CT154. ZIARAH MADINAH (8): PERJALANAN KE BUKIT UHUD

Assalaamu’alaikum Warahmatullah Wabarakaatuh

UhudFatima1PerjalananBukitUhud

Berusaha menyaingi kelajuan bas, saya siap sedia dengan kamera untuk menangkap hujung kaki sebelah kiri Bukit Uhud dan Bukit Ar-Rummah di hadapannya

Kunjungan ke Ladang Kurma dalam catatan CT151. Ziarah Madinah (7): Ladang Kurma, memberi seribu kenangan yang sukar dilupakan. Walau hanya 1 jam namun sempat merasa panasnya udara persekitaran sehingga peluh menitik ke wajah. Tempat yang penuh misteri. Alhamdulillah, akhirnya impian untuk melihat Ladang Kurma dan  berdiri dengan dikellilingi pohon-pohon kurma yang banyak sangat membekas di jiwa saya. Entah akan bertemu lagi dengan Ladang Kurma ini di kemudian hari atau akan di bawa ke Ladang Kurma yang lain pula. 

BUKIT UHUD adalah destinasi terakhir yang kami kunjungi dalam 3 aktiviti ziarah luar untuk slot Ziarah Madinah. Semua kunjungan ziarah luar ini dikendalikan oleh pihak Tabung Haji Malaysia. Berbeza dengan siri Ziarah Makkah dan Ziarah Jeddah yang ditanggung sendiri oleh jemaah haji yang berminat.

Perjalanan bas mulai lancar ketika keluar  ke lebuh raya dari Ladang Kurma menuju ke Bukit Uhud. Kereta pelbagai jenama meluncur laju di jalan raya. Perjalanan 16 minit membuka ruang untuk saya menikmati pemandangan yang mengasyikkan. Rumah-rumah berbentuk kotak, tinggi rendah menghiasi kiri kanan jalan. Bangunan-bangunan kedai mewah tersusun memanjang dengan binaan moden. Jelas terdapat bangunan yang terpalit debu-debu jalanan.

Debu-debu halus kekuningan kelihatan berterbangan sambil menyatu dengan alam yang serba kontang. Panas di luar terpancar cerah dan silau mata mulai terasa apabila cahaya matahari menyentuh tingkap kaca di sebelah saya.  Stesen-stesen hentian mengisi minyak bersifat layan sendiri dibina dengan reka bentuk yang sangat unik. Saya terpegun melihatnya. Sangat berbeza dengan stesen minyak SHELL, PETRONAS dan CALTEX di Malaysia. Saya juga sempat merakam dua buah pusat membeli belah yang menghala arah Bukit Uhud.

UhudFatima2StesenMinyak

Stesen mengisi minyak yang sangat unik reka bentuknya.

UhudFatima3HyperPondoMadinah

Di tengah padang pasir Madinah,  berdiri megah hypermarket yang besar memanjang seperti TESCO dan GIANT di Malaysia.

UhudFatima5GazaMall

GAZA MALL berlatar belakang BUKIT UHUD. Di sebalik sana, tempat yang kami tuju iaitu kawasan pertempuran Perang Uhud dan Makam Syuhada’.

UhudFatima4GazaMallMadinah

GAZA MALL di belakang Bukit Uhud

UhudFatima6KeBukitUhud

Pembinaan bangunan-bangunan baru dan rumah-rumah flat dilalui semasa bas menghampiri Bukit Uhud

*

HATIKU TERSENTUH

Bas semakin menghampiri Bukit Uhud yang kelihatan gagah tersergam dengan warna tubuh yang kemerah-merahan. Saya tidak pernah melihat warna bukit seperti Bukit Uhud ini. Warnanya yang suram seakan meratapi kesedihan dan menyimpan sejuta kenangan yang tidak dapat dilupakan. Berada di sini, membawa saya mengimbau bagaimana tragisnya Perang Uhud.

Kemenangan kaum muslimin dalam Perang Badar pada bulan Ramadhan tahun ke-2 hijrah membangkitkan rasa dendam kaum musyrikin hingga membawa kepada Perang Uhud. Bukit Uhud adalah saksi kepada kekalahan umat Islam yang dikucar-kacirkan oleh tentera musuh yang diketuai oleh Khalid al-Walid yang ketika itu masih musyrik. Peristiwa ini berlaku apabila tentera musyrik berjaya menawan Bukit ar-Rummah dan menyerang pasukan pemanah Islam yang mengakibatkan 70 orang sahabat mati syahid.

