CT434. 16 MEI 2017 – SELAMAT HARI GURU, 22 TAHUN KHIDMAT BAKTI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

DUNIA PENDIDIK

“HARI INI HARI GURU. Terlebih dahulu ku ucapkan SELAMAT HARI GURU buat diriku dan SPH. Jua semua guru yang telah berjasa, di mana sahaja berada. Guru, engkau selalu di hatiku.”

*

DUNIA PENDIDIKAN tidak asing kepada saya kerana ramai dalam kalangan keluarga saya dan suami (baca: SPH) adalah pendidik. Malah, kami juga pendidik.

Dunia pendidikan sangat sebati dalam kehidupan kami. Ini dunia kami yang menjadi kecintaan dan sumber rezeki selama ini. Dunia baca tulis yang sudah sebati dalam jiwa, amat memberi makna sepanjang karier kami sebagai pendidik di muka bumi ini, selagi belum menemui garis noktah yang hakiki.

*

TAKDIR YANG UNIK

Sungguh, ada sesuatu yang unik dalam kehidupan saya dan SPH yang mungkin jarang ditemui di dunia ini atau mungkin kami sahaja yang berlaku dalam sejarah tersebut.  Wallahu’alam. Itu perasaan dan tekaan saya sahaja.

*

Saya dan SPH telah ditakdirkan Allah sentiasa bersama-sama dalam kehidupan ini.

*

Kami bersekolah di sekolah yang sama, SMK (Agama) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Matang Kuching (1980-1984). Belajar di kelas yang sama semasa Tingkatan 5.

*

*

Kami sama-sama terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Pra Akademi Islam, Universiti Malaya Cawangan Nilam Puri, Kelantan pada tahun 1985-1987.

Kemudian di Kampus Induk Akademi Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1987-1991. Cuma berbeza bidang pengajian. SPH mengambil bidang Pengajian Syariah, sedangkan saya dalam bidang Usuluddin.

Tidak pernah menyangka bahawa kami bersama-sama mengambil kursus Diploma Pendidikan dalam bidang Pengajian Islam di Maktab Perguruan Islam, Bandar Baru Bangi pada tahun 1994-1995. Pertemuan tersebut membawa kami hingga ke jinjang pelamin.

*

BEKERJA = SAMA

Saya memulai dunia pekerjaan  di Sekolah Menengah Kerajaan (BM) Saratok pada 1 Julai 1995 (2 bulan sahaja). Bersamaan itu juga SPH di Sekolah Menengah Kerajaan Julau, Bintagor, Sarikei.

Kemudian saya ditawarkan menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Rajang (kini: Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang @ IPGKR), Bintangor, Sarikei pada 1 September 1995.

Takdir Allah tidak ada yang dapat menyangkalnya apabila SPH mendapat tawaran mengajar di tempat saya bekerja pada 2 Mei 2000.

Alhamdulillah, sejak itu, kami bekerja di tempat yang sama di dalam jabatan yang sama iaitu Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Malah, SPH adalah Ketua Jabatan saya sehingga kini.

*

22 TAHUN KHIDMAT BAKTI

Berdasarkan kronologi yang saya jelaskan di atas, saya dan SPH sudah menyumbang khidmat bakti sebagai guru di tanah air Malaysia khususnya di Bintangor, Sarikei, Sarawak selama 22 tahun dalam usaha membina negara bangsa agar cemerlang dan gemilang di mata dunia.

Alhamdulillah, pada tahun 2017 ini, pihak pengurusan IPG Kampus Rajang telah memberi penghargaan kepada warga pendidik dan anggota sokongan yang telah menyumbang khidmat bakti dalam dunia pendidikan, khususnya di IPGKR dan umumnya di negeri Sarawak.

Dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Peringkat IPGK Rajang Tahun 2017 pada 27 April 2017 yang lalu, seramai 74 anggota kakitangan IPGKR diraikan dalam acara gilang gemilang.

Seramai 8 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 2 orang penerima Anugerah Inovasi dan 64 orang penerima Anugerah Khidmat Bakti.

*

*

Para penerima Anugerah Khdimat Bakti menyanyi lagu Kualiti dan Inovasi. Hanya berlatih satu kali selama 1 jam sahaja. Esok naik pentas dan menyanyi. Syukur semua OK. 🙂

*

ANUGERAH KHIDMAT BAKTI

Penerima Anugerah Khidmat Bakti dibahagi kepada 3 kategori iaitu 29 penerima anugerah Emas (melebihi 30 tahun berkhidmat), 11 penerima anugerah Perak (25 – 29 tahun) dan 24 penerima anugerah Gangsa (20-24 tahun). Anugerah tersebut disampaikan oleh Tuan pengarah IPGKR, YBhg. Dr. Lambat Anak Lindong.

*

Semua penerima anugerah berfoto kenangan bersama Tuan Pengarah, YBhg. Dr. Lambat Anak Lindong, Timbalan Pengarah, Tuan Haji Kamarul Ariffin Bin Din dan Ketua Unit Pengurusan, Encik Adib Bin Farhan.

*

Saya dan SPH termasuk di dalam penerima anugerah Gangsa kerana perkhidmatan kami sudah menjangkau 22 tahun. Alhamdulillah. Setiap seorang penerima anugerah diberikan sijil penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan selama perjuangan menjadi guru kepada bakal guru di IPGKR.

*

*

Semoga dengan penghargaan yang kami terima, akan melonjak lagi semangat keguruan yang ada pada kami agar tidak pernah mengenal lelah untuk mendidik bakal guru untuk menjadi guru yang dedikasi dan mencintai dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran yang tidak terduga.

*

UNTUKMU GURU YANG DIHORMATI

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA adalah tema HARI GURU MALAYSIA 2017. Ianya juga merupakan tema yang sama untuk tahun 2016, 2009 dan 2010.

*

*

Ingatlah, kerjaya guru bukan mudah. Untuk membina sebuah negara berdaulat, guru berperanan dalam membina jiwa anak bangsa untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi.

GURU SEBENAR GURU: ke sekolah tak jemu, mengajar tak lesu.

Guru Oh Guru. Istimewa buat para guru di Malaysia, kita adalah pejuang bangsa dan pembina negara. Jadikan kita guru terbaik buat anak-anak murid kita.

Semoga Allah SWT memberi ganjaran atas perjuangan ikhlas yang ditabur untuk menyemarakan benih bunga bangsa menjadi manusia berguna dan berjaya.

*

*

SELAMAT HARI GURU KEPADA GURU-GURU DI MALAYSIA DAN SEMUA GURU DI DUNIA

*

*

Video pengorbanan guru-guru malaysia yang mengajar di pedalaman

*bunga

*

***************

SalamFatima3SalamFatima15 Mei 2017 (Isnin)/ 18 Sya’ban 1438H/ 10.49 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. menitip pesan BUAT ANAK BANGSA DICINTAI. Biar sukar hidupmu tempuh jangan mengeluh susah payahnya. Teruskan berjalan dan mengorak langkah dengan jiwa  tabah. Bentangkan sayap kejayaanmu dan perhatikan dunia sepuas-puasnya. Dirimu dibekal akal dan ilmu, usah dibuang jauh melulu. Ingat… hidup ini hanya sekali, laluilah ia dengan akal budi. Salam dari gurumu. Sayang selalu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

 DEDIKASIKU UNTUKMU…. Inginku ucap selamat buatmu yang selalu indah di hatiku. Di mana sahaja engkau berada, dirimu tidak pernah ku lupa. Ku doakan kesejahteraan dan kejayaan selalu mngiringi kehidupanmu agar berbahagia di dunia dan akhirat. Rindu padamu. Aamiin.  Wassalaam. 🙂

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

*

6 thoughts on “CT434. 16 MEI 2017 – SELAMAT HARI GURU, 22 TAHUN KHIDMAT BAKTI

  1. assalam…moga sht sjhtera selalu…tahniah menerima hadiah penghargaan setelah berkhidmat cemerlang dlm bidang keguruan…selamat hari guru dik ct fatimah sph n semuaguru2

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kak Paridah Ishak yang dikasihi…

      Alhamdulillah, saya sihat kak. Didoakan akak juga demikian sama hendaknya dalam rahmat Allah SWT.

      Terima kasih atas kunjungan dan ucapannya.
      Salam manis selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum wr. wb bu Hajjah Fatimah.
    Selamat untuk penerimaah anugerah. Semoga tetap menjadi motivasi dan ladang amal yang bermanfaat untuk para siswa. Selamat hari guru. Salam turut bangga dari Jakarta Pusat.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany….

      Aamiin Allahumma Aamiin.
      Terima kasih atas doa dan ucapannya.
      Harapan diri ini juga akan tetap terus memberi perkhidmatan terbaik untuk kemenjadian anak bangsa di masa hadapan.

      Salam mesra selalu. 🙂

    • Terima kasih atas ucapannya Kang Nur.
      Untuk membina akhlak bunga bangsa indah, para guru mesti menjadi contoh teladan yang baik dan ddedikasi dalam tugasnya. Mudahan-mudahan. Aamiin.

      Salam sejahtera.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.