CT86. FORMULA “JERI’S”

7 Feb

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Untuk menempuh seribu kilometer perjalanan, hendaklah bermula dari langkah pertama. Demikianlah kebersamaan mutiara kata dari Khalil Gibran dan Kong Fu Tse. Garis permulaan inilah yang selalu menguja dan membuat kita menjadi bingung bagaimana mahu memulainya. Memulai suatu pengalaman baru, “mengerah” kita untuk membuat persediaan rapi, menulis senarai semak dan urus diri yang siaga sebelum pengalaman praktik itu ditempuh.

Banyak usaha dilakukan untuk memudah kefahaman kepada teori yang dipelajari. Jika pekerjaan itu bersifat formal dan profesional, maka beberapa kursus bersiri diadakan untuk meningkat kefahaman dan kemahiran diri agar nanti tidak dikatakan “seperti rusa masuk kampung”. Kebingungan dan malu tidak keruan. Tidak tahu arah tujuan kerana tiada pembimbing yang menunjuk jalan.

Walau siapapun kita dalam tingkatan darjat dunia, semuanya akan melalui pengalaman pertama untuk sebuah sejarah baru dalam hidup. Setelah melalui pengalaman pertama, kerisauan biasanya kurang membekas kerana sudah ada peningkatan dari aspek ilmu dan pengetahuan untuk mengatasi segala masalah yang bakal menjelma.Persediaan tentu lebih mantap dan bertambah baik dari sebelumnya. Oleh itu, saya selalu bertanya dengan diri sendiri tentang persoalan ini;

SUDAH BERSEDIAKAH UNTUK MENUNAIKAN IBADAH HAJI ?

Sebelum saya menjawab dan memberi pendapat berhubung persoalan di atas, saya ingin maklumi bahawa tulisan yang sedang anda baca ini ditulis setelah melalui banyak pengalaman di tanah Haramain. Setiap peristiwa yang berlaku secara pemerhatian atau dialami sendiri selalu saya persoalkan dari aspek kekuatan dan kelemahan ilmu pengetahuan segelintir tetamu Allah yang banyak melibatkan hukum-hukum Fikah yang menjadi tuntutan syariat.

Begitu juga apabila berhadapan dengan beberapa situasi yang membuat hati jadi “membuak-buak panas” ketika sedang berkomunikasi dengan sesama tetamu Allah seluruh dunia. Banyak ragam yang benar-benar menguji iman. Masya Allah. Terkadang, saya sampai menggeleng-geleng kepala dan beristighfar panjang. Haji adalah ibadah yang menuntut manusia untuk selalu bersedia dengan ilmu pengetahuan dan akal. Bukan dengan nafsu dan emosi.

Di mana-mana tempat kita berada di Tanah Haramain, pasti Allah akan menguji setiap hamba yang dipilih-Nya sebagai syarat memperolehi HAJI MABRUR. Proses ujian itu meliputi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Gabungan ujian ini secara langsung memperlihatkan diri kita yang sebenar ketika menghadapi setiap cubaan bagi mendapat keredhaan Allah.

INGAT…. Bukankah balasan haji mabrur adalah syurga Allah. Untuk mencapai syurga Allah yang tentunya bersifat “mahal” haruslah melalui serangkaian ujian yang terpilih khusus untuk mereka yang mahu dianugerahi piala HAJI MABRUR.

Dalam cabaran mengharungi ujian-ujian tersebut, kemungkinan ada yang berjaya dan ada yang gagal. Kejayaan mengharungi ujian tersebut tentulah dipengaruhi oleh kekuatan iman, kesempurnaan akal dan kedalaman ilmu. Manakala kegagalan melaluinya disebabkan oleh kelemahan emosi, keinginan nafsu dan kedangkalan ilmu.

Arafah, Mudzdalifah dan Mina adalah Masya’ir Haji. Ketiga-tiga tempat ini memberi pengalaman yang sangat berharga, indah dan cabaran yang tidak dapat dilupakan.  Antara ketiga-tiga tempat masya’ir haji ini, cabaran di Mina sangat menguji kesabaran para jemaah haji seluruhnya terutama berhadapan isu TANDAS @ TOILET @ WC. Satu posting khusus akan saya tulis jauh ke depan dengan tajuk ” BELAJAR SABAR DENGAN TANDAS”

THK(17). Tandas Wanita di pintu masuk 7A, Masjid Nabawi. Tandasnya berada di tangga kedua, bawah tanah. Saya tidak pernah berhajat di mana-mana tandas wanita yang disediakan di Masjid Nabawi kerana keadaannya tidak “nyaman” akibat sikap tidak mengamalkan kebersihan oleh kebanyakan para jemaah wanita. Saya akan ke tandas di Anwar al-Madinah Movenpick Hotel,  bertaraf 5 Bintang dengan mengambil masa 5 minit untuk ke sana. Saya sangat sensitif dengan kekotoran tandas. Hotel ini disediakan untuk jemaah haji Malaysia tetapi kumpulan kami seramai 163 orang telah “tercampak” ke Hotel Moltaqal Al Alam,  bertaraf 4 Bintang yang sejauh 450 meter dari Masjid Nabi. Namun saya bersyukur, hotel yang jauh ini telah memberi saya pengalaman yang menarik sepanjang perjalanan ke Masjid Nabawi.

