CT305. ZIARAH MAKKAH (1): PERJALANAN KE JABAL THUR

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

ZMakkah1Fatima1JabalThur

*

ZIARAH MAKKAH BERSIRI

*
Catatan perjalanan dan pengalaman ZIARAH MAKKAH yang saya dan SPH lalui di Makkah akan berlangsung dalam beberapa postingan. Ziarah Makkah lebih kepada ziarah luar bandar Makkah.

Ia merupakan lawatan ke beberapa tempat bersejarah dan tempat berlangsungnya pekerjaan haji. Ziarah Makkah merupakan pakej luaran yang bukan termasuk di dalam pakej haji.

Kita mesti mengeluarkan wang saku sendiri untuk membayar perkhidmatan pihak yang mengadakan Ziarah Makkah ini. Harganya tidak mahal iaitu hanya SR 25 selama 5 jam perjalanan menaiki bas pelancung yang disertai oleh seorang Muzawwir (pemandu pelancung)
*
Dengan harga RS 25 kita akan dibawa ke beberapa tempat seperti Jabal Thur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina dan Jabal Nur. Namun tidak semua tempat tersebut dilawati dengan “sesungguhnya” kerana kesempitan waktu terutama Jabal Thur dan Jabal Nur yang hanya dapat dilihat dari jarak yang jauh. Rasanya seperti kena tipu sahaja. Sabarlah wahai hati.
*
Mengakhiri Ziarah Makkah, kami dibawa ke Masjid Ja’aranah untuk berniat Umrah (Sunat) sebelum kembali ke hotel Sevilla Barakat di Bandar Makkah. Hanya SPH sahaja yang melakukan Umrah kerana saya masih dalam keadaan uzur syar’ie.
*
Selain Ziarah Makkah terdapat dua lagi Ziarah lain iaitu Ziarah Hudaibiyyah dan Ziarah Jeddah. Sayangnya, saya dan SPH tidak sempat mengikuti Ziarah Hudaibiyyah kerana menyangka Ziarah ini akan dapat diikuti selepas pulang dari Mina. Rupanya Ziarah Hudaibiyyah hanya dilakukan sebelum Hari Wukuf.
*
Alhamdulillah, kami berkesempatan mengikuti Ziarah Jeddah sebelum pulang ke Malaysia. Sebelum Ziarah Jeddah, telah berlaku kekecohan tentang lokasi terakhir di Jeddah yang menjadi kegelisahan kepada jemaah haji untuk ke sana.
*
Akan saya tulis di kemudian hari berkaitan kekecohan oleh mereka yang tidak berilmu sehingga menyebabkan ramai yang resah dan menarik diri dari Ziarah Jeddah ini.
*
*
ZMakkah1Fatima2NotisZiarah
 
*
Notis iklan Ziarah Makkah yang saya ambil di atas meja pihak penganjur di lobi Hotel Sevilla Barakat

*

JANJI “MELAYU”

Perjalanan yang dijanjikan berangkat pada pukul 7.00 pagi (waktu Makkah) sudah berlalu 20 minit. Kami menunggu dengan resah dan memaksa diri untuk bersabar. Terdapat beberapa jemaah yang tidak menepati masa. Ada yang sudah bising dan merungut dengan berkata “perangai di kampung masih lagi terbawa-bawa ke Tanah Suci”.

Saya dan SPH datang awal dan mengambil tempat duduk di baris ketiga hadapan sebelah kiri pemandu. Kami ditetapkan nama di dalam bas nombor 9. Nampaknya dalam Ziarah Makkah ini, saya dan SPH satu bas pula dengan Kak Kasma dan Pak Den. 

Setelah pasti semua ahli rombongan memenuhi bas, Muzawwir bas kami, Ustaz Sabri merupakan pelajar Malaysia dari Universiti Madinah berasal dari Terengganu mulai berkomunikasi dengan pemandu bas dalam bahasa Arab agar bas bergerak menuju destinasi.

Jam di tangan menunjukkan pukul 7.35 minit. Bas berangkat lewat 35 minit dari masa yang dijadualkan. Saya menarik nafas dalam-dalam, kesal dengan 3 jemaah yang “mungkir janji”. Selamba sahaja wajah mereka menaiki bas sambil ketawa tanpa meminta maaf kepada ahli rombongan di dalam bas. Ingatkan orang tua, masih muda lagi mungkin sebaya dengan saya.

