Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
*
Pertemuan dengan Mieke Sovia Austin berlaku pada hari yang sama dengan ibu tua dari Pakistan yang sudah saya tulis dalam episod CT380. KMH(5): SEJADAH KECIL, IBU TUA DAN SEPULUH RIYAL SAUDI yang lalu.
Saya melihat jam tangan yang sedang menunjukkan pukul 5.05 petang, saat saya dan SPH sampai ke pintu masuk n0. 76. Kami terus menaiki tangga ke tingkat 2. Suasana di dalam ruang bangunan baru Al-Malik Fahd ini sangat selesa.
Saya dan SPH menyimpan dahulu selipar kami di rak yang disediakan sebelum kami berpisah untuk mencari saf solat masing-masing.
Tidak usah dirisau tentang kehilangan kasut atau selipar jika menyimpan di rak tersebut. Sepanjang pengalaman kami tidak pernah berlaku kehilangan apa-apa.
*
MENCARI TETAMU ALLAH
Sudah tentu perkara pertama yang akan saya lakukan adalah mencari tetamu Allah untuk diraikan dengan sejadah kecil saya. Saya berdoa di dalam hati sambil mata mencari-cari jemaah hajjah yang tidak mempunyai sejadah agar sejadah saya ada tetamunya.
“Ya Allah, semoga Engkau perkenankan hajatku agar ada tetamu-Mu yang akan menjadi tetamu pada sejadahku ini”
*
Alhamdulillah, itu dia…. dari jauh saya melangkah laju mendekati seorang wanita muda dalam lingkungan akhir dua puluhan duduk membaca al-Quran tanpa hamparan sejadah di hadapannya. Saya mendapati hajjah muda tersebut berasal dari Indonesia dan sudah tentu mudah untuk kami berkomunikasi.
Saya berdiri di sisinya dan menanyakan kalau hajjah muda itu mahu berkongsi sejadah dengan saya. Hajjah muda yang kemudiannya dikenali namanya Mieke Sovia Austin.
Mieke Sovia yang berasal dari Kota Batu, Jawa Timur melontarkan senyuman dan menyatakan persetujuan untuk menerima pelawaan saya. Ucapan terima kasih diberi dengan wajah penuh ceria. Mieke menjelaskan memang dia tidak mempunyai sejadah dan selalunya solat tanpa sejadah.
Yang sebenarnya bukan sejadah tetapi sehelai kain tudung turki yang dihadiahkan oleh sahabat karib, Zarina Mohd Tahir semasa sama-sama belajar di Maktab Perguruan Islam dahulu. Sejadah kecil berwarna coklat yang biasa diguna untuk meraikan tetamu Allah masih basah kerana baru dicuci dan sedang dijemuran.
*
*
MIEKE YANG PERAMAH
Hati saya sangat gembira. Rasa syukur yang tidak henti-hentinya dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana mendapat tetamu buat sejadah saya dan seorang teman yang peramah selama hampir 2 jam saat menanti solat Maghrib dan Isyak.
Awalnya saya dan Mieke kurang berkomunikasi kerana masing-masing sibuk dengan bacaan al-Quran. Saya menyambung bacaan kitab al-Quran dan terjemahan yang sudah hampir untuk dikhatamkan.
*
*
Kemudiannya kami menjadi akrab apabila masing-masing merehatkan diri dan bertegur sapa. Mieke sangat ramah dan sopan bahasanya. Saya cepat menyukainya. Pelbagai perkara kami bincang berhubung dengan bab haji, fadhilat membaca al-Quran dan ilmu fekah yang dapat kami kongsi untuk manfaat bersama.
Mieke menunaikan haji bersama suaminya yang bekerja sebagai guru agama di sebuah pasentren di Jawa Timur. Mieke sendiri merupakan mantan pegawai bank ketika itu dan mengikut suaminya tinggal di pasentren. (Maaf kalau kakak salah ingatan, nanti Mieke boleh betulkan kalau membaca postingan ini :)).
*
TANDA PERSAHABATAN
Ketika saya berkongsi pengalaman berkaitan fadhilat membaca dan khatam al-Quran kepada Mieke, dia sangat tertarik dan teruja untuk mendengarnya dengan tekun. Malah kami bertukar-tukar pandangan tentang kehidupan masyarakat Islam di Indonesia dan Malaysia.
Tidak saya menyangka apabila Mieke tiba-tiba menyatakan niatnya mahu menghadiahkan al-Quran yang sedang dipegangnya untuk dihadiahkan kepada saya. Kitab al-Quran berukuran kecil itu diberikan terus kepada saya dan meminta saya menerimanya sebagai tanda persahabatan yang baru terjalin.
Saya terpegun sejenak kerana terkejut dengan pemberian Mieke. Tidak pernah terfikir bahawa saya akan menerima hadiah al-Quran di dalam Masjidil Haram, juga dari seorang tetamu Allah yang baru beberapa minit dikenali.
“Terima kasih Mieke, semoga diberkati Allah dan mendapat haji mabrur” itu kata-kata yang mampu saya nukilkan buat Mieke apabila kami berpisah seusai solat Isyak.
*
PENYATUAN HATI
Sungguh mudah Allah menyatukan dua hati manusia yang selama ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Masjidil Haram menjadi bukti kesatuan ummah tersebut.
Mieke memaklumkan hadiah itu diberi dengan tujuan sebagai usaha mendapat keberkatan dari Allah SWT melalui bacaan orang lain untuk amalan akhiratnya. Saya sangat gembira dengan hadiah Mieke dan bahagia menerimanya.
Alhamdulillah, sudah beberapa kali saya mengkhatamkan bacaaan al-Quran menggunakan hadiah Mieke ini. Saya ingin Mieke mendapat barakah dari Allah SWT melalui bacaan ayat-ayat al-Quran dan selalu saya niatkan kebaikan itu untuknya. Aamiin.
*
*
HADIAH DARI LANGIT
Terus saya teringat pemberian saya dengan Ibu tua pagi tadi. Saya bergumam, mungkinkah hadiah al-Quran dari Mieke merupakan HADIAH DARI LANGIT yang Allah kurniakan buat saya atas kebaikan yang dilakukan sepanjang hari ini. Wallahu a’laam.
Hanya ingin menyakinkan diri sendiri betapa Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selalu meraikan para tetamu-NYA dengan perkara yang menggembirakan.
Saya yakin, sesiapa pun pernah mengalami pengalaman seperti ini. Mendapat kebaikan segera di bumi barakah atas kebaikan yang dilakukan. Malah bukan sahaja berlaku di Tanah Suci, tetapi di mana-mana di belahan muka bumi ini.
Tanpa kita sedari semuanya mungkin terhasil dari berkat doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi oleh sang pendoa yang pernah kita berbuat baik padanya. Allahu Akbar. Saya benar-benar menginsafi diri saat memikirkan setiap kejadian yang berlaku.
Oleh itu, selama berada di Tanah Suci banyakkan bersedekah, berbuat baik, bersangka baik dan membantu orang dalam kesusahan. Allah SWT pasti akan membalas segera kebaikan itu tanpa kita sedari entah dari mana arah datangnya dan ketika mana hadirnya.
ALHAMDULILLAH WA SYUKRULILLAH
TERIMA KASIH MIEKE SOVIA AUSTIN
Semoga selalu dilindungi, dirahmati dan diberkati Allah SWT untuk kehidupan Mieke dan keluarga di dunia dan akhirat. Aamiin.
*
*
***************
8 April 2016 (Jumaat)/ 30 Jamadilakhir 1437H/ 1250 petang, Sarikei, Sarawak
AKU…. selalu menginsafi bahawa hidup ini hanya dua minit dalam pengiraan Allah SWT sedangkan kita merasa ia terlalu lama. Maka, perbuatlah sesuatu yang baik walau kebaikan itu hanya sekadar membuang duri di tengah jalan. Allah suka kepada hamba-NYA yang tidak berkeluh kesah dalam membantu sesiapa sahaja asal dia tahu kemampuan dirinya agar tidak berlebihan-lebihan.
– SITI FATIMAH AHMAD –
***************
*
DEDIKASIKU UNTUKMU…. Tika bunga kasih bertebaran di hati, kita dapat merasai sayang yang berelus senang. Tidak mudah memenggal cinta saat teguhnya menekap jiwa. Begitulah yang mengesankan raga hingga ke hujung nyawa. Untukmu selalu doa diutus agar sejahtera hendaknya. Aamiin. Wassalaam. 🙂
*
*
ASSALAM DIK SITI FATIMAH MOGA SHT WALAFIAT BERSAMA FAMILI DLM PERLINDUNGAN ALLAH…SYUKUR ALHAMDULILLAH DPT MERASAI PENGALAMAN INDAH BERBUAT KEBAJIKAN DI TANAH SUCI MEKAH…
Wa’alaikum salaam Kak Paridah Ishak….
Alhamdulillah, saya dan keluarga sihat wal’afiat di sini kak. Didoakan kakak dan keluarga juga sihat di sana.
Oleh itu, apabila di Tanah Suci diharap jemaah haji dan umrah jangan lepaskan peluang untuk berbuat baik dengan tetamu Allah yang lain. Kita mengetahui bahawa doa orang yang bahagia di sana amat makbul. Kerana itu kita selalu merasa mudah dan selamat dalam lindungan Allah tanpa banyak kesusahan yang dialami walau pun terdapat ujian yang tidak kita sangka untuk mengajar kita erti sabar.
Terima kasih kak sudah berkunjung dan salam manis di penghujung minggu. 🙂
Sesunggunya bila berada di sana masing-masing selain mencari redha Allah juga tidak mahu ketinggalan utk merebut ganjaran berganda. Bukan selalu dpt peluang begitu. Biarpun sekadar hamparan sejadah dan Al-Quran kecil tetapi ganjaran tetap tercatat. Indah moment itu juga sentiasa ada di minda kita.
Kakak kalau baca N3 berkaitan sana mesti segala kenangan di sana menerjah satu persatu sehingga jalan yg dilalui semua bagai terbayang di mata ini CT.
Setiap kejadian yang kita lalui dalam kronologi hidup ini mempunyai pengajaran dan hikmah yang indah apa bila kita mengetahuinya di kemudian hari. Antara yang hikmah yang terindah itu adalah menjadi tetamu Allah SWT yang selama ini tanah haram menjadi kerinduan di sudut hati.
Benar kak, apabila Allah memberi peluang kepada kita untuk berbuat baik, maka jangan mempertimbangkan lagi hendaklah berbuat segera kerana perasaan berbelah bahagi untuk berbuat kebajikan merupakan permainan syaitan di hati kita.
Mudahan setiap kenangan yang menerjah hati akan mendapat pahala untuk kita jadikan sandaran agar kita dipanggil lagi untuk ke sana ya kak.
Terima kasih atas berkunjung dan salam mesra selalu. 🙂
Pingback: CT401. TRAVELOG HAJJAH 2011 (2): PERJALANAN YANG BELUM SELESAI | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2