CT81. PENGISIAN TRAVELOG HAJJAH (1): KEMBARA JIWA DAN MINDA

9 Jan

Assalaamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Pengisian yang akan dibincangkan dalam Travelog Hajjah (1): KEMBARA JIWA DAN MINDA akan meliputi pelbagai peristiwa yang mungkin ditulis secara tidak tersusun. Hal ini berlaku kerana idea-idea yang dicapai melalui kilang memori tidak seragam mengikut masanya. Ada sesetengah keadaan tidak ditulis di atas buku “Small Oblong” berwarna hijau, berukuran 168mm x 108mm sebanyak 300 muka surat. Buku itu dibeli oleh suami setiap sebuah seorang. Maka saya tidak membawa buku nota lain yang nantinya membuat saya kesal di kemudian hari.

Apa yang berlaku esok tidak pernah kita ketahui bentuk dan keadaannya. Masa dan tempatnya. Kita juga tidak tahu,  apakah sejarah yang bakal dilakar dalam kehidupan kita. Kita hanya merancang, sedangkan Allah yang menentukan. Allah juga merancang, namun perancangan Allah adalah lebih baik dan hebat.  Semuanya sudah tersurat dan ditakdirkan sejak azali lagi

Segala yang berlaku dalam hidup manusia adalah dalam Qadha dan Qadar Allah. Ia merupakan Rukun Iman ke 6. Mempercayainya adalah satu kewajiban ke atas setiap muslim  kerana ia adalah berkenaan ilmu Allah yang di dalamnya penuh dengan hikmah. Kita dilarang membicaranya tanpa merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis dan penjelasan dari para ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Cukup Hanya Allah Yang Maha Mengetahui rahsia disebalik ciptaan dan pengurusan-Nya. 

Peristiwa-peristiwa yang bakal ditulis dalam Travelog Hajjah (1): Kembara Jiwa dan Minda ini merupakan perencanaan Allah Yang Maha Menentukan (AL-MUQTADIR). Sebagai AL-MUQTADIR, Allah menunjukkan segala ketentuan berada dalam genggaman-Nya dan sebagai AL-QADIR, Allah berkuasa mutlak terhadap hamba-Nya.

Saya merancang apa yang akan dilakukan untuk memudah aktiviti yang bakal ditempuh. Perancangan itu dibincangkan dengan suami atau teman-teman. Namun, banyak dari perancangan itu menjadi sebalik dari apa yang dirancang. Ini disebabkan terdapat pelbagai aktiviti lain yang tidak termasuk dalam perancangan, tidak pernah terduga akan kehadirannya, mampu mengakibatkan apa yang dirancang menjadi berjaya atau gagal dilakukan. Siapakah yang menentukan semua itu. Jika bukan AL-MUQTADIR.

THK(1). Tarikh 8 Oktober 2011 (Sabtu): Foto 1 – 4, Suasana Taklimat Haji dari pihak Tabung Haji Sibu, jam 10 pagi di bilik VIP, Airport Sibu  sebelum keberangkatan Ke Kuching, jam 11.30 pagi. Semua jemaah dari Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Limbang dan Lawas akan menetap semalam di Hotel Penview, Padungan, Kuching sebelum berangkat ke Madinah, keesokannya.


Pengisian Travelog Hajjah (1) merupakan kehidupan yang sudah ditinggal jauh ke belakang yang hanya dapat dicapai melalui kekuatan memori atau catatan yang sempat ditulis. Kini menjadi nastolgia untuk diambil pengajaran di sebalik apa yang terjadi. Kerana itu, ia disebut SEJARAH. Sejarah adalah sebuah dokumen kehidupan.  Jika sejarah tidak ditulis dan dikongsi, generasi masa depan tidak tahu apa yang telah berlaku dan tidak ada pelajaran yang dapat diteladani. Perkongsian ini juga merupakan satu dakwah untuk mencari kebenaran dalam agama Allah melalui proses pengalaman orang lain.