Saya merungut sendirian sambil berbisik geram kepada SPH, “janji Melayu masih ada lagi di bumi Hijjaz ini, menyusahkan orang lain.” SPH membalas, “Banyakkan bersabar.” Aku mencebik bibir mendengar perkataan sabar itu.

Menurut Rasulullah SAW, orang sebegini sudah dianggap MUNAFIK kerana tidak menepati janji dan masa yang ditetapkan.

*

ZMakkah1Fatima3Muzawwir09

Muzawwir (pemandu pelancung) kami, Ustaz Sabri sedang memberi taklimat perjalanan Ziarah Makkah kepada ahli rombongan. Kesalnya, beliau tidak menegur jemaah yang tidak menepati masa tadi. Sedangkan beliau boleh berbuat demikian sebagai peringatan kepada semua ahli rombongan agar tidak mengulangi hal yang sama di masa akan datang.

*

ZMakkah1Fatima4PasZiarah

Setiap ahli rombongan diberi sekeping Pas Masuk Makkah Al-Mukarramah untuk digantung dileher sepanjang Ziarah berlangsung. Tali pas ini mempunyai warna yang berlainan antara satu bas dengan bas yang lain. Untuk bas no.9, tali pas masuk kami berwarna MERAH

*

SAHUTAN “HON”

Hati yang sedang “sakit” kerana lambat berangkat dari jadual yang ditetapkan kian pulih apabila bas mulai perlahan-lahan menuju jantung kota Makkah sebelum menyusur keluar bandar. Jalanraya sangat sibuk dengan pelbagai kenderaan bersama bunyi hon yang tidak kunjung padam.

Kenapa orang Arab suka membunyikan hon ? Pengalaman di Madinah juga sama. Bunyi hon ada di mana-mana. Bingit telinga ini mendengar bunyi hon yang bersahut-sahutan seolah-olah menggambarkan sikap kurang sabar pemandunya dan seakan sudah sebati dalam budaya hidup mereka.

Satu pemandangan yang “luar biasa” walaupun di Malaysia juga terdengar pemandu membunyikan hon tetapi tidaklah seperti keadaan yang sedang saya lalui di Tanah Hijjaz yang suci ini.

Berbeza dengan penduduk negara Brunei Darul Salaam. Sepanjang berada di jalanraya negara tersebut, tidak pernah saya mendengar sepincing pun bunyi hon walau dalam keadaan sesak. Penduduknya sangat tertib mematuhi undang-undang. Kami sekeluarga berasa sangat aman dan selamat selama melancung di negara Brunei.

*

ZMakkah1Fatima5PanoramaMakkah

*

Pemandangn Kota Makkah di siang hari. Kesibukan ada di mana-mana dengan kenderaan yang tidak pernah putus dan jalanraya yang tidak pernah lengang kecuali apabila kita sudah keluar dari suasana kotanya.

Kota Makkah sedang di majukan dengan bangunan-bangunan baru banyak dibina. Mungkin hotel-hotel baru untuk menampung jumlah jemaah haji dan umrah yang semakin ramai setiap tahun. Bentuk bangunannya tetap sama seakan kotak tetapi dimodenkan bentuknya. Warna cat bangunan juga tidak lari dari warna pudar yang tidak menyilau mata.

*

ZMakkah1Fatima7Terowong

*

Setelah keluar dari kesibukan jantung Kota Makkah, bas kami mulai memasuki kawasan terowong batu konkrit yang menghala ke pinggir Kota Makkah. Banyak bukit-bukit batu yang sudah ditebuk untuk dibina terowong bagi menyingkatkan perjalanan ke satu-satu tempat. Masih banyak lagi bukit yang bakal menjadi “mangsa” dan sedang dalam proses.

Pemandangan di dalam terowong yang ada kalanya mengambil masa beberapa minit, tetap memberi debaran tersendiri di hati saya yang tidak menyukai suasana demikian. Mengingatkan saya kepada peristiwa musibah “Terowong Muassem” di Mina pada tahun 1970-an. Ngeri jika tiba-tiba berlaku kepada kami. Wal’iyazubillah.

