CT127. KEBERKATAN HILANG BILA DUNIA DIJULANG

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Maha Suci Allah yang menciptakan alam dengan kecukupan bagi manusia yang menghuninya. Maka, berusahalah untuk hidup di bumi ini dengan penuh ketaqwaan dan rasa kehambaan kepada Allah swt. Bumi, dunia dan alam. Nama yang berlainan, namun pengertian yang sama. Tumpah darah manusia sejak lahir hingga saat kepergiaannya.

Dunia hanyalah wadah sementara bagi manusia sebelum berangkat ke bumi abadi di akhirat. Perhitungan akan menanti tanpa ada halangan. Kepada Dia kita datang. Kepada Dia juga kita akan pulang. Bersedialah! Jika tidak ? Pasti padah akan menjulang.

****************

MEWANGI BUNGA DUNIA

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

 “Apabila umatku membesarkan dunia, dicabutlah daripadanya kebesaran Islam dan apabila dia meninggalkan amal ma’ruf nahi mungkar, diharamkan baginya akan keberkatan wahyu.” (Riwayat Tirmidzi)

AWAS ! Apabila hati kita sudah mula tersasar dan condong untuk mencintai dunia. Cinta dan membesarkan dunia. Segala-galanya untuk terus kekal di dunia. Seolah-olah tiada kematian esoknya. Segalanya dikorbankan untuk dunia. Dunia adalah segala-galanya. Malang sungguh jika kita berkeadaan demikian.

Cintakan wanita mengatasi cinta kepada Allah swt. Cinta kepada harta, lebih dijunjung daripada mencintai junjungan besar Muhammad saw. Cintakan hiburan dan permainan, lebih disanjung daripada membesarkan ilmu al-Quran dan al-Hadis. Segala-galanya kerana cinta. Demi cinta. Untuk cinta. Sungguh dan benar…..Cinta itu ternyata sungguh indah dan mengasyikkan.

Firman Allah swt dalam surah az-Zukhruf, ayat 36 -37 yang bermaksud :

 “Barang siapa yang berpaling dari mengingati (Tuhan) Yang Pemurah, maka akan Kami tambatkan baginya syaitan dan syaitan itulah menjadi teman yang tidak terpisah dengannya. Syaitan itu menyimpang mereka dari jalan yang benar sedang mereka menyangka mereka berada dipihak yang mendapat petunjuk (pimpinan).”

Kebesaran Islam akan mula longgar, Ingatan kepada Tuhan kian pudar dan malap. Cinta kepada Rasul akan mula hilang. Ajaran baginda SAW tidak lagi menjadi panduan. Hidup tiada lagi pedoman dan hilang arah tujuan.

Kebaikan sudah ditelan kejahatan. Kejujuran dan amanah mula terkubur oleh pengkhianatan. Nafsu mulai menguasai akal dan ilmu. Iman terbang entah ke mana dan disia-siakan. Tiada lagi rasa malu kepada Allah swt yang menghalang manusia dari berbuat mungkar dan maksiat.

Tanpa belas kasihan, daging saudaramu diratah dengan peluru kebencian yang menerobos ke jantung hatinya, diperkosa dengan nafsu serakah yang merakus segala kesucian jiwanya, dimamah dengan belati kebejatan yang merobek segala keharmonian hidupnya. Dan.. tanpa belas ihsan, darah saudaramu dihirup penuh nikmat dalam kehausan yang tidak mengenal rasa dan perisa.

Segala keburukan sifat dan olah hasil kejahatan diri, mula terpalit membungkus kehidupan tubuh yang nantinya tidak akan mampu menghalang azab siksaan Allah. Perut diisi dengan air setan yang menjadi susur galur darah mengikut alirannya.

Tangan bergerak rakus menghitung daun-daun terup di atas meja kemusnahan punca kehidupan yang meranap rezekinya. Mulut berkepul dengan asap rokok yang memusnahkan jati diri kesegakan dengan melemaskan jiwa yang murni dan lestari alam semesta dalam hangus kehitaman.

Semakin jauh dari citra diri atas nama muslim yang beragama. Tanpa sedar menghina diri sendiri. Kaki bergerak pantas ke rumah pelacuran – tempat persinggahan bagi kemusnahan sifat kemanusiaan dan kemuliaan insani.

Atau apa sahaja aktiviti “gelap” yang terhasil oleh tingkah kebinatangan manusia, yang sudah hilang sifat malu sebagai khalifah yang sepatutnya menyemarakkan keharmonian dan kedamaian bumi. Yang telah dibekal dengan AKAL dan ILMU. Semua pertanggungjawaban ini akan dipersoalkan di hadapan Yang Maha Hakim. Tiada siapa yang akan terlepas. Tiada siapa yang akan dizalimi.

****************

WAHAI PERHIASAN DUNIA

Kepada WANITA MUSLIMAH yang redha menjadikan Allah swt sebagai Rabbnya, Rasulullah saw sebagai suri teladannya dan Islam sebagai agama anutan yang diyakininya, maka selimutilah seluruh jiwamu dengan pakaian takwa dan  selubung malu agar engkau terhindar dari sebarang kerosakan lahiriah dan rohaniah. Dunia hari ini tidak pernah mempedulikan siapakah engkau yang berjalan di atasnya. Maka bekalan iman menjadi keutamaanmu dalam menyelusuri kehidupan ini.

Jauhilah dirimu dari sifat-sifat wanita barat yang mewarisi segala sifat-sifat wanita zaman jahiliah. Mereka “BERPAKAIAN TETAPI BERTELANJANG” iaitu membuka segala kecantikan peribadi yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan hanya direnungi penuh nafsu oleh yang berhak atas dirinya bukan ditelanjangi oleh sesiapa sahaja dengan mata yang tidak mengenal dosa. Malah berbangga mempamerkannya di mata dunia. Astaghfirullah.

Lepaskan seluruh pakaian kebiadaban milik mereka dari tubuhmu. Ayuh… selubungkan kesucian peribadimu mulai saat ini dengan pakaian iman yang murni setulus hati kepada Allah saw tanpa berbelah bagi. Kesannya, engkau akan menjadi wanita muslimah  yang paling cantik peribadinya di dunia fana dan di dunia abadi.

****************

MUHASABAH DIRI

Tidak takutkah kita kepada Yang Empunya Hari Pembalasan ini ? Suatu hari, di mana kita tidak ada yang dapat membantu kecuali AMAL SOLEH. Kuatkah kita berhadapan dengan Yang Maha Perkasa dan menahan segala azab siksaan-NYA. Masya Allah. BERTAUBATLAH.

Firman Allah swt dalam surah al-Israa’, ayat 18 yang bermaksud :

“Barang siapa yang menghendaki kesenangan dunia (dengan cara maksiat), akan Kami segerakan kepadanya apa yang Kami kehendaki dan bagi sesiapa yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak) untuk membukanya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.”

Maka, bagaimana keberkatan ilmu al-Quran dan al-Hadis itu dapat menyinggahi diri sebagai penyucian segala sifat insani yang boleh menjadi pendinding keramat di hari pertemuan dengan PEMILIKnya?

Jika kebodohan dan ketololan masih menjadi satu visi dan misi dalam minda tanpa memperdulikan kesan, akibat dan natijah dari kerakusan mencintai dunia ini. Bersedialah….dengan segala kelengkapan dan kekuatan untuk berhadapan dengan Yang Punya Hak. Persoalannya MAMPUKAH ?

Mari kita kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-duanya adalah petunjuk sepanjang jalan. Permulaan garisannya adalah dunia, persimpangan jalannya adalah kematian dan penamat destinasinya adalah akhirat. Ambillah keberkatan wahyu Ilahi sebelum tiba masanya KITA dan DUNIA ini…. menemui ajalnya sendiri.

****************

17 September 2012 (Isnin)/ 1 Zulkaedah 1433H/ 1530 petang – Sarikei, Sarawak

AKU….. engkau dan dunia ini, selalu ada kenangan yang tersimpan dalam album ingatan. Kita sering mahukan hari yang cerah, indah dan segar. Tetapi Allah Maha Mengetahui. Hakikatnya hujan perlu diturunkan agar kita menyedari tidak semua keindahan itu milik kita. Kita sering inginkan kesenangan, jauh sekali kesusahan. Tetapi kesusahan itulah yang mengajar kita erti kekuatan dan ketabahan agar kita lebih beriman dan bertakwa kepada-NYA.

– SITI FATIMAH AHMAD –

****************

SIAPAPUN DIRIMU…. TIDAK PERNAH MEMBUAT AKU BERPALING PADA YANG LAIN

 

9 thoughts on “CT127. KEBERKATAN HILANG BILA DUNIA DIJULANG

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    MEWANGI BUNGA DUNIA oleh TAZAKKA… semoga kita selalu berhati-hati dalam menjalani hidup ini. Dunia adalah wadah kebaikan dan kejahatan untuk mendidik kita menjadi MANUSIA SEBENAR MANUSIA. Hargailah hari yang hadir sekarang ini., Jangan menunggu hari esok kerana belum pasti tibanya.

    Dedikasiku Untukmu… Jadikanlah hidup ini seharum kasturi agar dirimu dapat mengharumkan sesiapa sahaja yang bersamamu. Percayalah, dirimu selalu harum di hati dan mekar di ingatanku. Didoakan bahagia dan senyum selalu.

    Wassalaam. 😀

  2. subhanallah.. radhiitu billahi robbaa wabil islami diinaa wabi muhammadin nabiya warasulaa..

    mudahan aku bisa mecintai Allah sepenuh jiwa dan raga….

    salam hangat.. terimakasih atas pencerahannya..

    • Aamiin Ya Rabbal’alamiin..

      Subhanallah, semoga hasrat menjadi muslimah solehah yang mencintai Allah dan Rasul-NYA akan ditetapkan Allah dan diganjari dengan pahala yang besar. Saya juga demikian sama mbak. 😀

      Terima kasih untuk kunjungannya.
      Salam hangat kembali. 😀

  3. Pingback: Material Paling Ringan Di Dunia | ambangbatas

    • Tetapi ramai yang tidak mengambil kesempatan dalam beberapa minit ini hanya kerana cintakan dunia dan menginginkan isinya seolah-olah tiada hari abadi di sana nanti.

      Beruntung mereka yang menjadikan Allah itu Tuhannya, Rasulullah itu, nabinya dan Islam itu agamanya. Semoga kita berada dalam kalangan mereka yang beruntung.

      Terima kasih Nedi.
      Salam sejahtera. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.