CT198. TASMIK AL-QURAN DENGAN ORANG ARAB (2): HAFIZAH DARI DUBAI

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

HafizahFatima5DubaiMakkah

Sepanjang berada di Makkah, aku sudah melupai kisah pertemuanku dengan Hafizah dari Madinah seperti yang aku tulis dalam posting CT197. (1): HAFIZAH DARI MADINAH. Kehidupan di bumi yang dicintai Allah SWT dan Rasulullah SAW telah menyibukkan aku dengan urusan amal ibadah dan kehidupan harian yang sangat mencabar. Alhamdulillah, semuanya dimudahkan Allah SWT.

Sehinggalah sampai waktu yang dijanjikan. Allah SWT menjalankan rencana yang bakal aku tempuhi beberapa detik lagi untuk sebuah pertemuan yang menjawab kepada hasratku selama ini. Tanpa aku sedar, hajjah muda dari Indonesia yang sedang membaca al-Quran dengan suara yang kuat di sebelahku menjadi sebab kepada berlakunya pertemuan tersebut. Allahu Akbar.

*

HAJJAH MUDA INDONESIA

OKTOBER 2011, MASJIDIL HARAM – Seperti biasa, aku selesa memilih tempat solat di Pintu 73-75, bahagian solat perempuan dalam bangunan baru, Masjidil Haram. Ruang ini mempunyai penghawa dingin (air-con) dan memberi keselesaan untuk beribadah dalam suasana sejuk di kelilingi padat manusia. Aku sudah berada di situ sejak asar dan menunggu sehingga solat Isyak.

Selesai solat Asar, aku menunggu untuk solat Maghrib. Aku tidak berganjak dari tempat duduk. Jemaah di sekeliling juga demikian sama. Jika kita keluar sahaja dari saf, tempat kita terus diisi. Hari Wukuf kian menjelma, jumlah jemaah haji semakin ramai. Maka, saf yang kita perolehi jangan dipersiakan. Tetaplah pada satu tempat jika mahu selesa selama beribadah di Masjidil Haram.

Ketika menunggu masuk waktu Maghrib, aku menyambung bacaan al-Quran secara senyap. Di sebelahku duduk seorang hajjah muda dari Indonesia, Usianya dalam awal 20an, kurus dan berkulit cerah. Kami hanya bersapa salam dan senyum. Hajjah muda ini turut membaca al-Quran. Bacaannya sangat kuat sehingga mengganggu konsentrasiku dan mungkin jemaah lain. Dia tidak menghirau keadaan sekitar kerana khusyuk dengan bacaannya.

Dalam pendengaranku yang sudah tidak khusyuk lagi, bacaannya laju dan kelam kabut. Tajwidnya sangat teruk. Perlu diberi teguran dan diperbaiki.  Aku ingin menegur bacaan dan suaranya yang kuat, tetapi bimbang tidak disenangi. Aku tidak pasti surah yang dibacanya. Hajjah itu pula kelihatan kurang ramah. Aku berharap adanya hajjah lain yang membantu untuk memberi peringatan.

HafizahFatima6Pintu73.75MasjidilHaram

*

TEGURAN

Tidak lama selepas aku berprolog tentang hajjah muda itu, seorang hamba Allah berpakaian jubah hitam dan berpurdah yang sedang baring di hadapan hajjah muda tersebut, menelentangkan tubuhnya dengan kepala mengadah ke arah hajjah muda sambil menyingkap purdah. Wajahnya putih, sangat cantik dan sangat ramah. Senyuman menghiasi wajahnya.

Beliau terus menegur bacaan tajwid hajjah muda dalam bahasa Arab. Usianya dalam linkungan awal 30an. Rupanya, beliau juga sepertiku memberi perhatian kepada bacaan hajjah muda Indonesia. Mungkin sifatnya lebih agresif dan sensitif terhadap al-Quran berbanding aku, menyebabkan beliau bertindak berani untuk menegur bacaan hajjah muda Indonesia.

Aku kagum, hajjah Arab hafal setiap bacaan hajjah muda Indonesia. Aku menebak, beliau seorang hafizah. Beliau masih dalam kedudukan baring menelentang sambil mendengar dan menegur makhraj serta tajwid yang salah pada pendengaran beliau tanpa melihat al-Quran. Hajjah muda hanya menggangguk kepala dan meneruskan bacaannya. Masih seperti tadi, tidak ada peningkatan.