Sungguh, saya bersyukur dan redha dengan rakaman sejarah kehidupan di bumi HARAMAIN yang sudah ditakdirkan Allah. Keindahan kesatuan ummah jelas terpapar hebat di hadapan mata. Ia bagai mimpi yang kemudiannya menjadi kenyataan. Kenyataan yang diberikan Allah untuk jasad dan roh ini merasainya sendiri. Ibadah umrah dan haji telah menyatukan banyak jiwa yang tidak pernah bertemu.  Kemudiannya saling bersapa mesra, menghadiahkan senyuman manis, menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa, kedudukan atau pangkat.

Rasa insaf muncul tiba-tiba bila mengingati bahawa HIDUP HANYA SEKALI. Kerana itu, hargailah setiap detik yang dikurniakan di bumi HARAMAIN sebagai hadiah terindah dari Tuan Rumah Yang Maha Kaya. Jika nanti,  kita akan kembali lagi ke sana (Aamiin, mudah-mudahan Ya Allah) untuk jemputan kali kedua atau seterusnya untuk ibadah umrah atau haji, keadaannya tentu sudah berbeza dan peristiwanya juga berbeza. Subhanallah,  wahai Tuhan Yang Maha Memperkenankan (AL-MUJIB).

THK(2). Tarikh 9 Oktober 2011 (Ahad): Foto 1-3,  menunggu di lobi Hotel Penview, Kuching untuk berangkat ke Kuching International Airport  pada jam 10.30 pagi. Foto 4. Dalam bas menuju ke Airport Antarabangsa Kuching.

Kandungan Travelog Hajah (1): Kembara Jiwa dan Minda   merupakan perjalanan menuju iman yang saya anggap sangat ajaib dan hebat kerana selalu merasai kehadiran Allah di sisi. Sangat dekat, sangat diperhati dan penuh dengan emosi yang tak terduga hadirnya sejak di bumi Sarikei, Madinah dan Makkah. Antara peristiwa yang saya anggap sangat mengesankan dan boleh disebut sebagai HADIAH DARI LANGIT adalah:

1. TETAMU YANG PALING ISTIMEWA, tawaran menunaikan haji secara berturut-turut dalam dua tahun (2010 dan 2011). Tetapi kami menolak kepergian pada tahun 2010 atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Alhamdulillah, tahun 2011 tawaran itu diterima dengan senang hati setelah banyak urusan keluarga sepanjang kepergian di sana dapat dikendali dengan baik.

2. SERBA BARU, niat suci saya untuk berada di bumi Haramain sebagai tetamu paling istimewa dengan kelengkapan serba baru ditunaikan dengan segera. Kelengkapan itu tidak dibeli di Sarawak, tetapi dibeli di Kuala Lumpur.

3. RAUDHAH, HADIAH TERINDAH DARI “KEKASIH”, tidak sampai 3 jam berada di hotel penginapan (9.56 malam waktu Madinah), saya, Kak Kasma dan Kak Senah (teman sebilik) dihadiahkan dapat menunaikan solat sunat dalam keadaan lapang selama 30 minit di Raudhah (12.30 -1.00 pagi). Sedangkan ia tidak  dalam perancangan saya.  Ia berlaku secara spontan.

4. KEAJAIBAN AIR ZAM-ZAM (1), sakit lutut yang telah dialami selama 2 tahun dan ditambah kepenatan duduk selama 9 jam dalam pesawat sehingga menyebabkan sakitnya semakin larut,  pulih keesokan harinya sehingga kini. Alhamdulillah.

5. KEAJAIBAN AIR ZAM-ZAM (2), sakit kepala yang saya alami (tidak boleh berada di bawah terik mentari walau sekadar haba di dalam rumahpun) sejak sekian lama terus hilang sampai sekarang. Alhamdulillah.

