CT254. UMRAH WAJIB (1): RINDU KIAN MENGGAMIT

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

GamitFatima1RinduKianMenggamit

*

HARI PERTAMA DI MAKKAH

19 Oktober 2011 – Rabu

*

HOTEL SEVILLA BARAKAT. BILIK 927.  Sayup-sayup terdengar deringan alarm telefon Nokia yang sudah saya set pada jam 2.00 pagi tadi.  Saya memaksa diri untuk bangun walaupun baru dua jam melelapkan mata.

Badan terasa sangat letih setelah semalaman dalam perjalanan yang jauh dari Madinah ke Makkah. Saya masih dalam keadaan ihram dan perlu menjaga pantang larang berihram.

Teman sebilik masih diulit minpi, lena tanpa gangguan. Hanya terdengar bunyi nafas yang berat dan gerak badan yang membalik diri mencari keselesaan dalam kedinginan suhu bilik yang “melampau”. Saya tidak mahu membangunkan mereka. Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri. 

Saya tidak suka mandi lewat dan bertangguh. Saya perlu proaktif dengan kehidupan baru di Tanah Suci. Kehidupan di sini sangat berbeza. Pengurusan masa sangat padat. Tidak ada yang terbuang begitu sahaja.

Saya akan pastikan semuanya terisi dengan bijak. Saya dapat merasakan bahawa waktu rehat sangat singkat. 24 jam kehidupan di sini, sangat padat sekali. Amat rugi jika meniti kehidupan di Tanah Suci dengan aktiviti makan, tidur, malas ke masjid, solat di hotel sahaja dan berbelanja tidak kira masa. 

Sedangkan kita ke sana untuk BERIBADAH dan mencari KEREDHAAN ALLAH.

*

Saya perlu bijak mengurus diri kerana beberapa perkara penting perlu diberi perhatian seperti perubahan jam, cuaca yang panas, pengurusan ibadah, masa rehat yang diperlukan, perjalanan jauh setiap hari, makan minum yang tidak menentu, aspek kesihatan yang perlu dijaga rapi dan aktiviti ilmu yang perlu dihadiri.

Subuh akan masuk pada jam 5.05 pagi. Saya berhasrat menunaikan solat Subuh di lokasi “Under Ground” – tempat makan jemaah haji Maktab 95 dan 96, Hotel Sevilla untuk menunaikan Subuh pertama di Makkah.

Sudah tidak sabar menunggu jam 7.30 pagi. Jemaah haji KT33 akan menunaikan Umrah Haji Tamattuk hari ini. Umrah tersebut merupakan UMRAH WAJIB bagi saya dan SPH kerana pertama kali kami melakukan umrah.

*

PETUNJUK JALAN

Lobi Hotel Sevilla Barakat dipenuhi para hujjaj KT 33 Sarawak yang akan berangkat ke Masjidil Haram untuk menunaikan UMRAH HAJI TAMATTUK. Semua wajah kelihatan ceria, bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk menjalankan misi iman ini. Kalimah talbiah berkumandang menggamit rindu di hati untuk segera ke destinasi.

Terdapat beberapa jemaah yang sudah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Mereka tidak ikut rombongan kami kerana sudah tahu selok belok ke Masjidil Haram. Kami yang pertama kali menjejak kali ke bumi Makkah, berkumpul dan berangkat bersama dipandukan oleh seorang petugas Tabung Haji.

Kami diberi taklimat sebelum berangkat. Kami dinasihatkan agar berjalan dalam kumpulan dan berhati-hati di jalan raya. Kami diingatkan sikap tidak bertimbang rasa pemandu kenderaan di Makkah. Mereka memandu tanpa menghirau peraturan lalu lintas.

Kami juga diberi sehelai kertas yang menunjukkan peta jalan yang akan kami lalui setiap hari dari Hotel Sevilla Barakat dan Masjidil Haram. Jarak hotel ke Masjidil Haram adalah 750 meter, mengambil masa 10-15 minit berjalan kaki atau 7 minit sambil berlari anak.

Jelas dalam ingatan saya, petugas Tabung Haji memberi petunjuk sebuah bangunan hotel yang bercat hitam dan bakal dirobohkan untuk dijadi pandu arah ke Hotel Sevilla jika tersesat jalan. Bangunan hitam itu dapat dilihat dari arah Masjidil Haram kerana ia terletak di atas bukit dan satu-satunya yang bercat hitam.

