CT107. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (2): MENGATUR STRATEGI

29 May

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Foto 3. Pemandangan yang amat mengejutkan saya ketika pertama kali memasuki halaman terbuka kawasan solat wanita, Masjid Nabawi. Lapangan solat sudah penuh dengan jemaah haji wanita. Ini bermakna dalam masjid juga sudah penuh. Saya, Kak Kasma dan Kak Senah tidak dapat memasuki masjid. Kami menghampar sejadah dan merasa hampa kerana solat Subuh pertama kali di luar Masjid.

****************

Dalam episod CT106.  MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (1),  kami ditakdirkan Allah untuk menekuni solat Subuh pertama secara berjamaah di luar halaman terbuka, kawasan solat wanita, Masjid Nabawi. Segala rencana yang diatur tidak kesampaian.

Lain yang dirancang, lain pula penemuan dan tindakannya. Semuanya di luar kawalan kami, hamba yang lemah tidak berdaya. Rencana Allah lebih besar dan penuh dengan segala hikmah. Kebanyakan manusia tidak mengetahui kecuali mereka yang berakal. Allah telah menentu segalanya. DIA adalah AL-MUQTADIR.

Kita harus menerima segala ketentuan itu dengan redha dan membuka fikiran untuk menelaah setiap hikmah di sebaliknya tanpa rasa ragu dan buruk sangka kepada Allah swt. Saya berpendapat, di sinilah Allah hendak mematangkan kita dengan ilmu dan akal untuk meninggikan martabat di sisi Allah.

Sesungguhnya Allah Maha Tepat Bertindak (A-RASYID) atas apa yang dikehendaki kepada hamba-Nya. Allah memberi petunjuk dengan mendorong kepada kebaikan dan menanam tawakal dalam diri hamba-Nya agar menyerah segala urusan kepada-Nya setelah berusaha dan berdoa.

Demikianlah Allah mengatur perjalanan ibadah kami sebagai ujian untuk memerhati pengajaran di sebalik semua peristiwa yang berlaku. Tidak semua yang dirancang, berjaya dicapai. Pasti ada sebab mengapa Allah melirik kami kepada yang tidak kami rencanakan. Tahukah apa sebabnya ? Tentu kami tidak tahu. Allah memberi ruang kepada kami memikirkannya jika benar-benar ingin merealisasikan niat dan impian yang tersirat di hati.

Apa yang terfikir di minda saya, bagaimana cara untuk masuk masjid dan menduduki saf pertama. Masjid Nabi bukannya kecil. Masjid Nabawi sangat besar, lebar, luas dan memanjang setelah berlaku banyak pembesaran ke atasnya.

Ukuran terkini Masjid Nabawi selepas pembesaran terakhir  tahun 2005 oleh Khadimul Haramain adalah 165,500m persegi dan boleh menampung seramai 275,000 orang jemaah. Kawasan persekitaran medan terbuka untuk solat pula boleh menampung seramai 250,000 orang jemaah. Subhanallah bayangkan ramainya jemaah haji di seluruh dunia boleh solat sehingga 700,000 jemaah pada hari-hari biasa.

Setelah berjaya memasuki masjid Nabi dan sampai ke saf pertama wanita, saya menghitung terdapat 16 tiang bermula dari pintu masuk hingga ke saf pertama perempuan dari arah pintu utara. Terdapat satu lagi pintu dari arah timur dan ini membawa kepada banyaknya jemaah yang merebut saf untuk keselesaan masing-masing. Setiap tiang itu berjarak 5 meter. Sangat jauh dan terasa lelah juga untuk berlari-lari anak bagi mencapai saf pertama.

Perkara ini (merebut saf pertama) tidak dibicarakan secara khusus dalam ceramah Kursus-kursus Haji oleh pihak Tabung Haji. Tanpa maklumat asas seperti ini, bakal jemaah haji terpaksa melalui pengalaman sendiri. Namun begitu, tidak ramai yang dapat berkongsi pengalamanan kerana mungkin sudah lupa dan tidak kisah tentang saf solat. Asal ada tempat solat, sudah cukuplah bagi mereka. Tetapi tidak bagi saya.