Hati saya benar-benar tersentuh dapat menyaksikan medan Perang Uhud. Detik-detik awal apabila melihat kelibat Bukit Uhud dari perut bas, melahirkan rasa yang tidak mampu digambarkan betapa hebatnya pertempuran yang sedang berlaku. Tentu sekali ketikan kamera kecil saya tidak dilepaskan begitu sahaja.

Mata menerawang mencari kaki bukit Uhud yang berada di sebelah kiri saya. Setelah turun dari bas, saya mencari pula kaki bukit Uhud di sebelah kanan bas.  Jauh sayup dipandang, bukit Uhud semakin menuram hujungnya. Sebuah masjid terlihat di seberang jalan. Ini bermaksud, terdapat dua masjid telah di bina di kawasan Uhud ini.

Tempatnya panas dan penuh batu batan. Suhu cuaca ketika ini mungkin dalam 40 darjah selsius. Saya melihat jam tangan sudah menunjukkan pukul 10.12 pagi. Saya merasa sesuatu yang aneh berlaku kepada saya. Saya langsung tidak merasa denyutan kuat di kepala seperti yang biasa  saya alami apabila cuaca panas terik. Di Tanah Air, saya sering mengalami migrain apabila cuaca panas. Walaupun panas hanya sederhana suhunya. Subhanallah, apakah ini berkat doa yang saya pohon semasa minum air Zam-zam pada malam pertama berada di Masjid Nabawi ? Sehingga kini, migrain saya tidak lagi menyerang. Ia sudah sembuh. Alhamdulillah.

Fizikal Bukit Uhud membumi gersang tanpa sepohon tumbuhan yang menyubur diri di tubuhnya. Wajah Uhud kelihatan muram bersama kesuraman warna tubuhnya. Saya seakan merasakan betapa Uhud merindui Rasulullah saw yang telah lama pergi. Uhud mencintai Rasulullah saw dan baginda juga turut mencintai Uhud. Mata saya berkaca dan merindui sama. “Aku rindu padamu, ya Rasulullah.” getus hatiku sendu sambil mengesat mata dengan hujung jari.

UhudFatima9bukitUhud

Pemandangan Bukit Uhud yang menjadi medan pertempuran Perang Uhud, kini menjadi medan ekonomi masyarakat setempat untuk meraih rezeki dari kunjungan jemaah umrah dan jemaah haji yang melawat Bukit Uhud.

cuacafatima2bukituhud

Pemandangan di Bukit Uhud sekitar jam 10.30 pagi. Terik mentari yang menghangat rasa dan memerit kulit seakan membaham seluruh tubuh yang disinggahinya tanpa kecuali. Peluh menitik membasahi bumi Uhud yang penuh sejarah pilu atas kekalahan kaum Muslimin pimpinan Rasulullah saw di dalam Peperangan Uhud. Tiada awan menghiasi langit lepas Kota Madinah.

*

LOKASI BUKIT UHUD

BUKIT UHUD merupakan bukit terbesar dan terpanjang dalam Tanah Haram Madinah. Uhud memiliki banyak bukit. Lokasinya di bahagian utara Madinah iaitu 5 km dari pusat bandar Madinah.Kini telah dibuka Jalan Malik Fahd ibn Abdul Aziz dari Masjid Nabawi menuju Bukit Uhud dan makam syuhada’.

Bukit Uhud dari Timur ke Barat memanjang sejauh 7 km. Lebarnya sekitar 1 km  sehingga yang paling lebar adalah 3 km. Tinggi dari aras laut sejauh 1 km. . Manakala tinggi dari permukaan tanah adalah 450 meter. Kelilingnya meliputi 19 km. Warna tanah bukit ini adalah kemerah-merahan.

Dinamakan Uhud kerana bukit ini bersendirian atau berjauhan dari bukit-bukit lain. Juga kerana ketinggiannya mengatasi bukit-bukit lain. Di tempat Uhud inilah berlakunya peperangan sengit di antara tentera Islam dan tentera musyrikin dari Makkah. Peperangan ini berlaku pada bulan Syawal pada tahun ketiga hijrah.