****************

FORMULA JERI’S

Untuk menjawab persoalan di atas tadi,  saya akan mengemukakan satu formula yang mudah difahami untuk muhasabah diri saya dan panduan untuk sesiapa yang mahu menelitinya. Formula ini dicadang kepada bakal haji dan hajjah supaya memahami peri pentingnya JERI’S sebagai salah satu dari bekal ilmu yang saya harap dapat membantu untuk mengurangkan tekanan setiap kali berhadapan dengan masalah di tanah Haram. Kekuatan dan kelemahan JERI’S adalah bergantung kepada individu itu sendiri.

Formula ini saya namakan JERI’S. J.E.R.I dipinjam dari FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN MALAYSIA. Manakala “S” adalah tambahan dari saya. JERI’S adalah akronim kepada JASMANI, EMOSI, ROHANI, INTELEK dan SOSIAL.   Mari kita meneliti satu persatu secara ringkas formula JERI’S.

J = JASMANI

Pembangunan jasmani sangat penting bagi semua bakal haji dan hajjah. Aspek kesihatan merupakan agenda utama yang harus diperiksa dan dijaga sebelum pihak Tabung Haji meluluskan kepergian mereka ke Tanah Suci. Kita harus memahami bahawa keadaan di Tanah Haramain sangat berbeza dengan keadaan di negara kita terutama dari aspek cuaca. Dimaklumkan bahawa cuaca di Madinah sangat sejuk. tetapi di awal kehadiran kami di Madinah cuaca sangat panas sehingga mencecah 42 darjah celsius. Akibatnya, bibir kita merekah dan tumit kaki juga pecah-pecah.

Begitu juga di Makkah darjah kepanasannya sangat mencabar. Musim haji tahun 2011, sudah 3 bulan hujan tidak melanda Tanah Haramain ini sehingga pihak pemerintah mengarahkan kedua-dua Tanah Haram ini melakukan solat Istisqaq (minta hujan) secara serentak. Namun setitik hujan tidak saya rasai sehingga saya kembali ke tanah air pada hari ke 49 di tanah Hijaz itu. Selain itu, aktiviti pelaksanaan ibadah haji memerlukan upaya tenaga yang besar untuk melaksanakannya terutama perjalanan untuk melontar Jamrah di Mina selama 4 hari, sejauh 6 km pergi dan balik., tawaf dan Saie di Makkah.

Oleh kerana itu, pemeriksaan kesihatan dijalankan secara menyeluruh di pusat kesihatan kerajaan yang kemudiannya diluluskan oleh doktor bertauliah. Peraturan Haji Arab Saudi mewajibkan semua bakal haji menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor sebelum meluluskan visa haji untuk pergi ke Arab Saudi bagi menunaikan fardhu haji. 

Tujuannya untuk memastikan semua bakal haji berkeupayaan dari segi fizikal dan mental kerana pekerjaan haji memerlukan kecergasan tubuh dan kecerdasan akal. Selain itu, dapat mengesan penyakit lebih awal dan memberi rawatan awal bagi menggelakkan penyakit menjadi teruk ketika di Tanah Suci.

Nenek Dairah, berusia 77 tahun adalah teman sebilik saya di Makkah. Orangnya baik, tidak banyak karenah dan kuat semangat. Kisah Nek Dairah akan ditulis dalam “NENEK CUTE”. Beliau antara contoh nenek yang cekal dan sabar. Saya selalu kagum dengan kecergasan beliau dalam melaksanakan rukun dan wajib haji.

THK(18). Pemandangan sesak di “Umar al-Khattab Gate, Door 16″ selepas solat Isyak di Masjid Nabawi.  Saya biasanya keluar satu jam kemudian, dari masjid apabila selesai membaca al-Quran bagi menggelak kesesakan ini. Di waktu inilah penjual-penjual “haram” beroperasi dengan barangan yang sangat murah harganya dan akan menimbulkan keributan apabila polis Arab Saudi membuat serbuan, mereka lari lintang pukang dengan barangan yang kadang kala masih di tangan pelanggan dan tidak sempat dikembalikan. Hal ini selalu meresahkan kerana tidak tahu siapa penjualnya.

****************

E = EMOSI

Pengendalian emosi sangat penting dalam membentuk kehidupan yang harmoni. Emosi adalah kesatuan seluruh jiwa yang  meliputi perasaan yang tenang, tingkah laku terkawal, memupuk kasih sayang, memiliki sifat keakuan, mempunyai semangat perpaduan, dapat menghargai nilai-nilai estetika dan memahami kesenian.

