CT495. JANGAN KECEWA DENGAN UJIAN HIDUP

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

Saya merasa ngeri dan ngilu di hati apabila membaca banyak cerita manusia yang mengakhirkan hidupnya dengan “kematian” akibat mengalami kekecewaan. Ada yang membunuh diri dengan terjun bangunan tinggi, ada yang menggantung diri dengan tali. Ada yang minum racun atau menyedut gas. Ada yang makan ubat tidur secara berlebihan dan berbagai cara yang memudahkan mereka “meninggalkan dunia” yang dianggap menyiksakan.

Kenapa memilih “mati” sebagai jalan penyelesaian ? Bukankah hidup di dunia ini hanya sekali ? KEHIDUPAN INI INDAH jika kita tahu memaknainya. Jika kita tahu menghargainya. Maka, jangan kita sia-siakan setiap waktu yang melingkari hidup kita.

Derita sengsara, miskin hina, pedih luka, gagal kecewa dan apa sahaja yang membawa kepada keperitan hidup merupakan rencah dunia yang menjadi bumbu kepada proses kebijakan manusia menghadapi semua ujian dari Allah SWT.

Semua manusia melaluinya, hatta para Nabi dan Rasul tidak terlepas dari keperitan hidup dalam menyeru manusia ke jalan yang benar. Malah kepayahan dan kesukaran mereka dua kali ganda dari manusia biasa.

Banyak perkara bodoh yang dilakukan manusia semata-mata disebabkan oleh kecewa dan putus asa. Hilang seluruh kewarasan dan kebijakan sebagai makhluk yang dikurnia akal. Ternyata imannya sangat rapuh, pecah dek gelombang, senipis kulit bawang yang memedih mata dan seranggup biskut yang dikunyah gigi.

Mudah terpedaya dengan tipu muslihat syaitan dan nafsu serakah. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Jika ilmu tidak menjadi bekal kepada akal, kita akan dikuasai emosi dan mudah mengalah dengan segala cubaan.

Semoga hubungan kita dengan Allah SWT selalu menjadi keutamaan dalam kehidupan. Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian hidup. Kita hendaklah yakin semua ujian yang dihadirkan adalah menurut kemampuan.

Kita hadapi dengan berlapang dada, ikhlas menerima, usaha menunaikan solat fardhu dan sunat, sentiasa berdoa, memohon perhatian Allah, membaca al-Quran bagi mencapai ketenangan dan ketenteraman jiwa dan membaca buku yang menaikkan semangat hidup.

Jika difikirkan segala derita yang melanda, kesedihan yang menyakit jiwa, keperitan dari segala sengsara atau kegagalan yang menyesak dada. Kita boleh menjadi gila dan putus asa. Untuk apa kita relakan diri diperbodoh oleh perkara yang menghasut fikiran, menghunjam hati dan menghiris perasaan. Hanya kita sahaja mampu menggerakkan jasad menuju cahaya kejayaan hidup.

Ilmu, iman dan amal sangat berguna bagi menjadi benteng kepada serangan penyakit jiwa. Jangan biasakan syaitan dan nafsu menguasai kita. Fikirkan segala risiko yang bakal diterima jika tersalah langkah. Hanya kerana menurut nafsu dan emosi, kita menghumban diri ke lembah hina, ke jurang neraka

Jadilah diri kita, manusia yang kuat jasmani dan kental rohani. Mampu untuk menempuh segala badai yang cuba menghapus kebahagiaan dan kegembiraan hidup yang indah ini. Seminit kita sedih, kita sudah kehilangan satu jam kegembiraan.

Di sebalik semua ujian itu ada hikmah yang besar dan ganjaran yang bernilai.  Allah SWT ingin menguji kesabaran hamba-NYA bagi menghapuskan segala dosa. Di samping itu untuk meningkatkan iman, meninggikan darjat dan mendekatkan hamba di sisi-NYA. Berbahagialah bagi mereka yang tahu menilai betapa INDAHNYA HIDUP INI.

…. bahagia itu tidak mudah diraih jika belum pernah merasa sengsara dan derita jiwa. Nikmat Islam dan nikmat Iman hanya dirasai indah setelah menghadapi sejuta nikmat ujian dari Yang Maha Esa. Setiap waktu, ujian itu ada, tanpa kecuali.

Sungguh indah dirasa, jika mengerti dan mengetahui segala rahsia yang tersembunyi. Allah Maha Mengetahui dan memberi yang terbaik buat hamba-NYA. Hanya kita tidak mengetahui setiap yang bakal kita tempuhi buat bekal akhirat yang pasti di tempuhi.

*

***************

SalamFatima3SalamFatima4 April 2019 (Khamis) / 28 Rejab 1440H/ 12.30 petang / Bandaraya Kuching, Sarawak –  SITI FATIMAH AHMAD

29 thoughts on “CT495. JANGAN KECEWA DENGAN UJIAN HIDUP

  1. Salam kenal dari Indonesia….Sudah jarang saya menemukan tulisan di blog saat ini. Karena orang lebih suka menulis di FB, IG, Whatsapp…Salut

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ummu Haramaian….
      Semoga dengan mencintai Allah dan Rasul-NYA, hidup kita semakin indah dan mudah dalam segala hal. Itu saya setuju.

      Salam kenal kembali.
      Terima kasih sudah berkunjung perdana ke LMGS G2.
      Semoga bermanfaat.

  2. Assalamualaikum ustazah. Saya sudah membaca hasil penulisan ustazah.

    Benar, saya amat tersentuh dan berduka dengan segelintir masyarakat mengambil jalan mudah untuk menamatkan riwayat diri kerana penat akan ujian dunia. Kekecewaan dan kesusahan yang dialami kita masa kini adalah satu peluang untuk kita membaiki diri menjadi orang yang lebih baik. Berasa kecewa itu adalah satu sifat dan lumrah yang dialami oleh seseorang. Walau bagaimanapun, saya berpendapat setiap kejatuhan tersebut membawa sebuah kebangkitan. Kita tidak perlu terlalu larut akan perasaan kecewa kerana semuanya akan berjalan seperti sedia kala jika kita berusaha untuk bangkit.

    Tambahan pula, seperti kita sedia maklum, ujian yang didatangi kepada kita tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk menguji sejauh mana kesabaran kita dan keimanan kita apabila terpaksa berdepan ujian yang begitu memeritkan.Hal ini sudah terang dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Al-Quran bermaksud : “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al Imran ayat 139).

    Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak menambah iman kita atau hendak menguji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita seterusnya mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan. Sesungguhnya ujian juga dapat mematangkan kita. Menerusi buku Tasauf Moden, Professor Dr Hamka pernah berkata. “ Ketika pintu di bumi sudah tertutup yakinlah, pintu ke langit sentiasa terbuka” . Oleh itu, janganlah berputus asa dalam menghadapi ujian kehidupan.

    AIDATUL AZIERAH BINTI SA’ET
    PA SK(2) PISMP JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Aidatul Azierah..

      Alhamdulillah, begitulah kehidupan yang selalu mengajar kita erti kepayahan dan kesenangan. Saya suka membaca komen yang ditinggalkan. Sangat menarik dan bermakna. Banyak manfaat yang saya perolehi dari perkongsian yang ditulis. Saya berharap Aidatul dapat belajar menjadi guru yang boleh memberi manfaat kepada anak didik suatu hari nanti supaya hidup di dunia ini ada makna yang diganjari Ilahi buat bekal di sana nanti.

      Terima kasih Aidatul sudah berkunjung.
      Salam sejahtera dan selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  3. Assalammualaikum ustazah, Alhamdulillah sebuah penulisan yang sangat baik dan mesej yang ingin disampaikan sangat berguna kepada masyarakat masa kini. Hal ini demikian kerana mutakhir ini kita sering dikejutkan dengan berita-berita orang yang membunuh diri berikutan dengan kesusahan hidup akibat pandemic covid 19 ini. Sejujurnya, saya juga berasa amat sedih dan kecewa melihat kerana ada juga yang membunuh diri adalah dalam kalangan umat Islam. Allahuakbar. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku walaupun memang benar, masalah tertekan, stress ini sukar untuk dikawal oleh diri kita sendiri. Namun, bukankah kita sebagai manusia khususnya sebagai umat Islam hendaklah redha dengan setiap apa jua ujian yang melanda kehidupan? Kita tidak sepatutnya terus kecewa dan merasakan ujian yang diberikan adalah membebani kehidupan kita. Sebaliknya setiap ujian yang dihadir dalam hidup mempunyai seribu hikmah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”.

    Jika benar kita sudah mengalami tekanan emosi, berdoa kepada Allah jualah sebaik-baik penawar. Bukan itu sahaja malah bacaan Al-Quran juga boleh menenangkan hati dan diri kita. Sesungguhnya orang yang bersabar atas ujian Allah akan mendapat keberkatan dalam hidup.Firman Allah SWT, ” Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya-lah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah 2:155-157).

    Justeru itu, kita hendaklah sentiasa sabar dan redha dengan apa jua ujian hidup yang melanda. Sesungguhnya setiap ujian yang melanda terselit beribu hikmah dan jika kita dapat hadapinya, InsyaAllah kita dapat menjalani hidup dengan baik dan penuh keberkatan. Usahlah kita terus melayani perasaan kecewa, tertekan itu namun bangkitlah demi mencapai sebuah kehidupan yang indah dan harmoni.

    NUR AQILAH KHALIQAH BINTI JEMAT
    PISMP PIM SK (2) JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

    • Wa’alaikum salaam wr.wb Nur Aqilah Khaliqah….

      Alhamdulillah. Apabila kita sedar diri bahawa kita hanya hamba Allah dan ada sekelumit iman di hati, pasti jalan singkat pilihan nafsu (mati) untuk menyelesaikan masalah tidak akan terjadi. Kita akan memikirkan risiko yang ditempuh, banyak hati akan terluka. Kita sendiri kekal di neraka. Semua itu dapat dipertimbang jika akal menjadi teman. Tetapi berapa ramai orang dapat berfikir seperti itu. Mudahan kita mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku. Semoga Allah melindungi kita. Iya, kita hanya hamba Allah dan tidak berhak mencabut nyawa sendiri.

      Terima kasih Aqilah kerana sudah berkunjung. Senang hati saya membaca komentar Aqilah. Menarik dan sangat bermanfaat. Idea Semoag terus menulis dan berjaya di dunia dan di akhirat.

      Salam sejahtera selalu.
      Salam sejahtera dan selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  4. Assalamualaikum ustazah, semoga sentiasa berada di bawah lembayung keredhaan Allah SWT bersama orang yang tercinta. Alhamdulillah saya diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang Allah pinjamkan untuk saya agar sentiasa memperbaiki diri untuk mendapat kasih sayang dan keredhaanNya. Nukilan ustazah di atas sangat memberi kesan kepada saya agar untuk sentiasa mengambil hikmah dalam sesuatu perkara yang berlaku. Firman Allah dalam potongan ayat dalam surah Albaqarah 286 yang bermaksud “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”. Memang benar banyak perkara yang membuatkan kita jatuh kemudiannya menyebabkan kita kecewa dan akhirnya memilih untuk berputus asa dalam menjalani kehidupan ini. Maka, usahakanlah untuk bangkit dalam memperbaiki dan membuat perancangan jika sesuatu perkara tersebut membuatkan kita kecewa dengan kehidupan kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesainnya jika kita bijak merancang dan sentiasa bersangka baik dengan aturan Allah. Dengan segala kekuatan dan kemampuan yang diberikan oleh Allah, kita sebenarnya belum lagi terlambat untuk mengubah dan mengatur kehidupan kita agar menjadi lebih baik dengan mengutamakan Allah dalam setiap perkara yang dilakukan. Usahlah berputus asa dan bertindak melulu dengan melakukan perkara yang sia-sia. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjadikan ayat-ayat Allah sebagai kekuatan untuk kita bangkit dari jatuh agar mendapat keredhaanNya. Akhir kalam, ‘Patah kerana mulut manusia, bangkit kerana ayat-ayat Allah’.
    Mohd. Aqib Naem bin Naszeri,
    PISMP Pendidikan Islam 2 Jun 2020,
    Semester 3 IPGK Batu Lintang Kuching, Sarawak.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb Mohd. Aqib Naem….

      Alhamdulillah, terima kasih atas doanya. Semoga apa yang dibaca dapat memberi manfaat. Benar, kita perlu mengambil hikmah dari setiap yang berlaku agar kita faham bahawa hidup ini pasti ada banyak jalan keluar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Hanya mereka yang berakal, berilmu dan tabah yang dapat meneruskan kelangsungan hidup kerana mereka percaya kepada diri dan Tuhannya.

      Terima kasih Aqib sudah berkongsi ilmu yang bermanfaat. Sudah berkunjung dan meninggalkan pesan yang menarik. Mudahan pahalanya berkekalan hingga ke akhirat walau hanya sebuah tulisan.

      Salam sejahtera selalu.
      Selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  5. Assalamualaikum ustazah,semoga ustazah dan keluarga sentiasa berada di dalam keadaan yang sihat sejahtera dan sentiasa berada di dalam rahmat Allah S.W.T. Alhamdulillah ustazah saya telah membaca sebuah tulisan yang bertajuk jangan kecewa dengan ujian hidup.Secara jujurnya tulisan ustazah sangat memberi kesan kepada saya dan juga kepada masyarakat lain yang akan membacanya.Kita sebagai manusia seharusnya sentiasa berasa bersyukur kepada allah kerana di sebalik ujian yang berlaku pasti akan ada hikmahnya sama ada secara kita sedar atapun tidak sedar.Allah telah menetapkan segala perancangan yang berlaku secara sempurna.Oleh itu kita sebagai manusia haruslah sentiasa berasa bersyukur kepada Allah SWT.Sebagai seorang mukmin, kita perlu sedar bahawa sesuatu bencana atau musibah yang berlaku adalah sebagai satu peringatan penting dari Allah buat hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Ia juga menjadi satu petanda agar semua umat manusia kembali kepada jalan yang benar dan bertaubat daripada melakukan segala maksiat. Sekiranya kita bersabar dengan ujian ini, maka kita pasti akan diberikan ganjaran dan balasan yang baik di dunia atau akhirat kelak. Selain itu juga, disebalik ujian yang kita hadapi kita juga haruslah sentiasa reda terhadap apa yang terjadi dan sentiasa bersikap positif.Elakkan sikap berputus asa, kecewa dan merungut-rungut ketika berhadapan dengan musibah kerana perbuatan ini dikhuatiri akan menjerumus kita ke dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur. Ujian yang datang bukanlah semata-mata untuk memberatkan beban seseorang, tetapi ia datang sebagai satu peluang untuk menguji diri seseorang itu. Sekiranya seseorang berjaya dalam sesebuah ujian, maka Allah akan mengangkat darjat atau martabatnya ke peringkat yang lebih tinggi di sisi-Nya. Ujian ini juga memberi petanda bahawa Allah sedang melihat tahap kesabaran kita sebagai hamba-Nya. Jadi sebagai seorang mukmin, kita hendaklah bersyukur ke atas segala dugaan dan musibah yang dikenakan ke atas diri kita

    HAFIZD HAZLIMI BIN MAT ALI HANAFIAH
    PISMP PIM SK (2) JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Hafidz….

      Terima kasih atas doa dan semoga dirahmati Allah juga.
      Kandungan isi penulisan yang baik, idea yang bernas dan amat bermanfaat.
      Saya setuju dengan Hafidz bahawa ujian adalah satu peluang untuk menguji manusia sebagai jalan untuk Allah mengangkat martabatnya dengan sifat sabar yang dimiliki kerana janji Allah itu benar di mana Allah berfirman bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar. Tentu sekali kita ingin bersama Allah dan bersabarlah dalam setiap ujian yang melanda walau perit dan sakit yang akan dilalui. Pasti ada jalan mudah akhirnya di tunjukkan Allah nanti.

      Terima kasih Hafidz sudah berkongsi idea di sini. Semoga diganjari Allah atas manfaat tulisan yang ditulis.

      Salam sejahtera selalu.
      Selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  6. Assalamualaikum ustazah, alhamdulillah seusai saya melihat hasil penulisan ustazah saya dapat mengambil input yang ingin disampaikan oleh ustazah. Sebagai mana yang kita tahu, sejak dua menjak ini kita banyak dikhabarkan dengan berita kematian bunuh diri akibat tekanan diri dan mental dimana kebanyakan mereka mengalami tekanan diri akibat daripada pandemik covid 19 ini. Hal ini kerana, mereka yang mengalami tekanan mental ini mudah berputus asa. Pandemik ni menyebabkan mereka di luar sana mengalami ketidak stabilan kewangan dan hilang pekerjaan, lagi lagi untuk mereka yang bekerja sendiri. Golongan ini amat terkesan dan kebanyakkan mereka mudah berputus asa untu meneruskan kehidupan dan memilih untuk menamatkan kehidupan mereka. Setiap orang akan ada ujiannya tersendiri, tidak kira orang itu berjawatan tinggi, mahupun orang yang bawahan. Ujian ini sebenarnya untuk menguji kesabaran kita dalam menghadapi ujian tersebut dengan baik. Percayalah bahawa ALLAH SWT tidak akan menguji seseorang hambanya melebihi kemampuannya. Firman ALLAH SWT dalam surah al baqarah ayat 286 yang bermaksud : Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Oleh itu, kita perlu sabar dalam menghadapi ujian hidup ini. Mereka yang diberi ujian ada sebab dan hikmah untuk apa yang terjadi. Dengan ujian yang diberikan kepada kita dan kita menghadapinya dengan penuh kesabaran tanpa mengeluh ,maka ALLAH menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Insya ALLAH. Apa yang kurang dari saya, dan yang lebih baik itu datangnya daripada ALLAH SWT. Akhir kalam, saya mendoakan agar ustazah sekeluarga berada di bawah lindungan-Nya dan semoga dijauhi dari wabak covid 19. Amin ya rabb. Assalamualaikum.

    MOHAMAD HAKIMI BIN HASBULLAH
    PISMP PA SK 2 JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG KAMPUS BATU LINTANG

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Mohamad Hakimi…

      Kehidupan yang sukar akan menyebabkan manusia sempit pemikiran dan boleh melakukan perkara yang di luar akal normal. Malah sanggup merisikokan nyawa sebagai jalan penamat segala masalah. Saya setuju dengan pandangan Hakimi di atas sesuai dengan hujah al-Quran yang dikaitkan. Ujian juga merupakan jalan untuk Allah menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan agar kita kembali mengharap kepada-NYA semata-mata, meminta pertolongan dari-NYA dan ingin selalu dekat dengan-NYA. Oleh itu, gunakan akal dan ilmu untuk membuat pertimbangan agar kita tidak menyesal di dunia dan di akhirat.

      Terima kasih Hakimi atas doa yang dilampirkan, Diharap anda juga dilindungi Allah. Semoga penulisan ini memberi manfaat kepada kita semua atas perkongsian idea yang bernas ini.

      Salam sejahtera selalu.
      Selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  7. Assalamualaikum ustazah. Alhamdulillah saya sudah selesai membaca hasil penulisan ustazah yang sangat memberi kesan terhadap diri saya sendiri. Saya berasa sangat tersentuh apabila membaca penulisan ustazah ini kerana pada masa kini banyak kes-kes kematian yang berlaku akibat daripada bunuh diri. Sedangkan kita tahu bahawa bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah yang kita hadapi. Sebagai seorang manusia yang beriman kita janganlah sesekali mengambil keputusan terburu-buru lebih-lebih lagi berkaitan dengan bunuh diri walau seberat mana sekalipun masalah yang kita hadapi. Islam juga ada menyarankan kepada umatnya supaya banyakkan bersabar dan teruskan berdoa memohon kepada Allah agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi setiap masalah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke 153 yang bermaksud ” Wahai mereka yang beriman, jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu.”

    Malah, kita sepatutnya bersyukur ketika diuji dengan masalah kerana hidup menjadi nikmat jika Allah halalkan redhaNya kerana redha merupakan salah satu buah dari rasa kecintaan manusia kepada Allah SWT. Manusia yang mempunyai sifat redha adalah seorang manusia yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
    Oleh itu, kita janganlah sesekali berputus asa dan sentiasalah berfikiran positif ketika menghadapi sesuatu masalah dalam kehidupan. Sebagai umat Islam kita haruslah percaya dengan pegangan akidah yang teguh berteraskan syariat Islam bahawa hidup mati kita hanya kerana Allah SWT.

    Saya berharap saya dapat menjadi seorang hamba yang bersyukur apabila saya ditimpa ujian kerana saya tahu ujian yang menimpa diri saya bukanlah sia-sia. Pasti akan ada hikmah dari Allah SWT dan saya tahu ujian yang diberikan oleh Allah selaras dengan kemampuan saya kerana saya tahu Allah tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan. Allah uji tanda Allah sayang kita. Terima kasih ustazah atas perkongsian yang sangat bermakna bagi saya. Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

    RAJA NURSYAMIMI BT RAJA MANSOR
    PA (SK) 2 AMBILAN JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG BATU LINTANG

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Raja Nursyamimi…

      Alhamdulillah, semoga apa yang dibaca dapat memberi manfaat dan kesan yang baik untuk menjadi hamba Allah yang redha dengan setiap ujian yang melanda. Jika diturutkan hati dan nafsu, kita akan binasa. Tetapi jika difikirkan dengan iman, akal dan ilmu, kita pasti akan dapat melalui setiap jalan sukar dengan tabah dan sabar. Maka kita perlu redha dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup dan memilih jalan untuk menyelesaikan setiap masalah dengan waras. Jadilah manusia bijak yang berilmu dan memahami agamanya juga dengan ilmu. Semoga Allah melindungi kita dari tindakan yang tidak rasional yang akhirnya memusnahkan diri sendiri. Kita juga yang rugi.

      Terima kasih Syamimi sudah berkongsi idea yang amat berkesan untuk diambil iktibar darinya. Semoga setiap kebaikan diganjari Allah SWT.

      Salam sejahtera selalu.
      Selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  8. Assalamualaikum ustazah. Alhamdulillah saya sudah selesai membaca hasil penulisan ustazah yang mempunyai makna yang mendalam serta memberi kesan dan ikhtibar kepada diri saya. Kita sedia maklum bahawa kita sering dikejutkan dengan berita-berita orang yang membunuh diri berikutan dengan kesusahan hidup dan penat akan ujian dunia. Kekecewaan dan kesusahan yang dialami kita masa kini adalah satu peluang untuk kita membaiki diri menjadi orang yang lebih baik. Saat kita kesedihan, cubalah pujuk hati, ucapkanlah “Ya Allah, hamba terima semua yang berlaku ini untuk mendapatkan keredhaan-Mu, kuatkanlah hamba untuk menghadapi semua ini.” Memang kadang-kadang walau sejauh mana pun kita memujuk hati ini, terdetik juga kesedihan itu walau sesaat. Walaupun begitu, cubalah untuk terus mendidik hati kita untuk sentiasa bergerak hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah. Percayalah pada Allah. Allah menetapkan sesuatu yang terbaik untuk kita. Apabila kita redha, Allah akan meredhai hidup kita. Dan di setiap kesedihan itu, pasti Allah telah mempersiapkan sesuatu yang membahagiakan kita. Perlu banyakkanlah berzikir dan berdoa. Semua ini terlalu mudah untuk kita lakukan kerana perlakuan ini tidak terhad. Di mana pun kita berada, kita boleh untuk berzikir dan berdoa. Perkara ini cukup penting walaupun mudah. Kerana kedua-dua aspek inilah yang akan menghubungkan hati kita dengan Allah setiap masa. Teruskan berusaha menjadi manusia yang lebih baik walaupun dosa masa lampau kita itu mungkin terlalu besar dan memberi kesan mendalam pada hidup kita.

    MUHAMMAD NOR IQMAL BIN NOR RASID
    PA (SK) 2 AMBILAN JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG BATU LINTANG

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Muhd. Nor Iqmal…

      Alhamdulillah, satu pandangan yang baik dan bernas. Saya tertarik dengan tulisan Iqmal ini iaitu :
      “Saat kita kesedihan, cubalah pujuk hati, ucapkanlah “Ya Allah, hamba terima semua yang berlaku ini untuk mendapatkan keredhaan-Mu, kuatkanlah hamba untuk menghadapi semua ini.”

      Iya, kita hendaklah selalu berdoa, berdoa dan berdoa. Dengan sentiasa berdoa kita menjadi kuat dan sabar. Maka kita sedar bahawa ada satu kuasa yang hebat akan mendengar segala rintihan kita. Jangan pernah berputus asa untuk menjadi orang berjaya dalam hidup. Setiap ujian ada jalan penamatnya. pasti kita menemui kegembiraan yang kita tidak sangka dari arah mana Allah berikan kepada kita. Jika kita berputus asa, maka setiap jalan akan dilihat tertutup buat kita.

      Semoga Iqmal akan terus berjaya dalam hidup dan menjadi manusia yang bermanfaat untuk agama dan negara. Terima kasih sudah berkongsi pandangan yang bermanfaat.

      Salam sejahtera selalu.
      Selamat maju jaya di dunia dan di akhirat. 🙂

  9. Assalamualaikum ustazah, alhamdulillah saya melihat catatan ustazah yang ke 495 saya dapat mengambil point yang ingin disampaikan oleh ustazah.Dari pandangan saya kekecewaan terbesar yang selalunya berlaku dalam hidup kita adalah meletakkan harapan dan jangkaan pada tempat yang salah.Mungkin kita rasa tak berapa dihargai oleh seseorang, tetapi pada masa yang sama ada orang lain sangat mengambil berat terhadap kita.Sebenarnya ini adalah perkara lumrah dalam dunia.Bahkan Nabi Muhammad SAW juga dibenci oleh penduduk Mekah pada awal permulaan dakwah, tetapi disambut dengan sepenuh hati dan penuh kegembiraan oleh penduduk Madinah pada peristiwa Hijrah.Orang tidak lain tidak berhak menentukan harga diri kita.Kita sendiri yang patut sentiasa mengingati betapa berharganya diri kita, dan meletakkan sendiri nilai diri kita.Elakkan sikap berputus asa, kecewa dan merungut-rungut ketika berhadapan dengan musibah kerana perbuatan ini dikhuatiri akan menjerumus kita ke dalam kalangan manusia yang tidak bersyukur. Ujian yang datang bukanlah semata-mata untuk memberatkan beban seseorang, tetapi ia datang sebagai satu peluang untuk menguji diri seseorang itu.Dengan ujian yang diberikan kepada kita dan kita menghadapinya dengan penuh kesabaran tanpa mengeluh ,maka ALLAH menghapuskan dosa-dosa kecil kita. INSYA ALLAH.

    MUHAMMAD ZUBAIR AKID BIN ZAINUDIN
    PA SK 2 AMBILAN JUN 2020
    SEMESTER 1 TAHUN 2
    IPG BATU LINTANG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.