Solat di saf pertama merupakan pilihan saya setiap kali berjemaah di mana-mana masjid dan surau. Saf pertama memberi suasana yang eksklusif kerana tiada gangguan pandangan di hadapan. Saf pertama dapat membawa kepada kekhusyukan solat dan keindahan beribadah daripada saf-saf yang lain walaupun berada di saf ke dua. 

Selain itu terdapat kelebihannya tersendiri selain fadhilat solat berjemaah. Kelebihan saf pertama akan saya postingkan selepas ini supaya kita semua berusaha untuk berlumba-lumba menempat diri di saf pertama dalam solat. :D

“SEANDAINYA KALIAN MENGETAHUI ATAU MEREKA MENGETAHUI APA YANG TERDAPAT DALAM SAF HADAPAN (PERTAMA), NESCAYA AKAN DIADAKAN UNDIAN.” Riwayat Muslim.

Foto SPH. Ruang solat lelaki di Masjid Nabawi


***************

STRATEGI MEREBUT SAF PERTAMA

KEINGINAN yang kuat, PERANCANGAN yang mantap dan PEMERHATIAN yang jitu merupakan tiga elemen yang menghasilkan STRATEGI KEJAYAAN dalam usaha MEREBUT SAF PERTAMA di Masjid Nabawi. Oleh itu, saya dan Kak Senah membuat perbincangan bagi mengambil langkah bijak untuk melaksanakan misi SAF PERTAMA ini.

Hehehe, seperti hendak pergi berperang saja ni. Saya dan Kak Senah selalu ketawa kalau mengenangkan usaha misi dan visi SAF PERTAMA ini. Kak Kasma menyerahkan semuanya kepada kami. Sebagai “orang tua”, Kak Kasma tidak berminat dengan urusan seperti ini. Kak Kasma lebih suka mengangguk dan bersetuju sahaja tanpa sebarang bantahan.

Saya tidak merasa “beban” untuk mencapai misi dan visi SAF PERTAMA. Itulah hasrat dan tujuan yang hendak direbut sepanjang berada di Madinah selain solat berjamaah 40 waktu. Subhanallah, memikirkan usaha tersebut, apa lagi yang saya inginkan setelah berada di bumi barakah ini. Tentulah semata-mata untuk beribadah kepada Allah dan merebut segala kesempatan yang ada untuk meraih keredhaan Allah.

Jemputan sebagai TETAMU ALLAH tidak akan saya sia-siakan terutama dalam pelaksanaan ibadah solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram yang mempunyai ganjaran eksekutif yang tidak ada di tempat lain. Tidak dinafikan terdapat segelintir para hujjaj yang memilih solat di hotel dengan alasan penat, sakit dan tidak kuat untuk meredah puluhan ribu manusia dan perjalanan jarak jauh dari penempatan mereka. Masya Allah, kondisi ini sangat merugikan dalam konteks pelaksanaan ibadah bagi MENGINTIP JALAN KE SYURGA.

Terhasil dari pemerhatian saya dan Kak Senah dalam tempoh dua hari selepas solat Subuh pertama, rupanya ada yang tidak ditanggapi serius oleh banyak jemaah haji jika mahu menempat diri di SAF PALING HADAPAN di Masjid Nabawi iaitu JADUAL WAKTU SOLAT. Kami telah mengetahui masa yang sesuai untuk meneruskan ekspedisi yang hebat ini dengan membuat pengujian praktikal bagi memastikan kebenaran pemerhatian kami. Berjaya atau tidak.