*

MELANGKAH KE MASJIDIL HARAM

Tepat jam 7.45 pagi, rombongan kami berjalan beriringan sambil bertalbiah, keluar dari bangunan hotel. Dengan lafaz Basmalah, kaki kanan dimulai dengan hati yang berbaur bahagia untuk menghirup udara Kota Makkah pertama di pagi ini.

Saya dan SPH berjalan laju mengikut rentak para hujaj di hadapan. Jalan yang berbukit bukau kecil itu membuat kaki terasa penat. Laluan jalan penuh dengan jemaah haji yang melawan arus. Mereka baru balik dari Masjidil Haram setelah usai menunaikan solat Subuh atau bertawaf.

Kami berjalan cepat mengikut rombongan di hadapan. Perjalanan terasa sangat jauh dan mengelirukan. Maklum masih baru dan jalan belum lagi dikenali dengan baik. Terdapat beberapa rombongan haji dari negara lain turut melalui jalan yang sama menuju ke Masjidl Haram. Mereka juga berpakaian ihram.

Semasa menuruni bukit, terdengar laungan talbiah dari corong pembesar suara di sebuah Bistro Pakistan yang bakal dilalui. Kuat dan jelas. Dari jauh kelihatan sebahagian badan bangunan Masjidl Haram. Hati saya berbunga-bunga, tidak sabar untuk mendekati.

Setelah melalui Bistro tersebut, jelas di hadapan bangunan Masjidil Haram yang tersergam indah. Dua menara tinggi sedang berdiri megah seolah menunggu dan menyambut kehadiran semua tetamu Allah di bawah gerbang pintu masuk utama yang bakal kami lalui.

Pembinaan dan pembesaran Kota Makkah dapat dilihat jelas sepanjang perjalanan. Di mana-mana debu berterbangan, tidak menghirau para tetamu Allah yang lalu lalang dalam ruang udara yang tidak bersahabat dengan sesiapa. Saya menutup muka sekali sekali dengan kain telekung untuk menghindari debu yang tidak diundang.

Dataran Masjidil Haram sangat sibuk. Jemaah haji kelihatan sangat ramai. Mereka berpusu-pusu masuk dan keluar dari pintu Masjid. Pelbagai rumpun bangsa, warna kulit dan warna pakaian jelas kelihatan di sana sini. Ada yang berpakaian biasa dan ada pula berpakaian ihram.

Beberapa rombongan jemaah dari negara lain turut berkumpul dalam kumpulan masing-masing untuk menunggu dibawa masuk ke dalam Masjidil Haram. Mereka seperti kami, berpakaian ihram dan tentunya hendak menunaikan UMRAH HAJI TAMATTUK.

CuacaFatima9DataranMasjidilHaram

*

AfrikaFatima3Hajjah

Jemaah haji dari Afrika menunggu untuk memasuki Masjidil Haram bagi mengerjakan Umrah Haji Tamattuk

*

TERPAKU

Rasa kagum dan takjub tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata apabila pertama kali melihat bahagian hadapan Masjidil Haram yang tinggi, besar dan indah dengan dekorasinya. Subhanallah walhamdulillah… begitu ucapan keluar dari bibir.

Mata terpaku dengan hati tidak percaya bahawa diri ini sedang menjejak kaki di Dataran Masjidil Haram. Kaki melangkah mendekati rombongan yang sudah sampai dahulu. Kami diarah berdiri dalam barisan sementara menunggu mutawwif (pemimpin tawaf) sampai untuk membawa kami masuk.

Kami sudah dimaklumkan bahawa selipar hendaklah dibuka dan dibawa di tangan. Pastikan selipar disimpan di dalam plastik agar najis-najis yang melekat pada selipar tidak mengena sesiapa semasa tawaf atau mencemar lantai masjid. Saya dan SPH membeli sebungkus beg plastik di Tanah Air untuk memudahkan kami menyimpan selipar.

*

DOA

Sambil menunggu kedatangan mutawwif, kami bertalbiah dan berdoa. Saya melayan perasaan sendiri dengan rindu yang kian kencang untuk melihat Kaabah. Tanpa saya sedari, air mata saya mengalir dengan lajunya. Hati jadi sebak dan rindu itu kian menggamit.