Setiap bakal haji dan hajjah harus berusaha meningkatkan daya tahan emosi agar selalu terkawal, tenang dan sabar setiap kali berhadapan dengan masalah (baca: cabaran).  Saya lebih suka menggunakan perkataan “cabaran” daripada masalah. Masalah selalu mengundang rasa sakit hati, keresahan, ketakutan, tidak dapat berfikir dengan wajar dan menimbulkan rasa putus asa jika tidak mampu mengatasinya.

Berbeza dengan cabaran. Cabaran memberi peluang kepada kita untuk berfikir bagi mengatasi sebarang masalah, dapat mendatangkan hikmah jika diteliti secara dalam. Cabaran membentuk sikap yang tenang, berfikiran optimis, mengurangkan tekanan dan sabar dengan setiap punca yang menimbulkan sesuatu permasalahan.

Jika menghadapi perkara yang boleh meledakkan emosi, berusahalah beristighfar dan rasional menghadapinya. Ingat Allah dan tarik nafas dalam-dalam. Fikirkan hikmah disebaliknya. Pengalaman saya dimarahi oleh seorang bakal hajjah di Masjid Nabawi, memberi kesan kepada saya tentang “kemiskinan akhlak” yang ada pada orang yang berilmu. Kisah ini akan saya tulis dalam tajuk “ILMU AKU DAN ILMU ENGKAU”

Kehidupan di Madinah dan Makkah, benar-benar menjadi medan hebat kepada setiap bakal haji dan hajjah untuk belajar mengawal emosi. Ia bukan satu pelajaran yang mudah bagi sesetengah orang yang dikatakan “bebal” sehingga sikapnya di tanah air terbawa-bawa malah ada yang semakin teruk ketika berada di Tanah Suci. Menghadapi pelbagai ragam dan emosi yang tersebar di kalangan jutaan manusia memerlukan kewajaran dalam bertindak berasaskan akal dan ilmu. Kekuatannya adalah kepada solat, zikrullah dan membaca al-Quran.

THK(19). Hari Kedua (11 Oktober 2011 – Selasa). Para jemaah haji wanita Malaysia sedang mendengar taklimat pada sesi “ZIARAH DALAMAN” di sekitar Masjid Nabawi oleh pihak petugas Tabung Haji Malaysia. Suasana ini ketika berada di hadapan Perkuburan Baqi’ sambil membaca doa dengan bimbingan para petugas.

****************

R = ROHANI

Pembangunan rohani menekankan aspek kesedaran dan keinsafan yang mengajar kita erti kesyukuran dan menghargai nikmat Allah. Kekuatan rohani dapat membentuk disiplin diri yang mampu menjadi perisai kepada setiap tujahan emosi yang melanda. Ibadah haji adalah ibadah rohani yang mendekatkan kita dengan Allah. Tanah Haramain mempunyai cerita tersendiri dalam mengungkap segala peribadi manusia untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Aktiviti kehidupan di bumi suci ini memerlukan kekuatan rohani dan disiplin diri yang mantap untuk istiqamah dalam melakukan qiyamulail, solat berjemaah setiap waktu, mendirikan solat-solat sunat, mengalunkan zikrullah, membaca al-Quran, menelaah ilmu dengan membaca buku, melaksanakan umrah sunat, melakukan tawaf sunat dan mengamalkan sedekah.

Amalan-amalan sebegini menjadi “kunci” kepada usaha meraih HAJI MABRUR.  Mudahan kecuaian terhadap tanggungjawab sebagai hamba Allah ketika di Tanah Air dapat diminimakan dengan menjadikan lapangan bumi Haramain sebagai institusi pendidikan “kehidupan” yang berkesan. Untuk mencapai keberkesanan yang lebih mantap, maka semua amalan itu perlu di garisan pertama. Garisan pertama itu hendaklah bermula di Tanah Air lagi.

Saya perhatikan ramai jemaah haji leka membeli belah sehingga berkotak-kotak untuk dihantar pulang, banyak tidur dengan alasan terlalu letih, banyak bercakap perkara-perkara yang tidak bermanfaat dan suka bersolat sendirian di bilik hotel. Keadaan ini amat merugikan kerana kita telah “mengorbankan” wang yang banyak untuk sebuah perjalanan jauh bagi menjadi tetamu Allah.

Sebaik kita mengetahui nama sudah tersenarai untuk menunaikan haji, NIAT  IKHLAS hendaklah dipasang kukuh dalam hati. Mulakan keazaman untuk mengubah diri menjadi lebih baik amalannya seperti solat fardhu hendaklah sempurna 5 waktu, solat sunat diusahakan kekerapannya, istiqamah untuk bangun malam (qiyamulail), penutupan aurat hendaklah dijaga, tutur bahasa harus dipelihara baik, hubungan sesama manusia semakin mantap dan amalan bersedekah hendaklah diperbanyakkan.