Alhamdulillah, sudah banyak kali kami dapat menempati diri untuk solat berjamah dalam saf pertama di Masjid Nabawi. Ternyata tidak susah seperti yang disangkakan. Yang penting, KEINGINAN, PERANCANGAN DAN PEMERHATIAN. Hakikatnya semua itu dilakukan kerana semata-mata:

CINTA ALLAH DAN CINTA RASUL

****************

MEREBUT SAF PERTAMA

Terdapat dua jadual masa yang telah saya dan Kak Senah rancang bagi menyempurnakan misi ini. Jadual pertama ternyata kurang berkesan kerana kami tidak mencapai saf pertama walaupun sudah dapat solat di dalam masjid. Kami masih ketinggalan di saf tengah atau belakang. Jadual pertama adalah seperti berikut:

MISI 1. Gagal dan perlu kepada strategi seterusnya.

Alhamdulillah, kerana tekad kami kuat, kami merancang lagi jadual yang lebih efektif dan memerlukan kesungguhan hati dalam melaksanakannya. Alhamdulillah, jadual yang kedua dan terakhir ini menampakkan kejayaan dalam visi dan misi menempatkan diri dalam SAF PERTAMA di Masjid Nabawi. Ibarat kata pepatah,

HENDAK SERIBU DAYA TAK HENDAK SERIBU DALIH

Misi 2. ALHAMDULILLAH, tercapai dengan jayanya.

Setelah melakukan pemerhatian secara berterusan, akhirnya saya dan Kak Senah berjaya mengatur strategi mantap sehingga kami bertiga selalu mendapat saf pertama (barisan hadapan) untuk solat berjamaah. Saya sangat bersyukur, Allah memudahkan segala urusan kami dan memakbulkan doa kami bagi mencapai hasrat untuk berada di saf pertama.

Sesungguhnya, Allah mengurniakan saya sahabat yang sangat baik seperti Kak Senah dan Kak Kasma yang SEKEPALA dan SEHATI dalam urusan melaksanakan ibadah. Kami selalu bermuafakat dan bersepakat dalam banyak perkara walau ada ketikanya terjadi juga peristiwa di luar jangkaan di mana Kak Senah marah apabila saya dan Kak Kasma “hilang” bersama seliparnya. :D Peristiwa tersebut, saya tulis di posting CT171. MANUSIA “BERKAKI AYAM.”

Kepada BAKAL JEMAAH HAJI dan sesiapa yang mahu mengambil pelajaran dari MISI MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI, mudahan jadual waktu yang saya kongsikan di atas, dapat membantu mencapai misi yang anda inginkan. Semoga Allah meredhai segala urusan ibadah yang diniatkan semata-mata kerana Allah taala.

Foto 4. Meraih foto keindahan satu dari 10 menara Masjid Nabawi yang indah, saat menunggu azan Subuh berkumandang.

SUBUH itu pun hadir pada sisi waktunya. Azan pun berkumandang dengan sayu menyelinap ke kalbu dan menggentarkan seluruh sendi anggotaku. Teringat akan BILAL BIN RABAH, muazzin pertama Rasulullah. Airmataku mengalir deras, bersyukur atas segala redha-Nya. Masih jelas dipendengaranku, suara pertama Imam Masjid Nabawi, SHEIKH SOLAH BUDIR mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan suara yang bergetaran dalam tangis yang menginsafkan. Allahu Akbar.

****************

JANJIKU PADA TUHANKU

Subhanallah, setiap apa yang difikir dan direncanakan dalam detik nafas melalui kemegahan hidup di bumi Haramain, semuanya sangat penting bagi saya untuk merebut segala peluang yang menghantar saya kepada Cinta Allah dan Cinta Rasul-Nya.

Saya berjanji dengan diri sendiri dalam setiap lafaz doa yang dipanjatkan di hadapan Tuhanku, Allah azza wa jalla, apapun kepayahan yang bakal ditempuh dalam melaksanakan ibadah dan manasik haji di mana-mana masya’irnya, akan saya perjuangkan dengan sesungguhnya mengikut apa yang disyari’atkan. Semuanya saya lakukan semata-mata untuk memperolehi mardhatillah. Airmataku selalu mengalir ketika menyebut doa ini.

