CT370. KEMBARA MIRI (2): MIRI CROCODILE FARM

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

CrocFatima1MiriCrocodileFarm

*

BERENANG DULU

HARI KEDUA. Alhamdulillah, cuaca di Bandaraya Miri sangat cerah dan awan putih berserakan indah di langit tinggi. Ieesyah dan Akram sudah mula mendesak untuk ke kolam renang. Mereka tidak sabar untuk berenang.

Baju-baju renang (muslimah) saya dan anak-anak sudah disediakan awal kerana kami memang merancang untuk berenang di kolam renang Hotel Mega. Kolam renang (foto di bawah) terletak di Tingkat 4 dan dibuka mulai jam 9 pagi hingga 7 petang.

Seawal jam 9 pagi, kami anak beranak sudah menapak di kolam renang. Airnya sangat sejuk. Kami mengambil kedudukan kolam di bahagian belakang sekali. Kenapa ? Kerana bahagian tersebut adalah yang paling dalam (mungkin sedalam 2 meter). 

Anak-anak tidak menyukai kolam yang cetek. Mereka ingin berenang bebas, menyelam dan membuat terjunan. Ieesyah, Izzah dan Iffah masih menggunakan peluncur renang untuk berenang. Sedangkan saya dan Akram sudah pandai berenang dan menyelam.

SPH pula selalu menjadi pemerhati di darat sebagai pengawal keselamatan. Sekali sekala sahaja SPH akan turun ke dalam kolam untuk turut berenang sambil mengajar Ieesyah dan Izzah berenang.

*

CrocFatima2KolamRenangHotelMegaMiri

*

LAWATAN PERTAMA HARI KEDUA

Kami mula berkemas diri untuk aktiviti pertama setelah puas berenang selama satu jam setengah.  Hari ini kami hendak ke MIRI CROCODILE FARM -MCF (Taman Buaya Miri). 

Anak-anak sangat teruja untuk ke MCF sedangkan saya dalam keadaan “separuh nyawa” kerana tidak suka dengan BUAYA. Takut dan menyeramkan. Namun demi anak-anak saya menelan segala ketakutan dan kebimbangan itu. SPH dan anak-anak selalu menenangkan saya.

Perjalanan kami dari Hotel Mega terus ke Miri Crocodile Farm tanpa singgah untuk makan tengahari. Kami membawa bekalan makanan dan minuman sendiri untuk menjimatkan masa. Hanya setelah tamat lawatan ke MCF, barulah kami mencari tempat untuk makan tengahari.

MIRI CROCODILE FARM terletak di Kuala Baram sejauh 24 km dari Bandaraya Miri adalah sebuah ZOO MINI yang menempatkan beberapa jenis spesis haiwan seperti buaya, ular, spesis burung, kuda, ikan, beruang dan banyak lagi.

Perjalanan kami mengambil masa hampir satu jam kerana berpandukan kepada GPS dan beberapa kali tersasar arah kerana arahan yang mengelirukan. Alhamdulillah akhirnya kami selamat juga sampai di MCF pada jam 12.50 petang.

seperti biasa, anak-anak sudah tidak sabar dan bersemangat untuk memasuki MCF. Bersama foto yang dirakam, saya ingin membawa anda mengikuti aktiviti kami sekeluarga di MCF yang menyeronokkkan.

*

MARI KITA MULAKAN PERJALANAN….

CrocFatima3Welcome

Pemandangan awal yang kita lihat sebaik sampai ke TAMAN BUAYA MIRI

*

CrocFatima4Anakku

Anak-anak berfoto kenangan di hadapan replika seekor buaya sebelum melalui pintu gerbang ke MCF untuk membeli tiket masuk.

*

CrocFatima5PetaMiriCrocodileFarm

MIRI CROCODILE FARM dimiliki oleh syarikat BENAYA SDN BHD yang dibuka rasmi pada 16 Ogos 1998 oleh YB Datuk Dr. Chan Hong Nam, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Kemudahan Awam Sarawak.

Peta lokasi (lokasi sebenarnya tidak seperti dalam peta di atas – mengelirukan) merujuk kepada perjalanan yang bakal kita lalui sepanjang berada di MCF. Tempatnya luas. Anda perlu membawa makanan dan minuman sepanjang perjalanan tersebut.

*

CrocFatima6KaunterTiket

SPH membeli tiket masuk. Semua jumlah tiket kami adalah RM72.00. Ini adalah harga untuk 2 dewasa dan 4 kanak-kanak bagi warganegara Malaysia. Lihat jadual tiket di bawah.

*

CrocFatima7PelekatGelangMasuk

Setelah membayar tiket, kami diberi setiap seorang dengan pelekat gelang berwarna jingga dan biru (warganegara Malaysia). Kita dikehendaki memakainya di pergelangan tangan sebagai bukti tiket masuk.

*

CrocFatima8NotisMasuk

Jadual masuk ke MCF. Namun pihak pengurusan tidak peka dengan kesilapan bahasa yang ditulis di papan notis di atas. Perkataan PENYELASAIAN dan PEMEREKSAAN (digaris bawahi) adalah SALAH dari segi ejaan. Sebaiknya gunalah ejaan yang tepat dan betul.

*

CrocFatima9MenuBuaya

Siapa mahu cuba ? Ternyata sangat mahal. Satey dan makanan “bermasak” disediakan oleh orang bukan Islam (berbangsa Cina).

*

CrocFatima15BeriMakanPirarucu

Ieesyah dan Akram sedang memberi makan Ikan Pirarucu atau Arapaima. Ikan ini dikatakan ikan air tawar terbesar di dunia yang berasal dari perairan daerah tropika Amerika Selatan.  Harga sepotong makanan ikan adalah RM5.00. 

*

CrocFatima16IkanPirarucu

Ikan Pirarucu (Arapaima) ini sisiknya berwarna merah hati. Pergerakannya lembut namun terlihat “ganas” apabila menerkam makanan yang dihulurkan.

*

CrocFatima10ManEaterCroccodile

Manusia mati tinggalkan nama. Buaya mati tinggalkan kulit. Beginilah lapahan kulit seekor buaya ganas pemakan manusia di Sungai Niah, Miri.

*

CrocFatima11KandangAnakBuaya

Kandang sekumpulan anak buaya.  Walau masih kecil saya tetap rasa nyeri dan ngeri memandangnya dari dekat. Bau buaya amat tidak menyenangkan.

*

CrocFatima12LorongJalan

Lorong yang redup diteduhi pohon-pohon tua yang tinggi

*

CrocFatima14KandangBuayaBesar

“LIVE DINASOUR” nama bagi kandang sekumpulan buaya-buaya besar di MCF. Untuk melihat buaya besar dari dekat kita perlu naik ke atas pondok peninjau ini.

Saya tidak selesa dan tidak menyukai tempat ini. Setiap kali kaki melangkah di atas pondok peninjau seakan terasa ada mata-mata buaya yang memerhati dalam kelaparan. Buayanya besar-besar.

*

CrocFatima14LiveDinasour

Buaya sedang berjemur di tengah terik mentari. Buaya kelihatan aktif dan selalu bergerak. Entah sudah diberi makan atau belum. Nampak macam lapar sahaja.

*

CrocFatima17LiveDinasaour

Walaupun berada di atas pondok peninjau, saya masih rasa tidak selamat dari segi keselamatan. Kawasan ini tidak ada penjaganya.

Buaya-buaya besar yang panjang dan banyak itu boleh tiba-tiba mengamok dan merobohkan pondok kayu tersebut. Malah boleh “berganding bahu” merempuh dinding separuh simen dan pagar kayu yang kelihatan tidak kukuh. Ngerinya mengenangkan jika terjadi sesuatu di luar jangkaan. Takdir Allah, siapa yang tahu.

Kami tidak berlama-lama di sini. Saya segera mengajak SPH dan anak-anak beredar keluar dari pondok peninjau kerana rasa bimbang yang “melampau” apabila melihat buaya-buaya besar itu mula bergerak dan bergaduh sesama sendiri.

Teringat kembali perbualan saya dengan Sarimah, teman baik semasa di sekolah menengah dalam satu prtemuan kami di lobi Hotel Mega. Dimaklumkan bahawa buaya-buaya di MCF pernah terlepas dari kandang dan memasuki sungai di kampung berhampiran ketika musim banjir melanda taman tersebut.

*

CrocFatima18TheCrocodileHunter

Mengakhiri perjalanan lawatan kami ke MCF, anak-anak mengambil kesempatan bergambar di sebalik foto THE CROCODILE HUNTER. Hmmm… kan elok kalau foto pemburu buaya (lukisan) itu memakai seluar panjang. 😦

*

BUKAN KUNJUNGAN PERTAMA

Kunjungan kami Ke MIRI CROCODILE FARM bukan merupakan kunjungan pertama. Sebelum ke MCF, kami sekeluarga pernah berkunjung di sebuah Taman Buaya terbesar di Kuching dan di Sarawak iaitu JONG CROCODILE FARM (JCF).

Taman Buaya Jong menyajikan buaya-buaya yang lebih besar dan lebih banyak berbanding di MCF. Kandang-kandang buaya ada di mana-mana dan tamannya lebih besar dan luas.  Ia lebih ngeri dan membimbangkan saya kerana saya tidak suka dengan buaya.

Insya Allah, akan saya kongsikan lawatan kami ke JCF di masa hadapan. Selepas meninjau buaya besar di kandang LIVE DINASOUR, kami sekeluarga meneruskan perjalanan ke MINI ZOO pula. “Alhamdulillah, tidak lagi melihat buaya.” gumam saya dengan hati yang lega.

*

bunga

*

***************

SalamFatima3SalamFatima24 Januari 2016 (Ahad)/ 14 Rabiulakhir 1437H/ 9.58 malam, Sarikei, Sarawak

AKU…. sedar bahawa hidup yang sementara ini perlu diisi dengan sesuatu yang bermanfaat. Masa berlalu pantas meninggalkan kita dari segala kenangan yang pernah dilalui dan tidak akan kembali lagi. Realiti yang bakal dikejar di masa depan perlu dihadapi dengan akal budi yang memotretkan diri kita menjadi seorang yang bernama MANUSIA dan HAMBA di sisi-NYA. Ya Allah, kepada-MU aku berserah diri. Aamiin.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

 *

DEDIKASIKU UNTUKMU…. Apa pun yang membuat hatimu resah, panjatkan doa dari seluruh jiwa dan berbicaralah dengan Yang Maha Esa apa sahaja yang ingin diluah. Percayalah, Tuhanmu tidak akan pernah berpaling darimu. Doaku setulusnya untukmu. Aamiin. Wassalaam. 🙂

*

SinggahFatima1TerimaKasihLMGSG2

*

BERADA DI SISIMU ADALAH YANG TERINDAH

*

19 thoughts on “CT370. KEMBARA MIRI (2): MIRI CROCODILE FARM

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi…

      Memang banyak aktiviti yang boleh kita lakukan, mbak. Anak-anak yang paling seronok (suka). Antaranya memberi makan ikan Pirarucu (Arapaima), bermain dengan ular saya berkulit emas, bermain dengan beruang matahari, kambing (sangat mesra dan bersahabat) dan arnab. Kita juga boleh menunggang kuda dengan bayaran RM5.00.

      Terima kasih mbak Evi sudah berkunjung dan salam manis. 🙂

  1. Assalamu’alaikum wr.wb.

    Wah, berkunjung ke kandang buaya begitu rasanya tegang ya, hehe… meski buaya jelas dalam kandang yang aman. Mantap tuh, Mbak, bisa foto-foto sambil menangkap dan menggendong buaya 🙂

    Salam hangat dari Jogja.

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Ahsinmuslim….

      Aamiin walAlhamdulillah. Terima kasih sudah berkunjung kemari. Mudahan keberkatan selalu melimpahi kita dengan kebaikan amal yang dilakukan.

      Terima kasih dan salam sejahtera.

  2. Assalamu’alaikum wr.wb.mba Fatimah…
    Alhamdulilah masih bisa kembali mengunjungi mba Fatimah. Sungguh menyenangkan sekali ya mba bepergian bareng semua anggota keluarga seperti ini. Semoga tetap sehat ya mba, aamiin.
    Salam dari Dompu

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas AR Syamsuddin…

      Aamiin walAlhamdulillah. Bercuti bersama keluarga merupakan saat paling indah untuk dikenang kerana apabila anak-anak sudah besar dan membawa haluan masing-masing pasti sukar untuk berkumpul bersama. Sementara mereka masih kecil dan belajar, sebaiknya kita membawa mereka mendapatkan pengalaman dan pengetahuan, mudah membantu mereka mengenali hidup dengan baik.

      Terima kasih sudah berkunjung dan didoakan mas AR Syamsuddin juga sihat bersama keluarga di sana serta dirahmati Allah SWT. Aamiin.

      Salam takzim.

  3. sate ayam RM 1.00 .. yesterday sewaktu saya ke Malay saya nak cuba sate made in Malay tapi saya tak temu orang jual sate hanya nasi kandar, biryani he he .. bunda, saya nak backpacker ke Serawak, apa saja yang cantik disana

    • Menjadi kebiasaan orang di Malaysia menjual sate pada waktu sebelah petang dan malam. Anda akan jarang malah tidak menjumpai orang Malaysia menjual sate di siang hari. Jika anda ingin merasai sate yang terkenal lazatnya cari sahaja namanya SATE KAJANG.

      Silakan ke Sarawak, sangat dialu-alukan. Jika mahu melancung ke sini, mulai dahulu dengan ingu negeri Sarawak iaitu Bandaraya Kuching. Di sini banyak tempat pelancungan boleh dilawati antaranya Kampung Budaya di Pantai Damai, Santubong. Menaiki perahu tambang di Sungai Sarawak dan banyak lagi.

      Mudahan hasrat itu tercapai. Terima kasih atas kunjungan dan salam sejahtera.

  4. Pingback: CT371. KEMBARA MIRI (3): ZOO MINI AT MIRI CROCODILE FARM | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2

Leave a reply to Mosque Adventure Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.