Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh
*
MINA STARTS HERE
Setelah melintasi papan tanda MUZDALIFAH ENDS HERE, hanya beberapa detik saya melihat satu lagi papan tanda yang sama bentuk dan tulisannya tertera MINA STARTS HERE.
Tidak perlu jauh untuk mengenali kawasan Mina kerana kita dapat melihat khemah-khemah putih di hadapan mata sebaik bas melalui bawah jambatan. Tidak ada pemandangan menarik dapat dilihat dari bawah jambatan ini melainkan susunan khemah putih segi empat dengan bumbung menajam ke langit.
Ada debaran yang tidak keruan muncul di benak hati saat melihat deretan khemah putih yang tersusun kemas. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur jika beginilah keadaan tempat tinggal sepanjang 3 malam di Mina. Sebenarnya apa yang saya lihat ketika di dalam bas ini tidak seindah seperti yang disangkakan apabila mengalami kehidupan yang sebenar nanti.
Ada seribu satu cerita yang bakal memberi pengalaman yang menduga hati. Pengalaman dan cerita yang berbeza walau mendiami tempat yang sama. Semua rencana Allah SWT sudah tersedia, cuma kita masih belum melalui jalur kronologi yang sudah tersirat dari yang tersurat. Saya antara berjuta tetamu Allah yang bakal diuji dengan pelbagai mehnah kehidupan di Mina.
*
Papan tanda ini hanya berjarak beberapa meter dari papan tanda Muzdalifah Ends Here. Bas sedang berada di bawah jambatan.
*
Papan Tanda yang menjelaskan kita memasuki sempadan Mina, Bandar Kalis Api.
*
BANDAR KHEMAH KALIS API
*
Bandar Khemah dan Kalis Api, Mina
*
Masjid Al-Qaif, Mina masih dominan dengan bentuk dan kedudukannya
*
TRAGEDI MINA
Saya amat simpati dan ngeri apabila membaca peristiwa dari kronologi yang merupakan tragedi Mina yang sudah meragut ribuan nyawa para jemaah haji dan ia berlaku hampir setiap tahun sejak awal tahun 1970-an.
Tragedi ini berlaku disebabkan kondisi lokasi yang tidak mampu menampung puluhan ribu jamaah yang berdesak-desakan atau kebakaran yang berpunca dari dalam khemah yang didiami saat menyediakan makan minum.
Pemasangan beribu khemah kalis api di Mina, pembinaan dua terowong baru dan pembangunan baru komplek Jamarat 5 Tingkat yang menelan belanja berbilion Riyal Saudi merupakan rentetan pelbagai tragedi berlaku di Mina berbanding lokasi masya’ir haji yang lain.
Kesabaran dan sikap berhati-hati sangat dititik berat supaya kita tidak menempuh pengalaman yang sama di kemudian hari. Namun jika “malang tidak berbau” dan ajal sudah menjemput, tidak ada yang mampu dilakukan melain berserah kepada Allah SWT yang Maha Pelindung.
Berikut saya kongsikan kronologi peristiwa yang menyayat hati dan menjadi pengajaran kepada kita agar menjaga keselamatan diri sepanjang melakukan pekerjaan haji dengan sempurna.
*
Kronologi Tragedi Mina yang menyayat hati. Ada jenazah yang tidak dapat dikenal pasti dan tidak ditemui untuk dihantar pulang ke Tanah Air.
*
Khemah kalis api dibina untuk menjaga keselamatan jemaah haji. Tidak ada aktiviti memasak di khemah kecuali dapur yang disediakan kepada pihak yang dipertanggungjawab untuk menyediakan makan minum jemaah haji.
*
Jamarat baru 5 tingkat yang disediakan penghawa dingin dan eskalator
*
Saya dan SPH mengambil peluang untuk melontar di setiap tingkat (Tingkat bawah hingga tingkat 3) bagi mencari pengalaman berbeza. Dimaklumkan setiap tingkat sudah ditentukan jemaah haji yang bakal melontar di sana untuk menjaga keselamatan semasa melontar. Tetapi tidak menjadi masalah untuk kita melakukan lontaran jamarat di tingkat-tingkat lain.
*
TRAGEDI TEROWONG MUAISEM
Mengenang tragedi ini, hati saya diselaputi rasa bimbang terutama apabila mengenang akan melalui Terowong Muaisem yang mempunyai cerita ngeri tersendiri. Alhamdulillah, mudahan kesan dari tragedi yang berlaku tidak akan menimpa jemaah haji akan datang seperti yang bakal saya lalui beberapa minggu lagi.
Muzawwir Ustaz Sabri memaklumkan kini terowong ada 2 hala untuk ke Jamarat iaitu hala pergi dan hala pulang. Oleh itu, jemaah haji tidak akan berdesakan di dalam terowong. Tetapi siapa yang mampu mengawal pergerakan manusia yang biasanya kurang sabar dalam melakukan banyak perkara hingga menimbulkan banyak kejadian yang membahayakan.
Selain itu, terdapat terowong baru sepanjang dua kilometer yang merupakan sambungan kepada dua buah terowong lama. Terowong ini masih dalam pembinaan untuk mengurangkan lagi kesesakan dua terowong yang sedang digunakan.
Biasanya khemah jemaah haji Malaysia adalah antara khemah yang paling hampir dan berdekatan dengan terowong Muaisem dan 2 terowong baru untuk pergi ke komplek melontar Jamrah dan balik ke perkhemahan Mina berbanding khemah dari negara-negara lain.
Pengalaman saya membuktikan kebenaran itu kerana khemah kami, Maktab 95, tidak jauh dari terowong Muaisem. Setiap kali memasuki Terowong Muaisem, dada saya sentiasa berdebar kerana mengingatkan banyak kejadian rempuhan dan kematian berlaku di dalam terowong ini.
Malah kami juga mengalami beberapa kali kejadian rempuhan di dalam terowong Muaisem. Pernah terjadi sekali SPH hampir jatuh dan saya sempat menahan tubuh SPH dengan seluruh kekuatan tangan wanita saya. Kejadian ini berlaku semasa hendak memasuki Terowong Muaisem menuju Jamarat.
Peristiwa ini benar-benar mengecutkan hati saya sehingga membuat tubuh saya bergetar kuat. Hanya kepada Allah SWT saya serahkan diri yang sedang terhimpit dalam celahan ribuan manusia yang semuanya mahu segera berjalan hingga berdesak-desakan.
Entah apa yang direbut dan diributkan untuk ke Jamarat itu. Sedangkan kita boleh berjalan dengan tertib, santai dan relaks. Tidak perlu bergegas seolah-olah Jamarat itu pula meninggalkan kita hingga terpaksa mengejarnya yang tetap berdiri utuh di lokasinya hingga kiamat. Alhamdulillah, Allah SWT masih melindungi kami.
*
Foto semasa saya dan SPH akan melalui Terowong Muaisem menuju ke kompleks Jamarat bagi melakukan lontaran pada 12 Zulhijjah 1433H. Anda dapat melihat lampu hijau dan merah di atas pintu masuk terowong. Kelihatan lampu hijau menyala dan menunjukkan terowong selamat untuk dimasuki walaupun keadaan masih sesak.
*
Khemah kalis api yang berhampiran terowong
*
CABARAN MINA
Disebabkan ghalit (asyik) melihat perkampungan Mina yang meriah dengan khemah berwarna putih, saya tidak pasti bila pula bas pelancung ini menaiki jambatan. Semakin rasa kagum menyelubungi hati saat meniti pandang deretan yang kemas dan susunan sistematik binaan khemah kalis api di sebelah kiri saya.
Saya yakin banyak cabaran yang bakal dilalui oleh jemaah haji selama tinggal di Mina. Malah suasana penempatannya juga berbeza. Saya sangat teruja untuk mendiami khemah-khemah tersebut kerana saya pasti tidak mempunyai masalah untuk hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.
Pengalaman sebagai ahli Pengakap, ahli Puteri Islam, penyelaras dan penasihat Unit Beruniform, banyak mengajar saya menghadapi cabaran dunia perkhemahan sama ada di hutan atau di tanah lapang. Harapan saya, mudahan Allah SWT melapangkan kehidupan saya dan SPH di Mina.
Jauh di hadapan sana, terpampang jelas Kompleks Jamarat 5 tingkat yang baru dan hampir siap. Kompleks ini bakal menerima kunjungan saya dan SPH bersama jutaan jemaah haji seluruh dunia untuk urusan melontar jamarat pada 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) yang telah disyariatkan sebagai pekerjaan wajib haji.
*
Kompleks Jamarat yang terletak di belakang bukit bukau dan dihadapannya penuh dengan bandar khemah kalis api.
*
PANORAMA MINA
Penempatan jemaah haji Muassasah sangat berbeza dengan penempatan jemaah haji pakej (pakej dari RM17,000 hingga pakej RM300,00). Untuk pakej mewah, biasanya mereka di tempatkan di hotel mewah yang berhampiran dengan Jamarat atau hotel di sekitar Mina.
Terdapat kemudahan hospital di Mina
*
Dimaklumkan ini adalah Istana Singgah keluarga Diraja Saudi di Mina
*
Salah satu dari Hotel mewah di Mina yang berhampiran dengan Kompleks Jamarat
*
SELAMAT JALAN MINA
Lintas langsung selama hampir 10 minit melalui Bandar Khemah Kalis Api, Mina dengan bas bergerak perlahan memberi kepuasan kepada kami menatap dengan jelas kemeriahan Mina walau dari kejauhan. Tidak pula saya lihat papan tanda menunjukkan MINA ENDS HERE.
Saat bas beransur meninggalkan Mina, timbul rasa insaf di hati sekali gus saya dipagut kenangan nun jauh beribu tahun yang lalu rentetan dari peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang melakukan pengorbanan atas perintah Allah SWT dan simboliknya lontaran di setiap jamarat sehingga menjadi satu dari pekerjaan wajib haji.
Bas kembali memasuki jalan utama menuju jalan ke arah Jabal Nur. Sekali lagi saya membayang bahawa kami akan dibawa menuju ke kaki Jabal Nur sebagai destinasi terakhir kami dalam Ziarah Makkah sebelum ke Masjid Jaaranah untuk bermiqat dan berniat Umrah Sunat.
*
*
Dalam sayu mata memandang dan sendu hati mengenang, saya mengucapkan SELAMAT JALAN dan SEMOGA BERTEMU LAGI kepada Bandar Mina yang ditinggalkan dengan seribu kenangan.
Tanpa saya dan SPH sedari, sedang menunggu sebuah rencana Allah untuk menguji kami yang bakal mengharungi kehidupan di bumi Mina dan nantinya meninggalkan kenangan pahit dan manis untuk dicatat di kemudian hari. Aku redha ya Allah, aku redha.
*
*
***************
2 Januari 2015 (Jumaat)/ 11 Rabi’ul Awwal 1436H/ 9.34 malam, Sarikei, Sarawak
AKU…. pasti keberanian mampu menghilang ketakutan jika kita yakin apa yang dilakukan itu untuk kebaikan. Tetapi, jangan lupa dalam keberanian yang cuba dibina, pengharapan kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa untuk memberi perlindungan dalam setiap tingkah yang diambil mesti menjadi tujuan agar kita selamat dalam rahmat-NYA. Hanya Allah SWT sumber kekuatan dan keberanian manusia.
– SITI FATIMAH AHMAD –
***************
*
DEDIKASIKU UNTUKMU… SELAMAT TAHUN BARU 2015. Mudahan azam baru yang sudah ditekad menjadi penyemangat untuk kita terus berjaya menjadi hamba Allah yang bertakwa. Hargai kehidupan yang baru setiap hari dan syukuri segala nikmat-NYA. Doaku selalu untukmu. Aamiin. Wassalam. 🙂
*
*
Waalaikumussalam Ukhti semoga semua azam di tahun ini akan tercapai dan lebih baik dari tahun kemarin Amin Ya Rabbal Alamin
Aamiin Allahuma Aamiin.
Semoga demikianlah harapan kita semua dengan doa yang dipanjatkan ke hadrat Ilahi.
Terima kasih akhi Abdullah dan salam sejahtera. 🙂
Assalamuaalaikum wr.wb…
Mengingat tragedi mina memang sangat memilukan mbak. Dalam catatan sejarah dari 1.426 korban meninggal 649 berasal dari Indonesia terutama mereka yang sudah berusia lanjut.
Nampaknya kejadian itu yang menjadi pikiran otoritas setempat untuk memperbaharuhi terowongan mina
Salam dari Yogyakarta
Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Yuni…
Menurut maklumat yang dikenalpasti kebanyakan mangsa korrban adalah dari Asia Tenggara terutamanya jemaah haji dari Indonesia kerana bilangannya yang pertama paling ramai setiap tahun.
Walaupun terowong dan jamarat sudah banyak dibina, sebenarnya masih belum cukup menampung jutaan jemaah yang masin ramai dan berdesakan saat dalam terowong dan ketika melontar. Hanya individu jemaah sahaja yang harus bertolak ansur dan berhati-hati ketika melalui terowong dan saat melontar.
Terima kasih mbak Yuni dan salam manis selalu. 🙂
Assalamu’alaikum wr.wb.
Alhamdulillaah…, selalu senang berkunjung dan membaca dalam blog Mbak Fatimah ini. Sebagaimana kini, tulisan tentang Mina, beserta foto-fotonya, betapa menggetarkan hati ini untuk semakin rindu beribadah di tanah suci. Mohon doanya ya, Mbak.
Salam dari Jogja,
@muhaiminazzet
Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Amazzet…
Alhamdulillah, semoga bermanfaat untuk dijadikan panduan dan diambil iktibar apabila sudah dipanggil ke sana nanti. Aamiin.
Terima kasih mas Amazzet dan salam sejahtera. 🙂
Assalamualaikum Bunda. Kalau mengingat tragedi Mina sangat menyedihkan ya bun, mudah-mudahan tidak terjadi lagi tragedi seperti itu
Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Lidya…
Iya mbak. Kita berharap tragedi Mina tidak akan berlaku lagi dengan segala pembinaan dan pembangunan baru yang pesat di Jamarat dan terowong. Selain itu, akhlak jemaah perlu juga dididik agar bersikap tolak ansur dan bertimbangrasa terutama kepada jemaah yang uzur dan berusia.
Terima kasih atas kunjungan dan salam manis, mbak Lidya. 🙂
hanya dapat menyimak sedikit tentang ziarah Mina di Makkah nya bu.
salam sehat dan ceria selalu saja yah
Alhamdulillah, walau sedikit mudahan bermanfaat.
Terima kasih kang dan didoakan sihat juga.
Salam hormat. 🙂
Assalamuakaikum wr wb
Bunda Fatimah
Tahun 1990 memang merupakan musibah terbesar, yang di alami oleh para jamaah haji di mekah sana ya bun, korbannya pun jatuh sampai ribuan jumlahnya
Moga kejadian ini tidak terulang lagi, dan untuk para korban moga di terima segala amal dan ibadah nya.. amin
Salam 🙂
Wa’alikum salaam wr.wb, Purnomo…
Iya, korban tahun tersebut sangat ramai. Kebanyakan korban adalah jemaah haji Indonesia. Mudahan Allah SWT menerima amal haji mereka. Aamiin Ya Rabbal’alamiin.
Terima kasih Purnomo dan salam sejahtera. 🙂
Assalamualaikum kak fatimah
Belajar dari pengalaman, sepertinya pemerintah arab saudi selalu berbenah soal keamanan juga kenyamanan untuk para jamaah yg hendak menunaikan ibadah haji di sana, moga tragedi yang yg sudah lalu menjqdi pelajaran berharga dan takan terulang lagi ya kak.. amin
Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Sussi…
Iya benar, mbak. Kerana itulah banyak pembinaan terowong dan pembesaran jamarat dilakukan bagi memudahkan jemaah haji dan menjaga keselamatan serta kebajikan mereka.
Namun begitu, kejadian yang tidak diingini tetap juga berlaku setiap tahun kerana sikap jemaah yang masih belum berubah dari aspek adab dan tata susila dalam beribadah.
Salam manis dan terima kasih sudah hadir berkunjung. 🙂
Assalamu’alaikum
Saya senang mendapat wawasan baru berkunjung ke blog mbak Fatimah plus foto-foto kerennya. Semoga apa yang telah terjadi sebagai peringatan dan hikmah umat manusia terutama kaum muslim untk lebih meningkatkan ketaqwaan pada Allah SWT.
Salam hangat dari Kudus, Jateng ya mbak 🙂
Wa’alaikum salaam wr.wb, cputriarty….
Alhamdulillah dan terima kasih atas apresiasi mbak Putri juga kunjungan perdana mbak ke blog LMGS ini. Silakan mampir lagi jika ada ruang waktu di lain kali, ya. Insya Allah, marilah kita berdoa untuk keselamatan umat Islam yang bakal mengerjakan umrah dan haji selama mereka berada di Tanah Suci. Aamiin.
Salam hangat kembali, mbak. Putri. 🙂
Assalamua’laikum …
bu SFA, membaca postinganmu ini sungguh membuat hati kagum akan kecermatan dlm pengajiannya … kita serasa ikut langsung dlm rombongan ibadah haji … sungguh luar biasa 🙂
Wa’alaikum salaam wr.wb, Soeman Jaya…
Alhamdulillah, semua ingatan itu datangnya dari Allah SWT untuk dapat mengingati semua yang telah berlaku. Mudahan beroleh pencerahan untuk panduan jika ke Tanah Suci nanti. Aamiin.
Terima kasih Soeman dan salam sejahtera. :).
Dan postingan ibu SFA selalu ‘bernas … dan padat petuah bagi umat Islam yg akan menunaikan ibadah Umrah & Haji ke tanah suci Mekah…
Salam dari pinggir timur Jakarta … 🙂
Alhamdulillah dan terima kasih kembali atas apresiasi, Soeman tentang ini.
Salam takzim. 🙂
Doakan semoga saya juga bisa segera berkesempatan ke tanah suci. Amin
Aamiin Allahumma Aamiin. Saya doakan Andri akan berkesempatan segera ke Tanah Suci, Berusaha menyimpan dana dan berdaftar haji adalah langkah yang perlu diambil selain berdoa. Insya Allah.
Terima kasih Andri Poernawan sudah berkunjung perdana kemari dan salam kenal. 🙂
permisi, Bu Siti. maaf mau nanya. Bu Siti ngeblog khusus haji dan umrah ya? tulisannya tentang haji dan umrah terus. saya mohon maaf kalau tersinggung.
Alhamdulillah, senang menerima kunjungan dari Wahyu lagi. Tidak apa-apa. Tulisan tentang haji dan umrah memang ditulis mengikut kronologinya selain di selang seli dengan tulisan-tulisan lain.
Mudahan pengalaman di Tanah Suci akan bermanfaat buat semua pembaca yang belum berkunjung ke sana. Insya Allah, Wahyu juga akan mengalami hal yang sama suatu hari nanti. Aamiin.
Terima kasih dan salam sejahtera. 🙂