“AKU HANYA INGIN MENCAPAI REDHA-MU, YA ALLAH”

****************

29 Mei 2012 (Selasa)/ 8 Rejab 1433H/ 9.45 pagi - Sarikei, Sarawak

AKU…. mengerti, setiap keinginan yang hadir menyapa tidak semuanya dapat dimiliki secara nyata. Kekecewaan sering mengajar diri untuk berani menerima tangisan. Jangan takut menangis kerana dengan tangisan, bunga ketenangan akan tumbuh mengharumkan kehidupan seterusnya. Terimalah segala ketentuan Allah dengan redha. SENYUMLAH… kerana senyuman itu satu ibadah dan menenangkan jiwa.

- SITI FATIMAH AHMAD -

***************

KU TATAP BULAN PAGI DAN KU PELUK CAHAYANYA… ADA RINDU YANG TERBAKAR DICELAH BUKIT PASIR INI.

****************

About these ads

16 Responses to “CT107. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (2): MENGATUR STRATEGI”

  1. SITI FATIMAH AHMAD May 29, 2012 at 10:04 am #

    Assalaamu’alaikum wr.wb…

    DEDIKASIKU UNTUKMU… THE LOVER oleh Sami Yusuf.
    Allah dan Rasulullah adalah KEKASIH sejati yang menjadi sumber kehidupan dan kecintaan abadi tanpa belah bagi.

    AKU MENCINTAIMU SELURUH KEHIDUPANKU DI DUNIA DAN DI AKHIRAT.

    Semoga cinta kita kepada Allah dan Rasulullah akan sentiasa bersemi, menyubur dan membumi hijau.

    Wasalaaam. :D

  2. bintangzohra May 31, 2012 at 8:39 pm #

    Assalamualaikum wr wb, sahabat yang jauh…

    Nampaknya segala jerit payah mengatur misi akhirnya Fatimah membuahkan hasil, Alhamdulillah, tak terasa penat itu ya apabila sudah berada di hadapan dan ketenangan suasana sambil menunggu azan bergema. Dari gambar yang tertera sudah dapat dirasakan ademnya tempat ini.

    Saya dapat rasakan, kepada sesiapa yang telah mendapat saf yang pertama sayang rasanya hendak meninggalkan masjid itu.

    Keinginan saya ini kebanyakannya perkara-perkara yang mustahil, memang tak boleh dapat pun, cuma manalah tahu boleh jumpa dalam mimpi kalau di izinkan,he he.

    1. Kalau boleh saya hendak masuk sampai ke dalam ruang maqam Rasulullah saw,
    2. Saya hendak melihat bagaimana rumah asal beliau yang dibina dari hasil titik peluhnya sendiri di Madinah.
    3. Rumah Sitti Khdijah dan rumah kelahiran beliau di Mekah.

    Secara peribadi saya tidak setuju hotel dan mall yang mewah didirikan di Mekkah dan Madinah. Kerana kita ke sana di ibaratkan seperti kita kembali kepada Allah Ta’alah, atau pun balik menemuiNYA/kepadaNYA, tidak sepatutnya kita dikhayalkan dengan keadaan sekeliling yang serba mewah disitu.Saya ada terbaca pendapat mereka yang tidak setuju perkara ini menyatakan ‘Mekkah di ibaratkan seperti Las Vegas’ atau ‘pergi haji ke pergi holiday’.
    Tak mustahil kalau mereka berkata begitu kalau sampai ada sebuah hotel ‘Raffles Makkah Palace’ terdapat fitness, spa, honeymoon package blah,blah….

    Saya hendak mengucapkan terima kasih kepada Fatimah kerana telah meluangkan masa unutk memberi tiga komen di blog saya tadi.
    Satu pertanyaan saya, adakah buku : Khadijah Drama Cinta Sang Nabi oleh Muhammad Abduh Yamani. – yang awak miliki sekarang ini.
    Kerana ada banyak versi buku Sitti Khadijah di tokoh-tokoh buku, tetapi tidak sama penulisnya.

    Maafkan saya kerana mengambil ruang menulis dengan panjang lebar di sini.
    Terima kasih berkongsi gambar-gambar kenangan yang tidak boleh dilupakan itu.