Alhamdulillah wa syukrulillah. Hati saya tidak henti-henti berzikir dan bertalbiah dengan mata menghala ke langit Makkah yang membiru indah tanpa palitan awan gemawan. Kain telekung kesayangan, berbunga kecil merah jambu dan berdaun hijau lumut menjadi basah kerana diguna untuk mengelap air mata yang berguguran lebat. Dalam tangisan yang cuba ditahan, aku berdoa;

“Ya Allah, terima kasih kerana mengizinkan hamba-MU ini menjejakkan kaki di Tanah kecintaan-MU. Berikan aku dan SPH kekuatan untuk melakukan semua kerja umrah dan haji dengan mudah. Redhailah aku dan SPH sepanjang kehidupan kami di Tanah Suci. Jadikan kami TETAMU YANG PALING ISTIMEWA di sisi-MU. Kasihanilah kami, ya Allah. Aku rindu, sangat rindu pada-MU. Aamiin.”

*

Sempat juga saya berdoa dengan harapan yang tinggi kepada Allah SWT dalam penantian tersebut agar jangan didatangi haid semasa menunaikan Umrah Wajib.

Tidak dinafikan, kebimbangan haid ini sangat merisaukan kerana saya tidak mahu ketinggalan momen paling indah dalam kehadiran pertama di Masjidil Haram. 

*

“Ya Allah, jangan aku didatangi haid dahulu sehingga selesai semua urusan Umrah Wajib serta sempat melakukan ibadah solat berjemaah di Masjidil Haram bersama jemaah seluruh dunia. Setelah itu, jika Engkau menghendakinya, aku redha, ya Allah.”

DoaFatimaku1

*

Alhamdulillah, doa saya diperkenankan Allah apabila saya didatangi haid selepas solat Isyak berjemaah di Masjidil Haram. Saya benar-benar merasai sebagai TETAMU ALLAH YANG PALING ISTIMEWA.

Saya meyakini bahawa doa yang baik dan setulusnya semata-mata kerana Allah SWT akan dikabulkan Allah dengan segera. Terutama doa-doa yang kita panjatkan di Tanah Suci kerana ini telah dijaminkan Allah di dalam al-Quran dan Hadis. Oleh itu, banyakkan berdoa semasa berada di Tanah Suci.

*

SILAKAN MASUK TETAMU ALLAH

Hampir 30 minit kami menunggu giliran untuk memasuki Masjdil Haram. Kami bertalbiah beramai-ramai sambil menanti dalam debaran yang kian memuncak. Dimaklumkan oleh petugas Tabung Haji bahawa kami akan dipimpin oleh seorang Mutawwif untuk melakukan Tawaf Umrah. Begitu juga dengan Saie.

Saya dan SPH sudah tidak sabar untuk memasuki Masjidil Haram untuk melihat dengan mata kepala sendiri bentuk dan rupa bangunan Kaabah yang selama ini hanya dilihat dalam buku dan tv. Kami sudah bersedia untuk melakukan Tawaf Umrah dengan hati yang redha dan berkobar-kobar indah. Semoga semuanya berjalan lancar dan diterima Allah.

Saat yang ditunggu sudah tiba. Kami diarah untuk memasuki pintu utama Masjidil Haram.  Kami mengikut mutawwif menuju ke pintu no. 1 yang bertulis di tengahnya dengan khat indah nama BAB AL-MALIK ABDUL AZIZ.

Sekali lagi dengan lafaz BASMALAH dan langkah kanan, saya dan SPH memasuki gerbang pintu utama dengan debaran yang kian memuncak dan menghadirkan segala rasa yang indah.

GamitFatima2Pintuno.79AlMalikFahdAbdAziz

*

AHLAN WA SAHLAN YA DUYUFUR RAHMAN

*

***************

SalamFatima3SalamFatima1 Jun 2014 (Ahad)/  3 Syaaban 1435H/ 10.07 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. rindu padamu, setiap hari. Ku pandang langit Makkah yang membiru indah tanpa awan gemawan. Dalam diam bersama tasbih cinta, ku zikir namamu, namun ada rindu yang lebih dari itu. Hadirlah cintaku, menyelimuti aroma alam rasaku. Di sini, ku benam rindu padamu… sejak azali, setiap hari. 

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

Dedikasiku Untukmu…. HARI INI, semuanya indah. Namun yang lebih indah adalah dirimu, yang selalu indah di sini: DI HATIKU.  Langit terlalu biru, hutan terlalu hijau.. dan engkau adalah ANUGERAH TERINDAH dari Tuhanku. Selalu ada doa untukmu. Wassalaam. 🙂

*

RinduFatima1padamu

*

KETIKA CINTAKU BERTASBIH….. BERGETAR SELURUH JIWAKU

*

22 thoughts on “CT254. UMRAH WAJIB (1): RINDU KIAN MENGGAMIT

  1. Assalamualaikum,
    artikel ini membangkitkan rasa rindu akan tanah suci….ingin lagi menjejakkan kaki di sana..,
    btw- memang benar..saat di tanah suci..sebaiknya kita memanfaatkan setiap detik yang ada..hanyalah untuk beribadah..mendekatkan diri kepada ALLAH SWT..mengharap rahmat dan ridho-NYA…janganlah memghabiskan waktu selain untuk beribadah…apalagi menghabiskan waktu untuk berbelanja barang dan oleh2……., 🙂
    keep happy blogging always..salam takzim selalu dari Makassar, Indonesia 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Hariyanto….

      Alhamdulillah, mudahan hasrat itu akan terlaksana. Pemergian kali ini tentu lebih mengesankan kerana bersama mbak Wieka.

      Untuk memperolehi manfaat kehidupan di Tanah Suci yang datangnya mungkin sekali dalam seumur hidup kerana tidak semua orang mampu ke sana berkali-kali hendaklah diurus dengan baik biar agar tidak sia-sia.

      Hanya diri sendiri yang tahu bagaimana seharusnya dilakukan setiap detik yang dilalui di sana. Pilihan tetap ada. mahu atau tidak. Rajin atau malas. semuanya atas kehendak diri sendiri. Maka, lakukan sesuatu yang menghasilkan kebaikan dan kemabruran dengan ilmu yang sudah dipelajari.

      Terima kasih mas Hariyanto atas kunjungan dan kongsian manfaat ilmunya. Salam hormat takzim. 🙂

  2. Assalamualaikum bunda Fatimah

    Setiap membaca torehan bunda disini..sungguh membuat hati kita pun ingin menjadi tamunya Allah..

    Mudah- mudahan kita dan terutama sy sekeluarga yang belum berkesempatan menginjakan kaki disana..
    Diberikan kemudahan dan kemampuan untuk menjalani salah satu rukun islam
    amin..
    Salam 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Purnomo Jr….

      … begitulah antara tujuan perkongsian pengalaman berhaji ini untuk memupuk rasa kerinduan ke Tanah Suci. Selain itu, mudahan ada panduan dan pangajaran yang boleh dijadikan iktibar bersama atas apa yang pernah dilalui.

      Insya Allah, didoakan PurnomoJr dan keluarga akan dijemput ke sana dalam rahmat dan barakah Allah SWT. Aamiin.

      Salam sejahtera dan terima kasih sudah berkunjung. 🙂

  3. Semakin menambah besarnya rindu untuk datang ke Tanah Suci jadi tamu Allah.
    “Waiting list” Jamaah Haji Indonesia mencapai lebih dari 10 tahun, makanya saya mulai mengkhayalkan mungkin lebih baik UMROH saja dulu.
    Apalagi sahabat saya baru saja beberapa hari yang lalu menlksanakan ibadah umroh, menceritakan pengalamannya kepada saya sehingga benar-benar merasa berterma kasih kepada Alah SWT telah diberi kesempatan untuk umroh 🙂

    • Alhamdulillah, jika demikian hasrat yang sudah dirancang dan jadual berhaji itu masih jauh, silakan berumrah dahulu jika kemampuan itu sudah mencukupi selain dapat mengumpul kembali wang untuk berhaji di masa hadapan.

      Insya Allah, niat yang baik itu pasti mendapat perkenan Allah untuk menjemput tetamu-NYA yang merindui pertemuan dengan-NYA. Aammin.

      Terima kasih mas Ded atas kunjungan dan komentarnya.
      Salam sejahtera. 🙂

  4. Assalamu’alaikum Ibu Fatimah
    Alhamdulillah, sudah agak lama saya nggak silaturahim kesini ya. Semoga ini menjadi awal yang baik dalam berbagi kemanfaatan melalui tulisan.

    Yah, Tanah Suci adalah tanah impian setiap muslim di penjuru dunia, yang tidak semua orang memiliki kesempatan mengunjunginya kecuali dengan ijin Alloh Ta’ala. Pun demikian, yang sudah pernah ke sana, saya yakin rasa rindu untuk kesana begitu menggebu-gebu. Karenanya, sangat disayangkan jika ada kesempatan kesana tetapi tidak memanfaatkan waktu yang ada. Setiap detik adalah kesempatan mendulang pahala yang berlimpah. Semoga kita semua dilimpahkan kemudahan untuk selalu mengunjungi Tanah Suci kembali.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Pakies….

      Alhamdulillah, senang menerima kembali kunjungan mas Pakies kemari. Insya Allah, sesuatu yang baik seharusnya dikongsikan untuk manfaat bersama dalam menambah ilmu dan pengetahuan.

      Memang benar, walaupun sudah mengunjungi Tanah Suci, perasaan rindu untuk mengunjungi lagi tidak pernah lekang. Tanah Suci itu seolah memanggil-manggil untuk kembali menziarahinya.

      Insya Allah, jika Allah berkenan menjemput lagi, pasti ada rezeki untuk beribadah di sana dan menjadi tetamu-NYA.

      Terima kasih mas Pakies kerana sudi lagi menitip komentar di laman ini.
      Salam hormat. 🙂

  5. Assalamu’alaikum wr.w., Mbak Fatimah…

    Alhamdulillaah…, betapa hati terasa luar biasa ya, Mbak, ketika pertama kali melihat dan mendekati Masjidil Haram, apalagi saat melihat Ka’bah. Inilah pertanda iman yang benar-benar hidup. Inilah aslinya keimanan kita. Semoga hal ini membangkitkan semangat kita untuk senantiasa mendekati Allah Swt. di mana pun kita berada ya, Mbak.

    Salam hormat dari Jogja.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Aamazzet….

      Tidak mampu digambarkan tentang perasaan indah yang dialami saat pertama kali menjejak kaki ke Masjidil Haram. Rasa tidak percaya.

      Ketika melihat bangunan Kaabah yang hanya sekadar buatan batu sahaja dengan balutan kain hitam, sungguh menghadirkan kesayuan dan kesyahduan. Ada tarikan yang tidak mampu digambarkan seolah-olah ingin selalu mendekatinya. Serasa sangat dekat dengan Allah.

      Mudahan semua amalan dan ibadah sepanjang di Tanah Suci akan meningkatkan iman kita kepada Allah SWT. Aamiin.

      Terima kasih mas Amazzet atas kunjungan.
      Salam hormat takzim. 🙂

  6. bagaimana bu siti bisa mengingat detail perjalanan 3 tahun yang lalu? ingatan seperti pa yang masih bisa menangkap kejadian yang sudah lama dan jauh begitu?

    • Alhamdulillah, semua ingatan itu pemberian Allah SWT di mana saya mempunyai daya memori yang kuat dalam beberapa perkara.

      Selain itu, saya juga mempunyai catatan dalam setiap perjalanan yang saya lalui. Maka ini tidak mengabur dan menguburkan peristiwa yang pernah dilalui.

      Mudahan semuanya saya masih ingat untuk peristiwa seterusnya. Syukran kepada Allah SWT. Aamiin.

      Terima kasih Wahyu atas kunjungan dan salam ceria selalu. 🙂

  7. Assalamualaikum wr. wb..
    Kak Fatimah, sungguh terharu membaca catatan ini.. serasa kembali hadir keindahan menjadi tamu Allah di kala itu. Maaf, apakah anda berhaji di tahun 2011…? jika betul, kita sedang bersama-sama di sana saat itu… sayang belum berkenalan ya.. 🙂 Saya pun membukukan kenangan haji saat itu di Buku Notes from Mecca yang alhamdulillah sdh terbit Feb lalu… Salam hangat dari Kota Batik…
    Wassalam, Mechta.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak MechtaDeera…

      Alhamdulillah, rupanya kita sama-sama menunaikan haji pada tahun yang sama ya, mbak. Cuma rezekinya kita tidak dipertemukan di sana.

      Ramai juga hajjah dari Indonesia yang menjadi kenalan saya di sana sehingga ada yang memberi hadiah al-Quran kepada saya. Cerita ini akan saya tulis di kemudian hari mengikut gilirannnya.

      Saya berbangga mbak sudah sukses menerbitkan buku sendiri. Saya juga mempunyai impian yang sama. Untuk kisah pengalaman di Madinahnya sudah siap. Namun masih lambat mbak kerana saya harus menulis mengikut urutan sehingga selesai. Insya Allah, mudahan tercapai. Doa ya, mbak.

      Terima kasih hadir dan untuk awardnya mbak Mechta. Insya Allah dipamerkan dalam masa terdekat ini. Senang dapat mengenali mbak. 🙂

      Salam hangat kembali buat mbak Mechta. 🙂

  8. Pingback: CT356. HARI PERTAMA SOLAT BERJEMAAH DI MASJIDIL HARAM | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

  9. Pingback: CT401. TRAVELOG HAJJAH 2011 (2): PERJALANAN YANG BELUM SELESAI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.