*

ZMakkah1Fatima6LanskapMakkah

*

Kami sudah keluar dari kesibukan bandar Makkah melalui terowong penghubung bandar dan pinggir bandar. Sekarang kami berada di pinggir Kota Makkah. Pokok lanskap menghijau pemandangan jalanraya utama yang membawa kami ke luar Kota Makkah. Pokok-pokok yang tidak diketahui namanya dibentuk dengan gaya yang menarik.

Lanskap tersusun cantik, kemas dan bersistem. Tidak banyak pokok berbunga ditanam, malah jarang bertemu pokok berbunga. Mungkin keadaan cuaca dan suhu yang sentiasa panas menyebabkan pokok berbunga kurang sesuai untuk dijadikan hiasan.

Malahan pokok-pokok hijau yang ditanam itu mempunyai saluran air yang menyembur pada akar pokok agar sentiasa basah. Tentu sekali menghasilkan dedaun yang rimbun dan hijau. Namun di beberapa tempat, ada pokok renek yang sudah coklat dan luruh dedaunnya. Saya sangat suka melihat pohon-pohon ini sehingga banyak foto diambil.

*

KECEWA

Bas kami menuju ke Selatan Kota Makkah di mana terletaknya Jabal Thur atau Gunung Lembu Jantan yang menjadi destinasi pertama ziarah kami.

Ingatkan kami di bawa betul-betul di kaki Gunung Thur, rupanya bas berhenti di satu kawasan yang tidak dikenali namanya. Terdapat dinding kukuh seakan tembok sepanjang kawasan tersebut. Terlalu jauh dari Gunung Thur walaupun kelihatan tempat itu sebagai pusat pelancungan kerana banyak bas berhenti di kawasan ini.

Saya dan SPH, mungkin juga ramai jemaah lain yang menganggap kami akan dibawa sekurang-kurangnya di kaki Jabal Thur. Rupanya…… ahhh rasa kecewa bertandang di hati. Rasa seperti ditipu sahaja sedangkan iklan notis yang dibaca menunjukkan tempat-tempat bersejarah yang dilawati.

*

ZMakkah1Fatima8TaklimatMuwazzir

Taklimat tentang Jabal Thur dari Ustaz Sabri sebaik kami turun dari bas. Tidak banyak yang ditaklimatkan kerana para jemaah sibuk dengan aktiviti masing-masing. Kami diingatkan hanya 30 minit berada di sini sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi kedua dan ketiga.

*

BacaFatima10JualMajalahMakkah

Sebaik kami turun dari bas, anak muda penjual majalah ini sibuk memberi paksa majalah kepada para pelawat untuk dilihat dan dibeli. Harganya RS 10 senaskhah.

*

*

SEBUAH PERJALANAN “HIJRAH”

Kami hanya menatap Jabal Thur dari jauh. Saya dan SPH mengambil foto dengan men”zoom” jarak untuk memperolehi foto yang dekat dari sebelah tembok tinggi yang menghalang pemandangan.

Sejarah hijrah sentiasa disebut-sebut kerana pentingnya peristiwa itu kepada transformasi dakwah yang dibawa Rasulullah SAW di awal perkembangan Islam hingga Islam berkembang ke seluruh dunia jagat.

*

HIJRAH RASULULLAH 1

*

Jabal Thur terletak 5 batu berjalan kaki dari Kota Makkah. Ia menjadi tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a selama 3 malam (Jumaat, Sabtu dan Ahad) sebelum meneruskan perjalanan hijrah ke Kota Yathrib (Madinah al-Munawwarah).

Terbayang di ruang mata, bagaimana melecetnya kaki mulia Rasulullah SAW saat mendaki hingga ke puncak gunung kerana batu kekar yang sukar dilalui. Lalu Abu Bakar r.a memapah Baginda SAW dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak gunung tersebut.

Jiwa saya tiba-tiba rasa tertekan dan nyeri mengenangkan kesakitan dan keperitan yang ditanggung Rasulullah SAW dalam perjalanan yang jauh sambil berjalan kaki di waktu malam. Rasa bimbang tetap menguliti hati Rasulullah SAW atas kesungguhan pihak kafir Quraisy yang berniat untuk membunuh Baginda sehingga perlu mencari tempat perlindungan.

Saya tidak berniat untuk menceritakan sejarah penghijrahan Rasulullah SAW dan peristiwa di Gua Thur di dalam posting ini. Saya dengan senang hatinya merujuk ke LAMAN INI untuk bacaan lanjut jika anda ingin mengetahui kronologi lengkap peritiwa hijrah Rasulullah SAW. Silakan. 🙂

*

ZMakkah1Fatima9JabalThur

*

ZMakkah1Fatima10LembuJantan

Jabal Thur yang masih kukuh hingga ke hari ini. Di atas puncak gunung Lembu Jantan itu, Abu Bakar menemui sebuah gua yang sempit untuk mereka bermalam selama 3 hari.

*

HIJRAH GUA THUR2

*

gua_thur

Beginilah Gua Thur di Jabal Thur tempat persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a selama 3 malam. – sumber Google

*

ZMakkah1Fatima11MelihatJabalThur

Para pelawat melihat Jabal Thur dari jauh

*

ZMakkah1Fatima12NaikUnta

Tidak menyangka di kawasan ini ada unta yang dihias cantik. Seorang pelawat hajjah sedang menaiki unta yang hanya duduk setempat, tidak berjalan sambil mengambil gambar. Bayarannya RS10. Mahal juga. Saya lihat hajjah ini hanya menaikinya beberapa minit sahaja. Tidak sepadan dengan harga atau mungkin beliau takut berada di atas unta terlalu lama.

*

PERJALANAN SETERUSNYA

30 minit telah berlalu. Kami di panggil oleh Muzawwir untuk naik ke dalam bas bagi meneruskan perjalanan ke destinasi kedua dan ketiga itu Padang Arafah dan Jabal Rahmah.

Sepanjang 30 minit di kawasan ini, hanya tiga perkara yang saya perolehi iaitu menatap Gunung Lembu Jantan yang gagah nun jauh meninggi awan dan sudah pasti tidak tercapai tangan. Selain itu, melihat anak muda menjual majalah bergambar Panorama Makkah dan Madinah juga menyaksikan seorang pelawat menaiki unta.

Bas kami berangkat perlahan menuju destinasi seterusnya. Rasa tidak sabar untuk melihat panorama Padang Arafah yang belum didirikan khemah. Tentu nampak luas. Begitu juga dengan Jabal Rahmah.

Saya memasang angan-angan untuk mengajak SPH mendaki Jabal Rahmah, tempat pertemuan antara Nabi Adam a.s dan Siti Hawa. Saya hanya ingin tahu apa yang ada di sana dan melihat panorama kawasan sekitar dari puncak tinggi di Jabal Rahmah.

Semasa dalam perjalanan ke Jabal Rahmah, kami melintasi rel keretapi elektrik Makkah Metro yang sudah mulai beroperasi pada tahun 2010. Makkah Metro ini dibina untuk membawa jemaah haji dari Arafah ke Muzdalifah dan ke Mina.

Saya benar-benar terperanjat mengetahui tentang kereta api ini. Tidak menyangka di padang pasir ada kereta api. Hmmm… tertinggal maklumat lagi.

*

ZMakkah1Fatima13RelMeccaMetro

*

Dimaklumkan musim haji tahun 2011, hanya penduduk Makkah sahaja dibenar menggunakan perkhidmatan Makkah Metro sebagai tujuan percubaan. Alhamdulillah, kini perkhidmatan keretapi ini sudah diperluaskan untuk kegunaan jemaah haji yang lain.

Untuk mengakhiri posting ini, mari kita lihat dokumentasi tujuan pembinaan Mecca Metro Train.

*

MECCA METRO TRAIN

*

*

bunga

*

***************

SalamFatima3SalamFatima19 Disember 2014 (Jumaat)/ 26 Safar 1436H/ 2.15 petang, Sarikei, Sarawak

AKU…. mengerti tentang diriku dan keinginanku dalam kehidupan ini. Aku berusaha menyelami tujuan penciptaanku di alam fana. Sesungguhnya tidak mudah untuk menjadi manusia jika hanya nafsu dan akal membuai segala rasa tanpa iman menjadi bekal menempuh gelora. Ya Allah, jangan jadikan dunia ini kecintaanku. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… Terima kasih. Tidak mampu untuk ku ukir rasa bahagia yang menyerlah seluruh hatiku kecuali riak senyum yang tidak pernah lekang menghiasi wajah untuk ku kenang segala kasih dan sayangmu. Hanya doa untukmu menemani dalam tahajjud cintaku. Aamiin. Wassalam. 🙂

*

RinduFatima4PelangiHatiku

*

HANYA SENYUM YANG MAMPU KU SIMPAN UNTUKMU

*

*

12 thoughts on “CT305. ZIARAH MAKKAH (1): PERJALANAN KE JABAL THUR

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Monda…

      Iya, Kota Modern yang bakal menghilangkan banyak khazanah silam secara sedikit demi sedikit sehingga nantinya tidak ada bezanya dengan kota modern di negara lain.

      Terima kasih mbak Monda dan salam manis selalu. 🙂

  1. Assalammualaikum wr wb.

    Sebagai kota yang memiliki catatan sejarah besar agama Islam, Makkah memiliki daya tarik tersendiri bagi umat Islam, namun sangat disayangakn bila perubahan modern bisa meghilangkan jejak-jejak sejarah bernilai besar ya bun ? tidak ada rubahnya dengan kota modern yang lain jadinya nanti.

    Salam

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra Kusuma….
      Pembangunan moden kian giat berlaku di negara-negara Arab kerana sikap pemimpinnya yang berlumba-lumba cuba menandingi Barat. Oleh itu, tidak terlepas juga Kota Makkah dan Madinah dengan beralasan untuk kemudahan umat Islam sedunia.

      Mudahan jika nantinya khazanah Islam semakin pupus, sejarahnya tetap mengesan di jiwa sebagai pengajaran umat terkemudian.

      Terima kasih dan salam hormat. 🙂

  2. Assalamualaikum wr wb
    Bunda
    Alhamdulillah baru tau kalo penampakan gua Thur tempat persembunyian Rasulullah seperti demikian. Asal main dan membaca artikel bunda disini selalu dapat informasi bermanfaat seputar kota mekah dan pelaksanaan ibadah haji 🙂
    Terima ksh ya bunda sudah berbagi
    Salam 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Purnomo Jr….

      Gua persembunyian yang banyak memberi pengajaran dan sejarah iman buat umat Islam akhir zaman. Tidak terbayang Baginda SAW dan Abu Bakar r.a dalam kegelapan gua yang sempit itu.

      Terima kasih kembali dan salam sejahtera. 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, nanda disayangi…

      Insya Allah, Umi doakan Neni akan sampai ke sana suatu hari nanti. Banyakkan berdoa dan berusaha. Mudahan niat yang baik akan mendapat balasan yang baik. Aamiin.

      Terima kasih berkunjung lagi menyapa Umi. Hati Umi rasa bahagia sekali, anak solehah Umi sudah ke sisi Umi lagi. Ayuh, menulis lagi. Sudah lama tidak menukilkan ilmu untuk kongsian bersama. Apa masih malaaaaaas ni. 😀

      Salam semanis kurma dari Umi. 🙂

  3. assalaamu’alaikumuwarohmatulloh wa barokaatuh Mbak Siti 😀 | masih ingat saya? saya Kaze, sudah lama tidak bloging dan sekarang saya coba bloging + mampir ke blognya mbak 😀 | wah kisahnya tentang di makkah terus ya, semoga saya pun bisa segera kesana dan menunaikan ibadah haji, aamiin 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kaze Kate….

      Alhamdulillah, masih ingat dan dengan senang hati menerima kunjungan yang sudah lama tidak didengari khabar beritanya. Mudahan sentiasa sihat dalam rahmat Allah SWT.

      Terima kasih sudi berkunjung lagi dan mudahan ada manfaat untuk dijadikan panduan dan pengetahuan apabila akan ke Tanah Suci nanti. Saya doakan Kaze diberi kesempatan untuk ke sana. Aamiin.

      Salam sejahtera dan selamat tahun baru 2015. 🙂

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.