CT126. MANUSIA ATAU ……. ?

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Mengingati jalur kehidupan hari Jumaat di bumi Madinah, sejak dini hari dalam CT123. Solat Jumaat Di Masjid Nabawi,  menghimpun diri di pagi Jumaat bersama jemaah Afrika di CT124. Afrika Oh Afrika hingga ke waktu solat Jumaat berlangsung dengan CT125. Aku Diuji Lagi  dan terakhirnya setelah Isyak menemani penghujung malam.

Tidak pernah saya terfikir, berlakunya pelbagai  kronologi peristiwa yang membawa seribu kenangan di bumi Madinah. Entah apa yang ingin Allah “sampai”kan dalam hidup saya ini. Hanya Allah sahaja yang tahu. Mudahan banyak kebaikan yang diperolehi dalam perjalanan rohani ini. Perjalanan menuju redha Allah atas tiket jemputan sebagai “duyufur Rahmaan” yang terpilih dari jutaan umat Islam sedunia. Alhamdulillah.

Sungguh, rindu kepada bumi Haramian selalu menggigit tangkai hati. Berkaca mata ini mengenangkan “keras”nya kehidupan di sana tetapi tetap dilalui penuh redha dan bahagia. Bahagia, kerana Rasulullah saw dan sahabat pernah melalui “kekerasan” hidup itu. Bagai terbayang di ruang mata sirah kehidupan yang membawa sejuta makna kepada diri saya dan seluruh umat Islam yang mengambil iktibar darinya.

Dalam banyak peristiwa yang berlaku di hari Jumaat (14 Oktober 2011), kisah terakhir yang menutupi hari tersebut adalah kemuncak segala peristiwa yang menyeramkan bulu roma. Setelah mendengar dari mulut Kak Kasma, barulah terasa ada keganjilan dan menimbulkan persoalan. Siapakah yang saya dan Kak Kasma temui itu ? CERITANYA BEGINI…

DI BILIK HOTEL

Bilik Hotel Moltaqa al-Alam

Sebaik masuk ke bilik kediaman bernombor 0909, Tingkat 9, Hotel Moltaqa al-Alam, saya terus memberi salam dan menyapa Kak Kasma yang sedang sibuk melipat dan mengemas baju. Rasa tidak sabar hendak menyampaikan berita yang sangat aneh dan “ajaib” ini. Hanya kepada Kak Kasma saya teruja untuk memastikan apa yang telah berlaku di sepanjang kami bersama di siang tadi.

“Kak Kasma, tadi ada seorang hajjah mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memaklumkan tentang solat Jumaat kepadanya pada waktu pagi ketika dia hendak keluar dengan emaknya untuk shopping.” cerita saya sambil menarik nafas dalam-dalam.

“Iyalah, diapun ada cakap dengan Akak tadi supaya sampaikan salam dan terima kasih dia kepada awak. Dia kata, dia jumpa kita semasa kita hendak pergi masjid pagi tadi. Tapi setahu akak, kita tidak ada pula menyapa sesiapa atau disapa sesiapa semasa pergi masjid.” jelas Kak Kasma sambil berkerut-kerut dahinya.

Saya jadi semakin ingin tahu dan merasa hairan. “Seingat saya, dari awal pagi hanya saya dan Akak sahaja yang bersama. Selepas itu, saya berjalan dengan SPH dan bertemu dengan petugas TH Travels untuk bertanyakan solat Jumaat. Setelah itu kita bertiga terus ke masjid untuk solat Jumaat. Tidak pula kita berdua bertemu dengan sesiapapun dalam perjalanan pagi tadi. Lagipun, kita belum lagi mendapat jawaban tentang solat Jumaat.” ujar saya sambil mengingati kembali perjalanan yang dilalui sepanjang hari ini.

“Masya Allah, pelik cerita kamu berdua ni, menyeramkan sahaja bunyinya” sampuk Kak Senah yang sedari tadi membisu sambil mengurut kakinya yang lenguh. Tanpa mempeduli kata-kata Kak Senah, saya bertanya lagi kepada Kak Kasma. “Akak ada beritahu dia yang saya ni ustazah ? Sebab dia panggil saya ustazah ! ” “Eh, tak ada. Kan awak dah pesan, jangan beritahu sesiapa. Tapi dia sendiri yang sebut ustazah, akak ingat dia kenal awak.” jelas Kak Kasma.

Bulu roma saya meremang tiba-tiba, siapakah wanita yang saya temui di Masjid Nabawi tadi ? Saya tidak pernah melihatnya. Masih terbayang wajah manis yang diserikan dengan senyuman sepanjang perbicaraan kami. Lalu saya menceritakan pengalaman saya bersama wanita tersebut kepada Kak Kasma dan Kak Senah.

“Siapa dia ya, MANUSIA ATAU MALAIKAT ?” tanya Kak Kasma sambil menggosok-gosok tangan yang dirasakannya sudah seram sejuk. “….atau JIN,” tambah Kak Senah. Wah… semakin seram rasanya. Kerana cerita seperti itu selalu diperkatakan oleh sesiapa sahaja yang pernah berada di bumi Haramain. “Ieee… berdiri bulu roma akak bila mendengar cerita awak tadi.” ujar Kak Kasma sambil mengeliatkan tubuhnya.

“Entahlah kak, saya pun tak tahu. Hehehe… agaknya kita berdua (Kak Kasma dan saya)  berada di dua lokasi berbeza dalam masa yang sama tak, kak.” gurau saya sambil ketawa sedangkan rasa seram menyelinap di hati. “Eh, menakutkan pula mendengar kata-kata awak tu.” sambut kak Senah. “Insya Allah, saya yakin wanita itu orang yang baik dan mungkin ada hikmah disebalik semua itu dari Allah swt. Kitakan tetamu Allah, kak.” jelas saya agar kami bersangka baik kepada wanita tersebut.

Malam pertama di Masjid Nabawi

*************

SIAPAKAH DIA ?

Selepas solat Asar, saya menyandar diri di dinding pemisah saf lelaki dan saf perempuan setelah selesai membaca al-Quran sambil berpaling badan ke arah belakang. Alhamdulillah, saya berada di saf pertama hingga ke Isyak nanti. Kelihatan di hadapan saya, para jemaah menyibukan diri dengan membaca al-Quran, berbaring santai, berbual-bual, mencari ruang untuk menduduki saf dan keluar dari masjid. Suasana dalam masjid sangat bising dengan pelbagai bahasa kedengaran sana sini. Udara sejuk amat terasa oleh kedinginan aircon.

Sambil mata meliar segala ruang solat wanita yang seluas mata memandang, entah kenapa hati saya berdebar-debar seakan dipandang oleh seseorang. Tanpa sengaja saya bertembung mata dengan seorang wanita dalam lingkungan umur 30 an yang saya lihat sedang berbual mesra dengan Kak Kasma. Mereka berada di saf kedua sebelah kiri saya. Wanita itu memandang saya sambil tersenyum manis. Saya membalas senyumannya tetapi hanya sebentar sahaja. Hati saya rasa tidak nyaman dipandang terus sebegitu rupa. Entah. Ada rasa gementar.

Lantas, saya membaringkan diri bersama Kak Senah yang telah sedia baring di lantai masjid. Kami kemudiannya leka melihat KUBAH BERGERAK MASJID yang kebetulan sedang dibuka. Kami mengkagumi teknologi kubah bergerak itu. Pergerakannya lambat dan bunyi srreeeeeettttttt dari heretan takal kubah kedengaran halus hingga ke relung hati. Terasa miris. Sebaik melebar bukaannya, tampak indah langit yang biru luas di atasnya tanpa sebarang tompokan awan nano.

Sambil melihat kubah masjid bergerak, fikiran saya asyik memikirkan wanita tersebut. Dalam berfikir itu, saya teringat dengan Kak Mi dalam peristiwa Dialog Panas di CT111. ILMU SAYA vs ILMU AWAK.  “Kak Mi kah tu ?” tanya hati saya. “Hmmm… bukan, kerana saya kenal wajah Kak Mi.” sanggah hati saya kembali. “Siapakah dia ?” soal saya lagi.

Setelah itu, saya tidak memikirkannya lagi kerana asyik berbincang dengan Kak Senah tentang KUBAH BERGERAK dan dekorasi-dekorasi indah yang melilit di segenap ruang Masjid Nabawi. Kami sangat senang dapat berehat dalam kedudukan baring menelentang. Itulah kali pertama dan terakhir saya berbaring dalam Masjid Nabawi. 😀

****************

TERIMA KASIH USTAZAH !

Al-Quran dan sejadah-sejadah saya

Selepas Isyak. Suasana dalam masjid sudah semakin lengang ketika saya selesai membaca al-Quran. Saya pulang lewat satu jam dari Kak Senah dan Kak Kasma kerana ingin menyelesaikan azam untuk Khatam al-Quran di Masjidd Nabawi. Alhamdulillah, esok (Sabtu) bacaan al-Quran akan dilunaskan.

Sebelum keluar meninggalkan ruang Masjid Nabawi, saya mengemaskan al-Quran dan kain tuala kecil berwarna  kuning yang saya jadikan sejadah ke dalam beg galas Tabung Haji. Sebaik sahaja saya bangkit, tiba-tiba terdengar suara lembut memberi salam. “Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh, USTAZAH.”

Saya berpaling untuk melihat siapakah yang menyapa saya. Subhanallah, sungguh mengejutkan saya tetapi masih dapat dikawal apabila di hadapan saya adalah wanita yang memberi senyuman manisnya petang tadi. Hati saya tiba-tiba rasa berdebar-debar tidak keruan. Senyum manis di bibirnya tidak pernah lekang sambil lembut menatap wajah saya. “Wa’alaikum salaam warahmatullahi wabarakaatuh.” jawab saya sambil membalas senyuman dengan hati tertanya-tanya, bagaimana dia tahu saya ni adalah ustazah.

Ketika itu, hanya kami berdua yang berdiri di situ. Jemaah haji lain sudah beransur keluar dan masjid semakin luas tiada berpenghuni. Wanita itu terus menghulurkan tangan untuk berjabat dengan saya. Saya menyambut mesra dengan senyuman yang tidak kalah manisnya. 😀 Yang sebenarnya, ingin menghilangkan gugup di hati kerana tiba-tiba di sapa dalam hening suasana. 

Tanpa memperkenalkan dirinya, wanita itu mengucapkan “TERIMA KASIH USTAZAH, kerana pagi tadi telah memaklumkan kepada saya untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi. Ketika itu, saya dan emak saya hendak pergi shopping. Jika tidak, pasti saya tidak mendapat 40 waktu solat berjemaah, hanya 39 sahaja” Genggaman tangannya tidak dilepaskan dan saya pula membiarkan dengan redha.

“Sama-sama. Tapi tidak payahlah panggil saya ustazah. Panggil sahaja saya kakak, ya” pinta saya dengan hati penuh tanda tanya. Bila pula saya bertemu dengan wanita ini. Rasanya, saya tidak pernah melihat wajahnya ? Timbul seribu persoalan di minda saya.

Ucapan terima kasihnya diulang-ulang banyak kali, sambil tangan kami bergenggaman erat. Wajah yang jernih, manis, berbentuk bulat bujur mempamerkan kegembiraan yang tidak terhingga. Senyum manisnya tidak pernah lekang, saya rasa sangat penat sekali membalas senyumannya. Kami bagai bertanding senyum pula. 😀 Tiba-tiba dia memeluk tubuh saya dengan kuat, saya sangat terperanjat. Namun begitu, saya membalas mesra pelukan tersebut. 

Hati semakin aneh, apakah yang telah saya buat padanya sehingga dia begitu gembira dan ramah sekali ? Sedangkan inilah pertama kali saya bertemu dengannya. Takut pun ada juga apabila saya melihat ruang masjid semakin kosong dan dari kejauhan jemaah mulai beransur sedikit, keluar dari masjid. Kami pula masih jauh di saf pertama dengan acara yang belum ada penghujungnya.

*************

MANUSIA ATAU ……. ?

Saya sempat meneliti sosok luaran wanita yang tidak saya kenali itu. Hajjah ini memakai baju jubah berwarna kelabu gelap, bertudung labuh separas punggung berwarna coklat tua. Raut wajahnya menyenangkan mata memandang. Senyumannya sentiasa selari dengan tutur kata.

Saya dapati dia tidak membawa apa-apa barangan di tangan. Lepas bebas tanpa bebanan. Dengan tingkah yang lembut dan mesra, debaran dan kegugupan saya di awal tadi sudah semakin kurang dan saya dapat mengawal diri memikirkan keanehannya.

Saya ingat selepas bersalam, berterima kasih dan berpeluk mesra, tamatlah pertemuan kami. Rupanya belum berakhir juga. Tiba-tiba dia bertanya tentang sesuatu yang pernah saya alami bersama Kak Mi pada hari Rabu yang lalu. “Kak, boleh saya tanya sesuatu tak ?” Saya menggangguk dan menjawab, “boleh, tidak apa.” “Saya hendak tahu tentang waktu larangan solat, boleh akak jelaskan.” ucap wanita tersebut dengan mata bening yang indah dengan senyuman terukir di bibirnya.

Mendengar pertanyaan tersebut, saya terus menarik tangannya untuk duduk bersama saya. Lalu saya memberi penjelasan tentang waktu tahrim (larangan) solat dan solat-solat yang dibenarkan. Pengetahuan saya ketika itu adalah hasil dari perbincangan saya dengan Khahanisah yang saya temui pada Maghrib hari Rabu.Hari pertama bertemu dengan Nisah. Alhamdulillah.

Wanita tersebut sangat gembira dan berpuas hati dengan penjelasan saya. Beliau lalu meminta diri untuk pulang. Kami mengakhiri pertemuan itu dengan bersalam, berpelukan dan saling berterima kasih. Cuma satu yang kami tidak lakukan iaitu memperkenalkan diri masing-masing. Masya Allah, kenapa saya sampai terlupa untuk bertaaruf dengannya.

Saya juga bermaksud untuk pulang berganding dengannya. Lantas, segera mengambil beg galas yang ada di samping dan berpaling untuk memanggil hajjah tersebut. Saya jadi terpana sejenak kerana saya dapati wanita tersebut tiada lagi di hadapan saya. Hilang entah ke mana. Saya menoleh ke kiri dan kanan untuk mencari kelibat badannya. Tapi tiada.

Ruang solat wanita yang luas dan besar itu kelihatan sepi dari jemaah. Kosong. Hanya dari kejauhan ternampak saki baki jemaah yang berjalan keluar menuju pintu masjid. Saya berbisik dalam hati, “cepat benar hajjah itu berjalan. Ke mana agaknya dia dah pergi.” Saya jadi hairan, bagaimana wanita itu boleh berjalan sangat pantas hingga sekelip mata hilang dari pandangan saya. Secara logiknya, pasti sosok tubuhnya hanya berjarak beberapa meter sahaja ketika saya berpaling sejenak mengambil beg galas saya.

Tanpa disedari, bulu roma saya meremang, tercacak berdiri dan sejuk mulai terasa. Saya berlari-lari anak menuju arah pintu yang masih jauh ke depan kerana pintu masjid akan ditutup sekejap lagi untuk urusan pembersihan. Banyak persoalan bersarang di minda dan ingin dirongkaikan segala misterinya. Jiwa rasa gementar, hati kian berdebar. Degupan jantung saya berdetak kencang bersamaan dengan langkah yang panjang.

Dengan tidak sabarnya saya hendak pulang ke hotel untuk mencari jawaban kepada semua kemusykilan di benak hati. Tentu Kak Kasma tahu jawabannya kerana saya melihat beliau berbicara dengan wanita tersebut petang tadi. Saya jadi seram mengenangkan pertemuan yang telah berlaku. Siapakah wanita itu ? Manusia atau…. ? saya tidak berani menjawabnya. Mulut dan hati saya saling bersahutan melontarkan zikrullah sebagai penenang hati. Ya Allah, lindungilah hamba-MU ini.

****************

15 September 2012 (Sabtu)/ 28 Syawal 1433H/ 8.30 pagi – Sarikei, Sarawak

AKU…. mengerti, alangkah mahalnya harga sebuah perpisahan. Selama ini aku tidak sempat merindu kerana kita tidak pernah berpisah. Tetapi… sekali aku menjauh, terlalu banyak yang ku ingat tentangmu. Masihkah kita perlu menyuluh matahari untuk mencari kewujudan cinta yang tersembunyi, yang malu memuncul diri dari lembah kasihnya. Ya Allah… dalam setiap kesempatan yang ada, aku sering berperang bersama perasaan yang selalu tewas di penghujung rindu.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

HANYA PADAMU YA ALLAH…. HATIKU TERTUMPAH DALAM GARIS RINDU YANG TIADA NOKTAH

28 thoughts on “CT126. MANUSIA ATAU ……. ?

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    LA ILAHA ILLAH MUHAMMAD RASULULLAH by Sami Yusuf…. Ya Allah, ENGKAU adalah sumber ketenangan dalam segala keresahan. Sumber kebahagiaan dalam segala penderitaan. Sumber pengharapan dalam segala keputus asaan. Hanya pada-MU sumber kecintaan. Aku menerima segala takdir-MU dengan imanku.

    DEDIKASIKU UNTUKMU… Apapun yang pernah terjadi dalam hidup kita, semua itu adalah anugerah dan kurnia dari-NYA yang lebih mengetahui apa yang baik untuk kita. Aku senang mengenalimu sejak awal hingga akhir nanti. Selamanya.

    Wassalaam. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb wamaghfiratuh, Kaze Kate…

      Silakan. hehehe… rupanya menjadi komentator pertama selalu menceriakan sesiapa sahaja.

      Terima kasih dan diharap bacaan di atas akan diselesaikan untuk dikomentari kemudiannya.

      Salam sejahtera. 😀

      • haduh teteh ini ada ada aja, saya kira itu memang Jin atau makhluk Ghoib lainya, eh ternyata bukan 😀 | tadi waktu di bookmark saya malah jadi penasaran namun ada tamu yang mampir ke rumah jadi tidak bisa di baca sampai beres. hehe…

        • Alhamdulillah, siapapun hamba Allah itu, tetap insan biasa seperti kita cuma sangkaan kita, selalu meleset kepada “makhluk” lain apabila melalui keadaan seperti demikian.

          Yang pastinya memang ada sedikit aneh dalam kondisi yang tidak pernah dilalui sebelumnya. Mudahan banyak kebaikan yang bakal diperolehi. Aamiin.

          Terima kasih, Kate
          Salam ceria. 😀

            • Aamiin Ya Rabbal’alamiin..

              Belum pernah Kaze. Tapi merasai wujud itu ada setiap hari kerana kita kan berkongsi dunia dengan mahkluk jin ini. 😀

              Apa Kaze sudah pernah bertemu jin ?
              Boleh dikongsikan ceritanya supaya mendapat ibrah.

              • assalaamu’alaykumuwarohmatullohi wa barokaatuh….. wah maaf nih baru online lagi teteh 😀 hahai….

                mmmm insya Allah pengalaman saya bertemu dengan makhluk ghoib akan di ceritakan di terusan kazes adventure teteh 🙂 | maaf belum berlanjut >.< tapi punya teteh udah jauh nih, saya ketinggalan banyk kisahnya… hikz2 musti ngejar2 heu

    • Wa’alaikum salaam wr.wb wamaghfiratuh, Ardian…

      Jangan bingung tentang apa yang membuat bulu roma itu merinding. Tidak ada apa-apa sebenarnya. Hanya sebuah pengalaman yang tidak biasa dilalui dan memang tidak pernah dilalui. Itu sahaja. 😀

      Terima kasih Ardian sudah aktif ngeblog lagi.
      Mudahan sukses dalam setiap apa yang diusahakan.

      Salam sukses. 😀

  2. waalaikumsalam,
    alhamdulillah sudah bisa menikmati masjid nabawi dengan segala keindahannya dan juga kubahnya yang bisa terbuka dan tertutup,
    namun saya agak heran…kenapa rasa takut akan hal ghaib masih begitu kuat muncul di hati, padahal kita tahu bahwa ALLAH selalu bersama kita…dan apalagi kejadiannya di rumah ALLAH..di masjid Nabawi…masjid yang selalu menjadi salah satu tujuan umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Sang Khaliq….,
    salam hangat dari Makassar – Indonesia 🙂

    • Salam hormat mas Hariyanto…

      Alhamdulillah, syukur yang amat besar kepada Allah atas jemputan-NYA yang selalu dirindui oleh semua umat Islam sedunia. Hingga kini, keinginan ke sana selalu membumbu hati. Insya Allah akan ke sana lagi untuk umrah pula. Aamiin. 😀

      Menurut saya, tiada apa yang perlu diherankan terutama kalau yang mengalaminya adalah kita sendiri baik lelaki atau perempuan. Saya dapat merasai perasaan dan emosi itu walaupun berada di dalam Masjid Nabawi atau Masjidil Haram.

      Perasaan itu datang mendadak tanpa dipaksa. Tambah lagi, tidak pernah melalui apa yang diperkatakan. Tentu serba sedikit akan menghasilkan refleksi yang “menyeramkan”. Insya Allah, Allah akan selalu bersama kita, orang-orang yang meyakini keberadaan-NYA di sisi kita.

      Terima kasih mas Hariyanto atas ingatannya. Semoga ada kebaikan atas semua yang dikurniakan Allah swt. Aamiin.

      Salam hangat kembali. 😀

  3. Pengalaman yang luar biasa. Bertemu dengan seseorang yang tampaknya sangat misterius. Semoga dengan kejadian tersebut dapat kita jadikan iktibar utk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT

    • Aamiin… mudahan banyak kebaikan yang bakal ditemui dalam kehidupan mendatang. Allah swt selalu mengurniakan kepada kita sesuatu yang “memeranjatkan” dan tidak pernah terfikir akan berlaku dalam kehidupan kita.

      Mudahan kita redha dan menerima segala “anugerah” -NYA dengan hati yang terbuka, senang dan penuh kesyukuran. Menurut saya, setiap kurnian Allah TIDAK PERNAH datang untuk KEDUA KALInya.

      Maka, hargailah apa yang telah dilampirkan dalam kehidupan kita. Semuanya sudah ditentukan sejak azali lagi dan kita tidak bisa menyingkirkannya walaupun sedetik.

      Terima kasih Ifan atas penjernihannya.
      Salam sejahtera. 😀

  4. Assalaamu’alaikum wr.wb…
    Bunda Siti apa kabar? maaf saya baru bisa berkunjung karena kesibukan… yuni pengen ngucapin mohon maaf lahir dan bathin… semoga belum terlambat hehehe 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yunie…

      Alhamdulillah, saya sihat dan baik sahaja.
      Terima kasih atas kunjungan dan ucapan Selamat hari raya dari mbak.
      Hari ini 29 Syawal dan terakhir sebelum masuk 1 Zukaedah esok hari. Kiranya, masih sempat lagi, mbak. 😀

      Maaf zahir dan batin dari saya.
      Salam manis. 😀

  5. Assalamu’alaikum Wr. Wb…

    Ternyata Bunda punya pula pengalaman seperti itu, manusia apa….? Ah, siapa pun itu yang penting tak bermaksud jahat pada Bunda. Mungkin saja Allah Swt mengirimnya untuk sekedar menemani dan mengajak Bunda bercakap tentang hal-hal yang baik.

    Mudah-mudahan kita selalu mampu menumpahkan setiap rasa, dengan rindu hanya pada Allah semata.

    Salam nan merindu dari kami di Galeri Siswa…

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Galeri Ilmu (GI)…

      Aamiin… begitulah Allah mempertemukan kita dengan sesiapa sahaja yang tidak kita kenali di mana sahaja kita berada seperti kita di dunia maya ini. Ada perkenalan yang kekal, ada yang lama dan ada yang singkat.

      Setiap pertemuan yang “diperkenalkan” oleh Allah ini adalah dalam kesengajaan-NYA untuk menghubungkan silaturahmi. Maka kita harus bersangka baik dan berharap mendapat manfaat dari setiap pertemuan juga perkenalan tersebut.

      Alhamdulillah, setiap kebaikan yang kita lakukan, pasti Allah akan balas baik juga selagi kita tidak berburuk sangka padanya.

      Terima kasih GI untuk kunjungan yang selalu menyenangkan dalam perkongsian ilmu yang mencerahkan hati dan minda.

      Semoga sukses dan rindu selalu untuk anak-anak siswa Galeri Ilmu di sana. 😀

  6. Assalamu’alaikum wr.wb.
    Sebuah pengalaman yang bekesan ya, Mbak. Semoga itu semua menjadikan kita semakin mendekat kepada Allah Ta’ala dan semakin suka berbagi kepada sesama. Ohya, terima kasih ya, Ustadzah. Salam hangat persaudaraan dari Jogja.

    • Wa’alaikum wr.wb, mas Amazzet…

      Alhamdulillah. hanya sebuah pengalaman kecil dari sejuta pengalaman yang amat dihargai dalam setiap detik yang dipaparkan di depan mata. Mudahan bermanfaat sebagai bekal akhirat. Aamiin.

      Terima kasih kembali, mas Amazzet atas kunjungannya.
      Semoga semakin sukses dengan buku-buku yang mencerahkan untuk maslahah ummah.

      Salam ukhuwwah dan salam hormat. 😀

  7. Assalaamu’alaikum, Bunda.
    Idah lama sekali tidak berkunjung ke sini, maaf ya Bunda. . .

    Jika idah bertemu dengan bunda, mungkin pelukan eratnya melebihi mbak yang diceritakan. 🙂
    Bertanding senyum itu memang mengasikkan, Bunda.

    Salam Senyuum. . . ^_*

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Idah manis…

      Maafkan bunda juga kerana lama tidak bersilaturahmi ke blog Idah. Mudahan selepas ini akan terjalin kembali untuk manfaat bersama.

      Alhamdulillah, pelukan erat Idah tentu akan bunda balas dengan lebih erat lagi dari Idah. 😀

      Terima kasih untuk senyuman yang indah buat bunda.
      Salam senyum manis juga buat Idah. 😀

  8. Selamat malam Bundaku tersayang
    rasa rindu semakin bergejolak pula di bathin blue saat ini
    lama nian waktunya ketika blue tak bersapa bundaku disini
    maafkan atas ketidak sempurnaan kangen blue ini y bundaku.
    sedemikian pulalah rindunya blue atas keinginan untuk sholat atau sekedar menatap langsung masdjid tersebut
    terima kasih y bunda ata spostinganmu ini
    salam hangat dari blue
    selalu ada doa untuk kesehatan bunda sekeluarga disana

    • Selamat siang, nanda Blue yang baik….

      Alhamdulillah kerana Blue dapat berkunjung ke laman bunda walaupun kelihatan sibuk dengan pekerjaannya di sana.

      Tidak mengapa, jika ada luang waktu yang bersahabat, silakan hadir tanpa perlu menyusah dan memaksakan diri. 😀

      Semoga apa yang baik dari perjalanan rohani ini, bisa bermanfaat buat Blue di masa depan. Bunda doakan Blue akan ke sana juga nanti menjejak kaki dan menikmati tenangnya bersolat di masjid yang bermakna dan penuh rahmah ini. Aamiin.

      Terima kasih untuk doa yang baik dari Blue, bunda juga mendoakan yang sama dan semoga Blue dirahmati Allah.

      Salam hangat kembali. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.