    Salam persahabatan dari jauh, Zohra

    • SITI FATIMAH AHMAD June 1, 2012 at 10:56 pm #

      Assalaamu’alaikum wr.wb, sahabatku Zohra…

      Demikianlah semangat yang tertera di hati kala keinginan merebut saf pertama di Masjid Nabawi, bagai menguis-nguis untuk direalisasikan. Memang benar, bila hajat tercapai, rasa kelegaan, bahagia dan semangat semakin menerjah diri sehingga membawa kepada kekhusyukan dalam ibadah. Alhamdulillah, semuanya atas izin Allah jua.

      Masya Allah, saya jadi ketawa membaca impian “mustahil” Zohra. Saya doakan niat yang baik akan tercapai. Aamiin. Kita mana tahukan, kalau Allah izinkan, apa sahaja halangan yang difikirkan sukar, akan jadi mudah. Yang penting, berdoa dan berusaha lalu bertawakal. Hehehe… ini barulah dinamakan MISSION IMPOSIBLE.

      Kalau impian 1 dan 2, saya anggap ia MI, tetapi kalau impian 3 itu, rumah Siti Khadijah masih wujud hingga sekarang ini tetapi sudah berubah fungsi. Saya pun tidak perasan tentang ini. Ada yang maklumkan tapak rumahnya menjadi blok toilet yang berada di di keliling Masjidil Haram ada yang maklumkan jadi Asrama Perempuan. Wallahu’alaam.

      Berhubung dengan pembangunan dan kemajuan yang terdapat di sekeliling Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, terdapat pro dan kontra, baik dan buruk, kuat dan lemahnya bagi setiap orang yang menilainya dengan ilmu masing-masing. Buat masa ini, saya belum memberi komen kerana masih memikirkan hikmah atas semua yang berlaku sejak zaman Nabi Adam, Nabi Ibrahim hingga sekarang. Kenapa Allah mengizinkan keadaan tersebut.

      Tentang buku Khadijah yang saya miliki adalah karya Abdul Mun’im Muhammad Umar “SAIDATINA KHADIJAH R.A SEBUAH CATATAN BIOGRAFI.” Buku ini sangat menarik dan mengesankan jiwa mengenangkan pengorbanan, sifat peribadi yang indah, cinta tulus antara dua hati yang dicintai Allah dan cinta yang tinggi dari Rasulullah untuk Ummul Mukminin yang THAHIRAH ini. Saya selalu menangis mengenangkan kedua insan mulia ini.

      Terima kasih Zohra atas kesempatan yang ada untuk melampirkan kongsian yang bermanfaat. Tidak mengapa menulis panjang lebar sebagai manfaat bersama, tentunya, Dan saya senang membacanya. :D

      Salam manis dan mesra selalu dari saya. :D

  3. daoud alahmad May 31, 2012 at 9:13 pm #

    Very beautiful blog , I enjoy it thank you .

  4. Evi June 1, 2012 at 7:25 am #

    Assalamualaikum Mb Fatimah.
    Pengalaaman dapat saf pertama di Nabawi cermin kehidupan sendiri ya Mbak. Mereka yg mempersiapkan diri dengan rencana selalu dapat barisan depan. Sholat di baris pertama ini pasti lbh khusuk dari pada di luar. Salam selamat pagi disertai peluk sayang dari Serpong, Mbak :)

    • SITI FATIMAH AHMAD June 1, 2012 at 11:08 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mbak Evi….

      Demikianlah keadaannya, mbak. Tetapi tidak selalu juga ke masjid kerana biasanya berjamaah di rumah bersama keluarga. Hanya berjemaah di masjid kalau berada di luar sahaja. Kesempatan ini memang tidak pernah dilepaskan jika sempat singgah di Masjid di mana-mana.

