CT431. BAHAYA (3): JIKA UNDUR KERETA TIDAK HATI-HATI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

Jika anda pernah membaca posting saya  yang lalu dalam tulisan CT268. BAHAYA (2), JIKA SALAH MASUK “GEAR”, saya pasti anda yang memandu menggunakan kereta transmisi otomatik akan lebih berhati-hati agar dapat menggelak “kemalangan tidak berbau” yang akhirnya menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

Memang sangat bahaya, apabila kita lupa dan salah masuk gear….

*

LAGI BAHAYA APABILA KITA MENGUNDURKAN KERETA  DENGAN TIDAK BERHATI-HATI.

….. tidak kiralah kereta yang kita pandu itu kereta gear manual atau  gear otomatik. Akibatnya sama sahaja kerana ia berpunca dari cara pengunduran kita yang tidak sabar dan tidak “menoleh” ke sana sini. Tergesa-gesa dan nak cepat.

ATAU…. kesilapan pemandu lain yang turut tidak hati-hati ketika mengundurkan kereta mereka sehingga berlaku perlanggaran punggung dan muka kereta. Jika pengunduran dan kemalangan hanya melibatkan kereta kita sahaj, tentu tidak menjadi masalah yang besar. Tetapi apabila melibatkan kereta orang lain, banyak cerita yang bakal kita hadapi sesudah itu.

Allah, Allah, Allah….. sesungguhnya manusia selalu lupa, alpa dan cuai. Kerana itulah kita sering diingat agar memulakan pemanduan dengan membaca doa sdan fokus dengan apa yang ada di sekeliling kita semasa memandu atau semasa mengundurkan kereta. Jika semua itu kita tidak ambil berat, pasti ada yang bakal menimpa tanpa kita sedari apakah kejadian tersebut.

Dengan berdoa dan mengingati Allah, kita akan selamat dan selalu dilindungi Allah di mana juga destinasi kita tujui. Kadang-kadang pertolongan Allah datang tanpa kita duga dari mana arahnya. Yang pasti, setiap kali kita menemui masalah, Allah akan mudahkan urusan kita.

Kita selalu berdoa agar tidak berhadapan dengan masalah semasa sedang memandu. Tetapi apabila Allah SWT menghendaki dengan memberi ujian kepada kita sebagai satu pengajaran yang membekas dijiwa, tidak ada sesiapa yang mampu menghalangnya.

*

PERTOLONGAN ALLAH

Saya mempunyai pengalaman dalam kemalangan mengundur kereta sebanyak 4 kali dengan menggunakan 4 jenis kereta yang berlainan. 3 kali dengan manusia dan sekali dengan pasu bunga. 😀

Walaupun hanya pelanggaran undur kereta, ia tetap membuat hati saya kecut, resah dan rasa hendak terkencing akibat ketakutan. Perasaan tersebut menikam hingga ke ulu hati, menggigit dan menghiris dengan perasaan kesal yang tidak berbelah bahagi kerana saya selalu merasakan saya yang menjadi puncanya.

sungguh, kemalangan mengundur kereta tetap mempunyai bahaya tersendiri.

*

ALHAMDULILLAH WA SYUKRULILLAH….. semua kemalangan undur kereta yang saya alami telah dimudahkan Allah tanpa sebarang masalah yang boleh membawa kepada pertengkaran, pergaduhan, kes polis, mahkamah atau sebagainya. Semuanya dapat diselesaikan di tempat kejadian dalam keadaan baik dan MENCENGANGKAN.

SUNGGUH IA MENAKJUBKAN. Saya sendiri tidak percaya dengan  apa yang sedang saya alami. Saya yakin semua itu datang dari PERTOLONGAN ALLAH yang sangat sayang kepada saya. Sudah tentu saya tidak menyangka begitu akhirnya setiap kejadian tersebut.

BEGINI KISAHNYA…..

*

4 KALI KEMALANGAN, 4 JENIS KERETA

Alhamdulillah, selama hampir 32 tahun memandu kereta, saya tidak pernah mengalami kemalangan jalanraya. (Mohon dijauhi Allah. Aamiin). Semoga selepas ini pun, Allah selalu melindungi saya dan keluarga dari terlibat dalam mana-mana kemalangan tersebut.

*

(1) MEMANDU PERODUA KANCIL 650

*

Kemalangan undur kereta Perodua Kancil akibat dari percaya dengan kata-kata puteri sulung saya, Cahaya yang baru berusia 5 tahun ketika itu. Saya menyuruh Cahaya melihat belakang bagi memastikan tiada kereta yang lalu. “Undur lagi, Ma… lagi… lagi, tidak ada kereta ” jerit Cahaya dikerusi belakang, tanpa saya melihat cermin pandang belakang kerana percaya dengan Cahaya.

Tiba-tiba…. gaaaang. Zuuupppp, jantung saya seakan berhenti apabila melihat cermin pandang belakang, ada sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam betul-betul di belakang kereta Kancil. Allahu Akbar, jerit saya. Saya menghentikan kereta dan keluar. Dua orang remaja lelaki berbangsa Cina berdiri di tempat saya melanggar tengah-tengah pintu belakang kereta.

Terbayang di mata saya, masalah akan timbul selepas ini. Ini pertama kali saya mengalami kemalangan undur kereta. Saya terus istighfar banyak dan memohon Allah membantu saya dengan melembutkan hati anak remaja tersebut.

Saya meminta maaf dan bertanya kalau ada yang tercalar dan boleh dirunding kerugiannya. Allah, Allah, Allah…. kedua remaja lelaki Cina itu terus meminta maaf juga dengan saya dan menyatakan “tidak apa-apa. Sikit sahaja”, dan mengharapkan saya tidak bimbang.

Saya terdiam tidak terkata kerana ia selesai begitu sahaja. Saya ucapkan terima kasih dan minta maaf lagi.  Kereta Kancil saya tidak tercalar sedikit pun.
Lalu berlalu dengan perasaan lega dan ucapan syukur tidak henti-hentinya dizikirkan.

*

(2) MEMANDU TOYOTA UNSER 1.8

Kejadian kemalangan undur kereta ini berlaku di Simpang jalan Sarikei dan Sri Aman ketika saya pulang dari kerja pada jam 5.02 petang. Sebuah lori trailer panjang membawa banyak kereta memasuki Simpang Sibu di mana kereta saya berhenti di hadapan sekali.

Dek kerana panjangnya lori tersebut saya mengundurkan kereta bimbang akan terlanggar. Saya memandang cermin pandang belakang. Tidak ada kereta kelihatan. Lalu saya mengundur lagi, tiba-tiba..

Gaaaaannnnggg. Amat kuat sekali dan terasa hentamannya. Saya sangat terkejut. “Bila masa pula ada kereta di belakang” gumam saya dengan hati yang amat kesal. Darah mula terasa menyirap di muka. Hati bergetaran tidak keruan. Rasa takut menyelinap di seluruh urat. Rasa nak terkencing pun ada.

Allah, Allah, Allah. Saya menyeru nama Allah tidak putus-putus. Bantulah hamba-MU yang lemah ini. Mudahan tidak ada apa-apa yang bakal berlaku. Saya sendirian. Sungguh menyerikan rasanya. Saya menarik nafas dalam-dalam dengan tangan gementar sambil mencari kekuatan.

Saya keluar dari kereta. Rupanya saya terlanggar sebuah van mini usang yang membawa beberapa orang di dalamnya. Saya melihat sebelah kanan (pemandu) di belakang Unser sudah penyek dan bercalar kuning (cat kuning dari bumper sebelah kiri van tersebut).

Pemandu lelaki berbangsa Iban keluar dari van dan mula marah-marah kepada saya. Bumpernya hanya tercalar sedikit dengan cat kuning tertanggal. Saya memohon maaf, namun tidak diendahkan. Lelaki itu meminta ganti rugi kerana saya yang bersalah, katanya. Saya tidak mahu berjawab panjang dan bersetuju lalu menelefon SPH untuk membuat rundingan.

Tidak saya sedari, ada seorang lelaki berbangsa Cina berhenti melihat kejadian tersebut dan dia mendatangi pemandu van. Saya ketika itu sedang berusaha menelefon SPH tetapi gagal. Akhirnya saya kembali semula kepada pemandu van yang sedang bersama lelaki Cina.

Saya sungguh terkejut dan tercengang, apabila pemandu van itu, meminta maaf berkali-kali kepada saya dan langsung tidak marah lagi. “Kenapa dia meminta maaf sedangkan aku yang bersalah”, getus hati saya. Bahasanya ramah dan wajahnya nampak ceria. Saya menghulurkan wang RM50.00 sebagai ganti rugi tetapi tidak mahu diterimanya dan berlalu pergi. Allahu Akbar, apa sebenarnya berlaku ?

Rupanya lelaki berbangsa Cina itu menjelaskan bahawa pemandu van tersebut tidak mempunyai lesen memandu. Dia kata, jika saya memanggil polis untuk menyelesaikan masalah ini, maka pemandu akan ditangkap serta merta. Sebab itu, dia minta maaf dengan saya dan minta semuanya selesai di situ sahaja.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada lelaki berbangsa Cina yang saya tidak ingat langsung untuk mennayakan namanya. Ia seakan “malaikat” yang didatangkan Allah untuk membantu saya yang keseorangan di tengah jalan.

ALHAMDULILLAH WA SYUKRULILLAH.  Engkau Maha Mengasihani Allah. Sepanjang memandu balik ke rumah, saya menangis atas pertolongan Allah yang tidak disangkakan itu.

*

(3) MEMANDU PROTON SAGA ISWARA AEROBACK 1.3

*

Kejadian ini sangat ringkas. Tidak sampai 10 minit. Kejadian ini berlaku di kawasan parking, hadapan rumah sewa saya di Hentian Kajang tahun 2010. Saya hendak keluar untuk ke Perpustakaan Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia. Ketika itu saya sedang menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana (Master).

Semasa saya hendak mengundurkan kereta Iswara, saya sudah memastikan tidak ada kereta yang berada di belakang kereta saya. Saya yakin dan mengalih ke gear undur. Sebaik sahaja kereta mengundur…gaaaang, saya terasa ada terkena hentakan sesuatu. Saya memandang cermin pandang belakang lalu menoleh.

“Ya Allah, kenapa aku lalai sangat ni, rasanya tadi tidak ada kereta, bila masa pulak kereta tu tiba-tiba berada di belakang kereta saya” guman saya dengan rasa gementar. Saya terus keluar kereta untuk melihat apa yang berlaku.

Di hadapan saya, sebuah kereta Kelisa berwarna putih. Ada sedikit calar di bumper sebelah kirinya. Begitu juga kereta saya. Saya menahan nafas tidak keruan. Ya Allah, bantulah hamba-MU ini. Dua lelaki berusia dalam pertengahan 20-an turut keluar dari kereta.

Saya rasa saya bersalah. Saya tidak dapat berfikir apa-apa lagi. Saya kata: “Dik, akak minta maaf, akak tak tahu adik kat belakangf akak.” Maaf saya disambut, mereka juga minta maaf sebab tidak melihat saya sedang mengundur kereta.

Saya menghulurkan wang RM50.00 . “Dik, ni sahaja wang akak ada. Ambiklah.” Tanpa banyak bicara, lelaki di hadapan saya mengambil wang tersebut, mengucapkan terima kasih. Terus masuk kereta dan berlalu dengan cepat. Saya rasa sangat lega dan bersyukur kepada Allah kerana dimudahkan urusan tersebut. Entahlah, siapa yang bersalah, sampai sekarang saya tidak tahu.

Ya Allah, nikmat mana lagi yang hendak aku dustakan. Terima kasih Wahai Yang Menyentuh Hati. Aamiin.

Saya lebih berhati-hati mengundur kereta selepas kejadian tersebut dan berharap tidak akan berlaku lagi.

TETAPI…..

*

(4) HYUNDAI TUCSON 2.0

….. kejadian itu berulang lagi setelah 7 tahun berlalu. Beberapa hari yang lalu, kali ini bukan dengan manusia tetapi berlaku ke atas pasu bunga kertas (Bourganvilla) paling besar di halaman rumah saya.

Sungguh,  saya tidak berhati-hati apabila mengundurkan kereta Hundai Tucson dalam keadaan tergesa-gesa untuk keluar dari rumah menuju ke tempat kerja. Jam sudah hampir menginjak ke pikul 7.00 pagi. Saya mesti sampai ke kampus sebelum jam 7.30 pagi. Jarak perjalanan saya adalah 27 km.

Saya ingat, dengan kemahiran mengundur kereta yang dianggap cekap di halaman rumah sendiri selama ini, tidak akan membawa akibat apa-apa. Dengan yakin saya mengundurkan kereta Hyundai Tucson dengan laju sehingga alat sensor berbunyi dengan cepat.

Tidak sempat membrek kereta…. duuuuupppp…. praaaaaang. Saya tidak menyangka punggung kereta mengenai badan pasu. Sungguh saya tersentak dan tergamam beberapa saat.

Saya menoleh ke cermin sisi…. Ya Allah, pasu aku jatuh dan pecah, jerit saya sendirian di dalam kereta. Terburai segala badan pasu. Tanah yang melingkari pokok bunga sudah “telanjang bulat”.

Walaupun bukan manusia, melanggar pasu bunga tetap menggugah hati saya. Pilu melihat kecuaian diri sehingga membinasa tananam sendiri. Syukur bukan manusia yang dilanggar. Allahu Akbar. Tetap Allah menyelamatkan saya dari perkara yang tidak disangkakan.

*

Saya keluar dari kereta dan menghampiri pokok bunga. Nak angkat tak boleh, berat. “Oh bunga, maafkan saya ya. Nanti balik kerja saya akan suruh SPH untuk angkat awak. Harap awak dapat bertahan selama 8 jam lagi.” Begitu bicara sayu saya kepada pokok bunga Kertas.

SETELAH 8 JAM….. pulang dari tempat kerja pada jam 5.00 petang, barulah pokok bunga Kertas di angkat dari kedudukannya awal pagi oleh SPH. Kasihan pulak melihatnya. Alhamdulillah, SPH tak marah. Kami hanya ketawa melihat kejadian tersebut.

*

Sungguh saya menyesal kerana tergesa-gesa dan tentu sahaja ini menjadi pengajaran buat saya di kemudian hari. Lepas ini saya kena mencari pula pasu baru yang muat saiz pokok bunga tersebut.

*

AMBIL PENGAJARAN

Alhamdulillah, semua kemalangan mengundur kereta dengan manusia tidak menghadapi sebarang masalah. Namun perasaan teruji tidak terkata. Allah menjadi penyelamat dan pelindung. Allah permudahkan segala urusan. Saya dapat merasai kasih sayang Allah di hari dan di tempat kejadian.

Saya berharap pengalaman-pengalaman saya di atas  dapat menjadi peringatan dan pengajaran kepada teman-teman pembaca LMGS G2 untuk berhati-hati di kemudian hari. Jika boleh saya tidak mahu ia berulang lagi sehingga akhir hayat nanti. Aamiin.

*

SUNGGUH…. SANGAT BAHAYA JIKA UNDUR KERETA TIDAK BERHATI-HATI

*

*

bunga*

***************

SalamFatima3SalamFatima 29 April 2017 (Sabtu)/2 Syaaban 1438H/ 3.50 petang, Sarikei, Sarawak

AKU…. dapat merasai nikmat kehidupan yang hampir dengan Allah apabila seluruh ragaku tidak pernah lelah untuk menyerah diri pada-NYA kala senang dan susah, saat suka dan duka serta masa bahagia dan derita. Aku bersyukur menjadi hamba yang mendekatkan diri pada-MU, wahai Yang Menyentuh Hati. Jangan berpaling dariku. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

 DEDIKASIKU UNTUKMU…. Hujan rintik membasahi bumi dalam redup mendingin jiwaku yang resah. Jika hujan di  tempatmu dan menyapa lembut ke pipi. Itulah rinduku padamu yang tidak pernah ku kirim pada angin lalu. Ku doakan kebahagiaan selalu milikmu. Aamiin.  Wassalaam. 🙂

*

8 thoughts on “CT431. BAHAYA (3): JIKA UNDUR KERETA TIDAK HATI-HATI

  1. Wa’alaikum salaam wr.wb, Kak Paridah Ishak…

    Alhamdulillah, saya sihat wal’afiat. Didoakan akak juga sama hendaknya. Oleh kerana telah mengalami kemalangan mengundur ini, saya selalu rasa kurang yakin(fobia) untuk mengundur kereta sehingga sangat berhati-hati melakukannya. Sekurangnya kita mendapat pengajaran dari kesilapan yang dilakukan.

    Terima kasih kak dan salam manis selalu. 🙂

  2. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Mbak Fatimah,

    Memang sungguh ngeri kalau kereta yang kita pandu tiba-tiba menabrak sesuatu. Untung hanya pasu binga yang kenal ya Mbak dan itu pun juga milik sendiri, tidak terlalu risau Perasaan hati. Kalau yang terlanggar adalah kereta orang lain seperti 1 kasus di atas. Rasanya selain sedih ada rasa tertekan juga Sebab saya pun pernah mengalaminya.

    Salam kangen dari Serpong 🙂

    • Wa’alaikum salaam warahmatullahi wabarakatuh Mbak Evi….

      Betul mbak, rasa tertekan itu sampai menghiris rasa dan menggugah hati. Kecut perut dibuatnya dan merasakan diri yang bersalah. Mudahan semua itu menjadi pengajaran untuk kita berhati-hati di kemudian hari.

      Terima kasih mbak Evi atas kunjungan dan salam rindu juga . 🙂

  3. Assalamu’alaikum wr wb puan Fatimah,

    wah lumayan sering juga kejadian undur kereta ya.
    Meskipun sudah pakai asuransi kadang saya suka malas sama urusan2nya … apalagi kalau pakai ribut ribut dulu.
    Semoga kita selalu hati hati dan waspada ketika berkendara maupun ketika undur kereta .. aamiin

    salam sehat bahagia dari Jakarta

    • Wa’alaikum salaam wr.wb….

      Aamiin Allahumma Aamiin… Iya betul, paling saya juga tidak sukai adalah prosesnya, lebih baik selesai di tempat kejadian sahaja. Semua itu untuk mengajar kita agar berhati-hati.

      Terima kasih mas bersapedahan sudah berkunjung dan salam takzim.

  4. Assalamualaikum ummi siti fatimah, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Wah, banyak kali juga ummi siti fatimah terlibat dalam kemalangan ketika mengundurkan kereta. Tentunya perasaan yang macam-macam timbul tatkala beradadi situasi demikian. Alhamdulillah, saya belum pernah lagi terlibat kemalangan samada membonceng atau memandu, tetpai nyaris-nyaris tu adalah. Mungkin ummi siti fatimah boleh memasang kamera kecil di belakang kenderaan seperti kebanyakan yang dibuat masakini.
    Apa pun, moga ummi siti fatimah lebih berhati-hati dalam pemanduan..

    Akhukum fillah,
    abuikhwan,
    Kuantan, Pahang.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Abu Ikhwan….

      Alhamdulillah wa syukrulillah, saya baik dan sihat. Didoakan Ab Ikhwan dan keluarga di sana juga dalam rahmat dan lindungan Allah SWT.

      Insya Allah, setelah melalui beberapa tahap kemalangan yang sama, saya akan berusaha untuk lebih berhati-hati. Jika menggunakan kamera undur juga, saya masih kurang yakin dengan jaraknya kerana kereta Toyota Innova kami mempunyai fungsi kamera “reverse” tersebut. Tetap lebih suka mendengar bunyi pada alat sensornya.

      Terima kasih Abu Ikhwan atas doa dan kunjungannya.
      Salam sejahtera di penghujung minggu.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.