Berkali-kali teguran hajjah Arab aku dengar (dalam bahasa Arab), namun kesalahan bacaan dan tajwid tetap berulang. Hanya senyum dan anggukan hajjah muda Indonesia sahaja yang kelihatan. Mungkin dia tidak faham bahasa Arab. Hajjah Arab itu sangat sabar mengajar dengan senyuman tidak hilang dari wajahnya. 

Setelah beberapa minit berlalu, hajjah Arab bangun dan duduk mengadap ke depan. Beliau tidak berpaling lagi. Mungkin sudah cukup baginya. Beliau kelihatan khusyuk berzikir. Hajjah muda Indonesia terus membaca al-Quran dengan laju tetapi suaranya sudah mulai kurang kedengaran. Kisah itu selesai begitu sahaja. Masing-masing tenggelam dalam kekhusyukan.

*

GELISAH

Aku menjadi penonton kepada peristiwa di sebelah dan hadapanku. Entah kenapa aku rasa gelisah dan tidak tentu arah. Perutku seakan memulas dek tekanan dari kegelisahan yang ku alami. Bacaanku yang kurang khusyuk sejak tadi menjadi lebih tidak khusyuk. Ada sesuatu yang meronta-ronta dalam hati setiap kali memandang sosok hajjah Arab di hadapan. Hatiku mendesak untuk menyapa.

Saat itu, aku terfikir untuk mengambil peluang dari kefasihan bacaan al-Quran hajjah Arab ketika menegur bacaan hajjah muda Indonesia. Lantas aku teringat tasmik al-Quran yang aku laksanakan dengan Hafizah Madinah di Masjid Nabawi. Masih belum mendapat jawabannya. Adakah bacaanku seperti bacaan orang Arab atau orang Melayu ?

Dua perkara yang aku pertimbangkan sebelum menyapa hajjah Arab. Pertama adalah BAHASA. Apakah bahasa yang akan ku guna untuk menyapa ? Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris ? Bahasa Melayu tentulah mustahil. Hehehe… aku ketawa sendiri. Kedua adalah MAHUKAH HAJJAH ITU MENDENGAR BACAANKU?

Hmmm… inilah punca sakit perut yang tiba-tiba memulas. Aku berfikir lagi, sebelum sampai ke jawaban nombor dua, mestilah melalui pertimbangan pertama dulu. Aku mengeluh berat. Susah juga hendak berkomunikasi kalau penguasaan bahasa tidak baik. Akhirnya, aku mengambil keputusan, cuba dahulu baharu tahu akibatnya. “Pertama guna Bahasa Inggeris. Kalau dia tidak faham aku guna Bahasa Arab.” aku berprolog bersama ombak debaran.

“Ayuh Fatimah… teruskan misimu jika mahu mendapat jawabannya,” desak hatiku untuk tindakan yang lebih optimis. Aku memberanikan diri dan menarik nafas dalam-dalam sebelum bergerak sedikit ke hadapan untuk menyapa hajjah Arab. Aku membaca Basmallah dan berdoa kepada Allah SWT untuk mencapai misi yang ku hasratkan selama ini. Semoga dibuka hati hajjah Arab untuk membantuku. Aamiin Allahumma Aamiin.

HafizahFatima7RuangSolatNisak73.75MasjidilHaram

PERKENALAN

Aku memegang bahu hajjah Arab sambil memberi salam dan menyapa dengan senyum manis. “Assalaamu’alaikum ya Ukhti, boleh bercakap dalam bahasa Inggeris ?” tanyaku dengan ramah. “Wa’alaikum salaam wr.wb ya ukhti, boleh sedikit. Awak boleh bercakap Bahasa Arab ?” balas hajjah Arab bersama senyumannya.

Hatiku sangat senang sekali. “Boleh, tetapi sedikit sahaja. Saya Siti Fatimah Ahmad dari Malaysia. Siapa nama awak  ? lanjut saya untuk memanaskan awal pertemuan. “Oh nama yang cantik. seperti nama anak Rasulullah SAW, Siti Fatimah. Awak dari Malaysia. Saya pernah satu kali ke Malaysia. Kuala Lumpur, tempatnya cantik ” puji hajjah Arab sambil ketawa. “Nama saya Salma Mustafa  dari Dubai,” sambung Salma dalam bahasa Arab.