      Alhamdulillah, semuanya rencana itu berjaya kerana Allah mengizinkan setelah ada usaha dilakukan, mbak. Demikianlah Allah mengajar kita untuk merasa susah dahulu sebelum merasai hasilnya. Setelah berhasil, kita akan dapat merasai nikmat yang indah selain mendapat kekhusyukan dalam beramal ibadah. Aamiin, mudahan Allah memberkatinya. :D

      Terima kasih mbak atas kunjungan.
      Salam sayang dan mesra dari saya. :D

  5. Ummu El Nurien June 6, 2012 at 10:35 am #

    perjuangan yang menakjubkan mba, mudahan saya pun bisa seperti mba dan bisa kesana..
    mudahan Allah kabulkan …

    • SITI FATIMAH AHMAD June 7, 2012 at 10:00 pm #

      Aamiin, saya mendoakan mbak juga bisa ke sana dan meraih keindahan beribadah yang selalu mengujakan dalam kesempatan yang Allah beri kepada semua hamba yang menjadi tetamu-NYA.

      Semoga dimakbulkan Allah niat dan hasrat tersebut.
      Terima kasih dan senang menerima kunjungan, mbak lagi.

      Salam manis selalu. :D

  6. MUXLIMO June 9, 2012 at 11:38 am #

    Subhanallah.. benar sekali, Mbak.. kunci utama untuk dapat saf pertama itu {CINTA ALLAH DAN CINTA RASUL} ya..

    makasih, banyak Mbak atas tips dan petunjuknya. akhirnya mendapatkan saf pertama itu bukan lagi mission impossible ya :D selamat Mbak..!! **jangan lupa mohon doakan saya selalu ya.. ingin mengikut jejak nih.. sekalian mempraktikan misi yang Mbak uraikan di atas :D

    • SITI FATIMAH AHMAD June 9, 2012 at 9:51 pm #

      Hai Mas Muxlimo…

      Hehehe… mudahan misi mas Muxlimo di masa depan bisa tertunai, malah lebih mantap dari misi saya. Tentu bukan Mission Impossible jika kita benar-benar mahu merealisasikannya. :D

      Jenuh juga untuk merapat diri di saf pertama di peringkat awal percubaan. Akhirnya setelah dilakukan “pengintipan’ masa dan kedudukan jemaah dari semasa-masa, akhirnya strategi berjaya diraih. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua setelah usaha ditingkat, doa dipanjat dan bertawakal untuk menunaikan hajat terpendam.

      USAHA TANGGA KEJAYAAN. Itulah motto yang dipegang. Jika orang lain boleh, tentu saya juga boleh menempat diri di saf pertama. Alhamdulillah, akhirnya terlaksana. sebenar semua ini berpunca dari sifat DEGIL untuk mencapai hasrat. :D

      Insya Allah, doa selalu dipanjat untuk kebaikan yang dihajat. Aamiin, mudahan mas Muxlimo akan menyusul selepas ini.

      Terima kasih sudi berkunjung.
      Salam ceria dan hangat selalu. :D

  7. budiman ahamed June 12, 2012 at 11:10 am #

    assalam……
    sabda rasulullah saw…sebaik2 saf lelaki adalah d hdpn sekali & sebaik2 saf perempuan adalah d blkg skali…

Trackbacks/Pingbacks

  1. CT108. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (3): KELEBIHAN SAF PERTAMA « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - June 1, 2012

    [...] yang pernah saya tulis dalam CT107. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (2) [...]

  2. CT171. MANUSIA “BERKAKI AYAM” | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - June 2, 2013

    […] hadapan di Masjid Nabawi setelah mengatur strategi untuk meraih saf pertama di ruangan wanita. CT107. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI: MENGATUR STRATEGI mudah-mudahan dapat membantu anda melakukan yang sama apabila ke sana […]

  3. CT205. BUNGA KEMBANG PAGI MASJID NABAWI (4): KIPAS ANGIN | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - November 4, 2013

    […] Nabawi yang disediakan penghawa dingin, maka datang lebih awal ke Masjid. Mudahan postingan saya CT107. MEREBUT SAF PERTAMA DI MASJID NABAWI (2): MENGATUR STRATEGI dapat membantu […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 176 other followers

%d bloggers like this: