakarta

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Bersapedahan….

      Jika difikirkan masa lalu yang panjang, menyesal kemudian tiada guna. Saya harus belajar kembali dari awal untuk menguasai bahasa Arab. Apabila sudah memahami nahu dan sorofnya, tidaklah susah sangat cuma perlukan perbendaharaan kata yang banyak. Buat sekarang ini, saya perlu banyak menghafal ucapan harian agar fasih dan lancar disebut.

      Bahasa Arab adalah Bahasa Syurga. Maka, sebaiknya kita belajar walau sedikit. Sekurangnya tidak ditipu ya jika berbelanja di negara Arab. Setuju itu.

      Terima kasih sudah berkunjung. Salam sejahtera selalu.

  3. Assalamualaikum ustazah, moga ustazah sihat selalu atas hendaknya.

    Melalui kisah ustazah ini, sudah kita ketahui bahawa bahasa arab ini merupakan bahasa syurga, bahasa yang indah.dan saya yakin tidak rugi apabila kita mempelajarinya. Sebut mengenai Bahasa Arab, saya ada kisah saya sendiri untuk saya kongsikan bersama ustazah di sini. Saya salah seorang pelajar yang berlatar belakang dengan dulu pernah bersekolah di sekolah menengah agama dan semestinya akan mempelajari subjek Bahasa Arab seperti Qawaid Nahu dan sebagainya. Saya juga salah seorang pelajar yang amatlah tidak berminat untuk mempelajari Bahasa Arab. Hal ini kerana, bagi saya mempelajari Bahasa Arab bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi saya kerana kosa katanya yang tinggi dan pelbagai. Bukan itu sahaja, malah nahu dari segi baris dan sebagainya jika tersalah sikit kedudukannya akan menyebabkan ia merubah makna sesuatu perkataan. Setiap kali saya mempelajarinya, Allah selalu mudahkan urusan saya untuk saya memahaminya. Sungguh saya tidak sangka selama saya mempelajari Bahasa Arab ini saya tidak pernah gagal dalam Bahasa Arab dan pencapaian paling tinggi saya pernah capai dengan gred A-. Saya sudah berfikir terhenti saya mempelajari Bahasa Arab ini setakat sekolah menengah sahaja. Akan tetapi saya silap dan setelah saya memasuki IPG, saya mempelajari subjek Bahasa Arab ini sudah 2 semester. Sungguh Allah permudahkan kita kerana kita mempelajari bahasanya. Saya berharap saya akan terus istiqomah dan lebih bersemangat lagi dalam mempelajari Bahasa Arab ini dengan asbab Allah selalu permudahkan urusan saya. Terima kasih ustazah sudi baca cerita pendek saya. Moga Allah sentiasa merahmati kita semua. Aamiin Ya Rabb.

    SITI MARIEYAH BINTI AZIZAN
    PA SK (2) PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.