“Tadi saya dengar awak menegur bacaan hajjah di sebelah saya. Awak seorang gurukah ?” tanya saya. Iya, saya seorang guru al-Quran. Mengajar anak-anak mengaji al-Quran di tadika.” jawab Salma dengan tenang. “Awak kerja apa ?” soal Salma kembali. “Saya juga seorang guru.” jawab saya dengan ramah.

Perkenalan kami semakin rancak dan mesra. Kami berkomunikasi dalam dwi bahasa. Bahasa Inggerisnya kurang lancar dan sangat pekat. Kadang kala aku tidak faham dan minta di translate ke dalam bahasa Arab. Bolehlah faham sedikit. :D Begitulah sebaliknya suasana perbualan kami. Setelah beberapa minit berbual, aku bertanya jika Salma mahu mendengar aku membaca al-Quran. 

*

TASMIK AL-QURAN

“Salma, bolehkah awak tasmik bacaan al-Quran saya ?” tanyaku penuh harap. “Boleh. Saya senang. Silakan.” jawab Salma pantas. Subhanallah, bahagianya aku dengan jawaban Salma. Tanpa berlengah, kitab al-Quran yang ada di tangan, terus ku buka dan baca dengan tertib. Salma duduk di sebelahku dan memasang telinga untuk meneliti bacaanku tanpa melihat kitab.

Seperti bacaanku bersama Hafizah Madinah dahulu, aku membaca secara hadar (bacaan cepat tetapi masih memelihara hukum-hukum tajwid). Aku membaca dengan penuh semangat. Sekali sekala Salma menegur makhraj huruf dan hukum tajwid apabila tidak tepat dipendengarannya. Aku mengulang baca setiap teguran Salma sehingga dia berpuas hati.

Salma memang guru al-Quran yang sangat dedikasi dan penyabar. Dia menjelaskan kesilapan dengan penuh perasaan bersama wajah manis dan senyumannya apabila menegur bacaanku. Dia berasa sangat puas apabila dapat berkongsi ilmu al-Quran ini. Aku mengkagumi semangat dan kesabaran Salma. Aku berasa sangat beruntung dipertemukan Allah SWT dengan Salma.

Satu persatu halaman ku baca sehingga kepada 4 halaman. Tiada tanda Salma hendak menoktahkan bacaanku sebagaimana Hafizah Madinah. Suaraku semakin serak. Tekakku mulai kering. Melihat tiada reaksi Salma untuk menghentikan bacaan, aku terpaksa menamatkan sendiri kerana tidak mampu menahan perit di tekak yang minta disiram air. Mendengar aku menamatkan bacaan, Salma otomatis mengikut sama.

“Alhamdulillah, terima kasih Salma kerana mendengar bacaan saya.” ucapku seraya memandang wajah Salma. Salma mengangguk mesra. Tanpa ku duga dan benar-benar membuat aku terperanjat apabila Salma beraksi sama seperti Hafizah Madinah. Salma menggoncang kuat kedua ibu jarinya di hadapanku dan mengucapkan QUWES, QUWES sebanyak dua kali. 

HafizahFatima8PintuPemisahRuangMasjidlHaram

*

JAWABAN KEPADA PERSOALANKU

Serentak itu, “bacaan awak sangat bagus. Awak sesuai menjadi guru al-Quran dan mengajar anak-anak membaca al-Quran.” puji Salma dengan ceria. “Alhamdulillah, terima kasih,” jawabku tersipu-sipu malu. “Awak tahu, bacaan awak seperti orang Arab. Adakah awak ini asal orang Arab ?” tanya Salma sambil merenungku. Pertanyaan Salma itu benar-benar membuat aku terkesima. Itulah jawaban yang ingin aku ketahui selama ini. Allahu Akbar.

“Tidak, saya orang Melayu dari Malaysia.” balasku dengan gembira untuk membetulkan tebakan Salma. “Masya Allah, mabrur, mabrur. Awak baca seperti lisan (lidah) Arab, sangat bagus” jelas Salma lagi sambil menepuk bahuku. Aku sangat terharu mendengar jawaban Salma. Aku yakin Salma memberi komentar yang tulus dari hatinya kerana tidak ada unsur paksaan dan pengaruh dariku sebelum memulakan bacaan.

