CT448. CABARAN HAJI (32): TANDAS MINA (4) – KASIHANI MEREKA YANG TERDESAK

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

*

Ini kisah di tandas yang menyayat hati. Sungguh sebak dan mengharukan. Saya yakin kita semua pernah melalui keadaan terdesak sehingga memerlukan kita mesti berada di dalam tandas  dengan segera sama ada untuk berhajat kecil atau besar.

Jika tidak terpenuhi hajat itu, mahu atau tidak kita terpaksa menanggung risiko “malu” dengan apa yang bakal terjadi kemudiannya. Sakit perut untuk buang air besar atau rasa nak terkucil untuk kencing bukan hal kecil dan boleh ditangguh-tangguh. Akibatnya sangat besar.

Benar, tandas bukan tempat yang sesuai untuk memberi laluan kepada orang lain  kerana kita juga memerlukannya. Namun begitu, apabila ada yang terdesak tidak kira orang tua, muda atau sebaya kita dan tidak mampu bertahan lama, kemudian meminta keizinan untuk memotong giliran kita, berilah ruang untuk mendahului hajat mereka. Kasihanilah mereka.

*

*

HARI INI HARI MEREKA, MUNGKIN ESOK HARI KITA

Saya yakin mereka rasa sangat bersyukur kerana ada orang yang menunjukkan simpati dan empati kepada mereka. Pasti banyak doa untuk kita dilampirkan ke hadrat Ilahi dan kebaikan kita akan dikenang selama-lamanya. Kebaikan itu walaupun kecil namun kesannya amat mendalam. Tidak rugi kita membantu orang kesusahan di Tanah Suci walau tempatnya adalah tandas.

Cuba letakkan diri kita dalam keadaan mereka, sudah pasti kita juga terpaksa menebalkan wajah memohon untuk “memotong” barisan sedangkan orang lain sudah lama menanti gilirannya. Perasaan ketika itu tentu malu, ragu dan takut. Takut dimarahi dan dtolak sedangkan kita benar-benat terdesak.

Maka, jangan menyombong diri dan bersikap kurang sopan apabila berhadapan dengan orang yang mengalami kesulitan. Bantulah mereka walau hanya sepatah kata atau sebuah senyuman. Yakinlah, doa orang yang berada dalam kesusahan amat cepat dikabulkan Allah SWT.

*

*

KISAH ORANG TERDESAK DI TANDAS MINA

Beberapa pengalaman pernah saya lalui dan temui melihat orang terdesak untuk membuang hajat kecil dan besar. Ada yang memilu hati dan membuat sakit mata memandang kerana masih ada yang sombong tidak mahu memberi jalan dan ada yang mengharukan kerana penuh belas kasihan dan tidak berlengah-lengah memberi bantuan.

*

Kisah 1.

Di suatu malam, seorang hajjah tua tiba-tiba mencelah maju ke hadapan di pintu tandas nombor 2 (mungkin sudah lama menunggu giliran), meminta laluan dari seorang hajah di depannya untuk masuk terlebih dahulu. Hajjah tersebut memarahi ibu tua kerana memotong barisan. Beliau terus masuk tandas tanpa menoleh.

Hati saya terpagut melihat keadaan ibu tua yang sedang menggigil menahan hajat kecil. Saya pula masih jauh dari giliran menunggu. Namun hajjah yang berada di depan ibu tua memberi gilirannya untuk masuk terlebih dahulu setelah hajjah tadi. Kerana tidak mampu menahan hajat, ibu tua itu mengangkat kain dan duduk di hadapan pintu tandas. Beliau terkencing di situ.

Allahu Akbar, saya dapat merasai betapa malunya ibu tua tersebut dengan keadaannya, tetapi beliau terpaksa dan tidak ada pilihan. Beberapa hajjah yang berada di belakang beliau, dengan penuh takzim membantu ibu tua tersebut dengan mencari air untuk membersihkan diri.

*

Kisah 2

Ini hajjah dari Thailand. Lagi memilukan kisahnya. Kerana tidak berani meminta laluan untuk memotong barisan. Kebetulan tandas di malam (masih awal malam) tersebut sangat ramai orang. Urusan saya ketika itu hanya hendak memberus gigi selepas makan malam. Memang sukar meminta laluan kerana barisan yang sangat panjang hingga keluar kawasan tandas.

Hajjah tersebut tidak mampu lagi menahan hajatnya dan terpaksa kencing di luar kawasan tandas berhampiran laluan orang ramai. Selepas kencing beliau terus berlalu dengan tidak membasuh najisnya. Tempat itu berbau hancing. Bisinglah para hajjah di situ dengan tindakan hajjah yang tidak bertanggungjawab. Beberapa orang dari mereka mencari air dan membersihkan tempat tersebut supaya tidak tercemar bau dan najisnya kepada orang lain.

*

Kisah 3

Di tandas lelaki waktu siang, seorang haji tua dari negara China sedang menunggu gilirannya untuk berhajat di pintu tandas. Tiba-tiba terdengar suara kuat yang kasar dan marah-marah. Saya sedang menunggu giliran di pintu tandas 1 dan masih dalam giliran di luar kawasan tandas kerana ramainya orang berbaris, tersentak dengan pekikan yang kuat dari sebelah kiri.

Saya menoleh dan melihat pemandangan yang menghiris dan menyakit hati. Benar-benar sombong dan tidak berhati perut. Seorang haji dari Malaysia cuba menghalau haji tua dari China daripada menggunakan tandas lelaki. Ditolak-tolaknya tubuh haji tua itu keluar dari kawasan tandas tersebut tanpa belas kasihan. Sedangkan tandas dalam khemah muassasah Malaysia bukan dipakai oleh jemaah Malaysia sahaja. Ia tandas “antara bangsa”. Sesiapa boleh menggunakannya.

Kalau ikut hati, saya juga mahu memarahi haji Malaysia itu. Langsung tidak ada belas kasihan. Peliknya, para haji yang berada di situ tidak pula mahu membantu. malah membatu diri tanpa sebarang kata. Geramnya hati saya.

Apa salahnya membiarkan haji tua itu menunaikan hajatnya dahulu. Beliau sudah lama menunggu. Pasti hatinya pedih dan malu diperlakukan begitu rupa. Kasihan hajatnya tidak kesampaian. Di manakah nilai kasih sayang kepada saudara seagama ? Saya berdoa dalam hati agar haji tua itu dapat menunaikan hajatnya dengan segera di tandas yang lain dan ada orang yang baik hati membantunya.

*

INI KISAH SAYA

Hehehe…. saya juga ada kisah terdesak ini. Pengalaman pertama dan terakhir di Mina.

*

*

Pada suatu petang hari kedua di Mina, secara tiba-tiba perut saya memulas perit. Sakit perut dan mungkin cirit birit. Saya memikirkan pagi tadi saya makan nasi briani pemberian Kak Halimah. Kata beliau sekumpulan jemaah dari negara China membahagikan bungkusan nasi briani berlauk daging kari kepada para haji yang lalu di dapur khemah mereka.

Saya pun makan dengan penuh selera. Dagingnya sedap dan lembut. Saya fikir itu daging lembu. Saya makan habis. Selepas selesai makan, baharulah Kak Halimah kata itu kari daging unta. Saya sukalah masa itu kerana dapat merasai daging unta. Untungnya saya. Alhamdulillah.

Saya fikir mungkin makanan itulah yang membuat perut saya memulas tidak tertahan kerana saya tidak makan apa-apa nasi waktu tengah harinya. Tanpa berfikir panjang, saya bergegas dan berlari-lari anak untuk ke tandas. Sambil berjalan saya berdoa kepada Allah agar ada orang yang bakal membantu dan memberi  ruang untuk saya masuk segera ke dalam tandas.

Saya membaca zikir ” Hasbunallahi wa ni’mal wakil” tanpa henti sepanjang perjalanan dari khemah ke tandas. Saya yakin Allah selalu membantu hamba-NYA yang dalam kesusahan.

*

*

Sesampai ke tandas, Ya Allah….. ramainya. Macam mana ni, saya dah kelam kabut sambil menahan perut yang kian menyempit diri dan tidak mahu berkompromi. Saya menahan nafas agar perut rasa selesa, namun tidak berjaya. Harapan kepada Allah semakin tinggi. Zikir di atas dibaca berulangkali dengan sangkaan baik kepada Allah agar dibuka jalan untuk memudahkan urusan “perut” saya.

Bagaimana nak cepat ni. Barisan di tandas perempuan sangat panjang. Saya masih berada di luar tandas. Tak sampai hati hendak memotong giliran. Malu pun ada, takut kena marah pun ada. Tapi sakit perut saya semakin mendesak. Ia mesti dilunasi dengan segera, jika tidak saya akan mencipta sejarah di Mina… oh TIDAAAAK. Takut saya memikirkan “sejarah” tersebut.

Saya memerhati di kawasan tandas lelaki pula. Ternyata tidak ramai yang menggunakannya. Saya terpaksa cepat bertindak untuk “menyelamatkan diri”. Tekad saat itu, mahu tak mahu saya terpaksa menggunakan tandas lelaki, putus saya.

Begitulah Allah mengatur urusan kita tanpa disedari. Saya terpandang  seseorang yang dikenali sedang menunggu giliran masuk di tandas pintu nombor dua bersebelahan tandas wanita. Beliau ialah Ustaz Khairul Azhar, antara seorang petugas haji Matktab 95 yang ramah dan sangat perihatin kepada jemaah haji. Beliau sahaja harapan saya.

Tanpa membuang masa dan terpaksa “membuang malu”, saya terus memaklumkan kepada Ustaz tentang masalah  yang saya hadapi serta hendak menggunakan tandas selepas beliau. Dengan baik hati, Ustaz Khairul Azhar memberi giliran kepada saya terlebih dahulu. Beliau pula masuk ke tandas sebelah yang kebetulan penghuninya baru sahaja keluar. Alhamdulillah, kedua-dua kami dimudahkan Allah dengan urusan di tandas.

Begitulah Allah memudahkan urusan saya dalam saat genting yang tidak dapat dielak lagi melalui kebaikan orang lain.  Terima kasih ya Allah atas nikmat-Mu yang tidak terperi ini. Saya sangat bersyukur kerana doa saya dimakbulkan Allah tanpa perlu menunggu lama dan tentu sekali Allah sayangkan saya dengan menutup “aib” yang dijangka akan berlaku.

Dua hari saya terpaksa menanggung sakit perut dan cirit birit yang luar biasa akibat makanan yang mungkin tidak dimasak dengan sempurna. Dengan kata lainnya, saya keracunan makanan. Sejak hari itu, saya tidak mahu menyentuh sebarang makanan berlauk daging selama masih berada di Makkah.

*

*

ALLAH ADALAH SATU-SATUNYA PENOLONG

Allah, Allah, Allah…. Dialah satu-satunya penolong saat kita berada dalam kesusahan. Manusia tidak mampu menahan setiap kesakitan, menghalang kedatangan bencana, menakluk segala derita dan mencegah malapetaka yang melanda dengan kekuatannya. Kita adalah makhluk yang lemah dan tidak berdaya. Sseorang hamba yang memerlukan tuannya sebagai pelindung.

Kita hanya mampu bertawakal dan berdoa setelah berusaha sebaik mungkin atas setiap kejadian yang berlaku. Kepada Allah kita memohon perlindungan dan keselamatan. Kepada-NYA juga kita menyerahkan semua perkara dengan yakin dan penuh harapan. Dari situ, kita beroleh kekuatan dan ketenangan.

*

“Ya Allah, semoga setiap insan yang pernah membantuku dalam apa juga keadaan dan di mana sahaja berada, aku doakan kesejahteraan umur yang bermanfaat, rezeki yang berkat dan kehidupan yang baik di dunia juga di akhirat buat mereka. Terima kasih kerana pernah mempertemukan aku dengan mereka di dunia ini. Aamiin Allahumma Aamiin.”

*

*

*

bunga*

***************

SalamFatima3SalamFatima22 Ogos 2017 (Selasa)/ 29 Zulkaedah 1438H/ 1220 petang, Bintangor, Sarikei, Sarawak

AKU…. mengingatimu dengan kasih yang tidak pernah pudar kerana engkau sangat istimewa dalam seluruh hidupku. Bukan hanya sekarang, bukan hanya sekali tetapi untuk kekal abadi. Langit begitu biru. Hutan terlalu hijau. Semuanya indah dan yang terindah adalah dirimu yang selalu ada di sini…. DIHATIKU.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

*

DEDIKASIKU UNTUKMU….  Tidak perlu engkau bersedih kerana tidak dihargai orang, tetapi sedihlah apabila engkau tidak berharga. Maka hargailah dirimu dengan kebaikan yang menjadikan engkau sangat berharga di sisi Tuhanmu. Doaku selalu untukmu, selamanya. Aamiin.   Wassalaam. 🙂

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

*

29 thoughts on “CT448. CABARAN HAJI (32): TANDAS MINA (4) – KASIHANI MEREKA YANG TERDESAK

  1. Assalamualaikum wr wb kak Siti,
    Perbuatan mulia seandainya jamaah haji Malaysia itu memberikan pemakaian tandas kepada jamaah haji China. Apalagi ini orangnya sudah tua.

    Salam dari perbatasan Aruk & Kampung Biawak

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Alris….

      Saya bersetuju, sepatutnya akhlak orang yang sudah memperolehi haji lebih santun dan berhemah apatah lagi masih berada di Tanah Suci. Kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku dengan sesama saudara muslim. Saya benar-benar kesal dan terhiris hati.

      Terima kasih mas Alris sudah berkunjung dan salam takzim.

    • Jika anda selalu membaca bahasa Melayu di sini, anda akan faham seperti mana sahabat-sahabat bloger Indonesia yang sudah saya kenali selama ini.

      Terima kasih kerana sudah berusaha untuk memahami tulisan di atas. Semoga beroleh manfaat dari pengalaman di Mina, Makkah.

      Salam sejahtera.

  2. Assalamualaikum bunda Fatimah,

    Saling bertoleransi di urusan tandas ini perlu jiwa besar dari setiap pribadi, krn semuanya mempunyai maksud yg sama. Mendahulukan yg paling membutuhkan sangat beribu lega dan terima kasih dr yg pernah merasakan terdesak itu ya, bund.

    • Wa’alaikum salaam wr. wb, mbak Ysalma….

      Benar apa yang mbak nyatakan di atas. Semua rasa simpati dan nilai toleransi berawal dengan sikap belas kasihan yang memang sudah dididik dan sebati di dalam jiwa. Sebenarnya dengan membantu orang lain, kita dapat merasai kebahagiaan yang sebenar dalam jiwa kita kerana sifat lapang dada kita walau kita sendiri dalam keresahan yang sama.

      Terima kasih mbak sudah berkunjung dan salam manis. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Winny Marlina…

      Senang apabila Winny menyukainya. Setiap kebaikan yang kita hulurkan, pasti Allah akan memberi berganda-ganda kebaikan kepada kita pula dari jalan yang tidak kita ketahui arahnya. Maka banyaklah berbuat baik.

      Terima kasih dan salam manis. 🙂

  3. Assalamualaikum wr. wb. Ada perasaan sedih, prihatin, dan empati membaca post ini. Semoga kita semua selalu diberikan keberkahan dunia akhirat, dihindarkan dari fitnah dan celaka. Aamiin. Terima kasih sudah berbagi pengalaman ini.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Frany….

      Aamiin Allahumma Aamiin. Doa yang baik dan mudahan kebaikan juga buat mbak Frany sekeluarga di sana. Semoga pengalaman ini bermanfaat untuk menambah pengetahuan tentang kondisi di Mina semasa haji.

      Terima kasih sudah berkunjung dan salam mesra selalu. 🙂

  4. Assalamualaikum Wr. Wb Cik Fatimah, salam kenal ya untuk anda & keluarga dari saya Gusti di Papua …
    Tulisan di blog anda sangat asyik untuk dibaca di waktu santai, dengan kombinasi tulisan & gambar yang mudah untuk di pahami bagi saya yang sering dengar lagu melayu …☺ Seperti di artikel ini, sangat memberi wawasan & pengetahua baru bagi saya …
    Nasib baik sentiasa keluarga anda … Amin … Syukran Jaziilan

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, saudara Gusti…..

      Didoakan saudara Gusti dan keluarga juga dalam keadaan baik dan dirahmati Allah SWT. Ini pertama kali ada blogger dari Papua singgah ke blog saya dan mencoret komentar. Saya senang sekali.

      Alhamdulillah, mudahan tulisan yang dikongsikan dapat memberi manfaat yang berguna sebagai pengetahuan dari pengalaman haji yang dilalui.

      Terima kasih sudah berkunjung perdana dan salam takzim.

    • Saya setuju, secara tidak langsung sifat sombong menyebab manusia menjadi angkuh kepada Tuhannya. Semoga bermanfaat dari setiap artikel yang dibaca.

      Terima kasih Andreas atas kunjungan dan salam sejahtera.

  5. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Alhamdulillaah, senang sekali berkunjung kemari karena banyak manfaat. Sungguh senang karena ini berdasar pengalaman. Makasih banyak ya, Mbak Fatimah. Betapa menjaga makanan itu penting. Betapa memohon pertolongan kepada Allah Swt. itu sungguh amat sangat penting. Terima kasih banyak ya, Mbak.

    Salam dari Jogja, Indonesia.

  6. Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet….

    Alhamdulillah, mudahan perkongsian ini bermanfaat untuk kebaikan bersama di mana-mana sahaja kita berada. Benar, semasa berhaji menjaga kesihatan perlu menjadi keutamaan kerana ini melibatkan segala urusan ibadah di semua masya’ir haji. Jika sakit, sukar untuk melakukannya dengan baik. Alhamdulillah. Setakat berhaji dahulu, saya hanya diserang sakit batuk sepanjang berhaji dan sakit perut selama 3 hari di Mina. Semuanya atas doa dan harapan kita kepada Allah SWT. Aamiin.

    Terima kasih sudah berkunjung dan salam Takzim.

  7. Assalamualaikum wr wb puan Fatimah

    memang kalau sudah terdesak … benar2 tersiksa, apalagi kalau mesti antri seperti di Mina, berbagai kejadian bisa terjadi. Memang butuh toleransi dan emphaty

    salam sehat bahagia

    • Wa’alaikum salaam wr.wb….

      Sabar merupakan sifat yang mesti ada semasa mengerjakan haji kerana banyak kejadian yang kita hadapi akan membara emosi. Mudahan dengan bersabar dan banyak berdoa akan memudahkan urusan kita selama di sana.

      Terima kasih dan salam sihat kembali.

  8. Pingback: CT461. MENYOROT PENULISANKU DI TAHUN 2017 | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.