6. TERIMA KASIH USTAZAH… SIAPAKAH PEREMPUAN ITU ?, selalu menjadi tanda tanya kepada saya dan Kak Kasma sehingga kini. Dari mana wanita itu tahu, saya seorang ustazah ? Tidak seorang jemaah haji wanita yang mengetahui saya seorang ustazah semasa di Madinah kecuali Kak Kasma dan Kak Senah. Kenapa dia bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada saya sedangkan kami tidak pernah bertemu dan berbicara ? Namanya pun saya tidak tahu hingga sekarang.

7. ALLAH SANGAT SAYANG PADAKU, banyak doa-doa yang dipanjatkan sepanjang di Madinah, Masjid Nabi, Masjidil Haram, Arafah, Muzdalifah dan Mina, Makkah dimakbulkan Allah.  Sungguh saya merasa diraikan sebagai TETAMU ALLAH YANG PALING ISTIMEWA.

8. HADIAH DARI LANGIT, dihadiahkan sebuah al-Quran oleh sahabat dari Jawa Timur, Indonesia, Mieke Sovia Austin yang baru dikenali selama 3 jam di Masjidil Haram dan dihadiahkan sebuah buku “WANITA PALING BAHAGIA DI DUNIA”, karya Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni (penulis favorit saya) oleh Hajjah Halimah Shafie dari Bintulu, Sarawak. Kedua hadiah ini amat mengejutkan dan sangat saya hargai serta syukuri.

9. HADIAH PALING INDAH DARI LANGIT, saya dan suami diperkenankan Allah dalam tempoh 15 jam pada hari terakhir sebelum meninggalkan makkah sesudah tawaf sunnat, dapat memasuki Hijr Ismail, menyentuh dinding Kaabah, menyentuh maqam Ibrahim dan melihat Hajarul Aswad secara keseluruhan tanpa halangan.  Sedangkan sujud di hadapan Kaabah ketika ribuan manusia sedang bersesak-sesak melakukan tawaf dan masih berada dalam waktu kemuncak selepas haji, tidak ada dalam perancangan dan doa yang dipanjatkan setiap kali solat sunat hajat khas untuk tujuan tersebut. Sujud di hadapan Kaabah selama 5 minit itu, saya anggap sebagai bonus dari Allah buat dua TETAMU PALING ISTIMEWANYA. Ajaibnya, semua itu berlaku pada hari terakhir sebelum meninggalkan Kota Makkah menuju ke Tanah air.

10. DEMI CINTAKU PADAMU, seorang lelaki bernama SUAMI yang selalu mengharapkan cinta isterinya hanya untuk dia seorang dan sanggup berkorban apa sahaja untuk memilikinya sehingga akhir hayat dan berusaha memenuhi segala permintaan isterinya dalam amal ibadah di bumi Haramain.  Terima kasih suamiku.

11. KHATAM AL-QURAN DI HARAMAIN, tidak menduga dapat khatam al-Quran sekali di Masjid Nabawi yang tidak termasuk dalam rencana untuk khatam di sana. Hasrat saya hanya khatam al-Quran di Masjidil Haram sahaja dengan target 7 paling maksima dan 5 yang minima. Namun begitu, hanya 4 kali khatam sahaja yang mampu dilaksanakan.

Alhamdulillah

Keyakinan dan percaya bahawa setiap doa akan dimakbulkan Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk berdoa dan terus berdoa sepanjang berada di bumi Haramain, di samping meningkatkan amal ibadat, berzikir dan membaca al-Quran hampir setiap waktu yang terluang. Allah swt telah menjamin bahawa setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya di Masjidil Haram akan diperkenankannya. Malah doa itu segera ditunaikan. Subhanallah, Engkaulah Tuhan yang selalu memperkenankan doa hamba-Mu walau dosa mereka menimbun gunung. Ya Allah, ampunilah kami. Aamin Allahumma Aamiin.”

