CT299. TETAMU BULANAN MAKKAH (3): MENGHITUNG PINTU MASJIDIL HARAM

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

PintuFatima1HitungPintuAlHaram

*

CABARAN

SEMINGGU PULANG DARI MINA. Sedang saya dan SPH menikmati sarapan pagi dengan minuman milo dan nescafe, mee segera, roti kosong mini yang disapu dengan  coklat Nutella dan planta di hadapan bilik saya, 0927, muncul Pak Den dengan suara riuh rendahnya menghampiri kami.

Wajah beliau sangat ceria, penuh semangat dan sentiasa ramah. Setelah memberi salam beliau berkata: “Tahukah kamu berdua berapakah jumlah pintu Masjidil Haram ?” tanya Pak Den.

Saya dan SPH saling berpandangan dan berbalas senyum kerana tiba-tiba sahaja diajukan dengan soalan yang tidak ada hujung pangkalnya.

“Tidak tahu,” jawab SPH dan saya serentak. “Aku baru balik dari Masjidil Haram dan telah menghitung jumlah pintu Masjidil Haram. Jumlahnya adalah 94 pintu.” jelas Pak Den dengan bangganya.

“Masya Allah, bagusnya Pak Den, sempat lagi menghitung pintu Masjidil Haram. Betulkah hitungan Pak Den itu ?”  tanya saya seakan meragui apa yang dimaklumkan.

Ketawa Pak Den memenuhi ruang laluan bilik Sayap Kanan Tingkat 9 Hotel Sevilla Barakat. Beberapa jiran bilik lain yang duduk bersarapan sama di laluan tersebut turut tertarik mendengar cerita Pak Den.

“Benar, kalau tidak percaya cuba hitung semula. Aku pasti memang 94 pintu.” balas Pak Den sambil menekan suaranya untuk meyakinkan saya.

“Insya Allah, ada masa nanti, kami akan menghitungnya pula dan akan maklumkan kepada Pak Den hitungan kami.” jawab saya bagai menerima cabaran dari Pak Den untuk membenarkan hitungan beliau. 😀

*

SEKADAR ZIARAH

MENGHITUNG PINTU MASJIDIL HARAM tidak pernah terlintas di hati saya sebelum ini. Idea melakukan aktiviti ini muncul setelah “dicabar” oleh Pak Den. Saya sangat berminat untuk membuat penelitian berkaitan pintu-pintu yang dibina untuk memasuki Rumah Allah yang mulia.

5 hari setelah saya didatangi haid kali pertama pada 19 Oktober 2011, saya mengajak SPH untuk mengelilingi bahagian luar Masjidil Haram sebagai ziarah dalaman setelah kami Ziarah Makkah (luar) bagi melihat secara dekat pembangunan yang berlaku di sekitar Masjidil Haram.

Langsung tidak terfikir untuk membuat penelitian bagi menghitung pintu-pintu yang memasuki arah Masjidil Haram. Ketika itu, saya tertanya-tanya juga kenapa ada pintu-pintu yang tidak bernombor. Namun dibiarkan begitu sahaja kerana tidak berminat untuk mengetahuinya.

Rasa penat berjalan sekadar bersiar-siar menikmati pemandangan dan keindahan persekitaran luar Masjidi Haram tanpa ada tujuan khusus menjadikan idea menghitung pintu Masjidil Haram tidak pernah muncul di benak fikiran saya.

*

PintuFatima9GateNo.1AlMalikAb.Aziz

Inilah garis permulaan misi dijalankan dari Pintu Utama No. 1 (Bangunan Lama), al-Malik Abdul Aziz.

*

TERUJA

Saya didatangi haid buat kali kedua pada 14 November 2011, setelah beberapa hari pulang dari Mina. Oleh kerana, tidak mempunyai aktiviti menarik, maklumat dari Pak Den telah menimbulkan rasa teruja di hati saya untuk memastikan kebenaran hitungan tersebut. SPH tidak keberatan untuk menemani saya bagi mencapai misi dan visi tersebut.

Dengan kehadiran “tetamu bulanan” ini, menghitung jumlah pintu masuk (dari luar) Masjidil Haram dianggap aktiviti paling praktis dilakukan. Aktiviti ini sangat menarik dan secara tidak langsung memberi banyak pengajaran kepada kami ketika bertemu dengan pelbagai karenah manusia dan kejadian yang menyentuh hati.

Selain itu, saya juga dapat menghilang rasa rindu dengan mengintai-gintai Baitullah dari celah pintu masuk ke Masjidil Haram yang paling dekat dan lurus menghadap Kaabah iaitu Pintu Utama no. 62, Al Umrah. Dari pintu ini, bangunan Kaabah sangat jelas ditatap mata.

Saya berdiri menghadap Kaabah beberapa minit sambil menunggu SPH mengambil foto. Saya membaca doa dan berharap akan dapat menghampiri Kaabah untuk memegang dan bersujud di hadapannya, memasuki Hijr Ismail dan mencium Hajarul Aswad.

Inilah doa yang saya sebut setiap hari selama baki masa kami berada di Makkah. Saya dan SPH belum pernah dapat berbuat demikian dek kerana terlalu ramainya manusia yang berhimpit-himpit di kawasan tersebut. Harapan tetap menggunung di hati sebelum pulang ke Tanah Air.

Alhamdulillah, doa itu akhirnya dimakbulkan Allah SWT pada hari terakhir saya dan SPH akan berangkat ke Jeddah untuk pulang ke Tanah Air. Kami merasa diraikan Allah SWT sebagai TETAMU YANG PALING ISTIMEWA. Kepulangan kami dihadiahkan dengan perkenan doa.  Peristiwa indah ini akan saya tulis dalam posting tersendiri.

*

PintuFatima5DataranAlHaram

Dataran Masjidil Haram dari Pintu Utama No. 79 – AlMalik Fahd Abdul Aziz

 *

MISI BERMULA

Misi yang mempunyai visi khusus untuk “menakluki” pintu-pintu masuk ke Masjidil Haram kami mulai pada jam 9.28 pagi waktu Makkah, sebaik menjejak kaki ke Dataran Masjidil Haram yang dihampari dengan batu jubin putih untuk memantul kehangatan cahaya mentari.

Kami harus menapak jauh lagi ke hadapan dari Pintu Utama No.79 untuk menjejak Pintu Utama No. 1. sebagai garis permulaan misi yang hendak dijayakan. Walaupun keluasan Masjidil Haram (2011 – belum lagi diluaskan pembangunannya) dianggarkan hampir 400,000 meter persegi, namun semangat saya dan SPH tidak pernah luntur.

Untuk mengetahui pintu-pintu utama Masjidil Haram sangat mudah. Pintu Utama mempunyai tiga gerbang tinggi dan tiga pintu besar, di atasnya tersergam dua menara tinggi yang menjulang langit. terdapat EMPAT PINTU UTAMA memasuki Masjidil Haram iaitu Pintu No. 1 – AlMalik Abdul Aziz, Pintu No. 45 – AlFatah, Pintu No. 62 – AlUmrah dan Pintu Utama (Baru) No. 79 – AlMalik Fahd Abdul Aziz.

*

PintuFatima7MainGate79Siang

PintuFatima8MainGate79Malam

Di sini, misi “menakluk” pintu -pintu misteri al-Haram akan dijalankan. Foto Pintu Utama no.79 di waktu malam sangat indah dengan pantulan cahaya gemerlapan.

*

PintuFatima11PerasmianPintuNo.79

Batu Asas Perasmian Bangunan Baru (tambahan) Masjidil Haram berhampiran pintu utama No. 79 pada 27 Mei 1989 oleh al-Malik Fahd Abdul Aziz

*

PintuFatima14MainGateNo.45AlFatah

Pintu Utama No. 45 – AlFatah

*

PintuFatima15MainGateNo.62Umrah

Pintu Utama No. 62 – AlUmrah

*

MENGUJI DAN DIUJI

Ternyata pencarian ini bukan mudah kerana terdapat cabaran yang harus ditempuh dengan sabar dan tenang. Antaranya, jika tidak hati-hati dan perihatin pasti ada nombor pintu yang tertinggal. Apabila kami tidak menjumpainya, kami akan bertanya kepada “penjaga-penjaga” pintu yang duduk bertugas di pintu-pintu masuk Masjidil Haram.

Awalnya SPH tidak setuju apabila saya mencadangkan untuk bertanya kepada penjaga pintu Masjidil Haram. Lebih baik cari sendiri. Tetapi saya mempunyai objektif khusus iaitu untuk menguji dan mengenalpasti penjaga yang akan memberi kerjasama dalam mencapai misi ini.

Selain itu, saya ingin menguji sejauhmana tahap layanan yang bakal kami terima sebagai “Tetamu” Allah ketika bertanya itu ini kepada mereka yang bertugas di Rumah Suci yang mulia.

Ternyata objektif itu berjaya. Terdapat beberapa orang penjaga pintu yang tidak memberi kerjasama seperti tidak mempedulikan pertanyaan kami, meninggikan suara, memalingkan wajah tanpa memberi respon. Ada riak angkuh di wajah mereka. Astaghfirullah, hanya zikir itu memenuhi hati agar bersikap sabar.

Pernah SPH dijawab dengan suara yang tinggi dan kasar. Saya mendengar dengan hati geram dan terasa ingin membalas, tetapi tetap disabarkan kerana saya juga sedang diuji Allah. Kami berlapang dada dan hanya ketawa sesudah itu melihat reaksi yang ditunjukkan. Kami cuba bersangka baik dan menerima dengan redha.

Alhamdulillah, dari jumlah yang tidak bekerjasama itu masih ramai penjaga pintu Masjidil Haram yang ramah tamah, bertimbang rasa dan senang menunjuk arah. Hati yang terguris tadi menjadi tenang kembali dan kami mendapat maklumat seperti yang dikehendaki.

*

PintuFatima10PintuNo.9Hunain

Pintu Hunain No.9. Kelihatan penjaga pintu ini memakai kain sal berwarna meran berigal di kepalanya. Di bahagian dalam pintu kelihatan dua pegawai polis Arab Saudi juga berjaga di pintu ini.

*

 MISI SANTAI

Sebelum misi dijalankan, saya dan SPH sepakat untuk berjalan santai sambil mencari setiap ruang pintu yang bernombor dan tidak bernombor dari luar Masjid. Kami mahu menikmati panorama bangunan Masjidil Haram dari luar dengan harmoni dan gembira. Tidak perlu tergopoh gapah.

Malah, jika ada yang peka dengan aktiviti kami berdua, mereka tentu hairan melihat tingkah laku kami yang berjalan ke hulu ke hilir saat mencari nombor pintu bagi memastikan nombor itu berurutan.  Jika tidak dijumpai nombor tersebut, kami akan bertanya kepada penjaga pintu atau kami mencarinya sendiri.

Saya dan SPH sangat sibuk sekali dengan tugasan kami. kami lakukan dengan penuh semangat tanpa rasa jemu. Jika nombor tersebut tidak ada di tingkat bawah kami akan mencari di tingkat atas dengan menaiki tangga, tangga eskalator atau jambatan di mana nombor-nombor pintu tersebut dicatat di sana.

*

PintuFatima12TanpaNombordannama

*

PintuFatima13BaabusSalaam

*

BUKTI CATATAN FATIMA

Sebagai penyelidik dan pengkaji utama, berbekalkan “Small Oblong Book” berukuran 168mm x 108mm sebanyak 300 halaman, saya mencatat setiap nombor dan nama pintu-pintu yang kami temui.

Riuh rendah suara saya dan SPH menyebut nombor pintu yang dijumpai. Gembira tidak terkira seperti sedang melakukan aktiviti mencari harta karun. 😀

Saya membuat inisiatif dengan catatan ini untuk dijadikan kenangan dan dikongsikan seperti yang saya lakukan hari ini bersama teman pembaca LMGS G2. Catatan ini (lihat foto di bawah) merupakan simpanan peribadi yang indah untuk diabadikan dalam sebuah cerita.

Tidak dapat saya bayangkan betapa seronoknya melakukan aktiviti “penyelidikan” dan “pengkajian” menjejak jumlah pintu masuk ke Masjidil Haram bersama SPH yang turut menunjukkan rasa teruja membantu saya merealisasikan “impian” saya.

 

*

PintuFatima2AlHaram1

Nama-nama Pintu Masjidil Haram atau lebih dikenali dengan panggilan AL-HARAM. Pintu nombor 1 dan 2 ada nama. Pintu nombor 3 dan 4 tidak ada nama. Pintu nomboer 5 hingga 10, ada nama. Sedangkan pintu nombor 11 hingga 19, tidak ada nama.

*

PintuFatima3AlHaram2

Pintu nombor 20 hingga 44, tidak ada nama. Pintu nombor 45 ada nama. Pintu nombor 46 hingga 48, tidak ada nama. Pintu nombor 49 hingga 57, ada nama.

*

PintuFatima4AlHaram3

Pintu nombor 58 hingga 63, ada nama. Pintu nombor 64, tidak ada nama. Pintu nombor 65 dan 66, ada nama. Pintu 67 hingga 74, tidak ada nama. Tetapi pintu 68 dan 70 ada ditulis KHAS UNTUK WANITA. 

Pintu nombor 75 hingga 83, ada nama. Pintu nombor 84 hingga 90, tidak ada nama. Pintu nombor 91 dan 92 ada nama. Pintu nombor 94, tidak ada nama. PINTU TERAKHIR adalah nombor 95 BUKAN 94 seperti yang dimaklumkan oleh Pak Den.

*

MISI BERAKHIR

PINTU NOMBOR 95, ramai tidak diketahui orang kerana ia terletak di atas tempat bertangga dan sedikit tersorok. SPH telah menjumpai pintu nombor 95 ini. Awalnya kami yakin jumlah pintu Masjidil Haram adalah 94 buah juga. Tahniah SPH kerana sangat teliti dalam hitungan ini.

Pintu no. 95 hanya bersebelahan dengan Pintu No. 1, tempat permulaan saya dan SPH  menghitung pintu Masjidil Haram. Ia merupakan garis penamat pintu-pintu tersebut. TERBUKTI bahawa jumlah pintu yang dihitung Pak Den sebanyak 94 itu adalah kurang tepat.

Ketika kami memaklumkan jumlah yang kami jumpa, Pak Den terkejut kerana tidak menyangka ada satu lagi pintu yang tersorok di tingkat atas. Sayangnya, kami tidak terfikir untuk mengambil gambar pintu terakhir itu.

Aktiviti yang sihat dan cergas ini mengambil masa 1 jam 15 minit benar-benar memuaskan hati kami. Ia satu riadah yang patut diraikan oleh pasangan suami isteri untuk merapatkan hubungan dan memupuk kerjasama yang erat.

Misi menjejak pintu-pintu luar sebelum memasuki bangunan Masjidil Haram berakhir dengan rasminya pada jam 10.40 pagi (waktu Makkah).

*

PintuFatima17Pintu91eskalator

Salah satu pintu yang mempunyai tangga eskalator yang sering saya dan SPH gunakan untuk naik ketingkat 2 Masjidil Haram.

*

PintuFatima18BawahTanah

Antara ruang bawah tanah yang juga menjadi tempat bersolat. Ruang ini terasa panas walaupun banyak kipas angin dipasang. Mungkin kerana keadaannya tertutup dan jauh ke dalam dari ruang udara terbuka menjadikan ruang ini lembab dan kita berpeluh selama berada di dalamnya.

*

FAEDAH DAN MANFAAT

Mungkin ada teman pembaca yang berfikir, apalah faedah dan manfaatnya saya dan SPH hendak bersusah payah menghitung jumlah pintu Masjidil Haram. Bukankah semua itu boleh dicari dalam buku atau maklumat di Google ?

Tidak ada panel juri atau hakim yang mengesahkan kebenaran pemerhatian saya dan SPH. Saya berusaha mencari maklumat tersebut melalui Google tetapi mengelirukan kerana jumlahnya tidak sama. Ada blogger (pernah ke Makkah) yang menulis jumlah pintu Masjidil Haram adalah 129 buah.

Namun kami yakin setelah mengelilingi sepenuhnya bangunan Masjidil Haram, jumlahnya adalah 95 buah pintu termasuk pintu-pintu yang tidak bernama dan bernombor. Apa yang jelas menurut pemerhatian saya, pintu-pintu tidak bernama dan tidak bernombor mempunyai identiti tersendiri.

Antara yang dikenal pasti adalah pintu-pintu Baabus Salaam, pintu-pintu dari Bangunan Saie, pintu-pintu yang sudah diroboh di bahagian Bukit Marwah untuk pembesaran dan pintu-pintu menuju bawah tanah yang merupakan tempat solat. Dari dalamnya kita boleh menaiki semula beberapa anak tangga yang menuju terus ke Dataran Kaabah.

Kami berpuas hati dapat melakukan sesuatu yang berfaedah selama satu jam 15 minit. Apakah faedah tersebut ? Kami telah disajikan Allah SWT dengan seribu satu cerita yang berlaku disekeliling kami sepanjang mengitari Masjidil Haram. Kami dapat belajar bersabar dan redha. Alhamdulillah.

*

PintuFatima6PintuUtamaAlHaram

*

JIKA ANDA KURANG PERCAYA DENGAN MAKLUMAT KAMI, LAKUKAN SENDIRI AKTIVITI INI.  PASTI ANDA AKAN MERASAI NIKMAT YANG SAMA SEPERTI KAMI. AKTIVTI INI BUKAN UNTUK MENCARI MENANG ATAU KALAH, TETAPI TERSEMBUNYI NIKMAT KASIH SAYANG SAAT MELALUINYA. SILAKAN. 🙂

*

bunga

*

***************

SalamFatima3SalamFatima19 November 2014 (Rabu)/ 25 Muharram 1436H/ 10.10 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. berharap tidak berputus asa setiap kali menghadapi kegagalan. Putus asa bukan jalan bijak bagi manusia sebijak kita yang dikurniakan akal, ilmu dan iman. Sebahagian besar kegagalan dapat diubah menjadi kejayaan asalkan kita sanggup bersabar seminit untuk mencubanya. Jika kita gagal lagi, itu menunjukkan kemahuan kita masih belum kuat. Gagal bukan penamat kehidupan.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU… orang yang berbudi bahasa selalu merasa tenang walau persekitarannya dipenuhi manusia yang buruk tingkah. Bersabarnya saat dirimu melaluinya kerana itulah cara Tuhan hendak meningkatkan darjatmu di sisi-NYA. Semoga dirimu dilindungi Allah di mana sahaja berada. Doaku selalu untukmu. Aamiin. Wassalam. 🙂

*

RinduFatimaku1YangMenyentuHati

*

13 thoughts on “CT299. TETAMU BULANAN MAKKAH (3): MENGHITUNG PINTU MASJIDIL HARAM

  1. Assalamualaikum ukhti Fatimah, pintu-pintu Masjidil Haram terkadang menjadi ujian bagi jamaah,,,, masuk pintu 1, keluar pintu lainnya hingga bila tak berserah diri kepada ALLAH SWT…bisa dipastikan jamaah tersebut akan kebingungan dan kemungkinan tersesat…..,
    salam takzim buat keluarga besar ukhti Fatimah…keep happy blogging always,,,salam dari Makassar Indonesia 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Hariyanto….

      Benar, ramai para hujjaj apabila masuk mana-mana pintu ke dalam Masjidil Haram akan sukar mencari pintu pertama yang mereka masuki. Akhirnya mereka tersesat dan tidak ingat di mana selipar atau kasut diletakkan. Saya pernah mengalami situasi tersebut di awal-awal kehadiran saya di Masjidil Haram.

      Yang penting ingatkan nombor-nombor pada TIANG MASJID dan NOMBOR PINTU. Insya Allah, setelah itu tidak akan sesat lagi.

      Terima kasih hadir berkunjung dan salam hormat. 🙂

  2. Assalammuallaikum wr.wb. kekuatan hati dan keteguhan niat bertaqwa hanya kepada_nya segala hal yang menghalangi kita beribadah dapat di tepiskan hanya demi Allah SWT
    aaaamiiiin….

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kang…
      Begitulah seharusnya yang dilakukan oleh orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tidak ada halangan apa pun yang boleh menyekat mereka daripada mendapat keredhaan Allah SWT.

      Terima kasih kang dan salam sejahtera. 🙂

  3. Waalaikumsalam Bunda Fatimah,
    Semua harus diniatkan atas nama Allah, pasrah tetapi juga harus yakin dalam melangkah melewati pintu Masjidil Haram. Jadi pengalaman bagi yang lain.

    • Insya Allah, panggilan Allah SWT melalui lidah Nabi Ibrahim a.as sudah lama diseru. Hanya kita yang harus menbanyakkan doa, mengusaha dana dan menyemat niat untuk ke sana, mudahan jemputan Allah SWT akan sampai juga di suatu hari nanti. 🙂

  4. Pingback: CT325. SEPANJANG JALAN KENANGAN…. SEVILLA KE MASJIDIL HARAM (1): JEJAK YANG HILANG | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  5. Nama-nama Pintu Gerbang Masjidil Haram
    1. Shafa
    2. Darul Arqom
    3. Ali
    4. Abbas
    5. Nabi
    6. Babussalam
    7. Bani Syaibah
    8. Huju
    9. Muddaa
    10. Maala
    11. Marwat
    12. Quraisy
    13. Afqodisiyah
    14. Oziz Thuwa
    15. Umar Abdul Aziz
    16. Murod
    17. Hudaibiyah
    18. Babussalam Jahid
    19. Garoroh
    20. Alfatah
    21. Faruq Umar
    22. Nadwah
    23. Syamsiah
    24. Al Qudus
    25. Umrah
    26. Madinah Munawarah
    27. Abu Bakar Shidiq
    28. Hijrah
    29. Umi Hani
    30. Ibrahim
    31. Wada
    32. Malik Abdul Aziz
    33. Alyad
    34. Bilal
    35. Hunsini
    36. Ismail

    • Alhamdulillah, terima kasih atas informasi beberapa nama yang dicatatkan kerana Kami tidak menemui nama-nama tersebut pada nombor pintu. Mungkin ada ditulis di sudut mana-mana sehingga kami tidak menjumpainya. Semoga Shiri diberkati Allah SWT. Aamiin.

      Salam sejahtera. 🙂

  6. Pingback: CT412. CABARAN HAJI (24): TIPS DAN LOKASI TANDAS DI MASJIDIL HARAM | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.