UhudFatima11RummahUhud

Bukit Ainain atau dikenali Bukit ar-Rummah dan hujung kaki Bukit Uhud

UhudFatima12arRummah

Ramai jemaah haji tertarik mendaki Bukit ar-Rummah untuk melihat secara dekat

*

KELEBIHAN BUKIT UHUD

1. Uhud mencintai Rasulullah saw dan baginda juga turut mencintai Uhud.

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: “Saya keluar bersama Rasulullah saw ke Khaibar, berkhidmat untuk Baginda. Setelah pulang menuju Madinah dan ternampak Bukit Uhud lalu Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Uhud adalah satu bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.” – HR Bukhari dan Muslim

2. Uhud telah bergoncang ketika baginda saw menaikinya bersama-sama sahabat baginda saw.

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah saw sedang mendaki gunung Uhud, turut bersama-sama dengan Baginda saw ialah Abu Bakar, Umar dan Usman r.hum. Uhud telah bergoncangan lalu Baginda saw menghentaknya dengan kakinya dan bersabda: “Diamlah kamu wahai Uhud kerana sesungguhnya berada di atas kamu adalah seorang Nabi, seorang Siddiq dan dua orang syahid.” – HR Bukhari

3. Uhud berada di atas pintu dari pintu-pintu syurga atau di atas salah satu pintunya.

UhudFatima13TurunBas

Rombongan bas kami turun untuk menunggu taklimat ziarah Bukit Uhud

UhudFatima14Taklimat

Panas memancar terik sehingga kami menyandar di badan bas untuk berlindung dari gigitan hawa yang hangat

UhudFatima18MasjidHujungUhud

Turun dari bas, saya terus mencari sebelah lagi kaki bukit Uhud yang berada di kanan jalan. Sebuah masjid yang tidak dikenali nama tersergam di seberang jalan.

*

Banyak pengajaran dapat kita ambil dari peristiwa Perang Uhud untuk difikir dan direnung ke dalam diri bahawa syiar Islam hendaklah ditegak walaupun mesti mengorbankan nyawa. Jangan pernah takut melaksanakan kebenaran dan keadilan di muka bumi. Dari medan Uhud, kita dapat belajar erti kesabaran, ketaatan kepada pemimpin, keazaman dan semangat juang yang tinggi. Medan Uhud, padamu mengalir darah syuhada’ yang mulia.

Bungaku2

****************

20 Febuari 2013 (Rabu)/ 9 Rabi’ul Akhir 1434H/ 10.57 malam – Sarikei, Sarawak

AKU…. ingin menjadi hamba yang selalu mensyukuri nikmat yang dikurniakan. Hidup ini hanya sebentar yang perlu diisi secara aktif dengan ilmu dan kebijaksanaan yang memandu ke jalan akhirat. Di sebalik bukit, terdapat lukisan yang indah. Aku perlu mendakinya walau sesusah mana, supaya dapat memandang keindahannya. Ingatlah wahai diri, jangan sampai kehilangan kekuatan dalam mengendalikan diri kerana ia permulaan kepada penurunan darjat sendiri. Jadilah orang yang tabah dan sedar diri.

– SITI FATIMAH AHMAD –

***************

IngatanFatima2Padamu

LEPASKAN NAFASMU SEHINGGA TENTERAM JIWAMU DARI BELENGGU RINDU

24 thoughts on “CT154. ZIARAH MADINAH (8): PERJALANAN KE BUKIT UHUD

  1. Assalaamu’alaikum wr.wb…

    Peristiwa kejayaan dari PERANG BADAR di dalam filem Omar Series 11 sehingga membawa kepada Perang Uhud. Semoga Allah mengurniakan kita keampunan dan pahala dengan mengambil pengajaran dari setiap perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat terdahulu. Aamiin.

    DEDIKASIKU UNTUKMU…. semakin hari berlalu menyapa usia dunia yang kian tua. Semakin kasihku bercambah mesra menunas sayang yang tidak pernah gersang. Semalam adalah kenangan yang perlu digilap terang agar tidak pernah lupus dari ingatan. Hiduplah dengan cinta Allah, pasti kita akan bersama dalam naungan rahmat-NYA.

    Wassalaam. 😀

  2. penulisan anda sungguh berbunga harum.putih bersih.cuma ingin saya bersama menabur budi sesungguhnya ada fakta sejarah perlu difikirkan luas-luas. sebenar- nya perang uhud merupakan satu kemenangan Rasulullah saw dalam graf atau sudut kamera minda yang lain – sila rujuk analisa puitis oleh imam besar Masjidilharam Mekah dr.Abdul Rahman Sudais.

    • Alhamdulillah dan terima kasih saudara Mohammad.
      Semoga dirahmati Allah.

      Iya benar apa yang dijelaskan oleh saudara ada fakta lebih luas dari maksud yang tersirat hasil dari kekalahan Perang Uhud ini iaitu kemenangan semangat yang membawa kepada kejayaan dalam semua peperangan sesudah itu.

      Cuma saya belum selesaikan penjelasannya. Ada sambungan bagi posting Bukit Uhud sesuai dengan kronologi Travelog Hajjah yang telah dilalui.

      Mungkin tidak bisa dijelaskan seluruhnya dengan tepat. Maka, tentu sekali harus dikaji lebih mendalam dengan banyak membaca. Andainya saudara Mohammad bisa menautkan – analisa puitis oleh Dr. Abdul Rahman Sudais – di sini, saya sangat berbesar hati untuk bacaan semua.

      Terima kasih atas ingatan baik yang sangat mencerahkan.
      Salam hormat. 😀

  3. subhanallah alhamdulillah, akhirnya menjejakkan kaki juga di bukit Uhud….bukit bersejarah..saksi bisu atas sebuah perang yang paling dahsyat yang pernah terjadi di dalam sejarah agama Islam, …semoga perjalanan ke bukit uhud bisa membuat iman kita semakin tebal…mengingat pengorbanan para syuhada yang telah berjuang demi masadepan Islam, dan semoga bisa menjadi hamba ALLAH yang lebih bertakwa dan lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,..,
    salam hangat selalu dar Makassar – Indonesia 🙂

    • Alhamdulillah… jika selama ini hanya membaca di buku atau melihat dokumentasi di media. Kini, dapat melihat dengan sendiri. Sangat memberi makna apabila kita sampai ke tempatnya dan membayangkan sengitnya saat perang sedang berlaku sehingga Rasulullah luka dan ramai sahabat gugur syahid.

      Insya Allah, apa sahaja yang menjadi sejarah dalam Islam pasti ada iktibar buat generasi kemudian untuk meningkatkan iman dan takwa kepada Allah SAW.

      Aamiin, Ya Rabbal’alamii. Mudahan doa yang baik dari mas Hariyanto akan diperkenankan Allah SWT buat kita semua.

      Salam hangat kembali dan terima kasih mas Hariyanto sudah berbagi pesan yang mencerahkan. 😀

  4. Assalaamu’alaikum wr.wb
    Ikut membaca kisah perjalanan Ibu Siti Fatimah Ahmad.
    Kisah dan foto2nya saling melengkapi sehingga menjadi laporan yang utuh.

    Alhamdulillah, istri saya juga baru pulang dari Madinah Bu…
    Perjalanannya lancar tapi agak flu.

    Salam Hormat dari Indonesia untuk keluarga besar Sarikei dan Sarawak

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Vizon…

      Alhamdulillah, semoga isteri mendapat kemabruran dalam ibadah yang dilakukan di bumi Haramain. Flu dan batuk sering menghinggapi jasad asing yang hidup sementara di sana kecuali (jarang) yang sudah bermukim dan bermastautin. Semoga semakin sihat sekarang ini. Aamiin.

      Terima kasih atas kunjungan dan kongsiannya.
      Salam hormat kembali buat mas Vizon dan keluarga di sana. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, Kharis A Arief…

      Insya Allah, jika niat sudah dipasang dengan iringan usaha menabung. Insya Allah, jemputan Allah pasti akan mendatang pada waktu yang sudah ditetapkan.

      Semoga sukses dan raih kejayaan dengan semangat yang besar.
      Salam ceria dan terima kasih sudah berkunjung perdana kemari. 😀

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi…

      Iya, Bukit Uhud memang begitu wajah fizikalnya sejak dulu. Mungkin ada sedikit perubahan disebabkan zaman berubah dan cuaca yang memakan tubuhnya. Berbatu kukuh, kemerahan dan penuh misteri. Bukitnya besar memanjang dan tinggi, mbak.

      Kita melihatnya terasa sayu sekali. Terus terbayang peristiwa Perang Uhud di mata walau hanya sebuah dokumentasi tulisan sahaja.

      Terima kasih mbak Evi.
      Salam manis. 😀

  5. Assalamu alaikum wr. wb.
    umiku sayang, afwan lama menggoreskan kata dikolom komentr umi,
    tahulah anakmu ini, beberapa hari lalu sedang ini dan sedang itu
    neni belum sempt membaca tulisan umi, sedang kurang fit, namun tuk melepas kerinduan umi, neni hadir menyapa dan mengobati rindu umi tercinta

    ummiiiiiiiiiii…………………………

    • Wa’alaikum salaam wr.wb, anakku Neni…

      Tidak mengapa, Umi faham dan mengerti akan kesibukan yang melanda Neni. Semoga keluarga di kampung sihat dan dilindungi Allah SWT hendaknya.

      Juga Umi doakan Neni cepat sembuh dan dapat kembali aktif untuk bergabung bersama Umi di sini.

      Kehadiran Neni, mengubat rindu Umi yang menanti komentar dari Neni setelah sekian lama menghilang diri.

      Terima kasih sudah menyapa Umi. Umi gembira dan senang.
      Salam rindu dan sayang juga dari Umi yang jauh. 😀

Leave a reply to Dhiyas kn Cancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.