Menurut Ibn ‘Atha: Doa itu mempunyai beberapa rukun yang kuat menyebabkannya naik ke langit untuk diterima Allah s.w.t. Rukun yang paling utama ialah hadir hati dan memohon dengan tawadhuk. Sayap-sayap doa itu adalah berdoa dengan penuh keikhlasan dari hati dan bertepatan dengan waktu yang dimakbulkan doa.

“Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu (menjawab doamu)” – Al-Mukmin: 60

Jaminan Allah inilah yang selalu menjadi bekal saya dalam kehidupan ini walau di mana sahaja berada. Berdoa memberi erti kita sentiasa bergantung harap secara total kepada Allah dalam bertindak sebelum melakukan sebarang aktiviti. Dengan berdoa kita merasa sangat dekat dengan Allah. Kedekatan ini amat terasa ketika berada di bumi haramain (Makkah dan Madinah), terutama semasa di Masjidil Haram, memandang Baitullah dan bertawaf.

Subhanallah, sungguh rasa dekat itu menghadirkan nikmat yang tak terhingga bersama deraian airmata yang tak terbendung derasnya, bukan buatan atau paksaan tetapi dengan rela dalam keadaan diri yang penuh sedar, malu atas segala dosa yang dilakukan selama ini. Masya Allah, indahnya rasa tangis itu tidak mampu untuk digambarkan. Hanya mereka yang pernah melalui tangisan yang lahir dari hati terdalam sahaja dapat menggambarkan kekudusannya. Astaghfirullah wallahu’alaam.


“TULISLAH SENDIRI SEJARAH KAMU. Kerana seorang Muslim umpama lebah. Segala sesuatu yang ada pada dirinya mengandungi banyak faedah yang boleh dikongsikan bersama. Pada intinya, seorang Muslim memanfaat umur yang dimilikinya untuk kebaikan. Segala bentuk kebaikan dan keluhuran yang mampu dilakukannya tidak akan disia-siakan. PENGALAMAN ADALAH GURU TERBAIK.”

- DR. ‘AIDH ABDULLAH AL-QARNI -

 

****************

8 Januari 2012 (Ahad)/14  Safar 1433H/ 4.45 petang - Sarikei, Sarawak

AKU… dan kerinduan padamu, tidak akan pernah mati. Ia satu kekuatan yang entah datang dari mana tibanya sehingga setiap kali menghadapi keresahan, rindu padamu sering sahaja menjadi penawarnya. Alhamdulillah,  Ya Ra‘uuf (Yang Maha Pelimpah Kasih Sayang) kerana mengurniakan aku sebuah rindu yang hebat. RINDU ITU, MENDEKATKAN AKU PADAMU.

- SITI FATIMAH AHMAD -

***************

THK(3). Tarikh 9 Oktober 2011 (Ahad): Foto 1-4, pemandangan sibuk di Airport Antarabangsa Kuching yang dibanjiri oleh ahli keluarga para jemaah haji.

THK(4). Tarikh 9 Oktober 2011 (Ahad): Foto 1-4, jemaah haji berada di bilik   menunggu untuk menaiki pesawat  MAS dua tingkat, Boeing B747-400P yang akan membawa 447 jemaah haji KT33 Sarawak kumpulan ke-2 menuju ke Prince Mohammad Bin Abdulaziz International Airport, Madinah, Arab Saudi. Penerbangan asal dijadual jam 4.30 petang telah dipinda awal pada jam 2.30 petang. Alhamdulillah.


THK(5): Pesawat  MAS dua tingkat, Boeing B747-400P, disewa khas oleh Lembaga Tabung Haji  Malaysia. Pesawat ini  boleh menampung penumpang seramai 458 orang termasuk 20 krew.  Ia dibahagi kepada 5 zon  iaitu Z/A = 12 orang, Z/B = 26 , Z/C = 112, Z/D = 98 dan Z/E = 144 di kokpit bawah dan U/D = 66 di kokpit atas.

Pesawat ini dikendali oleh 2 kapten, 2 krew teknikal dan 16 krew kabin. Panjang pesawat B747-400P = 70.70m, lebar =  64.90m, tinggi = 19.41m dan kelajuan =  918 km/h.


Ketika penerbangan ke Madinah, saya dan suami berada dalam Zon E – bahagian hujung ekor pesawat.  Kawasannya sangat sempit sekali dan mempunyai 3 tempat duduk sebaris. Tetapi ketika kembali ke tanah air dari Jeddah ke Kuching, kami berpeluang duduk di U/D (kelas eksklusif) di tingkat atas. Syukur. :D Sangat selesa kerana hanya dua tempat duduk yang lebar dan besar. Saya tidur lena kerana demam merindui Masjid Nabi dan Masjidil Haram.

TKH(6). Hidangan makan petang yang menyelerakan (ayam masak rendang dengan nasi briyani). Tetapi saya tidak selera menikmatinya kerana masih terkesan akibat dari rindu kepada anak-anak yang ditinggalkan.

****************

TERIMA KASIH YA RAHMAAN YA RAHIIM KERANA MENJEMPUT KAMI MENGHADAPMU DAN SUNGGUH SAYA MERASAI SEBAGAI TETAMU ALLAH YANG PALING ISTIMEWA. SUBHANALLAH.

**************


YA RABB, SEGALA RINDUKU KIAN TERUBAT TIKA PANGGILANMU SEMAKIN DEKAT


About these ads

11 Responses to “CT81. PENGISIAN TRAVELOG HAJJAH (1): KEMBARA JIWA DAN MINDA”

  1. Mabruri Sirampog January 10, 2012 at 11:41 am #

    Assalamu’alaikum umi..

    Pertama, Mohon maaf umi, tadi di atas dituliskan, “Segala yang berlaku dalam hidup manusia adalah dalam Qadha dan Qadar Allah. Ia merupakan Rukun Iman ke 5.” Setau saya, qadha & qadar termasuk rukun iman yang ke 6. Mohon pencerahan jika memang saya yang hilaf.. D

    subhanallah… indahnya perjalanan suci ini, dan bergetar rasanya hati ini, ingin segera mengikuti jejak suci ini. Mudah2an Allah memperkenankan saya untuk bisa ziarah ke Makkah & madinah.. aamiin.

    Keajaiban2 yang dialami, tentunya semuanya atas izin Allah SWT. Sungguh luar biasa. Sebuah perjalanan yang akan menambah kedekatan terhdap sang pencipta-Nya.

    • SITI FATIMAH AHMAD January 10, 2012 at 11:53 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, Mabruri…

      Subhanallah walhamdulillah kerana dikoreksi atas kesilapan yang ditulis. Ia sungguh mencerahkan. Sudah bunda perbetulkan letaknya. :D

      Semoga Mabruri akan dirahmati Allah atas koreksi ini. Nampak sahaja kecil tetapi bermakna besar.

      Bunda doakan Mabruri akan diperkenankan Allah untuk sampai ke sana nanti pada masa dan hari yang ditentukan. Yang penting, keinginan, azam dan bekalan harus disediakan sejak mula berputik rasa ingin kesana sebagai tetamu- Nya… Aamiin.

      Semoga kita akan menjadi hamba Allah yang semakin mencintai-Nya dalam apa jua keadaan.

      Terima kasih Mabruri atas keperihatinan kepada tulisan bunda. :D

  2. tank top January 10, 2012 at 12:01 pm #

    salam persahabatan slalu…:)

  3. Mama Murai January 11, 2012 at 6:45 pm #

    Assalaamu’alaikum kak,
    syukur Alhamdulillah, membaca pengalaman akak di sana sahaja sudah cukup membuatkan hati saya rindu untuk menjadi tetamu-NYA. Entah bilalah agaknya berpeluang untuk menunaikan ibadah hajjah seperti akak dan jutaan umat Islam yang lainnya. Tahniah kak, hadiah dari langit itu memang terkesan di hati saya. Subhanallah, betapa besarnya kuasa Yang Maha Esa, bertuah sekali akak kerana dapat memasuki Hijr Ismail, menyentuh dinding Kaabah, menyentuh maqam Ibrahim dan melihat Hajarul Aswad secara keseluruhan tanpa halangan.

    • SITI FATIMAH AHMAD January 12, 2012 at 11:05 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, dik Mama…

      Alhamdulillah, semua kurnia itu sangat dihargai dalam sepanjang hidup akan datang. Mudahan penulisan ini dan lanjutannya nanti akan memberi gambaran tentang apa yang terjadi dalam kehidupan pada jemaah haji di sana.

      Banyak keadaan di sana tidak digambarkan dengan baik oleh para penceramah di kursus- kursus haji kerana lebih berfokus kepada pelaksanaan haji dan umrah sahaja.

      Sedangkan beberapa perkara yang dianggap penting.seperti keutamaan sejarah, tempat dan kekuatan fizikal dan mental kurang diperhatikan. Kerana itu, banyak jemaah yang kurang ilmu dalam melaksanakan ibadah haji.

      Semoga pengajaran dapat diambil dari setiap perjalanan jemaah haji yang pernah menulis tentang pengalaman mereka masing-masing agar kita pergi ke sana dengan ilmu yang sudah dipersiapkan.

      Semoga kerinduan dik Mama akan ada penawarnya dalam tahun2 mendatang.

      Salam mesra selalu. :D

  4. Ejawantah's Blog January 12, 2012 at 1:57 am #

    Ass……
    Senang membaca pengalamannya Bunda bersama suami menuju tanah suci untuk menjalankan ibadah haji. Semoga menjadi haji yang mabrur ya Bunda. Salam kangen dari kami atas karya-karya Bunda.

    Sukses selalu
    Salam
    Ejawantah’s Blog

    • SITI FATIMAH AHMAD January 12, 2012 at 11:14 am #

      Wa’alaikum salaam wr.wb, mas Indra…

      Aamiin, Ya Aziiz Ya Wahhab, Terima kasih atas doanya buat kami. Mudahan mendapat haji mabrur yang tentunya menjadi dambaan para jemaah haji dan kenyataannya ia menjadi rahsia Tuhan bagi sesiapa yang dikehendakinya. Semoga kami memperolehinya.

      Terima kasih untuk kunjungannya.

      Salam ukhuwwah selalu. :D

  5. Abed Saragih January 13, 2012 at 3:38 pm #

    Semoga bunda dan keluarga menjadi keluarga yg dapat menjadi contoh keluarga yg taat akan hukum dan agama bagi kehidupan kita semua.AMIN

    http://www.disave.blogspot.com

    • SITI FATIMAH AHMAD January 14, 2012 at 7:41 am #

      Aamiin, Ya Kariim Ya Rahman…

      Terima kasih Abed Saragih untuk doa yang dilampirkan dan kunjungannya. Semoga Abed dan keluarga juga demikian sama dan kebaikan akan selalu menyirami kehidupan di dunia dan akhirat.

      Salam ceria.

Trackbacks/Pingbacks

  1. CT82. PENGISIAN TRAVELOG HAJJAH (2): MENGINTIP JALAN KE SYURGA « LAMAN MENULIS GAYA SENDIRI G2 - January 13, 2012

    [...] ringkasnya, penulisan Travelog Hajjah (2): MENGINTIP JALAN KE SYURGA merupakan kesinambungan dari Travelog Hajjah (1): KEMBARA JIWA DAN MINDA. Ditulis secara berasingan tetapi perjalanan yang dilalui masih dalam konteks Kembara dan Jiwa. [...]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 176 other followers

%d bloggers like this: