CT115. CABARAN HAJI (3): MULUT

Assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

MULUT adalah makhluk Allah yang sifatnya mencabar manusia itu sendiri. Selain itu kehebatan mulut didukungi oleh sejenis alat bantu untuk memperlihatkan sifatnya iaitu LIDAH. Tujuan lidah adalah untuk bertikam. Jika dua manusia sudah terlibat dalam acara BERTIKAM LIDAH, suasana akan menjadi huru hara dan boleh membawa kebinasaan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. 😀

Mulut dan lidah merupakan dua dari jutaan nikmat Allah kepada manusia. Kita harus bersyukur kerana diberikan mulut sebagai alat untuk berkomunikasi secara berkesan. Mulut mempunyai peranan besar untuk menyelamat dan membinasakan kita. Tanpa mulut manusia tidak dapat menyampai rangkaian kata untuk berhubung. Segala sesuatu yang akan masuk ke tubuh manusia hendaklah melalui gerbang mulut terlebih dahulu.

BAYANGKAN JIKA KITA TIDAK MEMPUNYAI MULUT

Kita harus bijak mengendalikan mulut untuk menjadi penyambung silaturahmi dalam perbincangan yang mengukuhkan persaudaraan. Bijak melatihnya untuk berbicara secara berhikmah dan tegas untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran agar difahami dan diterima secara hati terbuka penuh redha oleh orang lain. Bijak memilih masa untuk bertindak aktif dalam perbicaraan dan mendiamkan diri jika perkara yang dibahaskan tidak memberi faedah kepada keharmonian jiwa.

Akibat yang besar akan muncul, jika tidak mampu mengendalikan mulut sebagai alat penghubung secara verbal. Mulut mengambil peluang untuk membinasakan tuannya dan orang lain. Betapa ruginya, mulut diperlakukan demikian. Percakapan yang tidak ada tujuan baik dan manfaat bererti menggunakan kenikmatan Allah dengan sia-sia. Tidak mendapat pahala tetapi mengundang dosa.

Sabda Rasulullah saw: “Allah swt menyayangi seorang hamba ketika berbicara, ucapannya itu, mendatangkan manfaat baginya. Sebaliknya jika dia memilih diam, maka diamnya menyelamatkan dirinya dari dosa.” – HR Baihaqi.

Sabda Rasulullah saw: “Ucapan yang baik adalah sedekah.” -HR al-Bukhari

****************

PERSEDIAAN AWAL

Menurut saya, apabila niat dan keinginan untuk menunaikan haji sudah terpahat di hati dan setelah mendaftar diri sebagai tetamu Allah, maka di sini bermulalah sebuah era baru dalam kehidupan kita untuk berusaha menjaga tutur bicara dan tingkah laku. Kita hendaklah bermula dari sekarang atau paling lewatnya sebaik mengetahui nama tersenarai ke Tanah Suci untuk mula mengubah sikap secara perlahan-lahan. Jangan menunggu sehingga ke saat akhir untuk berubah.

Jika tutur kata tidak dididik dengan baik, selalu terlepas kata sehingga menimbulkan salah faham, meninggikan suara dan ingin menang sahaja, ketawa terbahak-bahak sehingga menganggu ketenteraman orang lain, bercakap perkara yang tidak berfaedah, bergurau senda yang boleh mengotori hati dan sebagainya, semua ini dapat mencerminkan keseluruhan peribadi individu tersebut. Sangat sukar untuk kita berubah dalam sekelip mata

Tingkah laku yang tidak ditambah baik dan berterusan tanpa diberi suntikan perubahan akan menjadi kebiasaan yang membawa akibat kepada tuannya. Sikap sebegini sangat banyak ditemui di Tanah Suci di mana kita dapati sikap tidak bertolak ansur, mementingkan diri sendiri, suka bergaduh dan pelbagai ragam lagi dapat dilihat di semua Masya’ir haji.

Oleh itu, berusahalah untuk menutur perkataan yang baik dan berfaedah. Berbicaralah dengan lembut dan sopan. Kata-kata yang hendak diucapkan berada dalam kesedarannya yang sudah difikirkan baik dan buruk dari akibat ucapan yang bakal dikeluarkan. Semuanya sudah dipertimbangkan oleh akal sihat sebagai penapis kata-kata buruk secara efektif. Bukan menurut emosi dan nafsu yang sudah dikuasai oleh syaitan sehingga tidak terkawal dan memalukan diri sendiri. Ibarat kata pepatah:

TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR, TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA

Apabila kita dapat mendidik diri untuk menutur kata yang baik, kita akan dapat mengawal diri dari sifat-sifat mazmumah yang selalu melingkari kehidupan kita selama ini. Usaha inilah yang hendak kita jayakan supaya apabila berada di bumi Haramain, kita mampu menghadapi segala cabaran dan masalah yang tidak diduga berlaku ke atas kita.

Ada ketika kita tidak dapat menahan diri dari memarahi orang lain dan ada ketika kita pula dimarahi oleh orang lain yang tidak kita kenali. Semua itu adalah ujian dari Allah. Jika kita bersabar dan berdiam diri,  tentu kita tidak akan berlarut untuk terlibat dalam pertengkaran dan pergaduhan yang dianggap sia-sia di Tanah Suci.

Sesungguhnya Allah akan membantu hamba-hamba yang bersabar dalam ibadah dan kehidupannya di bumi barakah itu. Mohonlah pertolongan dari Allah dan berdoalah selalu kepada-NYA. Allah Maha Mendengar, Maha Belas Kasihan lagi Maha Penyayang. Setiap doa yang dipanjatkan akan diberi perhatian oleh Allah kerana Allah memberi jaminan setiap doa tetamu-NYA akan dimakbulkan.

(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh membuat maksiat, dan TIDAK BOLEH BERTENGKAR.  Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah.” – (al-Baqarah: 197).

****************

DIDIK HATI

BAIK ATAU BURUK yang dilahirkan melalui mulut dan tingkah laku kita,  semuanya berpunca dari HATI. Pelaksanaan umrah dan haji adalah bertujuan untuk mendidik HATI. Hati merupakan elemen terpenting untuk meraih kunci kebahagiaan bagi kehidupan di dunia dan akhirat. Rasulullah saw menegaskan perihal pentingnya hati;

”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hati juga adalah kunci utama untuk meraih HAJI MABRUR.  Perjalanan haji ke bumi Haramain adalah suatu proses mendidik hati. Oleh itu, lihatlah perjalanan haji melalui PANDANGAN HATI bukan PANDANGAN NAFSU. 

Firman Allah swt: “Sesungguhnya beruntunglah sesiapa yang bersih (baik) hatinya. Dan sesungguhnya malanglah (rugi) sesiapa yang kotor (jahat) hatinya.” – (QS asy-Syam, ayat 9 -10)

****************

UJIAN MULUT

Alhamdulillah, sepanjang berada 48 hari di bumi Haramain, hanya SEKALI saya menemui pengajaran untuk diteladani oleh kita semua, yang Allah tunjukkan di depan mata sebagai iktibar dari perbuatan mulut yang tidak dikawal akibat dari menyakiti hati orang lain dengan sengaja.

Saya selalu berdoa agar tidak diperlihatkan oleh Allah tentang akibat-akibat buruk yang menimpa orang yang “sombong” kepada Allah dan manusia. Saya tidak mahu tahu dan berfikir tentang hal sedemikian. Saya yakin setiap manusia yang bergelar Duyufur Rahman mempunyai keistimewaan tersendiri di sisi Allah swt.

Sesungguhnya Allah memberi ujian kepada sesiapa yang DIA kehendaki bagi menambah iman dan mengubah sikap atau menjadikan mereka jauh dari rahmat Allah dengan mendatangkan pelbagai urusan yang menyibukkan mereka dari mengingati Allah. Setiap ujian Allah ada hikmahnya, tetapi terdapat sebahagian jemaah haji yang tidak mahu mengambil iktibar dari “teguran dan pesanan” Allah ini.

KISAH KAK MASLIHAH

Saya mengenali Kak Maslihah (nama samaran) semasa di Makkah. Kami tinggal di Tingkat 9, Hotel Sevilla Barakat.   Kak Mas adalah seorang pesara Guru Besar. Beliau menunaikan haji bersama suaminya yang juga seorang pesara. Mungkin kerana beliau mantan Guru Besar, beliau dilihat mempunyai kewibawaan dalam menguasai suasana perbincangan atau perjumpaan sesama jemaah.

Saya melihat peribadi Kak Mas secara luaran sahaja. Beliau seorang yang kasar dan keras hati tetapi saya yakin beliau seorang yang baik hati. Suka ketawa terbahak-bahak sambil menjerit apabila berkumpul dengan teman-temannya semasa makan. Keadaan ini, selalu menarik perhatian semua orang yang berada di situ. Saya dan SPH selalu beristighfar dalam senyuman apabila memerhati kelakuan kumpulan jemaah haji tersebut. Kami berdoa agar dijauhi sikap sedemikian di bumi Haramain ini.

Apabila Kak Mas bercakap selalu menimbulkan suasana gurau senda yang merendah-rendahkan orang lain, tidak mahu mengalah dan selalu ingin menang, sering meninggikan suara dan kadang kala terdengar dari biliknya bunyi orang bertengkar. Seperti jemaah haji lain, Kak Mas juga menghadapi batuk, tetapi tidak terlalu serius.  Batuk beliau kelihatan serius semasa kami berangkat menuju ke Arafah. kami berada dalam bas yang sama. Sepanjang perjalanan ke Arafah, batuk beliau semakin menjadi-jadi.

Kebetulan di Arafah dan Mina, saya dan Kak Mas berada dalam satu khemah. Semasa di Arafah, sikap dan percakapan beliau masih dalam nada keras dan selalu menyinggung hati teman-teman sebiliknya. Kerana berada di tempat yang sama, saya dapat memerhati gelagat mereka sebilik yang selalu sahaja terjadi pertengkaran mulut dan tidak mahu mengalah.

Teman-teman sebilik Kak Mas, juga saya kenali dan mereka sangat baik serta ramah mesra. Di Arafah, Kak Mas masih dapat bersuara dan mampu bertelagah dengan teman-temannya. Mereka sepertinya sudah lali dengan hidup demikian. Saya selalu beristighfar apabila mendengar mereka bertengkar.

Batuk Kak Mas semakin teruk semasa di Mina sehingga membawa kepada sakit athma. Beliau diserang lelah. Teman-teman sebilik yang selalu bertengkar dengan beliau saling membantu merawat dan menjaganya.

Sepanjang 4 hari berada di Mina, saya tidak pernah mendengar suara Kak Mas bercakap dan bertengkar dengan teman sebiliknya lagi. Percakapan beliau tidak lagi kasar tetapi lembut dan hampir tidak kedengaran. Batuk beliau sangat teruk dan setiap masa kedengaran di seluruh khemah yang memuatkan hampir 400 orang di dalamnya.

Beliau tidak dapat melakukan ibadah dengan baik, sepanjang masa saya melihat beliau berbaring dan tidur kerana sakit athma yang beliau alami di samping batuk yang selalu mengganggu tidurnya. Saya sangat kasihan kepada beliau dan memberikan 2 biji tablet ubat batuk – paralgin forte -.

Ubat ini memiliki dos yang tinggi dan cepat mereda batuk. Kak Mas sangat berterima kasih kepada saya kerana dengan ubat yang saya berikan, batuknya kelihatan reda dan dia dapat bersama suaminya pergi melontar jamrah. Alhamdulillah. Saya senang dapat membantu Kak Mas walaupun beliau tidak kelihatan mesra apabila bercakap.

Kak Mas tidak pernah meninggikan suara apabila berbicara dengan saya. Beliau selalu membalas sapaan saya dengan baik. Apabila bertemu dengan beliau sekali lagi dalam satu bilik di Madinatul Hujjaj, Jeddah, Kak Mas bercakap dengan nada lembut apabila saya menyapa dia dan beliau selalu ingat akan ubat batuk yang saya berikan kepadanya semasa di Mina.

Saya rasa gembira melihat Kak Mas sudah sihat. Cuma sayang sekali, apabila sakitnya sudah mulai baik, beliau kembali berubah kasar dan bertengkar apabila bertemu dengan teman sebiliknya yang kebetulan masih bersama di satu bilik di Madinatul Hujjaj.

Saya menarik nafas panjang melihat gelagat mereka yang ditakdirkan Allah hidup dalam suasana tidak nyaman sepanjang di Makkah. Semoga Allah mengampuni dosa mereka dan menerima amal ibadah mereka. Sebenarnya saya pening kepala tinggal bersama mereka di Madinatul Hujjaj kerana harus mendengar pertengkaran hampir setiap masa di antara mereka. 😀

PENGAJARAN

Memerhati ujian yang Allah berikan kepada Kak Mas sepanjang di Arafah dan Mina, saya mengambil iktibar bahawa Allah memberi peluang untuk Kak Mas meningkatkan iman dan amalnya melalui batuk yang teruk dan athma yang dialaminya.

Sayangnya, penyakit-penyakit tersebut menjadi hambatan untuk beliau beribadah kerana beliau asyik berbaring dan tidur hampir sepanjang masa. Allah menarik sementara nikmat mulut dan kesihatan Kak Mas agar Kak Mas dapat mengambil hikmah dari sikap yang diamalkan selama ini.

Mudahan kita semua mendapat iktibar dari apa yang berlaku kepada orang lain sebagai memberi peluang agar  dapat menjadi tetamu Allah yang melakukan amal ibadah dengan ilmu dan akal yang dibekal semasa menjalani ibadah haji. Selain itu, hubungan sesama jemaah haji hendaklah dijalin baik kerana di sana, kita akan saling perlu memerlukan apabila berada dalam kesulitan.

Kurangkan perbicaraan yang tidak bermanfaat dan banyakan berzikir, bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertalbiah ketika berihram. Insya Allah, semuanya bermanfaat buat hati, akal dan nafsu kita. Ingatlah, MULUT DAN LIDAH selalu menjadi bencana yang membinasakan tuannya  jika tidak dikendalikan dengan bijak.

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” – QS Al-Nisaa’, ayat 110

**************

14 Julai 2012 (Ahad)/ 24 Syaaban 1433H/ 3.46  petang – Sarikei, Sarawak

AKU…. selalu berusaha untuk berakhlak baik dalam setiap kebencian yang ditujukan kepadaku oleh sesiapa yang dihantar Allah untuk menguji kesabaranku. Kadang kala aku terlepas dari kesabaran yang sepatutnya aku simpan untuk bersama Tuhanku. Aku  selalu berusaha untuk berhati lapang dalam setiap kemarahan yang dihalakan kepadaku oleh sesiapa yang dikirimkan Allah untuk meningkatkan imanku. Kadang kala aku tersasar dari ketabahan yang sepatutnya aku genggam untuk menjadi kunci meraih syurga Tuhanku. Aku malu dengan diriku sendiri. Ampunilah aku, Ya Allah.

– SITI FATIMAH AHMAD –

TAHUKAH ENGKAU…DUNIA INI MENJADI SEPI DAN HILANG SERINYA TANPA KEHADIRANMU

**************

16 thoughts on “CT115. CABARAN HAJI (3): MULUT

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Kehidupan ini selalu ada silap yang harus ditempuh untuk mematangkan kita menjadi lebih dewasa. Untuk menjadikan kita bijak dari kebodohan yang tidak dijangka. Menjadikan kita manusia yang berakal dari ilmu yang tersasar fikirnya. Marilah syukuri segala yang diberikan kepada kita untuk dipertanggungjawabkan di sana nanti.

    FORGIVE ME by AHMED BAKHTIAR..

    DEDIKASIKU UNTUKMU…. Maafkan aku jika ada kesilapan dalam kehidupan yang pernah diselusuri. Kasih sayang yang disiram selalu indah dirasai dan akan selalu diingati untuk menyuburkan kehidupan di dunia dan di akhirat. TERIMA KASIH YA ALLAH, untuk semua keindahan yang pernah ENGKAU berikan. Aku redha jika ENGKAU mengambilnya semula dari sisiku. Kerana semua keindahan itu adalah milik-MU secara mutlak yang dipinjam sementara untuk membahagiakan aku.

    Wassalaam. 😀

  2. Benar sekali bu. Jika kita ingin naik haji, maka sebisa mungkin kita harus menahan mulut kita dari perkataan-perkataan yg sia2. Karena esensi dari naik haji itu sendiri adalah membentuk pribadi yang berakhlak mulia yang bermanfaat bagi sesama

    • Hai Ifan…

      Memang sepatutnya, pekerjaan haji ini dilakukan dengan hati yang luhur dan suci bersih dari segala kekotoran fikiran, bicara dan tingkah laku.

      Tetapi itulah yang paling sukar dikendalikan oleh kebanyakan jemaah haji ketika di Tanah Suci. Apabila dari Tanah Air tidak dijinakkan tingkah olah yang keras maka sukar untuk mengendalinya apabila di sana.

      Inilah perjuangan yang dinamakan jihad nafsu yang harus diperangi sebelum melangkah ke medan juang terutama di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

      Terima kasih Ifan. 😀

  3. Berkata hikmah dan bijaksana memang mudah-mudah susah…apalagi ketika kita dalam posisi dipojokkan dan disakiti namun itulah mujahadah dalam menawan nafsu yang tentunya akan berbuah pahala dan kabaikan

    • Demikianlah Allah hendak menguji hamba-Nya yang ingin merasai nikmatnya sabar. Juga sebagai satu jalan untuk meningkat iman di sisi Allah. Sebagaimana firman Allah swt:

      “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?

      Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

      (QS. Al-‘Ankabut [29] : 2-3)

      Semoga proses mujahadah yang dilalui bagi orang yang diuji dan dipilih Allah dapat melaluinya dengan redha. Jika tidak mereka di kalangan orang-orang yang rugi.

      Terima kasih Nediar
      Salam kenal. 😀

  4. assalamualaikum.wr.wb
    ibu siti,
    insyaAllah jika tidak ada aral melintang, hari raya tahun ini saya akan berada di brunei darussalam. tapi setelah saya lihat melalui google map, ternyata brunei dan serawak terutama sarikei memiliki jarak yang lumayan jauh.
    .
    sebelum berangkat haji, berangkat ke brunei dulu. mengumpulkan sen demi sen. mudah-mudahan tercapai keinginan berhaji entah kapan.

    wassalam.wr.wb

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Zainal…

      Alhamdulillah, selamat berhari raya ke Brunei, negeri kaya dengan minyak. Jika mas Zainal dan keluarga bisa datang pada hari raya pertama maka dapat bersama-sama rakyat Brunei menghadiri Hari Raya Terbuka di Istana Sultan Brunei dan setiap rakyatnya diberi hadiah berbentuk barangan dan wang berjumlah 50 dollar. 😀

      Insya Allah, jika niat mahu berhaji sudah dimurnikan,pasti dimudahkan jalan menuju ke Makkah. Allah sangat memerhati niat hamba-hamba-NYA. Simpanlah sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Semoga hasrat mas Zainal akan dimakbulkan Allah swt. Aamiin.

      Terima kasih atas maklumannya. Semoga perjalanannya nanti berjalan lancar. Brunei dengan Sarikei, memang sangat jauh. Mudahan selamat semuanya.

      Salam sejahtera. 😀

  5. Salam,
    Teringin jejakkan kaki ke Mekah anak beranak. Alhamdulillah sbg persediaan akaun tabung haji dah di buka seawal anak saya seusia 2 bulan. Jika ditanya pada yang sulung, dia dah tau duit ni nak guna untuk ke Mekah….InsyaAllah doakan yer. Hari ni genap usianya 6 tahun..Wassalam bonda.

    • Insya Allah keinginan yang baik pasti disukai Allah dan mendapat tempat dalam kurnia-NYA. Bunda doakan Has dan keluarga akan direstui untuk ke sana suatu hari nanti.

      Alhamdulillah, jika sudah mulai menabung untuk anak-anak dalam usia yang masih bayi, sangat menguntungkan anak itu nanti kerana dapat pergi dalam usia muda. Jangan bertangguh melakukan kerja yang baik dan diwajibkan dalam Islam jika sudah ada kemampuan. Semua itu rezeki dari Allah. Eloklah disimpan untuk ke

      Subhanallah, SELAMAT HARI LAHIR untuk anak sulung Has. Bunda doakan dia sihat, bahagia dan menjadi anak yang soleh buat orang tuanya serta dapat ke Makkah di kemudian hari. Aamiin.

      Terima kasih Has.
      Salam mesra. 😀

  6. wahai siti fatimah….apa kabar?
    ada org membuat kesalahan pd org lain dgn mulutnya. org(mangsa) membalas kelancangan mulut beliau dgn menggunakan mulut juga. Allah tidak akan campur tangan jika anda telah pun membalas kejahatan mulutnya kpd diri anda. selanjutnya, simangsa harus membuka mulut utk membetulkan bicara liar yg tak betul terhadap dirinya itu. Allah tidak suka pd sikap dayus yg membiarkan diri sendiri dianiayai oleh org zalim. sebab itu, Allah memberi kita akal dan gunakan akal utk menafaatkan diri dan org sekeliling supaya keadilan dapat mengatasai kezaliman. teman, bersabar biarlah bertempat. gunakan kelembutan nada suara dlm menepis gejala2 yg tertera diatas. salam.

    • Hai Mahini… Maaf baru sempat membalas.

      Alhamdulillah, saya sihat dan didoakan Mahini juga demikian sama.
      Selamat berpuasa dan mudahan keredhaan Allah mengiringi setiap langkah ibadah yang dilakukan di bulan yang mulia ini. Aamiin.

      Saya tidak setuju apabila Mahini menyatakan bahawa “ALLAH TIDAK AKAN CAMPUR TANGAN JIKA ANDA TELAHPUN MEMBALAS KEJAHATAN MULUTNYA KEPADA ANDA..” Kerana setiap perbuatan manusia akan dipertanggungjawabkan sama ada baik atau buruk walau sebesar zarah.

      Allah juga mengingatkan kepada manusia melalui surah al-Isra’, ayat 53 yang bermaksud:

      “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

      Jelas di sini, apapun keburukan yang manusia lakukan dengan kita, hendaklah ditanggapi dengan bijaksana, berakal dan dengan ilmu.Bukan membalas sama seperti cara, gaya dan bahasa yang digunakan oleh orang yang sengaja menaikkan kemarahan atas kita, maka apalah kurangnya peribadi kita dengan mereka.

      Firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 49 yang bermaksud:

      “Dan diletakkan kitab (catatan), lalu engkau akan melihat orang-orang bersalah, ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati, apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.”

      Kerana itulah, kita dikehendaki bersabar, kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Berdiam bukan bermaksud kita kalah, benar atau bersalah tetapi berdiam mempunyai strategi tersendiri iaitu menang dari memenangkan syaitan dan iblis. Wallahu’alaam.

      Salam mesra dan terima kasih memberi pendapat yang sangat baik, saya sangat menghargainya serta mendapat peringatan serta manfaat darinya, untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Semoga Allah memberkahi dan merahmati Mahini. 😀

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.