CT123. SOLAT JUMAAT DI MASJID NABAWI

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Semalaman kami (saya, Kak Senah dan Kak Kasma) membincangkan persoalan wanita boleh atau tidak melaksanakan solat Jumaat di Masjid Nabawi esoknya. Sehingga jam 11.30 malam, waktu untuk tidur, persoalan tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian. Buntu dan membingungkan.

Kami masih berbasa basi mencari ruang untuk menentukan kami bertiga harus pergi atau tidak untuk solat Jumaat. Kami musykil apakah esok ada jemaah haji wanita yang akan solat Jumaat di sana. Bagaikan berada di Persidangan Meja Bulat OIC (O, I See), kami para perwakilan sedunia harus memutuskan sesuatu untuk maslahat ummah yang akhirnya memeningkan kepala, 😀 sedangkan kami hanya duduk baring santai atas katil di Hotel Moltaqa sahaja..hehehe.

Supaya tidak melarut jauh tanpa noktah, mata pula sudah layu bagai daun pisang disimbah air panas, kuyu dan tidak bermaya lagi, sedangkan jam 2.30 pagi nanti harus berangkat ke Masjid Nabawi untuk merebut saf pertama. Lalu, saya memaklumkan esok akan bertanya dengan SPH atau pihak Tabung Haji jika berkesempatan untuk bertemu. Setelah memberi salam, saya membaringkan diri dalam keletihan sambil ingatan menerawang kepada perbincangan yang baru sebentar berlangsung sehingga terlelap.

“Kak, dari segi hukum syarak, memang wanita  TIDAK WAJIB untuk solat Jumaat dan hukumnya tetap sama di Masjid Nabawi dan di Masjidil Haram. Tapi jika mereka mahu solat juga, hendaklah solat di kawasan yang ditetapkan khusus untuk wanita. Apabila selesai solat Jumaat, wanita tidak perlu solat Zohor lagi. Namun, lebih afdal solat Zohor di kediaman sendiri.” jelas saya apabila Kak Kasma bertanya tentang solat Jumaat di Masjid Nabawi.  Kami akan pergi atau tidak. Itulah kemusykilan yang ditimbulkan. 

Daripada Tariq Ibn Syihab r,a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Solat Jumaat itu hukumnya WAJIB ke atas setiap muslim (lelaki) secara berjamaah KECUALI EMPAT GOLONGAN iaitu hamba yang dimiliki, WANITA, kanak-kanak  atau orang yang sedang sakit.” – Hadis diriwayat oleh al-Hakim dan Abu Daud.

Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada kewajiban bagi orang yang SEDANG MUSAFIR mengerjakan solat Jumaat.” – Hadis diriwayatkan oleh al-Thabrani dengan sanad yang dhaif.

Kak Senah memberi pendapatnya. “Tidak payahlah kita solat Jumaat, biarlah orang tempatan (Madinah) yang solat kerana kita orang luar. Berilah peluang orang tempatan untuk solat Jumaat.” Kak Kasma tidak setuju. “Kalau kita tidak solat Jumaat di Masjid Nabawi bermakna kita tidak solat berjemaahlah. Bukankah sudah rugi satu waktu. Tadi Timah kata, hukumnya boleh jika mahu dan solat Jumaat itu ganti kepada solat Zohor.  Baik kita pergi solat Jumaat daripada solat di hotel. Dapat juga pahala berjemaah,” cadang Kak Kasma pula.

Saya mengiyakan cadangan Kak Kasma dan bersetuju kerana rugi jika tertinggal satu waktu berjemaah di Masjid Nabawi. Para jemaah haji Malaysia hanya dibenarkan tinggal di Madinah selama 8 hari bagi mencukupi 40 waktu berjemaah di Masjid Nabawi. Jika terlebih hari, bermakna BONUS DARI LANGIT. Itukan semua kerja Allah yang memberi sesuatu kebaikan kepada para tetamunya seperti kami (KT 33 dari Sarawak) yang kemudiannya tinggal selama 9 hari di Madinah dan memperolehi 42 waktu berjemaah di Masjid Nabawi. ALHAMDULILLAH.

“Benar kak, lagipun kita bukan selalu datang ke sini. Orang tempatan tu, biarlah mereka. Kita ni datang untuk menunaikan haji. Entah-entah inilah kali pertama dan terakhir kita menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi. Mana ada Jumaat lagi selepas minggu ini. Hari Isnin kita dah berangkat ke Makkah. Oklah, mengantuk ni kak. Esok saya akan tanya SPH dan kalau jumpa petugas Tabung Haji, saya akan tanya juga. Kita tunggu keputusan esok,” ujar saya bagi mengakhiri perbincangan yang tidak ada hentiannya.

Petugas Tabung Haji sedang menjalan tugas sebagai pengiring kepada jemaah haji wanita Malaysia (muassasah) dalam sesi Ziarah Dalam di persekitaran Masjid Nabawi.

***************

 HARAPAN

Jumaat, jam 2.10 pagi. Saya dan Kak Kasma mulai meredah kedinginan pagi bumi Madinah menuju Masjid Nabawi bagi merebut saf pertama. Kak Senah tidak mengikut sama kerana mengalami sakit perut dan akan menyusul kemudian. Kami akan menyatu di saf pertama nanti. Tiada sekelumit kata yang tersembur dari bibir kami berhubung perbahasan solat Jumaat semalam. Masing-masing akur bahawa keputusan belum terungkap.

Sepanjang perjalanan yang masih gelap, dalam suram cahaya lampu neon di jalanan, dengan bebayang bangunan hotel di kiri kanan, kami dengan langkah kecil tetapi cepat seakan berlari, menyusun tapak mengharung angin sepoi yang berusaha melilit sejuknya ke tubuh kami tanpa putus asa. Dingin itu, mengalir ke pori-pori darah tanpa maaf. Tiada halangan dari kenderaan yang lalu lalang. Sepi hening. Tiada kedengaran suara hon kereta yang mundar mandir. Senyap sunyi. Tiada manusia yang ingin menyapa. Hanya kami berdua dalam gumam sendiri.

Alhamdulillah, melalui strategi baru yang dirancang beberapa hari lalu, kami berdua dengan mudahnya menempati saf pertama di Subuh Jumaat yang mulia. Seusai solat Subuh, setelah bersarapan di di Restoran al-Karat milik pengusaha Indonesia, saya dan SPH merancang untuk berjalan-jalan mengelilingi sebahagian bangunan-bangunan hotel yang jauh dari Masjid Nabawi.

Hari Jumaat. Sempat berfoto ria setelah menyaksikan acara pembukaan payung “Kembang Bunga Pagi” sebelum bersarapan dan “window shopping” bersama SPH di kedai-kedai (bawah bangunan hotel), arah utara Masjid Nabawi.

Di bawah deretan bangunan hotel terdapat kedai-kedai kecil dan besar yang menjual pelbagai barangan dari seluruh pelusuk dunia dengan harga murah sehingga yang mahal. Semuanya ada. Jika tidak mampu mengawal nafsu, semua barang hendak diserbu.

Kami sekadar “window shopping”. Hanya memerhati tanpa niat membeli. Ingin tahu, itulah yang lebih bersirat di hati. Keinginan membeli barangan yang banyak kami tahan kerana niat untuk melaksanakan haji mesti tertunai dahulu. Membeli sedikit-sedikit itu adalah sekadar untuk keperluan di bumi Haramain. Tidak membeli langsung itu bohong namanya.

Persoalan wanita boleh atau tidak untuk bersolat Jumaat di Masjid Nabawi sudah saya timbulkan kepada SPH. SPH juga tidak tahu. Lagipun, pihak Tabung Haji  tidak menyentuh tentang hal ini semasa kursus haji berlangsung. Itu bererti keputusan adalah nafsi-nafsi, terpulang kepada diri sendiri. Untuk merongkai persoalan yang menghambat hati, kami bercadang bertanya kepada petugas Tabung Haji jika bertemu di mana-mana.

Harapan menggunung tinggi agar dalam perjalanan pulang ke hotel, kami dipertemukan dengan para petugas tersebut. Jika tidak berhasil, kami akan ke markas Tabung Haji yang beroperasi di Hotel Anwar Movenpick yang memerlukan perjalanan jauh untuk sampai ke sana dengan berjalan kaki. Janji kepada Kak Kasma dan Kak Senah terbayang diingatan. Pasti kami hampa tidak keruan jika keputusan belum berhasil ditemukan.

Doa dipanjat tanpa putus harapan, agar petugas Tabung Haji muncul segera di hadapan. Namun apa yang diminta tidak juga kesampaian. Saya maklumi tidak semua doa ‘instant” akan dimakbul Tuhan. Subhanallah, sangat keterlaluan meminta apa yang dikehendaki ditunaikan; sedangkan banyak sekali perintah dan larangan Allah dilanggar sesuka hati. Astaghfirullah. Ampuni hamba-Mu yang tak sedar diri ini, Ya Allah.

Rasa hiba mulai menyelinap dalam hati kerana jawaban yang dikehendaki belum dijumpai. Harapan hanya kepada petugas Tabung Haji untuk menghurai kekusutan yang “misteri” ini. Masya Allah, dalam kekalutan berbaur dengan harapan, mata saya terserempak dengan dua lelaki berkopiah hitam, berpakaian ala “baju korporat” di bahagian luar, melapisi baju “teluk belanga” di bahagian dalam. Subhanallah, cepatnya doaku dimakbulkan Allah. Alhamdulillah. Hati jadi terharu dan malu sendiri.

*************

KEPUTUSAN

Mereka sedang berjalan menuju arah kami. Hati saya berdetak menyatakan itu petugas Tabung Haji walau mereka masih berjalan jauh nun di sana. Saya menggamit SPH untuk bertanya jika mereka lalu di sisi. SPH masih ragu-ragu apakah mereka itu petugas Tabung Haji. Saya memaksa agar bertanya dulu baru tahu. Jika bukan, usaha yang dilakukan tidak rugi, kata saya seperti berpantun berperi…hehehe. apakah, begitu ucapan saya ketika itu ? (sambil ketawa sendiri saat menulis ayat ini). 😀

“Bang, tanya mereka adakah wanita boleh atau tidak solat Jumaat di Masjid Nabawi ? Soalan itu sudah berkali-kali saya suarakan kepada SPH. Pertanyaan saya kali ini menghasilkan kejengkelan pada SPH. SPH mungkin lemas dengan soalan “peringatan” saya sejak pagi tadi. Wajahnya serius memandang saya. Saya membalas kosong tanpa perasaan apa-apa walau terbetik di hati rasa kesal dipandang demikian. “Salahkah aku mengingatkan selalu,”  bantah saya dalam hati tidak setuju dengan pandangan tersebut.

Tanpa diduga, SPH berkata dalam nada mendatar dengan wajah yang masih serius “Iyalah tu. Takkan abang nak tanya “Encik, bolehkah lelaki solat Jumaat di masjid Nabawi ? Haah… bagai tidak percaya mendengar kata yang saya anggap lucu dan kelakar itu. Tanpa dipaksa-paksa, ketawa saya membuang kesepian yang berlangsung sebentar tadi, sambil mata saya menghitung langkah para petugas tersebut menghampiri kami.

Tanpa mempeduli wajah serius SPH, ketawa saya semakin berlanjutan walau sudah diusaha menahannya dengan menampilkan senyuman paling manis tapi tidak berjaya. Hal ini membuat SPH ketawa bagai dipaksa melihat olah saya yang tidak lut oleh perasaan marahnya. “Kenapalah abang ni lucu sangat.” balas saya dalam ketawa yang masih bersisa sambil memeluk mesra lengan SPH untuk menenangkan hatinya. Kemudian saya cepat-cepat melepaskan pautan tersebut apabila kedua orang petugas Tabung Haji semakin hampir di hadapan kami.

Di kawasan inilah, saya dan SPH bertemu dengan dua petugas Tabung Haji Travels. Kebetulan mengambil foto sebelum pertemuan tersebut.

SPH terus memberi salam, menyalami dan bertanya mesra, “Encik berdua dari Tabung Haji kah ? “Iya”, sahut salah seorang dari mereka tanpa memberi senyuman. “Saya ingin bertanya, adakah jemaah haji wanita boleh solat Jumaat di Masjid Nabawi ?” SPH melanjutkan pertanyaan menuju ke ‘point’ yang dikehendaki. Saya memerhati sahaja kedua petugas tersebut dengan hati yang mendongkol kesal kerana tiada langsung senyuman di wajah mereka sambil mengharap jawaban… BOLEH. Orang yang ditanya menjawab pantas;

“BOLEH, TIDAK ADA MASALAH. WANITA BOLEH SOLAT JUMAAT DI MASJID NABAWI.”

Mendengar perkataan BOLEH, saya terus tersenyum dan mengucapkan alhamdulillah. Kini, KEPUTUSAN sudah berada di tangan. Hanya menunggu untuk disampaikan kepada Kak Kasma dan Kak Senah sahaja. Sambil itu, SPH mengucapkan terima kasih, manakala saya mengulangi ucapan tersebut. Wajah keduanya, masih tetap sama. Dingin seperti ais batu. Tanpa senyuman dipamerkan, mereka berlalu pergi.

Saya menyatakan kekesalan tersebut kepada SPH. Rupanya SPH juga tersentuh hati. “Susah sangat ke hendak senyum.” ujar saya. “Shhh… sudahlah tu, biarkan mereka. Mungkin mereka ada masalah.” jelas SPH memujuk saya dan mengingatkan agar tidak berburuk sangka. Tapi rasa kesal itu tetap wujud di hati. Terkilan. “Senyum itu bukankah satu sedekah. Tidak berbayar satu sen pun. Dengan senyuman ada hati yang akan bahagia. Ternyata masih ramai yang “bakhil” dengan senyumannya,” keluh saya dalam hati.

Saya kemudian menoleh ke belakang untuk melihat cop logo di belakang baju ‘korporat’ mereka untuk memastikan kebenaran mata lensa ini agar tidak tertipu. Terpampang huruf Tabung Haji Travels di baju tersebut. Hmmm… patutlah, kami ini hanya jemaah haji muassasah sahaja’, gerutu hati saya. Tapi saya yakin, tidak semua petugas Tabung Haji Travels yang bersifat “sombong” seperti itu. Astaghfirullah al’adhzim.

*************

BERSEDIA

Subhanallah, jam sudah menunjuk ke angka 10.30 pagi. Kami harus segera sampai ke hotel untuk bersiap-siap menuju ke Masjid Nabawi untuk solat Jumaat. Waktu Solat Jumaat adalah 12.09 petang. Terlambat sahaja dari jam 11.00, pasti gagal memasuki masjid. Saya yakin kami bertiga akan dapat solat di dalam masjid walau bukan di saf pertama. Saya dan SPH bergegas mengakhiri perjalanan kami untuk ke Hotel Moltaqa Alam.

Terbayang di awangan, senyuman manis Kak Senah dan Kak Kasma menerima jawaban yang merongkai segala persoalan semalam. Hati saya berdebar-debar kerana inilah SOLAT JUMAAT PERTAMA di bumi Madinah. Harapan tinggi untuk dapat solat Jumaat di Masjidil Haram pula selepas ini. Tetapi tidak pernah kesampaian kerana Allah tidak menyuratkan kehadiran saya dalam menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram, Makkah sejak azali lagi bagi tahun haji 2011 yang lalu. Tidak diketahui masa akan datang. Semoga ada ruang keizinan dari Allah nanti. Aamiin.

Tanpa saya sedari, Allah telah merencana pelbagai peristiwa yang tidak diduga berlaku selepas ini. Ada lucu, geram, bahagia dan “menyeramkan” bulu roma. Hanya Allah sahaja yang tahu akan semua hikmah yang terkumpul di dalamnya untuk kami (saya), tetamunya yang paling istimewa ini. 😀 Saya redha semua yang Engkau tampilkan di sepanjang perjalanan iman ini, Ya Allah. Bagi saya apapun ujian dalam bentuk yang di’hadiah’kan oleh Allah merupakan “PERHATIAN YANG SANGAT INDAH dari KEKASIH BUAT KEKASIHNYA.”

ALHAMDULILLAH WA SYUKRULILLAH.

**************

26 Ogos 2012 (Ahad)/  8  Syawal 1433H/ 1420 petang – Sarikei, Sarawak

AKU….  mensyukuri bahawa setiap kejadian yang hadir dalam hidupku baik berupa bahagia dan derita, berjaya atau gagal, suka atau duka, tangis atau tawa dan apa sahaja; adalah tanda cinta dan kasih Allah kepadaku. Jangan pernah berburuk sangka pada-NYA yang selalu memerhati dan meyibukkan diri-NYA bagi memastikan hamba-NYA tidak berpaling dari-NYA. DIA…. mengurniakan segala apa yang diminta, mengabul segala yang dipohon. Mengampun segala yang bersalah dan menghapus segala yang berdosa. Hanya kerana DIA adalah PENCIPTA Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah, aku ingin berada di sisi-MU sebagai KEKASIH-MU lebih dari menjadi seorang PENCINTA semata-mata. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

DI SETIAP JEJAKKU… ADA RINDU YANG JATUH PADAMU

****************

22 thoughts on “CT123. SOLAT JUMAAT DI MASJID NABAWI

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Dari Jauh Ku Pohon Maaf dari Sudirman Haji Arshad masih mengundang mood raya dan masih merindui Ramadhan yang pergi. Maaf zahir dan batin.

    DEDIKASIKU UNTUKMU… buat engkau yang berbudi, ketahuilah hidup ini indah seabadi cinta-NYA. Laluilah dengan tabah dan redha kerana itulah yang terbaik untuk ditakluki bagi menguji diri dengan iman dan taqwa. Semoga direstui Ilahi. Selalu ada doa untukmu.

    Wassalaam. 😀

  2. Assalaamu’alaikum wr.wb, Cie Siti Fatimah Ahmad

    Kembali menyapa setelah lama tidak bersilaturahmi di blog yang penuh dengan informasi bermanfaat ini. Semoga sukses selalu..

    Hadir ini adalah untuk mengucapkan,

    Fitrah sejati adalah membesarkan Allah dan Syariat-Nya di alam jiwa.
    Di dunia nyata, dalam segala gerak
    Di sepanjang nafas dan langkah
    Semoga seperti itulah diri kita di hari kemenangan ini.

    Selamat Hari Raya Idul Fitri
    Taqobalallahu minnaa wa minkum
    Shiyamanaa wa shiyamakum
    Minal ‘aidin wal faizin
    Mohon maaf lahir dan batin

    Salam Ramadhan dari Sarikei, Medan 😀

    Kang Dadang

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kang Dadang….

      Terima kasih berkunjung untuk berkongsi kegembiraan di bulan Syawal ini dan doa yang dilampirkan bersama. Semoga Kang Dadang dan keluarga di sana juga dalam keberkahan Allah dan sihat semuanya.

      Ucapan selamat raya yang begitu mencerahkan hati untuk kita sama-sama mengambil kebaikan dari bulan yang mulia ini dengan saling bermaafan sesama kita.

      Selamat Hari Raya, maaf zahir dan bathin atas segala silap dan salah selama bersilaturahmi ini.

      Salam sejahtera. 😀

  3. assalamu’alaikum. wr. wb
    apa kabar Ibu Fatimah?
    Semoga selalu sehat dalam lindungan Allah swt,aamiin
    sudah lamaaaaa sekali, bunda tidak mengunjungi ‘rumah Bu Fatima nan sejuk ini .

    kehadiran bunda kali ini, ingin memohon maaf atas segala khilaf yg dibuat , selama kita bergaul di dunia maya bernama blog ini .

    Selamat Lebaran 1 syawal 1433 H
    Taqoballahu minna wa minkum
    syiyamana wa syiyaminkum

    mohon maaf lahir dan bathin
    salam hangat utk keluraga
    salam

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Bunda yang baik…

      Alhamdulillah, saya sihat selalu. Didoakan bunda juga dalam kondisi yang diredhai Allah bersama keluarga di sana.

      Senang menerima kunjungan bunda yang selalu dinantikan saban waktu. Saya juga mohon maaf kerana lama tidak bersilaturahmi ke blog bunda. Mudahan selepas ini, akan aktif ke sana lagi. 😀

      Selamat Hari Raya, maaf zahir dan bathin dari saya buat bunda yang baik. Semoga dalam ketenangan dan kebahagiaan selalu sepanjang kehidupan ini di dunia dan di akhirat.

      Salam hangat kembali buat bunda. 😀

  4. memang bila iman telah merasuk hati apalagi berada di tanah yang mulia, sangat disayangkan bila ada momen ibadah yg terlewatkan walau itu sholat berjamaah sekalipun.
    semoga hari-hari yang dilalui di tanah haramain selalu berbuah hasanah berlipat ganda,
    haji mabrur yang diharap, semoga tergapai, aamiiin….

    • Benar, setiap langkah kehidupan yang menuju kebaikan selagi tidak ada masalah untuk melakukannya, maka jangan disia-siakan. Kerana peluang yang diberi pada pertama kalinya tidak akan berulang lagi untuk kali kedua.

      Aamiin, semoga kita selalu melakukan kebaikan di mana sahaja kita berada.

      Terima kasih Nediar.
      Salam sejahtera. 😀

      • rindu nian bisa sujud dan taqorrub di haromain, Yaa Robb takdirkan hamba yang banyak kesalahan ini berada diantara hamba-hambaMu yg menunaikn haji karena wajahMu yang agung…

        • Aamiin… Ya Rabbal’alamiin.
          Didoakan keinginan dan hasrat yang baik dari niat yang terpatri selama ini untuk ke bumi Haramain akan diperkenankan Allah pada tika wan waktu yang telah ditentukan. Teruskan berdoa dan berusaha untuk ke sana.

          Terima kasih Nediar.
          Salam mesra. 😀

  5. Saya sering juga melihat di beberapa masjid ada wanita yang ikut melaksanakan sholat jum’at. Memang, ada beberapa pendapat yang membolehkan wanita mengikuti sholat jum’at, tetapi tak ada satu pun pendapat yang melarang atau malah mengharamkannya.

    • Memang benar, wanita dibenarkan solat Jumaat jika mereka tidak mempunyai kesibukan yang menghalang.

      Cuma saya tertarik dengan perbincangan dari Adelays di atas bahawa terdapat dua kelompok jemaah wanita yang melakukan solat Jumaat yang berbeda dengan apa yang dipelajari selama ini, iaitu;

      1. Sholat dua rokaat saja karena dua lainnya sudah terwakili dalam khutbah.

      2. Melanjutkan menambahkan dua rokaat lagi setelah salam, karena pada hakikatnya wanita tidak wajib sholat jum’at dan dua rokaat lainnya perlu ditambahkan.

      Apakah di tempat mas Muhammad juga berlaku situasi demikian ?

      Terima kasih atas kunjungan.
      Salam sejahtera. 😀

  6. Assalamu’alaikum Wr. Wb….

    Selalu ada perasaan senang membaca tulisan-tulisan Bunda karena mayoritas berdasarkan pengalaman (perjalanan) yang sarat makna, seperti halnya dengan “SOLAT JUMAAT DI MASJID NABAWI” ini.

    Tulisan yang berdasarkan pengalaman batin biasanya lebih mengena, lebih mudah dipahami. Begitu kan Bunda? Dengan demikian, kami yang pembaca jadi memperoleh siraman ilmu baru yang penuh makna. Paling tidak menambah khasanah ilmu dari yang telah kami dapatkan di bangku belajar.

    Terima kasih, Bunda…
    Salam sayang selalu dari Galeri Siswa.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, anak-anak Galeri Siswa…

      Alhamdulillah, jika perjalanan suci ini memberi manfaat buat semuanya di sana. Mudahan beroleh kebaikan untuk diambil pengajaran bagi bekal ke sana suatu hari nanti atau di mana-mana sahaja berada di bumi Allah ini.

      Terima kasih menghargai karya bunda dan tentunya pengalaman yang ditempuh sendiri memberi seribu kenangan yang tak terlupakan untuk digores dalam kanvas maya agar kekal selamanya buat panduan dan bacaan bagi yang memerlukan sedikit informasi.

      Terima kasih kembali. semoga semuanya sukses dalam pengajian.
      Salam sayang juga dari bunda. 😀

  7. Ass…….
    Hadir untuk menyapa dalam kerinduan karya qolbu yang selalu meneteskan embun kesejukan dalam setiap hati yang membeikan karunia dalam setiap karya yang tertulis di ruang yang indah ini.

    Mohon Maaf Lahir dan Batin.

    Sukses selalu
    Salam
    Ejawantah’s Blog

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra Kesuma….

      Terima kasih atas apresiasi dari mas Indra. Semuanya atas kurnia Allah yang memudahkan segala sesuatu itu berlaku dengan izin-NYA.

      Semoga saya dapat menulis sesuatu yang memberi manfaat untuk diambil sempadan dan teladan.

      Salam sukses dan semoga diberi kesihatan yang baik dalam lindungan Allah swt.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.