Insya Allah, jika amalan-amalan ini sudah biasa dilaksanakan sejak di Tanah Air, tentu akan memudahkan kita untuk meneruskannya di Tanah Haram. Allah akan mempermudahkan segala urusan kita untuk melaksanakan amalan-amalan tersebut dan banyak doa yang kita panjatkan di sisi Allah, akan diperkenankannya. Aamiin, mudah-mudahan. Yakin dan percaya dengan janji Allah merupakan satu kekuatan untuk meningkatkan iman dan amalan kita. Kita lakukan semuanya kerana Allah bukan dengan tujuan lain yang boleh memesongkan tujuan baik kita di sana.

THK(20). Pemandangan “pasar sementara” di Mina. Pasar ini hanya wujud selama 4 hari selama para jemaah haji Mabit di Mina bagi melontar Jamrah. Suasana selalu sibuk sepanjang hari dengan jualan pelbagai  barangan dari luar negara terutama “made in” China, Thailand, Pakistan dan Indonesia.  Mulanya saya hairan kenapa pihak Tabung Haji menasihatkan para jemaah membawa wang RYS 500 – banyak tu – ke sana. Rupa-rupanya ada pasar sementara yang menjadikan suasana kehidupan di Mina tidak membosankan.

***************

I = INTELEKTUAL

Penciptaan manusia dibekali dengan akal dan ilmu. Kedua-dua bekal ini menghasilkan kebijaksanaan kepada manusia untuk membuat sesuatu keputusan secara rasional. Ilmu dan akal dapat mengatasi emosi dalam sesetengah keadaan agar tidak terlanjur dalam bertingkah atau menghasilkan kekusutan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Unsur intelektual memberi tumpuan kepada daya berfikir secara kritis dan kreatif bagi meningkatkan kefahaman dalam menghasilkan ilmu bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain. Intelektual bermaksud sebagai orang yang memiliki ilmu pengertahuan, mendasarkan penilaiannya pada renungan dari apa yang menjadi pemerhatian dan bukan melalui persepsi semata-mata. Ilmu yang diperolehinya berasaskan kepada kenyataan yang dilalui lalu diproses untuk diambil pengajaran.

Dalam melakukan ibadah haji, memerlukan ilmu dalam memahami setiap teori dan praktik untuk semua pekerjaan haji. Pemahaman yang jelas terhadap segala perkara yang berkaitan dengan hukum fikah hendaklah ditekuni agar tidak berlaku sebarang perlanggaran hukum ketika melaksanakan ibadah haji. Kefahaman terhadap Islam masih lagi perlu dipertingkatkan terutama dalam aspek yang menyangkut dengan syariat. 

Kerana itulah, kursus-kursus haji diberi dalam pelbagai peringkat oleh pihak Tabung Haji Malaysia seperti Kursus Bersiri yang diadakan secara mingguan selama 15 minggu, Kursus Intensif Haji selama 2 hari berturut-turut dan Kursus Perdana Haji sebagai kursus penamat yang melibatkan latihan amali seperti Tawaf dan Saie dengan menggunakan model-model khas.

Selain itu, bakal haji juga hendaklah meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mereka melalui sumber-sumber lain seperti buku, ceramah di televisyen atau perbincangan bagi kemantapan dan keyakinan dalam melaksanakan ibadah haji. Banyak perkara yang menimbulkan kemusykilan apabila memerhatikan kewenangan sesetengah jemaah haji dalam perlanggaran syariat yang akan saya bincangkan dalam tajuk “STOKIN BERLUBANG”, “TAWAF BERSAMA SELIPAR”, “SOLAT TANPA WUDHUK” dan lain-lain lagi. 

Oleh itu, kekuatan ilmu hendaklah diasaskan kepada pembinaan rohani bagi menghasilkan daya intelek yang sihat dan pemikiran yang membawa kepada kebaikan. Keinginan untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya akan meningkatkan keimanan kita dalam usaha menperolehi keredhaan Allah.

Hanya mereka yang benar-benar mencintai Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mampu melalui “kepayahan” dalam pelaksanaan syariat ini. Walaupun sukar bagi orang lain, tetapi tidak menjadi masalah kepadanya sebagai tanda tunduk seorang hamba yang benar-benar mahu menerima jemputan dari Allah bagi meraih HAJI MABRUR.

THK(21). Pemandangan di Tingkat 1, bahagian bangunan lama Masjidil Haram berdekatan dataran Kaabah.  Selepas solat Subuh, beginilah aktiviti para jemaah haji seperti sedang berehat, berzikir, membaca al-Quran atau berdoa sambil memandang Kaabah. Kebiasaannya waktu ini sibuk dengan jemaah haji yang melakukan Tawaf Sunat. Saya dan suami hanya sekali sahaja mengerjakan Tawaf Sunat di Tingkat 1. Untuk 7 pusingan tawaf di tingkat ini mengambil masa lebih kurang 1 jam 40 minit. Sangat penat kerana ruang pusingan sangat besar dan jauh berbanding tawaf di Dataran Kaabah yang hanya mengambil masa 40 minit untuk 7 pusingan.

***************

S = SOSIAL

Manusia adalah makhluk sosial yang  memerlukan antara satu sama lain untuk berinterkasi disamping menjalin hubungan baik untuk mewujudkan kehidupan harmoni. Dengan itu, manusia berpeluang untuk saling kenal mengenal bagi merapatkan hubungan silaturrahmi walaupun berlainan bangsa, jantina, negara, bahasa dan rupa. Peranan bahasa sangat penting dalam proses perkenalan antara manusia. Tidak memahami bahasa akan menjadi jurang untuk menjadi lebih rapat dan intim.

Sebaliknya di Tanah Haramain, isu bahasa tidak timbul dan tidak mematahkan semangat untuk bersilaturahmi. Tidak memahami bahasa dari negara lain, bukan satu masalah besar dalam mewujudkan hubungan mesra. Penggunaan isyarat menjadi alternatif di samping huluran senyuman yang mengesankan. Malahan tanpa bahasa, kita mampu ketawa bersama-sama kerana geli hati tidak tahu apa yang dibicarakan. Kisah  “AFSIN MARYAM” dari Afghanistan dan “HADIAH SECANGKIR TANGIS” membuktikan tanpa bahasa yang difahami, kemesraan tetap wujud dan mengasyikkan.

Tanpa kita sedari. usaha perkenalan ini akan membawa kepada ikatan yang kuat dalam perpaduan ummah dengan menanam semangat muhibbah dan kecintaan yang tinggi semata-mata kerana Allah swt. Di Tanah Haram tidak ada perbezaan taraf atau jawatan yang menjadi kebanggaan, semuanya sama dan setara di hadapan Allah. Akhlak yang mulia menjadi tunjang kepada kekuatan diri kita di samping sifat-sifat mahmudah yang lain ketika sedang berkomunikasi. 

Siapa yang menjangka perkenalan yang singkat dapat mewujudkan persahabatan yang indah dan mengesankan. Malah saling bertukar-tukar hadiah sebagai tanda kenangan dapat berkenalan.  “Al-QURAN HADIAH DARI MIEKE SOVIA AUGUSTIN” dan “JADILAH WANITA PALING BAHAGIA DI DUNIA”, membuktikan perkenalan yang singkat dapat memberi makna sepanjang hayat kerana selepas itu, belum tentu ada pertemuan kedua setelah masing-masing kembali ke kampung halaman.

Bagi mewujudkan hubungan yang baik, kesedaran dalam prinsip bersosial harus dibina kerana manusia mempunyai pelbagai sikap dan tingkah yang tidak dapat dijangka keadaannya. Berdoalah dengan Allah agar kita dipertemukan dengan orang-orang yang dapat membantu kita dalam apa bentuk keadaan. teman sebilik yang memahami, orang yang mahu menegur dan menasihati kita jika kita melakukan kesilapan atau orang yang suka memberi ingatan dan pesan walau pertemuan itu hanya sebentar. Insya Allah, Yang Maha Mendengar tentu akan “memberi perhatian” kepada tetamu agung-Nya yang selalu mahu “bersahabat” dengan-Nya.

“DOA ADALAH SENJATA BAGI ORANG MUKMIN”


Walaupun FORMULA JERI’S ini nampak mudah tetapi “tidak semudah” yang disangkakan. Formula JERI’S memerlukan keinginan yang tinggi dan kesungguhan untuk merealisasikannya sebagai persediaan MENUJU IMAN. Selamat  buat bakal haji yang mahu untuk menghayati FORMULA JERI’S  ini.

THK(22). Pemandangan sangat sibuk dan menyesakkan selepas solat Isyak. Puluhan ribu manusia membanjiri luar dataran Masjidil Haram sehingga untuk balik ke hotel, kami harus mengambil masa satu jam setengah. Suasana ini sangat mengasyikkan apabila memerhati ragam manusia yang kadang kala membuat emosi marah kita boleh meletus disebabkan masing-masing berebut-rebut untuk keluar dari Masjidil Haram.


****************

ALHAMDULILLAH

Bila mengetahui bahawa saya terpilih untuk ke Tanah Suci dan suami bersetuju untuk menunaikan haji tahun 2011 yang lalu, mata ini secara tiba-tiba berkaca. Hati jadi nyaman dan ringan. Dalam hati mengucap syukur tidak terhitung jumlahnya. Teringat bahawa segala doa yang dihadapkan setiap masa sepanjang tahun, ternyata mendapat keredhaan Allah akhirnya.

Hati saya berbisik ria, “Alhamdulillah, Allah mendengar doa-doa dan rintihan hati yang rindunya tidak tertahan lagi. Subhanallah walhamdulillah. Engkau Tuhanku dunia akhirat, Tuhanku hidup dan mati. Aamiin.


****************

6 Febuari 2012 (Isnin)/ 14 Rabi’ul Awwal 1433H/ 7.30 petang - Sarikei, Sarawak

AKU…. sangat bersyukur pada detik waktu yang selalu memalingkan arah dari satu tujuan ke satu tujuan tanpa rencana – SEBAB - rancangan yang tidak berencana itu ada kekaguman yang menghasilkan sebuah RINDU yang tak terlupakan. TERIMA KASIH YA ALLAH.

- SITI FATIMAH AHMAD -

****************

THK(23). Pemandangan indah bangunan Safa dan Marwah yang berlatar belakang bangunan Hotel 5 Bintang, Zam-zam Tower dan “Makkah Clock Royal Tower”

DAN HARIPUN BERLALU…. DENGAN INGATAN YANG DALAM TERHADAPMU

***************

About these ads

30 Responses to “CT86. FORMULA “JERI’S””

  1. ardiansyahpangodarwis February 7, 2012 at 1:07 pm #

    doa adalah senjata bagi orang mukmin
    kalau doa dan kerja keras jadi lebih dahsyat ya mba sentanya :)

    • ardiansyahpangodarwis February 7, 2012 at 1:11 pm #

      senjata maksudnya :)

    • SITI FATIMAH AHMAD February 7, 2012 at 1:50 pm #

      Iya benar Ardian, saya setuju itu. :D
      Kerana setelah berdoa, harus dilanjutkan dengan tindakan barulah senjata itu mengesankan. Akhirnya kita bertawakal.

      Terima kasih.

  2. rumah kopi February 7, 2012 at 3:53 pm #

    haji itu bener-bener panggilan gan. di tempat ane ada orang yang serba berkecukupan. tapi takut naik haji.

    alasannya: takut dapat “balasan” dan mengalami “hal-hal aneh” di tanah suci
    :D

    • SITI FATIMAH AHMAD February 7, 2012 at 4:21 pm #

      Iya betul Rumah Kopi..
      Haji merupakan “jemputan” Allah ke sisi-Nya. Terkadang perasaan takut mengakibatkan kita banyak bersangka buruk dengan Allah.

      Tanah Haram bukan tempat pembalasan kepada kesalahan yang dilakukan tetapi tempat untuk beribadah kepada Allah. Tanah Haram juga tempat untuk kita belajar “menghapus” dosa-dosa lalu.

      Jangan takut ke sana jika sudah mampu untuk menunaikan tanggungjawab ini. Jangan mendengar cerita orang, jika Allah sudah menjemput, terima lah jemputan itu dengan hati yang syukur. Setakat saya alami, tiada yang aneh-aneh ditemui sedangkan diri ini juga banyak dosanya di sisi Allah. Alhamdulillah wa astaghfirullah.

      Semua kita banyak dosa, hanya dengan rasa insaf untuk kembali bertaubat dan keinginan yang kuta untuk menjadi baik, mudahan diperkenankan Allah. Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

      Terima kasih atas kongsiannya.
      Salam harmoni. :D

  3. elfarizi February 7, 2012 at 5:17 pm #

    Waaah … jadi ingin lekas jadi tamu Allah … Semoga tercapai cita-citaku :D
    Hidup FORMULA JERI’S :D

    • SITI FATIMAH AHMAD February 7, 2012 at 8:42 pm #

      Saya doakan semoga niat baik Elfarizi akan dimakbulkan Allah. Aamiin.
      Mudahan segala bekal sudah mulai disedia dari sekarang agar cepat untuk ke sana.

      Terima kasih dan salam sejahtera. :D

  4. Ejawantah's Blog February 8, 2012 at 5:30 pm #

    Ass…..
    Pengalaman haji merupakan pengalaman yang paling mengasyikan dalam kehidupan ini, karena ritual ibagdah haji sangat diperlukan keikhklasan dan stamina tubuh yang baik, baik lahir maupun yang batin.

    Semoga hal ini dapat menjadiakn sebuah nasehabt kebaikan yang berguna untuk orang bayak dari sebuah pengalaman yang berharga selama dalam perjalanan melaksanakan ritual ibadah haji.

    Sukses selalu
    Salam
    Ejawantah’s Blog

    • SITI FATIMAH AHMAD February 9, 2012 at 9:27 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra…

      Alhamdulillah, semoga pengalaman ini bisa dimanfaatkan.
      Insya Allah, sepanjang tahun 2012 ini, memangnya diusahakan untuk menulis tentang pengalaman di Tanah Haramain bagi membantu sedikit gambaran tentang kondisi di sana.

      Dulu, saya kurang mendapat informasi yang baik tentang persediaan ke sana. Jadi banyak hal harus dipelajari dan membuat hati tidak nyaman jika melihat sesuatu yang tidak bersesuaian dengan syariat. Wallahu’alaam.

      Terima kasih atas komentarnya.
      Salam hormat.

  5. Akhmad Muhaimin Azzet February 9, 2012 at 12:13 pm #

    Assalamu’alaikum wr.wb.
    Saya setuju sekali dengan FORMULA JERI’S tersebut, Mbak Fatimah
    makasih banyak ya…, jadi tambah semangat neh…
    bagaimana pun juga, haji adalah kewajiban bagi seorang Muslim
    termasuk rukun dalam Islam, maka dengan niat yang kuat, usaha yang maksimal
    dan doa kepada Allah Swt., insya Allah kewajiban ini dapat kita tunaikan.
    Makasih banyak ya, Mbak Fatimah, sungguh sebuah postingan yang
    mencerahkan.

    • SITI FATIMAH AHMAD February 9, 2012 at 10:08 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb…

      Alhamdulillah, mudahan pengalaman ini bisa memberi manfaat buat semua. Pengalaman haji memberi makna yang besar kepada sesiapa yang melaluinya. Sebuah ibadah kemuncak yang menjadi tumpuan seluruh dunia, penuh dengan cabaran dan pengajaran yang memungkinkan seseorang bisa meraih Haji Mabrur.

      Terima kasih kembali untuk komentarnya.
      Salam sejahtera.

  6. Sayyidah 'Ali February 9, 2012 at 8:29 pm #

    wa ‘alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh
    pengalaman yang sangat berharga dan sangat bermanfaat tuk dibagikan kepada orang lain..

    mudahan banyak yang membaca postingan (khususnya juga yang mau pergi hajji) ini. semoga semakin banyak hajinya yang diterima Allah..
    terimakasih mba telah berbagi ilmu Nya.

    • SITI FATIMAH AHMAD February 9, 2012 at 10:43 pm #

      Alhamdulillah, mudah-mudahan mbak.
      Semoga bermanfaat buat yang akan pergi haji atau umrah.
      Sengaja semua pengalaman yang dialami akan ditulis di posting blog kerana media ini mudah untuk dibaca orang.

      Semoga bisa dibukukan suatu hari nanti.
      Menulis sejarah sendiri adalah satu dari usaha kita untuk berbagi ilmu yang diberikan Allah kepada kita. Jika tidak akan sia-sia sahaja tanpa perkongsian yang bisa diambil ibrah darinya. Semoga Allah meredhai usaha ini. Aamiin.

      Terima kasih mbak atas sokongannya.
      Salam hangat selalu. :D

  7. azzahra February 10, 2012 at 5:08 pm #

    Tidak panjang kata, walaupun kakak Siti Fatimah menguraikannya panjang lebar.

    Apa yang diuraikan menunjukkan penguasaan yang mendalam pada pelaksanaan ibadah Haji yang kakak lakukan.

    Ini sangat bermanfaat untuk kita semua yang membacanya dan dapat menjadi referensi bagi siapapun yang akan berangkat ke Tanah Suci.

    Mudah2an saya dapat segera melaksanakan haji ke Tanah Suci, amin ya robbal alamiin…

    • SITI FATIMAH AHMAD February 10, 2012 at 9:10 pm #

      Aamiin… Ya zaljalaaliwal ikraam.
      Saya mendoakan agar hasrat Azzahra dikabulkan Allah. Insya Allah, Allah akan selalu memperhatikan hamba-Nya yang selalu ingin dekat pada-Nya.

      Banyak manusia tidak faham bahawa kerinduan yang amat dan cinta yang mendalam kepada Allah akan dapat menyegerakan “jemputan-Nya” sebagai satu kelebihan dari kualiti doa kita selama ini.

      Bukan mudah untuk mejejakkan kaki ke Tanah Haram walaupun sudah mampu, mempunyai wang yang banyak atau sebagainya. Tetapi jika pilihan tidak jatuh kepada kita, akan banyak berlaku halangan untuk sampai ke sana. Hanya Allah sahaja yang tahu. Saya juga mengalami hal sedemikian sehinggalah Allah menentukan masanya tiba. Alhamdulillah.

      Maka, berdoa, berdoa dan terus berdoa tanpa rasa putus asa di samping membetulkan niat dan mengikhlaskan hati dengan sabar , menjadi tunjang kepada kemakbulan sesebuah doa itu disegerakan Allah.

      Terima kasih Azzahra atas dokongan dan semangat yang ditoreh sepanjang pengalaman ini ditulis. Mudahan akan tercapai segala impian dan keinginan untuk ke Tanah Suci. Doa saya selalu mengiringinya. Aamiin. :D

  8. Faiz Ezra February 10, 2012 at 8:29 pm #

    Subhanallah………….

  9. mohdsabreehussin February 10, 2012 at 11:18 pm #

    Assalamualaikum Puan Siti,

    Alangkah indahnya kalau dapat jejakkan kaki ke tempat ini di usia muda, di waktu jasmani masih dalam keadaan yang terbaik. Masih lagi fit.

    Sudah pasti sepanjang berada di sana, emosi dan perasaan kita akan sering tercabar. Sedangkan dekat Malaysia ini pun, kadang-kadang kita cepat nak melenting bila ada yang tak kena.

    Terkena langgar sikit pun kadang-kadang dah mula naik geram.

    inikan pulak bila tengok suasana sesak macam tu

    • SITI FATIMAH AHMAD February 11, 2012 at 9:01 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, Sabree…

      Menurut pengalaman saya, sebaiknya pergi haji di usia muda adalah lebih efektif, paling lewatpun dalam 60 tahun kerana kerja haji ini sangat memerlukan stamina yang tinggi dan kecerdasan dalam bertindak.

      Kerana itulah formula JERI’S ini berusaha untuk membantu agar segala pekerjaan haji boleh dimulai pada “garisan pertama”. Ramai yang kurang bijak dalam mengendalikan emosinya kerana selalu kedapatan “suara-suara marah” berkumandang terutama ketika tawaf. Astaghfirullah.

      Semoga diperkenan Allah untuk menjejak kaki ke sana nanti.
      Terima kasih Sabree untuk kongsiannya.

  10. die February 11, 2012 at 2:58 am #

    Pertama Nanda mohon do’a semoga kelak bisa mengikuti jejak bunda.
    Jasmani tanpa emosi tiadalah hidup, emosi bila tiada ikatan rohani, petaka menanti, rohani berlebih tanpa intelektualitas yang memadai, mungkin kesesatan, semuanya itu pabila tanpa rasa empaty sosial bukan pula mahluk Allah SWT yang mulia, semua.
    Pengajaran bunda sungguh menyejukan hati.
    Salam Nanda Bunda.

    • SITI FATIMAH AHMAD February 11, 2012 at 9:07 pm #

      Alhamdulillah, senang menerima kunjungan nanda Aldy yang rupanya sudah kembali aktif setelah sekian lama menyepi diri. selamat bersama berkongsi ide dan pengalamannya. :D

      JERI’S telah diungkap dengan begitu baik dan bermakna. Bunda suka membaca dan mengambil arti dari apa yang tersirat. Iya, jelas sekali bahawa JERI’S saling berhubungan antara satu sama lain untuk menjadi kekuatan kepada semangat kita dalam mengerjakan ibadah haji.

      Bunda doakan nanda Aldy akan di’jemput” ke tanah suci suatu masa yang ditetapkan Allah. Aamiin.

      Terima kasih nanda untuk komentar yang mencerahkan.
      Salam mesra selalu.

  11. dedekusnpeace February 11, 2012 at 10:16 am #

    Assalamu’alaikum Bunda,
    Lama sekali saya tak berunjung, apa kabarnya?

    Ibadah haji salah satu cita-cita saya, walau belum kesampaian, tapi saya yakin suatu saat harus bisa menjalankannya.
    Salam hangat bunda.

    • SITI FATIMAH AHMAD February 11, 2012 at 9:11 pm #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, nanda Dede…

      Alhamdulillah, bunda sihat dan didoakan Dede juga demikian sama.
      Bunda juga sudah lama tidak bermain di blog Dede. Kesibukan membuat bunda kini jarang ngeblog. Hanya tika waktu bersahabat sahaja, bisa dilakukan blogwalking.

      Insya Allah, bunda doakan nanda Dede akan ke sana nanti. Tunggu dan berusahalah untuk ke sana mulai sekarang.

      Terima kasih hadirnya dan bunda senang sekali.
      Salam hangat kembali.

  12. toko baju wanita February 11, 2012 at 12:09 pm #

    haiii…salam kenal aja yaaa

  13. citromduro February 12, 2012 at 8:10 pm #

    Membaca ulasan panjan bunda sangat menyentuh. Mampukah saya mendatangi Haromain dengan persiapan yang matang pada masanya nanti

    semoga Allah memberikan kekuatan lahir dan batin bagi saya, dan orang-orang yang ingin meningkatkan ibadah

    salam dari pamekasan madura

    • SITI FATIMAH AHMAD February 13, 2012 at 1:15 pm #

      Insya Allah Kang CM, berdoalah dengan Allah agar diberi kesihatan yang mantap untuk bekal perjalanan menuju manasik haji. Jika sudah bersedia segalanya, pasti tiada yang bisa menghalang segala persiapan tersebut.

      Aamiin… saya mendoakan Kang CM.

      Terima kasih hadirnya dan senang membaca komentar Kang CM.
      Salam hormat.

Trackbacks/Pingbacks

  1. menjadi lebih baik atau tidak menjadi lebih baik (hanya tetap baik) « komuter jakarta raya - February 10, 2012

    [...] ternyata tidak berhenti di jalan utama saja. tapi masuk ke jalan-jalan kecil atau gang-gang penghubung antar desa dan antar komplek. sekilas ini merupakan satu kemajuan. betulkah demikian [...]

  2. CT160. CABARAN HAJI (11): HAJI TUA | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - March 26, 2013

    [...] 1. CT86. FORMULA JERIS [...]

  3. CT187. KRONOLOGI WAJAH MASJIDIL HARAM AKHIR ZAMAN (1): SEJARAH MAKKAH | LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - August 23, 2013

    […] sarat dengan segala bekalan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Hal ini telah saya tulis di CT86. FORMULA “JERIS”. Tanpa mengetahui sejarah Tanah Haram secara dekat, kita mungkin kekurangan maklumat tentang tempat […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 168 other followers

%d bloggers like this: