CT316. CABARAN HAJI (17): PULANG YANG TIDAK MEMBAWA PERUBAHAN

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

UbahFatima1TidakBerubah

*

Setiap kali saya melangkah masuk ke dalam sebuah premis menjual pelbagai barangan keperluan kesihatan milik bumiputera muslim di bandar Sarikei, dengan jelas saya dapat melihat satu papan white board berkaki yang menyambut awal kemasukan pelanggan ke kedai tersebut.

Saya sangat tertarik dan selalu menghampirinya kerana padanya ditulis banyak senarai nama dan kumpulan yang bakal menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Setiap kumpulan mempunyai jumlah nama mengikut bulan-bulan yang dipilih.

Nama-nama yang tersenarai dalam kumpulan-kumpulan tersebut adalah nama jemaah umrah dari penduduk setempat yang bakal menunaikan umrah di bawah kelolaan tuan empunya kedai dengan kerjasama Tabung Haji Travel & Services. Terdapat beberapa nama yang saya kenali mengikuti rombongan ini.

Nama tuan kedai dan isteri mengungguli nama teratas di setiap kumpulan sebagai ketua rombongan. Alhamdulillah, sungguh beruntung sekali tuan kedai dan isteri dapat menjejakkan kaki Ke Tanah Suci hampir 6 kali dalam setahun.

Tidak dapat disangkal apabila melihat banyak barangan berupa pakaian, tasbih, kopiah dan pelbagai lagi dibeli dari sana dan dijual di dalam kedai mereka. Itulah bahagian rezeki yang dikurniakan Allah SWT .

*

FENOMENA

Saya melihat ini sebagai satu fenomena yang meransangkan apabila ramai yang berusaha menunaikan umrah sepanjang tahun 2015 ini. Bulan baru menjangkau Mac tetapi nama-nama tersenarai sudah melangkau bulan Disember dan hampir penuh. Lebih menarik, jumlah nama yang terpapar di papan white board tersebut menjangkau 300 orang.

Itu baru seorang yang mengelola. Terdapat beberapa individu lain lagi yang sudah mendapat kelulusan dari Tabung Haji Travel & Services untuk membawa rombongan jemaah umrah ke Tanah Suci selain rombongan yang dikendali sendiri oleh pihak Tabung Haji Sarikei.

Saya yakin, kemungkinan sepanjang tahun 2015 ini hampir 1000 jemaah umrah dari Bahagian Sarikei yang menunaikan ibadah umrah. Jika demikian keadaannya, jemaah umrah tahun-tahun sebelumnya juga menghampiri jumlah yang sama atau lebih dari itu.

Subhanallah, apabila rezeki sudah ditentukan Allah dan panggilannya sudah sampai kepada nama kita untuk mendapat giliran menjejak kaki ke bumi yang di cintai Allah SWT dan Rasul-NYA SAW, sudah pasti kita patut mensyukuri nikmat tersebut.

Tidak kira seruan itu untuk menunaikan ibadat umrah atau haji, kedua-duanya memberi makna tersendiri yang amat tinggi untuk dilepaskan begitu sahaja. Setiap muslim merasa rindu untuk ke Tanah Suci dan ingin beribadah di kedua-dua masjid suci yang menyimpan 1001 sejarah kebangkitan tamadun manusia.

*

BERSANGKA BAIK

Saya yakin ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan tersemat dalam hati kita sebelum ke Tanah Suci. Banyak azam yang ditanam untuk meningkatkan perubahan. Malah kita merasa bimbang dan takut jika dosa-dosa yang selama ini melekat di hati akan di”hukum” dengan tunai di Tanah Suci.

Yang sebenarnya lebih elok jika kita menggunakan perkataan “memberi pengajaran” kerana mungkin kita “kurang ajar” dalam hubungan kita dengan Allah SWT, hubungan kita sesama manusia dan hubungan kita dengan makhluk selama berada di sana. Sedangkan kita sudah mengetahui larangan-larangan yang ditentukan dalam syariat ketika melakukan ibadat umrah atau haji.

Mengapa mesti ada perasaan “buruk sangka” dan serong dengan Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun Lagi Maha Belas Kasihan. Mengapa mesti menyangka bahawa Allah SWT akan memberi balasan atas sikap “kurang ajar” kita kepada Allah selama ini apabila berada di Tanah Suci. Sedangkan kita adalah TETAMU ALLAH. Masya Allah. Berusahalah membersih dan menyucikan hati juga fikiran kita.

Apa yang berlaku dengan kita di Tanah Suci semuanya atas sebab sangkaan kita kepada Allah SWT yang melibatkan hati. Jika baik sangkaan kita serta selalu berdoa memohon dimudahkan segala urusan, maka semuanya akan berjalan dengan baik. Hati kita menjadi redha dan bertawakal kepada Allah, walau pun ada ujian yang pasti dilalui sebagai jalan mencapai keimanan di sisi-NYA.

Sebaliknya, jika sangkaan kita buruk kepada Allah SWT, masih meragui kasih sayang-Nya, tidak yakin dengan pertolongan dan bantuan-NYA, sudah pasti Allah SWT mendatangkan pengajaran yang sama dengan apa yang kita sangkakan terhadap diri-NYA. Maka, terimalah sangkaan itu sebagai balasan dari perbuatan kita sendiri. Semuanya bermula dari hati yang kotor sehingga mempengaruhi fikiran dan menghasilkan tindakan yang kurang sopan.

Jangan menyalahkan Allah SWT jika rasa diri seakan di”hukum” dan di”ajar”. Salahkan diri sendiri yang tidak sedar diri selama berada di Tanah Suci. Sepatutnya kita sudah tahu adab sopan sebagai TETAMU YANG DIUNDANG DENGAN RASMI kerana kita datang bukan dengan otak kosong tetapi sudah dipenuhkan dengan ilmu melalui kursus dan latihan bersiri.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman:

“AKU MENGIKUT SANGKAAN HAMBAKU KEPADAKU”

– Muttafaqqun ‘alaih

*

Oleh itu, janganlah berburuk sangka dengan Allah SWT. Kita hendaklah ikhlas dalam bertaubat dan yakin dalam berdoa. Rasa ikhlas dan yakin itulah yang menghasilkan impak yang baik di sisi Allah SWT kerana kita sentiasa positif dan bersangka baik kepada Allah SWT. Tinggikan harapan bahawa Allah SWT sentiasa mendengar setiap doa yang dipohon dan curahan hati yang diluah.

Persoalannya…

adakah pemergian kita ke Tanah Suci membawa impak yang besar dalam kehidupan kita sesudah pulang ke Tanah Air ?

*

UbahFatima2SangkaanHambaKU

*

TIDAK BERUBAH

“Tidak guna pergi ke Makkah dan Madinah berkali-kali dalam setahun tetapi hendak memberi senyum kepada pelanggan pun kedekut. Suami dan isteri itu sama sahaja sikapnya. Saya sudah berkali-kali membeli barang di kedai tersebut, seperti itu juga layanannya kepada pelanggan. Tidak mesra pelanggan langsung”

“Apa tah lagi hendak menyebut terima kasih, jauh panggang dari api. Jika tidak kerana keperluan yang aku hendak beli hanya ada di kedai mereka, aku terpaksa ke sana. Jika tidak “haram” aku hendak jejak ke kedai tersebut.”

Kedengaran rungutan demi rungutan penuh hampa Kak Rogayah (bukan nama sebenar), apabila saya membuka kisah keberuntungan tuan kedai dan isteri yang dapat pergi ke Tanah Suci berkali-kali setiap tahun.

Saya memberi senyuman hambar dan mengiyakan apa yang dikatakan oleh Kak Gayah kerana saya juga menerima layanan yang sama setiap kali membeli barang keperluan yang hanya ada di kedai mereka.

Tetapi saya cuba bersabar dan menahan hati dengan layanan dingin yang dipamerkan. Kesal hanya ditunjukkan di dalam hati walau pun ingin juga menegur agar mereka sedar apa yang sedang dilakukan kepada pelanggan.

*

REALITI

Ini baru secebis kisah dari banyak cebisan cerita yang mempunyai slot tersendiri dalam kehidupan mereka yang sudah menunaikan umrah atau haji. Kita pasti pernah menemui orang yang kita kenal sudah ke Tanah Suci tetapi sikapnya masih seperti sebelum pergi ke Tanah Suci.

Antaranya tidak menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, malah solat berjemaah (bagi lelaki) di Masjid juga jarang dilaksanakan sedangkan di Tanah Suci dahulu kita berebut-rebut untuk mendapatkan saf bagi solat berjemaah sehingga sanggup datang awal sebelum azan berkumandang.

Kini, kenapa masjid di tempat tinggal kita masih kosong dan banyak ruang untuk beribadah sedangkan jumlah mereka yang pergi menunaikan umrah dan haji di kampung kita sentiasa bertambah dari setahun ke setahun.

Di mana perginya roh solat berjemaah yang kita terapkan di Tanah Suci ? Kenapa roh itu tidak menyerap di jiwa kita untuk berbuat yang sama di masjid di kampung kita ? Perkara ini tidak dirujuk kepada mereka yang mempunyai komitmen dengan masa tugasan yang tidak menentu. Namun hendaklah berusaha untuk berjemaah di mana-mana yang sempat dapat dilakukan.

Di Tanah Suci kita amat menjaga aurat dengan memakai jubah (kebanyakannya hitam), tudung labuh hingga ke pinggang, berstokin. Semuanya serba sempurna dalam menutup aurat. Tetapi sebaliknya apabila kembali ke kampung keadaan itu semakin berubah dari hari ke sehari sehingga sudah tidak segan silu lagi membuka aurat.

Kalau ada pun menutup aurat, pemakaiannya tidak sempurna seperti yang disyariatkan seperti memakai baju T lengan pendek dan tudungnya pula singkat. Mereka hanya memakai tudung apabila hendak ke pasar. Tetapi apabila berada di luar pintu rumah sendiri, tudung tidak lagi menutupi kepala.

Banyak lagi contoh yang boleh kita perhatikan di sekeliling apabila kita menyoroti perubahan yang berlaku kepada saudara kita yang sudah ke Tanah Suci. Hanya sedikit yang benar-benar berubah dan memasuki fasa baru dalam kehidupan untuk menjadi MUSLIM MUKMIN sejati. Bukan sekadar menjadi MUSLIM sahaja.

*

Kenapa ini berlaku ? Sedangkan kita sudah ke Tanah Suci. Apakah tujuan sebenar kita ke Tanah Suci Makkah dan Madinah ? Adakah kita memahami KENAPA kita ke sana ?

*

Persoalan di atas sangat menarik untuk kita fikir dan dibincangkan. Insya Allah akan saya kupas dalam episod seterusnya sebagai memberi pelajaran kepada saya sendiri, selain menambah pengetahuan untuk dikongsikan bersama tentang –

MEMAHAMI TUJUAN KE TANAH SUCI

 *

UbahFatima3jauhisangkaan

*

bunga*

*

***************

SalamFatima3SalamFatima26 Febuari 2015 (Khamis)/ 7 Jamadil Awwal 1436H/ 10.45malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. mengerti dalam kehidupan ini kita bukan sekadar memberi apa yang kita miliki sebagai suatu yang boleh dikongsikan bersama untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan. Tetapi kadang kala kita juga perlu memberikan diri kita untuk menghasilkan kebahagiaan yang lebih realistik dari apa yang kita impikan. Itulah namanya pengorbanan.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…  Jika seruan Tuhanmu sudah kau sambut, berusahalah menjadi yang terbaik dipandangan-NYA dan ikhlas dalam amalan. Di sana kau akan temui pelbagai mehnah dan tribulasi, pastikan kau melaluinya dengan redha dan sabar. Ke mana pun arah kau tuju doaku selalu mengiringimu setulus hati.  Aamiin. Wassalam. 🙂

*
IngatanFatima2Padamu
*
Untukmu yng selalu ada di hatiku… 🙂
*
*

WALAU JAUH PANDANGAN MATA, DI HATI TETAP BERSUA

*

11 thoughts on “CT316. CABARAN HAJI (17): PULANG YANG TIDAK MEMBAWA PERUBAHAN

  1. Assalamu’alaikum Mbak Fatimah,
    Senada dengan artikel mbak diatas pada dasarnya hukum telah ditetapkan bahwa baik dan buruk ada pahala dan balasanya…What we did is What We get…

    Love from Jogja…Yuni Andriyani…

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yuni….

      Iya mbak. Kita yang menentukan mana satu yang kita mahu. Allah SWT telah memberi pilihan kepada kita untuk berbuat apa yang kita suka sesuai dengan tuntutan syariat agar tidak tersasar dari jalan-NYA yang benar.

      Terima kasih dan salam sayang kembali, mbak Yuni. 🙂

  2. Assalamualaikum kak Fatimah

    Dari kejadian dan kisah yang telah kak fat utarakan, memang kenyataannya kerap kita temui.
    dan moga apa yang telah dilakukan oleh saudara muslim di sana semata hanya memenuhi panggilan NYA… dan bukan mengejar gelar atau hanya gugur kewajiban 🙂
    Terima ksh kak sudah saling mengingatkan 🙂

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…

      Jika tidak faham tujuan ke Tanah Suci sejak di Tanah Air, maka akan sukar untuk memahami apa yang menjadi kewajiban dalam beribadah di sana dengan keperluan hidup yang bukan menjadi matlamat kenapa kita berada di Tanah Suci.

      Oleh itu, kerana fokus sudah lari, maka impaknya akan melekat apabila pulang ke Tanah Air tanpa membawa pulang manfaat dari fadhilat umrah dan haji.

      Mudahan kita dapat menyediakan diri dengan imu dan pengetahuan yang baik sebelum beribadah umrah atau haji.

      Terima kasih kembali mbak Sussi dan salam manis selalu. 🙂

  3. Pingback: CT317. CABARAN HAJI (18): MEMAHAMI TUJUAN KE TANAH SUCI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.