“Salma, terima kasih kerana mendengar bacaan saya. Saya senang dapat berkenalan dengan Salma. Semoga Salma beroleh haji mabrur.” ucapku kepada Salma dan memaklumkan untuk berehat. “Sama-sama kembali. Saya juga senang dapat mengenali awak. Semoga mendapat haji mabrur.” balas Salma dengan gembira.

Kami bersalaman dan berpeluk mesra sebagai tanda mengakhiri pertemuan kami yang pertama dan terakhir. Tidak terfikir untuk meminta alamat bagi meneruskan silaturahmi. Begitulah Allah mempertemukan kami. Sekelip mata dan tiada tanda. Hanya sebuah kenangan yang tidak pernah luput diingatan. Wajah manis dan keramahan Salma sentiasa terbayang. Allahu Akbar.

HafizahFatima4QuwesBagus

*

MAKNA QUWES

Setelah 3 bulan pulang dari Tanah Suci, baru aku teringat tentang makna QUWES. Aku bertanya kepada salah seorang pelajarku, Hayyee (pelajar j-QAF) dan pernah tinggal (belajar) di Mesir selama 9 tahun tentang maksud perkataan QUWES dan ibu jari tersebut.

Hayyee maklumkan sudah menjadi budaya orang Arab apabila mereka memuji seseorang yang telah melakukan sesuatu yang hebat dan bagus, mereka akan menggoncang dua ibu jari dengan kuat sambil menyebut QUWES, QUWES. 

QUWES membawa banyak maksud seperti bagus, cemerlang, hebat dan seumpamanya.  Untuk menguatkan kenyataan Hayyee, aku juga bertanya kepada teman yang lain yang pernah belajar di Timur Tengah. Semua memberi penjelasan yang sama. Allahu Akbar.

Aku tersenyum apabila mengetahui maksud QUWES. Semangat dan cintaku kepada al-Quran semakin kuat. Alhamdulillah, aku sudah menemui jawaban kepada persoalan yang selama ini aku inginkan.  Allah SWT telah memakbulkannya tetapi dengan jalan mengusaha diri ke arah jawaban tersebut. Semuanya bersebab dan tidak didatangkan begitu sahaja.

Dalam kembara hidup ini, kita diingatkan supaya banyak berusaha, berdoa dan bertawakal kerana ada takdir yang boleh berubah (takdir mu’allaq) sebelum sesuatu itu terjadi dengan mengusahakan sebab musababnya.  Takdir itu masih tersembunyi dalam ilmu Allah SWT Yang Maha Mengetahui sejak azali bahawa kita akan mengusahakan sebab-sebab tersebut.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” – al-Rad: 11

2013Fatima4QadaQadar

*

****************

10 Oktober 2013 (Rabu)/ 5 Zulhijjah 1434H/ 10.30  malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. merenung diri, apa gunanya membuat peraturan bagi menetapkan jalan yang perlu aku lalui dalam hidup ini, jika aku tidak mengambil endah tentangnya. Jika aku sudah menetapkan tujuan hidup yang bagaimana hendak aku tempuhi, maka aku harus bersedia untuk menerima risiko dan cabarannya. Aku ingin berjaya menjadi apa yang aku harapkan dan apa yang Tuhanku inginkan untuk menjadi hamba yang redha dengan ketentuan-NYA. Redhailah aku, ya Allah. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

IngatanFatima2Padamu

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Jika kebaikan yang kita semai dan menumbuhkan tunas kemesraan pasti akan diganjari Allah SWT dengan limpahan rahmat kedamaian. Kehidupan kita ibarat matahari, terbenam di satu tempat  untuk terbit di tempat yang lain. Ia selalu bersinar, hidup dan menghangatkan sesiapa yang bersamanya. Kau ibarat matahariku yang tidak pernah lelah menyinari hidupku. Wassalaam. 😀

*

5 thoughts on “CT198. TASMIK AL-QURAN DENGAN ORANG ARAB (2): HAFIZAH DARI DUBAI

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.